Sunday, June 3, 2007

Golongan ulama dan profesional terjalin erat

Maslan Yusoh Sun Jun 03, 07 12:49:32 PM
KOTA BHARU, 3 Jun (Hrkh) – Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Mohamed Daud menjelaskan golongan ulama dan profesional telah lama dihubung jalin dalam parti itu.
[Sila layari www.harakahdaily.net/muktamar/ untuk laporan semasa muktamar]-->
Kata beliau kedua-dua golongan itu mempunyai kepentingan masing-masing yang tidak boleh dinafikan lagi.
“Ulama memang arif dalam hal berkaitan dengan agama, tetapi tidak pula pandai untuk membuat jambatan. Tentunya golongan profesional lebih berkemampuan melaksanakan tugas tersebut.
“Ulama dan profesional mempunyai hubung jalin yang erat dan ia sudah lama wujud,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi Dewan Ulamak pada muktamar PAS di Putik hari ini.
Isu golongan ulama dan profesional menjadi perhatian muktamar kali ke-53 yang bermula Jumaat lalu. Ia disentuh ramai perwakilan termasuk pada muktamar Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Muslimat.
Mohamed yang juga Adun Demit berkata, gandingan erat gabungan ulama dan profesional tidak mampu dipertikaikan lagi sesiapa pun.
Menurutnya istilah ulama jumud dan ortodoks dinafikan wujud dalam PAS kerana label itu mempunyai hubungan kait yang rapat dengan penganut Kristian.
Beliau juga berkata, peranan golongan ulama dapat dilihat apabila mampu menyelesaikan masalah berbangkit tentang agama. Misalnya ketika awal memerintah PAS di Kelantan isu cukai bagi anjing dan babi ditimbulkan.
“Kita menggunakan kaedah mazhab lain termasuk Hanafi dan Hambali kerana perkara itu tidak terdapat dalam mazhab Shafie. Kita akhirnya berjaya menyelesaikan masalah tersebut di Kelantan,” ujarnya.
Beliau yang pertama kali tampil ke pentas utama selepas dipilih sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat pada muktamar yang diadakan Khamis lalu. Sebelum ini beliau sebagai timbalan ketua, kini menggantikan tempat Dato' Harun Taib yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Penjelasan agak panjang banyak mengaitkan dengan sirah-sirah zaman Rasulullah saw yang dikaitkan dengan isu semasa yang berlaku sekarang.
Isu golongan ulama dan profesional juga disentuh Naib Presiden, Dato’ Dr Hassan Ali yang mahu Majlis Syura Ulama menyediakan kertas dasar yang lebih jelas mengenainya.
“Sejak saya dipilih sebagai Naib Presiden tiga penggal lalu, namun belum lagi melihat adanya kertas dasar mengenai peranan ulamak dan profesional secara jelas,” ujarnya.
Beliau juga menjelaskan tidak bertanding bagi mempertahankan jawatannya pada muktamar ini bagi memberi peluang kepada pemimpin lain pula mengisi jawatan berkenaan.
“Apa pun saya hendak buka ruang kepada teman-teman komposisi mengisi jawatan tersebut pada penggal ini,” tambah beliau.
Antara lain beliau juga menjelaskan ada kaitan dengan masalah kesihatan sebagai faktor tidak lagi mempertahankan jawatannya.
Beliau turut bercadang menubuh Kelab Veteran dalam parti dan sudah berbincang dengan Dato’ Mustafa Ali mengenainya.

No comments: