Saidah Hairan Sat Jun 23, 07 01:22:58 PM
KUALA LUMPUR, 23 Jun (Hrkh) - Peristiwa 23 Jun 2002 tetap bersemadi dalam memori seluruh umat Islam luar dan dalam negara kerana pada tarikh tersebut perginya idola tersayang, Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor.
Almarhum meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia akibat sakit jantung pada jam 10.30 pagi.
Almarhum menerima rawatan selepas melakukan pembedahan pintasan jantung pada 10 Jun 2002. Sebelum itu Alhamrhum dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu kerana mengadu sakit dada.
Pemergiannya ditangisi, jasa dan ketokohan Almarhum tiada tolok bandingnya.
Kini lima tahun sudah berlalu, namun memori bersama Almarhum tetap dalam berada dalam lipatan kenangan.
Setiausaha Agong PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar sentiasa mengenang jasa dan ketokohan Almarhum dan yakin seluruh ahli dan kepimpinan PAS turut merasainya.
Beliau yang dihubungi kagum dengan kehebatan dan kepintaran Almarhum memimpin parti dalam menghadapi pelbagai cabaran dari tahun 1990 hingga pertengahan 2002.
Katanya, kejayaan Almarhum memimpin PAS dalam suasana mencabar itu dan telah membawa kemenangan terbesar kepada PAS adalah satu fakta sejarah yang tidak dapat dinafikan.
Almarhum juga tambah beliau, dapat memberikan gambaran yang tepat berkenaan konsep kepimpinan Ulama dan ia tidak dapat ditandingi oleh tokoh lain.
Kamaruddin berharap ahli dan pimpinan PAS sentiasa memperingati dan mengkaji cara Almarhum memimpin parti selama berpuluh-puluh tahun dengan berbagai-bagai jawatan.
Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyifatkan Almarhum cukup `friendly' walaupun beliau seorang pimpinan tertinggi parti.
"Bagi ahli PAS banyak kenangan manis yang patut dicontohi. Almarhum mempunyai sifat `kebapaan' jika berjumpa muslimat tidak lupa bertanya hal suami," katanya.
Menurut beliau kepetahan Almarhum ketika berdebat dan berceramah memang tidak dinafikan, mudah-mudahan pimpinan PAS seterusnya dianugerahkan oleh Allah mempunyai sifat yang dimiliki oleh Almarhum.
Kepada kaum keluarganya kata beliau, seharusnya berusaha untuk menjejaki langkah meneruskan perjuangan Almarhum.
"Sama-samalah kita kirim al-Fatehah kepada roh Almarhum semoga kita yang akan mengikutinya dipilih oleh Allah termasuk dalam golongan orang yang soleh dengan kerana melaksanakan perjuangan ini kerana Allah," katanya.
Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berikrar untuk cuba bersungguh-sungguh melangsungkan hasarat dan cita-cita Almarhum mengaplikasikan pendeakatan perjuangan dan menjadikan PAS sebagai sebuah wadah perjuangan yang boleh diterima oleh masyarakat Malaysia.
Menurut beliau, Almarhum telah berjaya meletakkan diirnya bukan sekadar pimpinan PAS tetapi rakyat di luar sana.
Katanya, Almarhum merupakan seorang reformis yang memiliki keberanian untuk melakukan beberapa anjakan paradigma dalam menentukan pemikiran dan hala tuju perjuangan parti.
"Almarhum merupakan contoh ulama kontemporari yang sentiasa menjadikan pengetahuan sebagai asas dalam mendepani cabaran perjuangan," jelasnya. - mns
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment