Roy Rasul dan Nyza Ayob Mon Jun 04, 07 04:17:10 PM
SHAH ALAM, 4 Jun (Hrkh) – "Seolah-olah ada agenda apabila berlaku pertukaran pasukan pendakwaraya di saat-saat akhir bagi kes berprofil tinggi ini. Apa yang terjadi tidak normal dan jarang berlaku terutama di sebelah pihak pendakwa," dakwa seorang pengamal undang-undang berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantunya Shaariibuu yang ditangguhkan pada 18 Jun ini.
Beliau yang ditemui di lobi Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi tadi menegaskan, berdasarkan pengalamannya selama dua puluh tahun menjadi peguam, ini merupakan kali pertama pertukaran pasukan pendakwaraya berlaku di saat akhir.
"Jadi jangan dipersoalkan apabila ada pihak mungkin mendakwa ada agenda di sebalik perkara ini. Apa yang berlaku agak tidak normal dan jarang berlaku. Bukan bermaksud apa yang berlaku ini salah, tetapi ia harus mempunyai kesinambungan daripada kes yang dikendalikan. Apakah ini adil kepada pasukan yang baru mengambil alih kes ini di saat-saat akhir?," soalnya.
Jelasnya lagi, pasukan pendakwaraya yang baru sudah tentu tidak bersedia untuk mengendalikan kes dalam masa yang begitu singkat.
"Kalau keputusan telah dibuat sedari awal pasukan yang mengendalikan kes ini, sepatutnya ia diteruskan. Mengapa di saat-saat akhir baru ditukar? Mesti ada arahan tertentu. Dan arahan tersebut bukan calang-calang arahan. Mesti 'special'," katanya penuh dengan makna tersirat.
Kes pembunuhan Altantuya yang mendapat liputan meluas media tempatan dan luar negara sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini
Nemun kes tersebut terpaksa ditangguh oleh Hakim Dato’ Mohd Zaki Md Yasin selepas mahkamah diberitahu bahawa pasukan pendakwaraya yang baru ditugaskan mengambil alih pendakwaan kes itu.
Sebelum itu, sebaik sahaja perbicaraan bermula, Tun Abdul Majid memberitahu Mohd Zaki bahawa beliau baru dilantik semalam oleh Pejabat Peguam Negara.
"Saya hanya dimaklumkan mengenai kes ini petang semalam ketika saya dalam perjalanan pulang ke rumah. Saya tidak dapat menjalankan pendakwaan kes ini dalam notis masa yang begitu singkat,” katanya kepada mahkamah.
Sehubungan itu, Tun Majid kemudiannya memohon penangguhan selama sebulan bagi memberi peluang pihak pendakwa meneliti lebih 100 kenyataan saksi.
Tun Majid Tun Hamzah dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup.
Sebelum ini pihak pendakwaan diwakili Ketua Unit Kes Terkelas dari Jabatan Peguam Negara Sallehuddin Saidin dan Timbalan Pendakwaraya Noreen Badaruddin.
Abdul Razak, seorang penganalisis politik terkenal menghadapi tuduhan bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan kejam Altantuya.
Abdul Razak, dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 9.54 pagi dan jam 11.05 pagi pada 8 Oktober tahun lalu di Tingkat 10 Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Abdul Razak didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun yang sama yang membawa hukuman mati mandatory jika sabit kesalahan.
Manakala Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas (UTK) dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja, dekat Shah Alam, antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006 yang lalu.
Dalam pada itu sejak awal pagi lagi perkarangan mahkamah penuh sesak dengan orang ramai termasuk kaum keluarga Altantuya.
Bapa mangsa, Dr Shaariibuu Setev bersama Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi, sepupu mangsa, Amy, tiga lagi sepupu perempuannya dan peguam keluarganya tiba pada pukul 8.45 pagi. - mns
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment