Tuesday, April 29, 2008

KeADILan kesal Parlimen membelakangkan soal jawab lisan pembangkang

Intan Abdullah Foto Nasir Sudin Wed Apr 30, 08 2:36:15 pm MYT
KUALA LUMPUR, 30 April (Hrkh) - KeADILan melahirkan kekesalan dengan pengurusan serta pentadbiran Parlimen Malaysia yang tidak mengiktiraf dan menghormati kedudukan Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat.
Dalam satu kenyataan media, Naib Presiden KeADILan, Mohd Azmin Ali tidak berpuas hati dengan sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat yang membelakangkan ahli-ahli parlimen pembangkang.
"Ia seolah-olah menunjukkan pihak pentadbiran parlimen memberikan keutamaan kepada pertanyaan jawab lisan yang dikemukakan BN," ujarnya.
Menurutnya, pentadbiran Parlimen telah gagal menunjukkan ketelusan dan keadilan jika diteliti bilangan ahli parlimen Pakatan Rakyat (pembangkang) yang berjumlah 82 orang berbanding 77 ahli parlimen ahli penyokong BN.
"Melihatkan kepada nisbah ini, kita patut ada 52 peratus. Dan BN hanya 48 peratus. Jadi kalau mereka boleh uruskan sepuluh soalan, maksudnya kita patut dapat sekurang-kurangnya enam (soalan), berbanding mereka empat." katanya.
Kebiasaannya, Dewan Rakyat hanya dapat melayan 10 pertanyaan jawab lisan sehari dalam tempoh yang diperuntukkan.
Mohd Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak, berkata wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat diberikan sedikit sahaja peluang bertanyakan soalan.
"Sekarang saya melihat, daripada 10 soalan, kami hanya diberi dua. Ini tidak adil," katanya Jumaat lalu.
"Kedua, mereka patut beri keutamaan pada ketua pembangkang. Soalan pertama pada hari itu patut diberikan kepada ketua pembangkang dan ini tidak dilakukan. Soalan daripada Dr Wan Azizah (Wan Ismail) berada di nombor ketiga. Jadi ini tidak adil.
"Saya tidak tahu apa peranan (Dato' Seri) Nazri (Aziz) dalam memutuskan urutan soalan. Tetapi saya rasa Speaker Dewan Rakyat patut memainkan lebih peranan untuk memastikan kita melindungi kebebasan parlimen," katanya.
Justeru, KeADILan menggesa Yang diPertua Dewan Rakyat yang baru agar memainkan peranan sebenar Parlimen ke arah mengembalikan kebebasan institusi Parlimen dan memandu perjalanan persidangan berdasarkan lunas perlembagaan dan prinsip keadilan.
Parti itu juga akan mengatur pertemuan dengan YDP Dewan Rakyat dengan segera bagi membincangkan hal tersebut seterusnya menyelesaikan isu yang berbangkit. - mks.

Hanya Islam sebagai penyelamat Ketuanan Melayu - Presiden PAS

Azamin Amin Wed Apr 30, 08 2:11:29 pm MYT
KUALA LUMPUR, 30 April (Hrkh) - Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata hanya melalui Islam sahaja maka bangsa Melayu dan ketuanannya akan terselamat dari apa jua cabaran yang menimpa khususnya yang melibatkan senario politi terkini dalam negara. -
Kata Ustaz Hadi, ketuanan Melayu akan gagal sekiranya prinsip tersebut ditegakkan dan digerakkan melalui semangat nasionalisma yang fanatik serta ideologi yang bersifat chauvinisme termasuk taksub kepada bangsa tertentu.
"Yang menyelamatkan Melayu adalah Islam iaitu agama bagi orang Melayu. Melayu tak dapat menyelamatkan melayu.
"Kalau Melayu bersama dengan Islam bukan sahaja Melayu selamat bahkan orang bukan Melayu dan semua bangsa juga selamat sebab proinsip keadilan Islam yang menyeluruh,"jelasnya.
Katanya, merujuk kepada sejarah Islam, Nabi Muhammad s.a.w juga tidak menyelamatkan bangsa Arab dengan falsafah atau peraturan bangsa Arab tetapi dengan agama Islam.
"Semua amalan jahiliyah dan kezaliman Arab mesti dihapuskan dan begitu juga dengan jahiliyah Melayu sesama bangsa yang lain mesti diketepikan," kata Ahli Parlimen Marang itu lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan para wartawan di ruang lobi Parlimen sejurus selepas menyertai sesi perbahasan pagi tadi.
Ustaz Hadi adalah antara ahli Parlimen yang ditunggu oleh para wartawan dan menjadi tumpuan ramai termasuk tidak lepas daripada lensa kamera yang merakam suasana Parlimen hari ini.
Sebelum soalan diajukan Ustaz Hadi telah disapa secara ramah oleh bekas Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S Samy Vellu yang secara bersahaja berkata kepada Presiden PAS itu,"Saya sudah orang biasa."
Dalam sidang dewan tadi Ustaz Hadi turut mengemuka soalan tambahan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung isu kecekapan perancangan kerajaan dalam memperbaiki kehidupan rakyat.
Sidang Parlimen hari ini yang menyaksikan kesemua ahli Parlimen memenuhi ruang dewan dan menjadi tumpuan orang ramai khususnya pihak media yang sejak dari awal pagi sudah mula 'berkampung' di sekitar bangunan Parlimen bagi menyaksikan 'kehangatan' suasana sidang yang ditunggu ramai.
Dalam pada itu Ustaz Hadi mengulas janji kerajaan yang akan bekerjasama dengan pembangkang untuk menangani masalah kenaikan harga barang yang menyulitkan rakyat.
"Kita menerima cadangan tersebut dengan sikap positif. Kita pernah meyertai Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MPEN) sewaktu zaman Tun Mahathir.
"Banyak buat keputusan dan resolusi yang bernas tetapi malangnya tak dilaksanakan dengan sepenuhnya dan PAS keluar daripada MPEN," katanya.
Beliau menggesa supaya pihak kerajaan mengambil pengajaran daripada kelemahan MPEN untuk membuat suatu pembentukan atau jawatankuasa yang berbeza untuk menghadapi cabaran terkini.
Beliau sempat ditanya berhubung isu hak keitimewaan orang Melayu yang dilihat semakin terhakis akibat situasi politik negara yang sudah berubah.
"Hak keistimewaan Melayu bergantung kepada kedudukan orang Melayu sebagai golongan yang miskin dan dalam masa sama kita tak boleh mengabaikan kaum lain yang miskin.
"Sekiranya kedudukan orang Melayu sudah berubah, maka orang Melayu tidak boleh mengatakan berhak atas segala-galanya dan mengenepoikan orang lain," katanya dan menyatakan bahawa masa depan orang Melayu terletak kepada satu kuasa politik sahaja iaitu Islam. - mks.

Monday, April 28, 2008

Nik Aziz tuntut Kerajaan Pusat minta maaf

Harakahdaily Tue Apr 29, 08 8:44:54 am MYT
KUALA LUMPUR, 29 April - Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menuntut kerajaan Pusat meminta maaf kepada kerajaan dan rakyat Kelantan kerana kesalahan tidak menyalurkan bantuan tertentu kepada negeri itu sebagaimana mengikut amalan sistem demokrasi.
Bernama memetik Nik Aziz berkata, sejak 18 tahun yang lalu, Kelantan diperintah oleh PAS tidak menerima peruntukan untuk program perumahan kos rendah dan bantuan kelengkapan peralatan untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sepatutnya disalurkan oleh kerajaan Pusat
"Terengganu sekarang minta kembali royalti minyak negeri itu. Kita juga ada hak untuk minta (peruntukan dan bantuan) kerana ia bayaran yang sepatutnya kami terima,
"Kenapa negeri lain dapat, kenapa Kelantan tidak dapat, sedangkan ini negara demokrasi," katanya kpada media selepas majlis angkat sumpah Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim semalam.
Beliau membuat desakan itu memandangkan kerajaan Pusat kini sudah sedar dengan kesilapan-kesilapan lampau dan sanggup membuat permohonan maaf.
Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata kerajaan pusat pimpinan Umno baru-baru ini memutuskan untuk membuat bayaran ex-gratia kepada bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abbas dan beberapa hakim lain yang dipecat berikutan krisis kehakiman pada 1988.
Baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Hussein yang juga Menteri Pelajaran meminta maaf kerana menjulang keris sewaktu Perhimpunan Agung Umno yang selama ini menjadi isu di kalangan rakyat Malaysia bukan Melayu. - mks.

Sunday, April 27, 2008

Pengalaman Nik Aziz dikongsi bersama ketua kerajaan Pakatan Rakyat

Lanjusoh Sun Apr 27, 08 9:11:19 pm MYT
MACHANG, 27 April (Hrkh) - Pengalaman Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mentadbir Kelantan selama lebih 18 tahun akan dikongsi bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri kerajaan Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu satu program khas yang kemungkinan dikenali sebagai Persidangan Kemuncak Ketua Kerajaan Pakatan Rakyat akan diadakan di Kelantan tidak lama lagi.
Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Besar Kelantan sudah menyatakan persetujuan untuk menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak tersebut.
"Tok Guru Nik Aziz boleh mendedahkan pengalamannya mentadbir Kelantan lebih 18 tahun, manakala Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pula boleh memberi pandangan dari aspek ekonomi.
"Begitu juga menteri besar lain boleh mendedahkan mengenai kepakaran masing-masing pada persidangan kemuncak tersebut," katanya pada ceramah di Kampung Dewan Besar, Pulai Chondong dekat sini, malam kelmarin.
Ceramah tersebut diadakan di kawasan kubu tradisi Umno di Machang. Padang tempat ceramah tersebut penuh sesak. Laluan ke tempat ceramah jam teruk.
Hadir sama pada ceramah itu, anggota Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali, anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail, Adun Pulai Chondong, Haji Zulkifli Mamat dan Adun Kemuning, Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman.
Sebelum itu, Anwar menghadiri ceramah di Kampung Kemuncut di Dun Temangan yang turut dihadiri ribuan penduduk tempatan.
Pada malam yang sama dua lagi program serupa diadakan iaitu anjuran Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di Balai Islam, Lundang di Kota Bharu dan ceramah anjuran PAS serta KeADIlan di Kampung Badak, Bachok.
Anwar berkata, beliau telah mengemukakan cadangan mengadakan persidangan kemuncak ketua kerajaan PR kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada pertemuan pagi Jumaat lalu.
Beliau ketika itu dalam misi lawatan sehari ke Kelantan. Pada petang Jumaat Anwar merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Machang di Bukit Tiu.
Saifuddin pula berkata, sebelum ini hanya terdapat seorang sahaja Menteri Besar yang mewakili pembangkang.
"Namun sekarang sudah meningkat kepada lima orang. Ini merupakan satu pencapaian yang cukup menarik. Tok Guru Nik Abdul Aziz boleh menceritakan pengalamannya memimpin Kelantan selama lebih 18 tahun pada sidang kemuncak yang diadakan," katanya.
Sementara itu, persidangan serupa juga difahamkan bakal diadakan sebelum berlangsungnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu memandangkan Menteri Besar daripada pembangkang tidak pernah dijemput menghadiri mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dianjurkan kerajaan Persekutuan.
Menjadi kelaziman sebelum ini mesyuarat tersebut diadakan sehari sebelum mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu berlangsung.
Sepanjang 18 tahun lepas Menteri Besar Kelantan tidak pernah dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan.
Mesyuarat terbabit biasanya diadakan di Kuala Lumpur atau Selangor.
Bagaimanapun disebabkan pertambahan bilangan Menteri Besar dan Ketua Menteri daripada pembangkang membolehkan persidangan dianjurkan kerajaan BN turut diadakan Pakatan Rakyat. - mj

Thursday, April 24, 2008

Pusat Perubatan Kohilal azam tingkatkan perkhidmatannya

Intan Abdullah Thu Apr 24, 08 3:10:11 pm MYT
KUALA LUMPUR, 24 April (Hrkh) - Mesyuarat Lembaga Pengarah Pusat Perubatan Kohilal Sdn Bhd (PPKSB) kali kedua yang diadakan pada 21 April lalu telah membuat keputusan untuk menambah baik PPKSB melalui usaha mempertingkatkan keupayaan PPKSB. -->-->
Ia dibuat dengan penawaran perkhidmatan dan memaksimakan keupayaan PPKSB selaras dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily, Pengerusi Lembaga Pengarah PPKSB, Dr Md Yusnan Yusof menyatakan bahawa terdapat pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan di PPKSB bagi memajukan lagi pusat tersebut selepas 10 tahun beroperasi.
"PPKSB yang beralamat di No. 225, Jalan Negara 2, Taman Melawati, Selangor sedia menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan seperti Klinik Am , Klinik Perbidanan dan Sakitpuan, Klinik Kanak-kanak (Pakar dan Pegawai Perubatan), Klinik Pakar Bedah," katanya.
Selain itu, katanya lagi terdapat juga khidmat khitan kanak-kanak, bayi lelaki dan perempuan, saringan kesihatan - 50 ujian makmal, darah, air Kencing dan ECG, ujian pap smear, imunisasi dewasa dan kanak-kanak, rawatan asma dan resdung, klinik kesuburan, sedutan kahak, khidmat bantu ibu menyusukan anak angkat.
"Pada masa yang sama, PPKSB turut menyediakan beberapa pakej bersalin, beserta perkhidmatan lain dengan kos yang sangat berpatutan," ujarnya.
Beberapa langkah juga telah, sedang dan akan diambil untuk memastikan PPKSB mampu berdaya saing dalam bidang yang telah diceburinya untuk lebih 10 tahun.
"Untuk menjamin keselesaan dan kemampuan berdaya saing, pihak pengurusan PPKSB sedang dalam usaha untuk memindahkan pusat operasi PPKSB ke Diamond Square, Setapak yang terletak di Jalan Gombak menghala ke ibukota Kuala Lumpur yang mana proses ini dijangka memakan masa selama lebih kurang enam bulan," katanya lagi.
Di samping itu pihak PPKSB juga mempelawa mana-mana calon muslimah yang berkelayakan serta berminat untuk mengisi kekosongan sebagai Pegawai Perubatan sepenuh masa, jururawat terlatih dan pembantu jururawat untuk mengemukakan resume dalam kadar yang segera.
Pihak PPKSB boleh dihubungi samada melalui alamat email:
docmarjan@bluehyppo.com
Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya atau hadir ke Pusat Perubatan Kohilal, No 225 Jalan Negara 2 Taman Melawati 53100 Kuala Lumpur.
Untuk temujanji atau menghubungi talian 03-41068466 (u.p. Pn. Rina) atau mengirim faks ke no: 03-4106 8469./

Wednesday, April 23, 2008

Usaha pemantapan PAS pasca PRU diperkasakan - SU Agung PAS

Intan Abdullah Thu Apr 24, 08 01:00:35 pm MYT
KUALA LUMPUR, 24 April (Hrkh) - PAS kini masih berada dalam kerangka memperkasakan parti itu selepas pilihan raya umum ke-12 berakhir.
Dengan kemenangan menerajui lima buah negeri oleh Pakatan Rakyat, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar berkata PAS telah mengadakan banyak program termasuklah menguruskan negeri-negeri yang baru dikuasai Pakatan Rakyat.
"Kita sedang memantau, menasihat dan sama-sama membuat keputusan terhadap urusan pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri tersebut," katanya.
Menurutnya, PAS mempunyai peranan besar di Kedah, Perak dan Selangor bahkan sentiasa mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.
"Kita juga baru sahaja menganjurkan mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat, dan membuat pertemuan wakil-wakil rakyat PAS di samping berbincang dengan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin," ujarnya.
PAS juga katanya, menubuhkan sebuah panel penasihat kerajaan negeri di bawah jawatankuasa PAS yang dipengerusikan AJK PAS Pusat, Dato' Wan Mutalib Embong.
Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Tumpat menegaskan bahawa pimpinan PAS tetap memberikan tumpuan yang lebih kepada memperkasakan parti tersebut. "Keseriusan pimpinan terhadap hal ini terbukti dengan penganjuran Dialog Ahli Majlis Syura Ulama' dan ahli jawatankuasa PAS Pusat yang bertemakan Perlaksanaan Dasar Parti Pasca Pilihan Raya Umum ke-12," katanya lagi.
Tambahnya, ia sekaligus menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa parti tersebut semakin diabaikan selepas ramai pimpinan parti tersebut disibukkan dengan tugas rasmi sebagai wakil rakyat.
"Buktinya, ahli-ahli Parlimen PAS merupakan yang pertama menghantar soalan jawab lisan bagi sidang parlimen yang akan bersidang tidak lama lagi berbanding parti lain," ujarnya lagi.
Pada masa yang sama juga beliau turut mengulas fenomena penyertaan PAS secara berduyun-duyun di beberapa buah negeri selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.
"Kita melihat perkembangan yang sangat baik, sehingga menyebabkan borang keahlian PAS habis di beberapa buah negeri berikutan sambutan yang begitu memberangsangkan.
"Bagaimanapun, saya menyeru kepada petugas PAS di semua peringkat agar memproses keahlian dengan kadar yang segera kerana terdapat rungutan sesetengah daripada pemohon terhadap kelambatan memproses keahlian," tegasnya.
Ketika ditanya mengenai undi Melayu pada pilihan raya umum lalu yang masih didominasi Umno, Kamaruddin menafikan kenyataan tersebut dengan membawakan fakta analisis bahawa pembangkang telah berjaya memperolehi 50 peratus daripada undi Melayu.
"Berdasarkan analisis keputusan pilihan raya umum lalu menunjukkan undi Melayu masih berpihak kepada pembangkang di kawasan bandar.
"Namun begitu, di luar bandar undi wanita masih berpihak kepada BN," katanya.
Justeru, beliau menyeru kepada pimpinan PAS agar terus memperkuatkan jentera parti bagi mendekati wanita terutamanya golongan belia wanita supaya mereka dapat menerima maklumat yang tepat dan benar mengenai perjuangan PAS.
Dalam perkembangan yang sama, Kamaruddin juga memaklumkan bahawa seluruh peringkat parti sedang menjalani proses mengadakan mesyuarat agung tahunan bagi menghadapi muktamar yang akan diadakan pada Ogos akan datang.
"Ia telah bermula seawal Januari lalu, namun ia terhenti seketika bagi menumpukan gerak kerja pilihan raya umum," katanya.
Beliau masih belum dapat memastikan lokasi perhimpunan tahunan pimpinan dan ahli PAS itu setakat ini.
"Kita belum memutuskan sama ada di Perak atau Selangor, namun mesyuarat di semua peringkat telah dan sedang berlangsung ketika ini," katanya. - mr

Kejutan September ini, ahli Parlimen BN akan sertai Pakatan Rakyat - Anwar

Wan Nordin Wan Yaacob Thu Apr 24, 08 12:28:39 am MYT
KUALA LUMPUR, 24 April (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan beberapa ahli Parlimen BN Sabah telah membuat keputusan menyertai Pakatan Rakyat selewat-lewatnya pertengahan September ini. -->-->
Kata Anwar, apa yang menahan mereka ialah pengaturan masa dan mereka ini belum pun mengangkat sumpah di Parlimen lagi.
Menurut Anwar jika mereka tidak menyertai bulan depan, mungkin dalam bulan berikutnya, Julai atau malah pada Hari Merdeka (31 Ogos).
"Tetapi saya fikir kami tidak akan melewati tempoh itu," ujarnya.
Sementara itu sebuah akhbar pula menyiarkan, kenyataan Anwar yang sama, namun memberikan tarikh yang berbeza, 16 September atau hari ulang tahun pembentukan Malaysia.
Anwar juga mendakwa BN sedang memantau dengan dekat pergerakannya sekarang dan ada kemungkinan akan bertindak keras atau mengugut wakil-wakil parti itu yang ingin berpindah kepada Pakatan Rakyat.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau boleh mengadakan rundingan dengan wakil rakyat BN sama ada di Singapura, Abu Dhabi atau Hong Kong walaupun 'bunyinya seperti bahan lawak'.
Anwar juga dipetik sebagai berkata, pihaknya memerlukan masa untuk mengadakan rundingan dengan parti-parti lain dalam gabungan pembangkang itu sebelum bertindak.
Sementara AFP pula melaporkan, Anwar meramalkan beliau akan menjadi Perdana Menteri 'dalam tempoh tiga tahun ini'.
Katanya, tiada jangka masa jelas tentang tarikh beliau akan menjadi Perdana Menteri tetapi meramalkan tempohnya "tidak sampai tiga tahun lagi".
"(Tetapi) saya bukannya tergesa-gesa," katanya kepada agensi berita antarabangsa itu.
Begitupun akhbar harian semalam melaporkan parti-parti komponen BN di negeri itu menafikan mereka akan melompat parti dan menyertai Pakatan.
Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Dato' Eric Majimbun berkata, desas-desus terdapat wakil parti itu berhasrat melompat parti berkemungkinan besar timbul susulan kelantangan SAPP menyuarakan pandangan kepada pimpinan BN.

Monday, April 14, 2008

Permuafakatan Melayu penting, perpaduan kaum tetap agenda utama

Mohd Rashidi Hassan Tue Apr 15, 08 11:56:01 am MYT
KUALA LUMPUR, 15 Apr (Hrkh) - PAS pada dasarnya bersetuju dengan perjuangan untuk memelihara kepentingan Melayu, tetapi ianya tidak boleh dijadikan satu sentimen perkauman semata-mata, kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.
Katanya, apa yang penting bagi PAS, ialah perpaduan antara kaum dilihat dari dimensi yang lebih luas agar semua kepentingan kaum dan agama tetap menjadi agenda utama untuk dipelihara.
Menurut beliau, PAS sememangnya bersetuju dengan cadangan Anggota Majlis Tertinggi Umno, Dato' Norza Zakaria tentang perlunya permuafakatan diadakan antara PAS, Umno dan KeADILan yang boleh membawa kebaikan untuk orang Melayu dan Islam di negara ini.
"Kita bersetuju dengan permuafakatan, malah PAS sedia berbincang secara terbuka dengan Umno tentang apa jua persoalan yang berkait dengan kepentingan negara, kebajikan rakyat, termasuk soal kepentingan Melayu dan Islam, ini memang kita bersedia.
"Cadangan PAS ini telah kita kemukakan banyak kali, termasuk penghantaran surat rasmi PAS kepada Umno untuk membincangkan pelbagai isu berbangkit," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.
Menurut Salahuddin, sikap ini menunjukkan bahawa PAS sepanjang masa sentiasa bersifat terbuka dan sedia berbincang pada bila-bila masa.
Tetapi malangnya kata beliau, sewaktu Umno berada di kemuncak kuasa, terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke 2004, Umno langsung tidak mahu melayan pelawaan PAS.
"Persoalannya pada saya, isu Melayu dan Islam mungkin tidak akan dapat diselesaikan secara bijak apabila Umno masih berada dalam keadaan tidak stabil dan terdesak seperti hari ini," tegas beliau.
Katanya, sekiranya Umno lebih terbuka sejak awal lagi (sebelum PRU), untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, keadaan seperti sekarang tidak akan berlaku.
"Contohnya, banyak pandangan yang dikemukakan oleh Kongres Kepentingan Bangsa dipandang sepi oleh Umno waktu itu.
"Malah media arus perdana, khususnya akhbar berbahasa Melayu, tidak memberikan ruang yang sewajarnya untuk kongres mengemukakan pandangan mereka," ujarnya kesal.

Notis polis, Wan Azizah tidak dapat hadir ke balai polis petang ini

Wan Nordin dan Azamin Amin Tue Apr 15, 08 11:17:44 am MYT
KUALA LUMPUR, 15 April (Hrkh) - Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau tidak dapat hadir ke Balai Polsi Dang Wangi pada jam 3.00 petang ini berhubung satu notis yang diserah polis kepadanya pagi tadi. -->-->
Notis yang menyebut supaya beliau hadir sebagi saksi atas satu laporan polis (no report 13144/08) di bawah Seksyen 27/5 Akta Polis 1969.
Notis itu berhubung Seksyen 149 Kanun Kesiksaan dipercayai atas dakwaan prhimpunan yang menyalahi undang-undang, kata Dr Wan Azizah yang ditemui di rumahnya jam 10.15 pagi tadi.
Beliau memaklumkan bahawa pegawai polis yang menyerahkan notis itu hanya dikenali sebagi ASP Farid daripada Balai Polis Dang Wangi, kerana tertera di tanda nama anggota polis itu dibajunya.
Turut serta bersama Wan Azizah ialh Peguamnya, Latheefa Beevi Koya dan Amir Hamzah Arshad selain kaum keluarganya.Bagaimanapun Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak kelihatan dan difahamkan baru sahaja terbang ke Abu Dhabi.
Polis datang ke rumahnya pada jam 6.30 pagi dan berjaya menyerahkan notis tersebut kira-kira jam 9.20 pagi, kata Wan Azizah.
"Saya tak lari ke mana-mana, say cakap kepad polis itu, tetapi saya tidak dapat hadir petang ini kerana jadual saya padat hari ini,
"Saya akan meminta peguam saya menulis surat kepad pihak polis, dan saya tak pasti lagi bila boleh ke balai polis," ujarnya.
Wan Azizah memberitahu bahawa selain beliau turut menerima notis tersebut, ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dan Yahya Saari.
Beliau melahirkan rasa kecewanya dengan pihak polis yang hanya sibuk dengan hal politik termasuk bersungguh-sungguh menyampaikan notis tersebut kepadnya.
Walahal isu jenayah lain sebenarnya perlu diberi perhatian yang lebih serius seperyi kes kehilangan Adik Sharlinie Mohd Nashar dan kes rompakan di KLIA baru-baru ini yang menyaksikan sistem keselamtan KLIA rapuh dan lemah.
"Macam mana dengan kes Sharlinie, saya nak tanya polis itu tadi, tetapi tak berkesempatan, mereka datang hantar notis dan terus berlalu begitu sahaja," katanya.
Selain itu Wan Azizah turut memberitahu bahawa tiga lagi penerima notis tersebut menyatakan tidak dapat hadir ke Balai Polis Dang Wangi petang ini memandangkan ada urusan lain.
Sementara itu peguamnya, Amir Hamzah berkata, pihaknya akan menulis surat untuk mengetahui status notis tersebut kerana tidak mendapat maklumat lanjut mengenai laporan polis yang dibuat terhadap Wan Azizah.

Black 14 - Polis serah notis kepada Wan Azizah dan Khalid, Azmin dibawa ke balai

Harakahdaily Tue Apr 15, 08 11:15 am MYT
Terkini! KUALA LUMPUR, 15 Apr (Hrkh) - Polis mula mengambil tindakan terhadap penganjur Perhimpunan Black 14 yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung baru malam tadi. -->-
Menurut Koordinator Media Parti KeADILan Rakyat, Ginie Lim, pihak polis menghantar notis kepada Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden, Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Perhubungan KeADILan Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Menurutnya, Azmin Ali sudah dibawa polis ke untuk siasatan di Balai Polis Dang Wangi, manakala polis dilaporkan sedang menghantar notis yang sama kepada Wan Azizah dan Khalid pagi ini.
Mereka berdua dipercayai dikehendaki hadir atau akan dibawa ke balai yang sama untuk siasatan.
Di sebalik kawalan ketat polis, perhimpunan malam tadi berlangsung dengan aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Tindakan polis ini dibuat berikutan kejayaan besar KeADILan menghimpunkan lebih 20 ribu rakyat untuk meraikan tarikh pembebasan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang berakhir semalam.
Dengan pembebasan ini bermakna Anwar yang juga pemimpin utama Pakatan Rakyat boleh bertanding dalam pilihan raya kecil pada bila-bila masa kekosongan berlaku.
Sementara itu berikutan notis polis kepada tiga pemimpin utamanya, KeADILan akan mengadakan sidang akhbar tergemparnya di pejabat Anwar di Seksyen 14 Petaling Jaya jam 11 pagi hari ini.
Sidang akhbar tersebut akan dikendalikan oleh Timbalan Presiden, Dr Syed Husin Ali.
Berita lanjut menyusul - mr

Isu babi Selangor: Syarikat bumiputera, bekas Adun Umno terlibat

Harakahdaily Mon Apr 14, 08 4.00 pm MYT
KUALA LUMPUR, 14 April (Hrkh) - Syarikat bumiputera turut terlibat dalam projek penternakan babi di Selangor yang menimbulkan kontroversi minggu lepas dan seorang wakil rakyat Umno "di belakangnya", kata seorang pemimpin MCA.
Menurut laporan Malaysikini, syarikat tersebut, yang terlibat dalam satu usahasama, bercadang menggunakan wang - dilaporkan menelan belanja RM100 juta - daripada sumber-sumber dana program alam sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Mendedahkan perkara itu kepada satu sidang media hujung minggu lalu, ketua biro pertanian tradisi MCA Dato' Dr Lee Chong Meng berkata syarikat bumiputera itu berhasrat membawa masuk teknologi Jerman untuk projek tersebut.
Akhbar The Sun hari ini yang mengutip laporan The Oriental Daily kelmarin menyebut, wakil rakyat BN-Umno bagi kerusi Tajung Sepat, Datuk Karim Mansor, bersama seorang ketua kampung di situ turut bersama dalam rombongan ke luar negara untuk melihat teknologi tersebut.
Karim antara pemimpin Umno yang lantang membantah isu itu di akhbar-akhbar berbahasa Melayu minggu lepas.
Sementara ketua kampung di Ladang Tumbuk - tempat projek itu diadakan - turut menyertai bantahan projek tersebut di depan bangunan kerajaan negeri Selangor di Shah Alam.
Rabu lalu, 200 penduduk kampung di sekitar Sepang mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebagai membantah projek berkenaan.
Dr Lee berkata beliau mengetahui segala-galanya tentang projek tersebut "seperti tapak tangannya sendiri" kerana terlibat sendiri dengan semua mesyuarat berhubung perkara tersebut.
Menteri Besar Selangor waktu itu Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo sendiri telah meluluskan projek pemindahan 132 ladang babi ke projek tersebut, kata Dr Lee, melalui dua ahli exco kerajaan negeri Datuk Ch'ng Toh Eng dan Datuk Tang See Hang.
Dr Lee menambah, sebelum pembubaran parlimen, kerajaan Selangor bawah pentadbiran BN meluluskan projek tersebut dan Karim sendiri menyokong projek tersebut.
Ketua biro MCA itu kesal kerana Karim dan ketua kampung itu sanggup membantah projek tersebut semata-mata kerana kepentingan politik.
Karim, dihubungi Malaysiakini hari ini, menafikan beliau membantah projek tersebut.
Sementara itu sumber-sumber PKR memberitahu, risalah-risalah penerangan tentang isu tersebut - termasuk maklumat yang didedahkan oleh MCA ini - akan diedarkan kepada penduduk Selangor.
PAS sebelum ini dilaporkan akan menemui rakyat Selangor untuk menjelaskan isu tersebut yang mendapat liputan meluas - yang membawa kesan negatif kepada pentadbiran Pakatan Rakyat - di akhbar-akhbar berbahasa Melayu selama beberapa hari minggu lepas. - mks.

Lebih 4,000 hadiri Jamuan Rakyat anjuran PAS Perak

Johari Jaafar Mon Apr 14, 08 3:51:03 pm MYT
IPOH, 14 April (Hrkh) - Lebih 4,000 hadir di majlis jamuan rakyat yang dianjurkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Perak di perkarangan Pejabat PAS Perak di Bandar Ipoh Raya semalam.
Jamuan rakyat itu diadakan sempena Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang diadakan semalam dan Persidangan Adun dan Ahli Parlimen PAS seluruh negara yang diadakan di Ipoh hari ini.
Antara pimpinan PAS Pusat yang hadir pada majlis jamuan rakyat tersebut ialah, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang, Ketua Penerangan, Mahfuz Omar, Bendahari PAS, Mohd Hatta Ramli, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Asmawi Awi.
Selain Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, beberapa pimpinan PAS Negeri yang kelihatan hadir sama di majlis itu ialah Ketua Penerangan PAS Perak yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Misbahul Munir Masduki, Bendahari PAS Negeri, Dr Khairudduin Dato' Abdul Malik serta pmpinan PAS kawasan.
Ustaz Nasaruddin dalam ucapannya meramalkan akan berlaku sekali lagi kejutan dalam politik negara ini selepas persidangan Dewan Rakyat yang bermula akhir bulan ini.
Kejutan yang diramalkan itu membabitkan penghijrahan yang membabitkan Ahli Parlimen di negara ini. Sekiranya ia berlaku politik Malaysia akan berubah, katanya.
Menurut beliau, gelombong tsunami kedua itu akan mengubah landskap politik kepada keadaan yang lebih adil, telus dan mesra rakyat.
"Gelombong tsunami pertama berlaku pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu di mana lima negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat," ujarnya.
"Sekiranya berlaku penghijrahan Ahli Parlimen dalam tempoh terdekat ini, kita akan dapt melihat gelombang kedua tsunami politik melanda negara ini," ujarnya. - mns

Perhimpunan Black 14 diteruskan di Kg Baru malam ini

Harakahdaily Mon Apr 14, 08 3:50:55 pm MYT
KUALA LUMPUR, 14 April (Hrkh) - KeADILan akan meneruskan perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam ini walaupun polis tidak menyediakan permit. -->-->
Program yang digelar "Menghitung Masa dari Black 14 ke Arah Kemenangan Rakyat" dianjurkan sempena tamatnya larangan berpolitik terhadap penasihat parti itu Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Sementara itu, laman Malaysikini dimaklumkan oleh Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali bahawa, program itu kekal seperti telah dijadualkan dan menafikan ia dipindahkan ke Shah Alam.
Malaysiakini difahamkan polis menjalankan sekatan jalan raya di sekitar tempat tersebut.
Perhimpunan sempena 'Black 14' dan pidato perdana Anwar itu dijangka disertai lebih 10,000 penyokongnya.
'Black 14, atau pernah disebut 'Gelita 14', disambut setiap tahun sebelum ini bersempena tarikh Anwar dijatuhkan hukuman bagi kes pertama pada 1999.
Sambutan ini pada tahun-tahun awal 2000-an biasanya bersifat demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur anjuran aktivis Gerakan Reformasi dan penyokong KeADILan.
Ketua polis Kuala Lumpur, Dato' Muhammad Sabtu Osman semalam berkata KeADILan tidak memohon permit untuk perhimpunan tersebut.
Parti itu, tambahnya, hanya menghantar surat pemberitahuan kepada polis mengenai majlis makan malam pemimpin KeADILan bersama rakyat.
Beliau berkata polis menerima surat mengenai majlis makan malam itu bertarikh 8 April lalu yang ditandatangani Yahya Shahri, iaitu pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Kelab Sultan Sulaiman yang bersejarah - termasuk menganjurkan perhimpunan persatuan-persatuan Melayu untuk menubuhkan Umno - kini dipengerusikan oleh Abdul Khalid, selaku menteri besar baru negeri Selangor.
Menurut Muhammad Sabtu, walaupun majlis makan malam itu di buat di tempat persendirian, polis tetap akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengadakan rondaan dan kawalan lalu lintas di sekitar kawasan itu.
"Sekiranya mereka hanya menggunakan dewan itu dan tidak mengganggu kawasan sekeliling serta tidak menarik perhatian umum (dengan menggunakan pembesar suara), kami tidak akan menghalang tapi jika sebaliknya kami akan ambil tindakan sewajarnya," katanya kepada media semalam. - mks.

Pusat diseru bersikap adil kepada negeri diperintah Pakatan Rakyat

Salmah Mat Husain Mon Apr 14, 08 3:49:26 pm MYT
KOTA BHARU, 14 April (Hrkh) - Kerajaan Pusat diminta adil terhadap kesemua negeri yang diterajui pembangkang termasuk Kelantan dalam semua urusan termasuk menjemput wakil dari setiap negeri menghadiri mesyuarat khususnya berhubung keselamatan negeri.
Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata, Kerajaan Pusat tidak sewajarnya 'mendendami' negeri-negeri yang ditadbir pembangkang sehinggakan Menteri Besarnya selaku Pengerusi Keselamatan Negeri tidak lagi dijemput menghadiri mesyuarat di peringkat Pusat sebagaimana lazimnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan taklimat kepada 350 orang rombongan pelawat dari Terengganu dan Kedah yang diadakan di sini baru-baru ini.
Jelasnya, zaman kezaliman Kerajaan Pusat sebenarnya sudah berlalu kerana bukan sahaja Kelantan ditadbir oleh pembangkang, namun empat negeri lagi turut menjadi 'sahabat' Negeri Serambi Mekah itu.
Sambungnya, sekiranya Kerajaan Pusat masih bertindak sedemikian, nasib malang akan lebih menimpa Umno dan Barisan Nasional (BN) yang kini masih menerajui kepimpinan Negara.
"Saya berharap Kerajaan Pusat menjemput sama Menteri Besar atau Ketua Menteri menghadiri apa sahaja mesyuarat yang berkaitan dengan Kerajaan Pusat.
"Jangan sekali-kali meminggirkan negeri-negeri tersebut sebagaimana Kelantan di mana Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak dijemput oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Mahathir Mohamed," ujarnya.
Katanya, mesyuarat bersama khususnya berhubung keselamatan dalam negeri amat penting kerana ianya dapat membentuk gerak kerja yang bersepadu khususnya dalam menjaga keselamatan di setiap negeri.
Dalam ucapannya itu juga, Abdul Rahman tidak menafikan Kelantan mengulangi sejarah kegemilangannya dalam menerima kedatangan pelancong seawal kemenangannya selepas Pilihan raya Umum Ke-12 baru-baru ini.
Katanya, Kelantan masih menjadi pilihan pelancong untuk dilawati walaupun terdapat empat negeri lagi yang baru dimenangi oleh pembangkang.
Katanya, setiap minggu Kelantan menerima kunjungan pelancong yang menghubungi sendiri Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan.
"Kekerapan ini tidak termasuk yang datang secara persendirian sama ada menaiki bas pelancongan, individu atau melalui Pusat Penerangan Pelancongan (TIC)," ujarnya. - mns

Tuesday, April 8, 2008

MB Kedah minta Karpal tutup mulut

Azamin Amin Wed Apr 09, 08 11:35:23 am MYT
KUALA LUMPUR, 9 April (Hrkh) - Polemik sensitif yang berlanjutan berikutan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh tentang negara Islam telah mengundang balas daripada Menteri Besar Kedah Ustaz Azizan Abdul Razak untuk menyanggah kata-kata beliau sebelum ini.
Malah Ustaz Azizan menyifatkan Karpal tiada pemahaman jelas berhubung isu tersebut sehingga menyebabkan beliau mengeluarkan kenyataan yang mengundang kemarahan ramai di samping mendapat teguran daripada Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.
Menurut laporan, Azizan meminta Pengerusi DAP Karpal Singh menutup mulut dan berhenti bercakap tentang PAS dan kaitan dengan negara Islam sebaliknya harus memberi tumpuan kepada isu yang lebih besar yang boleh dibincangkan di antara PAS dan DAP.
"Saya rasa perkara terbaik adalah dia berhenti bercakap tentang perkara tersebut.
"Banyak lagi isu-isu lain yang lebih besar untuk diperkatakan,"kata Azizan yang dipetik daripada akhbar berbahasa Inggeris.
Beliau berkata Karpal bebas untuk menyatakan pendapatnya dan tidak ada sesiapa yang akan menghalangnya.
"Kita juga tidak katakan kepada Karpal supaya jangan menentang usaha-usaha PAS untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negera Islam,
"Karpal ada pandangannya terhadap hudud, tetapi ada juga pendapat lain tentang undang-undang Syariah.
"Sebenarnya dia bukan sahaja kurang faham tentang perkara tersebut, bahkan dia tak faham langsung," kata Ustaz Azizan.
Beliau berkata, kerajaan Kedah yang diketuai oleh PAS tidak pernah berbincang tentang pelaksanaan hudud di Kedah sebab ia tidak termasuk di dalam manifesto PAS Kedah dalam pilihan raya umum yang lalu.
"Mereka yang takut kepada hudud adalah perompak dan barang siapa yang tidak mencuri atau merompak, tidak takut kepada perlaksanaan Hudud," katanya. - mks.

Bukan sabotaj tapi undi protes untuk selamatkan Malaysia

Azamin Amin Wed Apr 09, 08 10:38:37 am MYT
KUALA LUMPUR, 9 April (Hrkh) -Protes ahli Umno terhadap kepimpinan Presidennya Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bukanlah satu sabotaj tetapi dilihat sebagai usaha untuk menyelamat negara daripada ditadbir oleh seorang Perdana Menteri yang lemah termasuk mahukan sebuah kerajaan yang telus.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan, Nasir Mustafa berkata maklum balas yang diterima daripada kalangan ahli Umno ialah mereka sudah jelak dengan 'kelembutan' Abdullah yang seolah-olah 'tunduk' kepada nasihat orang tertentu yang berkepentingan termasuk menantunya Khairy Jamaludin yang menjejaskan negara.
"Mereka (ahli Umno) kesal kerana sudah tidak dapat membantah mengikut saluran parti lalu tidak ada jalan lain melainkan memberi undi protes kepada parti Pakatan Rakyat malah ada yang tidak keluar mengundi.
"Saya ucapkan terima kasih kepada ahli Umno Kedah kerana usaha mereka untuk menyelamatkan Malaysia, namun ianya bukan faktor utama kekalahan mereka di sini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily bagi mengulas kenyataan Abdullah yang mendakwa punca Kedah dimenangi parti Pakatan Rakyat adalah disebabkan sabotaj.
Nasir menjelaskan punca lain menyumbang kepada kekalahan Umno dan BN di Kedah ialah perubahan pengundi bukan Melayu yang begitu besar yang sudah tidak percaya lagi dengan janji-janji manis yang ditaburkan keepada mereka di samping gagal meyelesaikan masalah berbangkit.
Buktinya peningkatan undi sebanyak 1,387 di Dun Kubang Rotan yang diletak sebagai tempat ke-28 tangga Dun yang sukar ditembusi PAS telah menunjukkan pengundi bukan Melayu telah memberi sokongan yang besar kepada beliau semasa pilihan raya umum lepas.
Selain itu, kesan kritikan pemimpin Umno terhadap Abdullah seperti Tun Dr Mahathir, Tengku Razaliegh memainkan peranan kepada kekalahan BN di negeri ini.
"Ramai yang melihat seolah-olah Abdullah dikawal oleh Khairy dan kuncu-kuncunya dan ini tidak disukai oleh ahli Umno.
"Apa lagi yang nak dibangga Abdullah kerana sudah hilang lima negeri dan dua menteri besar BN yang dipilih awalnya di negeri Perlis dan Terengganu juga tidak mendapat sokongan," kata Nasir.
"Dengan 'signal' ini, sepatutnya Abdullah mengambil langkah 'gentleman' berundur diri bukannya mendabik dada menyatakan masih lagi mempunyai sokongan ramai," katanya
Dalam pada itu Nasir turut memberitahu setelah kejayaan PAS di Kedah,hubungan antara kaum semakin erat malah sikap curiga dan tohmahan api perkauman tidak wujud di negeri ini.
"Rakyat Kedah masih lagi bergembira dengan kemenangan PAS di sini termasuk orang bukan Melayu yang turut sama meraikan kejayaan kita.
"Mereka (pengundi Cina dan India) terus-menerus hadir ke program yang kita anjurkan seperti majlis sambutan Maulidur Rasul juga di majlis kenduri dan kesyukuran.
Sementara itu, beliau berkata akan turut bersama-sama rakyat dan kakitangan kerajaan untuk memastikan semua masalah yang sudah tertumpuk lama semenjak BN memerintah 50 tahun di Kedah akan dapat diselesai dalam jangka masa terdekat.
"Dengan rasa tanggungjawab,kesabaran dan kerajinan..insya-Allah kita akan berjaya menyelesaikannya secara bersama," katanya. - mks

Kerajaan pusat mula mendiskriminasikan lima negeri

Intan Abdullah Wed Apr 09, 08 6:57:35 am MYT
KUALA LUMPUR, 9 April (Hrkh) - Tindakan kerajaan pusat yang melancarkan beberapa langkah berbentuk diskriminasi terhadap lima buah negeri yang diterajui kerajaan pakatan rakyat adalah bertujuan untuk menafikan kuasa kerajaan pakatan rakyat.
Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Ir Amiruddin Hamzah berkata kerajaan pusat perlu bersifat profesional dalam membentuk hubungan dan kerjasama dengan kerajaan negeri yang diperintah pakatan rakyat.
"Tindakan menyekat sesetengah Adun dan ahli parlimen daripada kerajaan pakatan rakyat membuktikan kerajaan pusat seolah-olah tidak menghormati kehendak rakyat," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Jelasnya, dalam tempoh sebulan selepas pilihan raya umum ke-12, banyak isu yang mendedahkan kelemahan kerajaan pusat di bawah kepimpinan Umno-BN tidak dapat ditangani lantas mengakibatkan mereka bertindak secara tidak bijak dengan mengalihkannya kepada bentuk sekatan kepada kerajaan pakatan rakyat.
"Rakyat sendiri sedang menyaksikan pelbagai usaha mereka yang mahu menyusahkan kerajaan pakatan rakyat dengan menghalang projek pembangunan dan menghalang rakyat mengadakan pertemuan dengan pemimpin mereka," katanya.
Bahkan,ujarnya sebelum ini pihak sekolah kelolaan kerajaan persekutuan pernah menjemput Ketua Bahagian Umno bagi merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu bapa Guru.
"Sekarang ini, kenapa pula wakil rakyat sah yang dipilih dalam pilihan raya tidak dibenarkan merasmikan program seumpama itu?
"Apakah mereka masih sukar untuk menerima hakikat kekalahan dalam pilihan raya umum lalu yang menjadi tamparan hebat kepada mereka?" ujarnya.
Dalam jangka masa panjang ujarnya, tindakan tersebut akan memakan diri mereka serta merugikan rakyat secara umumnya.
Ditanya mengenai tindakan yang akan dibuat di peringkat beliau terhadap kerajaan pusat, Amiruddin menegaskan bahawa pihaknya hanya mahu menjalinkan kerjasama yang lebih baik demi kebaikan rakyat pada masa akan datang.
"Kita tidak mengamalkan sikap konfrontasi kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak terutamanya rakyat.
"Kepada pihak yang mengamalkan sikap tersebut, saya harap mereka lebih cerdik, ikut kehendak rakyat dan hormatilah hak parti yang dipilih kerajaan untuk mentadbir di sesebuah kawasan," katanya lagi.
Isu mengenai diskriminasi timbul ekoran pembatalan Memorandum Persefahaman (MOU) pelancongan di lima negeri yang ditawan pembangkang.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah mengemukakan permintaan yang mahu pihak kementerian Pelancongan mempertimbangkan kembali keputusan membatalkan Mou tersebut.
Semalam, Khalid dan Lim mengkritik serta melahirkan kebimbangan berikutan tindakan Kementerian Pelancongan menamatkan semua Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani dengan kontraktor dan pengusaha pelancongan berkaitan pelaksanaan aktiviti pelancongan di lima negeri yang dikuasai pakatan partiparti pembangkang.
Khalid dan Lim dilaporkan sebagai berkata tindakan Azalina itu bertentangan dengan langkah Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu semua program yang dirancang kerajaan pusat bagi negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat, diteruskan.
Azalina baru-baru ini membuat pengumuman mengenai penamatan MOU berkenaan kerana bimbang strategi dan pelaksanaan pelancongan negara tidak dapat diterima oleh pemimpin di lima kerajaan negeri tersebut.
Beliau lantas berkata, "pembatalan MOU tersebut adalah keputusan daripada kerajaan pusat dan pihak kementerian hanya melaksanakannya. Kita bakal mengguna pakai polisi yang digunakan di Kelantan selama ini." - mks.

Sunday, April 6, 2008

Serahkan jawatan Speaker atau Timbalan kepada Pakatan Rakyat

Tarmizi Mohd Jam Sun Apr 06, 08 12:01:19 pm MYT
KUALA LUMPUR, 6 April (Hrkh) - PAS Wilayah Persekutuan mencadangkan agar jawatan Yang DiPertua atau Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat (Speaker) diberi kepada mana-mana Ahli Parlimen dalam Pakatan Rakyat untuk diisi bagi meningkatkan peranan dewan tersebut demi kepentingan rakyat.
Ketika menegaskan perkara ini, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Wilayah, Cikgu Ishak Surin berkata, hasrat ini penting kerana sepanjang jawatan itu disandang oleh wakil BN, kepentingan rakyat dipinggirkan apabila suara itu dilaungkan oleh wakil-wakil rakyat parti pembangkang.
Beliau menyokong penuh langkah Pakatan Rakyat mengemukakan calon bagi melantik Speaker dan Timbalannya di kalangan Pakatan Rakyat.
Ishak benar-benar kesal dengan sikap semua speaker dan timbalan speaker selama ini yang sering menolak dan tidak mengindahkan usul-usul tergempar pihak pembangkang untuk dibahaskan.
Sebaliknya, apa sahaja usul dari pihak BN diutamakan demi untuk memenuhi kepentingan mereka dan bukannya untuk kepentingan rakyat.
Cikgu Ishak menyifatkan speaker dan timbalannya yang dilantik oleh BN selama ini sebagai tidak telus, tidak profesional dan berat sebelah.
"Ini sebenarnya tidak menguntungkan rakyat. Sebaliknya ia menjadi speaker, timbalan speaker yang memihak kepada BN atas apa sahaja isu dan kepentingan. Mereka tidak adil," tegas beliau ketika ditemui.
Beliau berharap pelantikan speaker dan timbalannya perlu mengikuti proses secara demokrasi dengan mendapat persetujuan serta sokongan 88 orang Ahli Parlimen di kalangan Pakatan Rakyat.
Pelantikan tersebut juga, tegasnya, harus mendapat sokongan sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen di kalangan pihak kerajaan bagi mendapat sokongan majoriti.
Pengarah Pilihan Raya PAS Wilayah PRU 12 itu berharap, hasrat tersebut akan menjadi kenyataan bagi membuka lipatan sejarah baru Dewan Rakyat di negara ini. - mns

Pertukaran kerajaan dari BN kepada PR semakin cerah - Mujahid

Mohd Sabri Said Sun Apr 06, 08 1:40:49 pm MYT
TASEK GELUGOR, 6 April (Hrkh) - Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusuf Rawa yakin pertukaran kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat (PR) pasti berlaku dalam masa terdekat memandangkan senario politik yang kian menyebelahi pembangkang.
Jelasnya, Umno kini sudah rapuh dan menanti rebah ke bumi manakala PR terus memuncak dengan berbagai nada dan gaya.
Beliau tidak menafikan slogan "PAS For All" banyak membantu sokongan masyarakat bukan Islam terhadap PAS dan PR semasa pilihan raya umum lalu.
"PAS For All" kini sudah senonim dengan masyarakat India dan Cina maka majlis penerangan harus dipertingkatkan supaya mereka dapat menghayati apa yang dikatakan Negara Berkebajikan.
"Majlis angkat sumpah Ahli Parlimen pada 28 April ini mungkin menyaksikan satu lagi kejutan baru dalam senario politik tanah air. Apapun kita tunggu dan lihat perkembanganya," tegasnya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ketika berucap dalam program Jamuan dan ceramah Perdana anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor di Dewan Besar, Sungai Dua semalam.
Perkembangan terbaru jika tiada apa-apa yang menghalang akan berlaku kemasukan ahli parlimen BN ke PR secara berperingkat-peringkat.
Ini menandakan kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semakin condong dan besar kemungkinan berita perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri menjadi kenyataan.
Keadaan timbalanya, Dato' Seri Najib Razak juga sukar ekoran orang harapanya telah tewas awal apabila banyak tidak disenaraikan sebagai nama sebagai calon pilihan raya ke-12 lalu.
"Kemelut yang melanda Umno dan BN memberi peluang kepada PR untuk menerajui negara pada masa akan datang. Inilah realiti sekarang," jelasnya.
Menyentuh mengenai kemasukan orang bukan Islam ke dalam Kelab Penyokong PAS, ia amat menggalakan dan paling ketara ialah pembubaran cawangan MIC di Taiping, Perak semata-mata mahu bersama parti Islam dalam Kelab Penyokong PAS.
Turut berceramah dalam program tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man, Ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakrisnan dan Setiausaha PAS Kedah, Yusuf Husin.
Turut hadir ialah Timbalan Yang DiPertua PAS Tasek Gelugor, Ustaz Suib Mohd Amin, Ketua Penerangan PAS Negeri, Haji Abdul Halim Salleh dan bekas calon Dun Permatang Berangan, Arshad Saleh. - mns

Wednesday, April 2, 2008

Rakyat mahu Pakatan Rakyat bekerjasama dengan baik

Salmiyah Harun Thu Apr 03, 08 9:45:03 am MYT
KUALA LUMPUR, 3 April (Hrkh) - Ketiga-tiga parti PAS, KeADILan dan DAP yang menyatakan persetujuan untuk membentuk Pakatan Rakyat perlu ada sifat berlapang dada di kesemua peringkat parti supaya mereka boleh bekerja dengan baik. -->-->
Menurut Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid, prinsip utama ketiga-tiga parti itu harus dipertahankan seperti soal urus tadbir yang bersih, adil dan telus.
Katanya, tiga parti itu harus ingat terbentuknya Pakatan Rakyat itu adalah satu tanda harapan rakyat kepada mereka setelah diberi kemenangan selesa dalam pilihan raya lalu.
"Dalam pilihan raya lalu bukanlah satu amarah rakyat kepada BN tetapi tanda harapan mereka kepada Pakatan Rakyat yang baru dibentuk, harapan itu adalah untuk mereka mengulangi asas pakatan itu seeprti keadilan, ketelusan dan merealisasikan kebajikan rakyat," katanya semasa dihubungi.
Tegasnya, rakyat juga menaruh harapan kepada Pakatan Rakyat ini benar-benar menunjukkan contoh yang baik selepas 50 tahun negara ini merdeka.
"Hari ini dengan memberi ruang kepada Pakatan Rakyat mungkin akan menjadi lebih mantap kerana di zaman ini rakyat berupaya memperoleh maklumat dan semakin matang dalam membuat urusan," katanya.
Azmi juga berkata, Pakatan Rakyat hendaklah merebut ruang yang ada ini untuk menjadi model baru dan lebih baik daripada BN.
Malahan katanya, ketiga-tiga parti itu telah menguasai lima negeri dan mempunyai kesempatan untuk menggunakan kemampuan serta kelebihan mentadbir dengan membuka ruang untuk bekerjasama sebagai kerajaan.
Bagaimanapun, beliau juga yakin dengan gabungan ini PAS tidak akan berganjak daripada dasarnya seterusnya akan lebih menumpukan kepada bagaimana hendak menterjemahkan prinsip yang diamalkan dalam Negara Islam.
"Saya kira keadaan ini selari dengan maksud sebuah Negara Islam yang ada, PAS kena tekankan apa isinya yang ada dalam Negara Islam dan Negara Berkebajikan," katanya.

Mufti Perak gesa pendakwah Islam bangkit tentang filem Fitna

Intan Abdullah Thu Apr 03, 08 9:38:03 am MYT
KUALA LUMPUR, 3 April (Hrkh) - Para pendakwah Islam digesa bangkit untuk menjelaskan kekeliruan berhubung filem pendek 'Fitna' yang ditayangkan menerusi internet sejak 27 Mac lalu.
Mufti Perak, Dato' Harussani Zakaria berkata adalah menjadi tanggungjawab kepada pendakwah Islam untuk menjawab segala fitnah yang telah dilemparkan oleh penerbit filem tersebut, Geert Wilders menerusi internet memandangkan ia kini sedang giat ditayangkan melalui medium tersebut.
"Hakikatnya, Geert Wilders itu adalah pihak yang menabur fitnah bukannya Islam yang menjadi fitnah.
"Justeru, para ilmuan dan pendakwah Islam hendaklah berganding bahu bagi menjelaskan fitnah yang cuba dipalitkan kepada kesucian Islam," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Mufti Perak itu menyatakan bahawa pihak mufti-mufti telah memutuskan pendirian berhubung isu penayangan filem tersebut.
"Kita kesal dengan kerajaan Belanda yang membenarkan filem tersebut ditayangkan meskipun kini mereka mahu mengambil tindakan ke atas Geert.
"Kenapa daripada awal mereka tidak mengambil tindakan yakni mengenakan sekatan ? Kenapa dibiarkan juga mereka meneruskannya, sebab itu kita mengambil keputusan untuk memboikot produk Belanda sebagai protes," katanya.
Filem pendek yang mempunyai dua versi ditayangkan selama 16 minit 48 saat dan 15 minit itu memaparkan beberapa potong ayat al-Quran yang menjelaskan mengenai konsep jihad dan peperangan dalam Islam.
"Malangnya ia telah disalah tafsirkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. saya sangsi mengenai niat sebenar ianya dibuat kerana ia tidak mengambil ayat-ayat sebelum dan selepasnya yang menjelaskan apa sebenarnya mesej yang hendak disampaikan," ujarnya lagi.
Jelasnya, setiap ayat al-Quran mempunyai perkaitan antara satu sama lain yakni terdapat hubungkait antara ayat yang sebelum dan selepasnya.
"Begitu juga dengan perintah berjihad dan memerangi orang kafir yang mempunyai ayat-ayat tertentu di dalam al-Quran sekaligus ia turut memiliki sebab penurunan ayat tersebut yang dipanggil asbabun nuzul," katanya lagi.
Beliau mengecam sekeras-kerasnya pihak pengeluar filem pendek tersebut yang seolah-olah mahu menuduh Islam menganjurkan kekerasan dan menggalakkan keganasan menerusi peperangan dan pembunuhan secara tidak berperikemanusiaan.
"Padahal dalam ayat yang sebelumnya menceritakan mengenai orang-orang yang memusuhi dan memerangi orang Islam, tetapi mereka tidak mengambil ayat tersebut.
"Ini jelas mengeluarkan mengelirukan dan memfitnah Islam dengan menggunakan kitab suci ajarannya," ujarnya.
Tambahnya, penghasilan Fitna adalah gambaran kepada keadaan orang Barat yang semakin takut dengan perkembangan ajaran Islam yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat di banyak negara.
"Bahkan hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas penulis buku 'satanic verse' adalah setimpal dengan kesalahan pendakyah Islam kerana ia telah memfitnah Islam.
"Kerana Allah telah berfirman bahawa sesungguhnya fitnah itu adakah lebih dahsyat daripada membunuh.
"Jadi, tidak hairanlah jika sekiranya ada pihak yang mendesak supaya Geert dijatuhkan hukuman bunuh," tambahnya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda PAS Pusat, Ustaz Ridhuan Mohd Nor berkata isu ini adalah isu bersifat individu dan bukan kolektif yakni negara.
"Ini bukan isu berbentuk 'state terrorisme' tetapi 'individual terrorisme' yakni Geert Wilders yang mahu meraih populariti dan keuntungan," katanya.
Katanya, pemuda PAS menentang keras tindakan Geert tersebut kerana ia melibatkan soal maruah nabi dan umat Islam itu secara umumnya.
"Kita masih merancang untuk membuat bantahan secara besar-besaran di samping memboikot produk keluaran negara tersebut untuk memberi pengajaran kepada mereka supaya tidak merendah-rendahkan Islam dan penganutnya," ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kes yang hampir sama pernah terjadi sebelum ini yang mengaitkan beberapa individu seperti Tasleema Nasir, Haidar bin Haidar dan salman Rushdie yang telah menerima hukuman mati akibat menghina agama Islam.
Pada 30 Mac lalu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan bantahan sekeras-kerasnya terhadap sebuah filem Belanda terbitan Geert Wilders bertajuk 'Fitna' yang jelas memberikan gambaran buruk terhadap Islam dan menghina al Quran serta Nabi Muhammad s.a.w.
Filem tersebut turut menggambarkan Islam sebagai sebuah agama yang ganas, ujarnya dalam satu kenyataan yang disampaikan melalui Setiausaha Akhbarnya, Roslan Shahir Mohd Shahir semalam.
Dalam kenyataan tersebut, beliau merasakan filem yang tidak bertanggungjawab ini akan mencetuskan ketegangan antara masyarakat Islam dan bukan Islam dunia dan dengan itu mengesyorkan agar ianya tidak ditayangkan lagi.
Justeru, beliau menyeru Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), negara-negera Islam dan NGO serta badan dan petubuhan Islam lainnya mengenakan tekanan ke atas Belanda agar bertindak terhadap penerbit filem ini dan meyakinkan dunia Islam bahawa tindakan biadap seumpama ini tidak berulang lagi.
Tambahnya, PAS menghormati kebebasan berkarya, namun ia perlu ada had dan batasan, dan dalam hal filem Belanda ini ia ternyata tidak menghormati sensitiviti agama Islam dan penganutnya yang kini merupakan hampir separuh penduduk dunia.
Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS Pusat turut mengecam tindakan Ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders menyiarkan filem bertajuk 'Fitna' secara online pada 27 Mac lalu.
Filem tersebut dikatakan memberikan gambaran buruk terhadap Islam dan menghina al-Quran serta Nabi Muhammad s.a.w.
Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub melahirkan kekecewaan kerana apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Belanda itu telah mencetuskan perasaan tidak senang di kalangan umat Islam dan dikhuatiri boleh menimbulkan hubungan yang tidak baik antara umat Islam dan golongan bukan Islam seluruh dunia.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan Belanda hari ini. Memorandum tersebut diserahkan kepada Timbalan Ketua Kaunselor Kehormat, Luc Schillings, di Lobi bangunan The AmpWalk, Jalan Ampang, pagi tadi.
Sementara itu, Timbalannya, Nasruddin Hassan yang turut serta dalam penyerahan memorandum tersebut tidak menolak kemungkinan akan mengadakan demonstrasi aman sekiranya kerajaan Belanda tidak menyatakan permohonan maaf.
Beliau juga berkata langkah memboikot barangan daripada Belanda merupakan salah satu langkah memberi tekanan kepada kerajaan Belanda, termasuk menyekat sebarang hubungan ekonomi antara Malaysia dan negara tersebut.

Tuesday, April 1, 2008

Jangan sekat 'bloggers' dengan undang-undang yang tak wajar

Intan Abdullah Wed Apr 02, 08 1:10:04 pm MYT
KUALA LUMPUR, 2 April (Hrkh) - Kebanjiran media alternatif di Malaysia khususnya pada Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini ternyata meninggalkan kesan kepada keputusan pilihan raya tersebut sekaligus mengejutkan semua pihak yang sebelum ini memperkecilkannya.
Salah seorang pemilik blog, Faisal Mustaffa menyambut baik mengenai usaha kerajaan bertemu dengan bloggers dan pengendali laman web.
Ujarnya, tiada masalah jika pihak kerajaan mahu mengadakan perjumpaan dengan semua pemilik blog termasuk pengendali laman web dengan tujuan mengadakan perbincangan serta menyelaraskan maklumat yang diterima.
Bimbang pertemuan jadi landasan sekatan
Namun beliau bimbang samada pertemuan itu akhirnya ianya menjadi sekatan atau memberikan ancaman kepada hak asasi manusia yang digariskan oleh perlembagaan.
"Kalau boleh, jangan wujudkan sekatan yang tidak sewajarnya kepada pemilik web dan blog.
"Jangan berikan ancaman seperti tindakan undang-undang yang tidak munasabah,sekaligus bercangggah dengan prinsip kebebasan dan hak asasi manusia," katanya.
"Sekiranya seseorang pemilik blog atau web tersebut dikenakan tindakan undang-undang atau apa jua isu yang dikenakan ke atasnya, maka ia hendaklah diberikan peluang untuk menjelaskan situasi tersebut bagi membela diri," ujarnya lagi.
Beliau turut mengakui bahawa setakat ini kerajaan masih tidak mempunyai sebarang polisi untuk mengekang kebebasan penulis blog dan pengendali laman web.
Beri bloggers ruang dapatkan maklumat sahih
Selain itu beliau turut mencadangkan supaya pengendali laman web dan blog perlu diberikan maklumat yang sahih bagi memastikan ulasan yang disampaikan menerusi laman web yang dimiliki itu benar.
"Mereka hendaklah diberikan maklumat yang betul dan tepat bagi memastikan ulasan dan pandangan yang dilontarkan menerusi blog masing-masing tidak tersasar daripada kebenaran atau fakta yang asalnya," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Tegasnya, penulis blog perlu diberi peluang untuk mendapat maklumat yang betul kerana apa yang disampaikan dalam karya mereka sedikit sebanyak boleh mempengaruhi pembaca yakni pengguna internet.
Sementara itu, seorang pengendali laman web alternatif yang enggan dikenali berkata kerajaan tidak mampu menyekat kemaraan perkembangan maklumat dalam kecanggihan era teknologi maklumat pada hari ini.
"Mungkin mereka boleh kenakan tindakan undang-undang, tetapi pengaruh globalisasi sukar untuk disekat daripada terus berkembang," katanya lagi.
Ujarnya, kebanjiran laman web dan blog pada pilihan raya umum yang lalu diakui berperanan sebagai ancaman kepada media arus perdana yang sudah kehilangan 'taringnya' kerana rakyat pada saat ini 'dahagakan' maklumat yang cepat, tepat dan betul.
"Rakyat kini mahukan maklumat yang cepat dan betul," tambahnya.
Lutfi kata kebobrokan kerajaan ubah lanskap politik negara
Sementara Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman pula berpandangan media alternatif yang berteraskan internet bukanlah menjadi faktor utama kepada perubahan landskap politik tanah air.
"Bukan faktor blog tetapi kebobrokan kerajaan yang memerintah adalah menjadi faktor utama kepada apa yang berlaku," katanya.
Jelasnya, ia adalah disebabkan hanya sebilangan blog sahaja yang memberi kesan kepada pergolakan politik pilihan raya baru-baru ini.
"Lagipun, siapa sangatlah yang melayari laman-laman web dan blog tentang politik?
"Bagi saya, impak maklumat menerusi medium ini tidaklah sebegitu besar dan berkesan," ujarnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir pula menegaskan bahawa penggunaan blog dan laman web sebagai sumber maklumat pada pilihan raya umum baru-baru ini telah pun giat digunakan oleh pelbagai pihak.
"Namun, ia tidak mendapat pengiktirafan oleh mana-mana pihak sebelum ini sehinggalah keputusan pilihan raya diumumkan," katanya.
Menurutnya, keputusan yang mengejutkan banyak pihak itu sekaligus menjawab segala keraguan yang wujud di kalangan pemimpin parti-parti politik untuk menerima penggunaannya sebagai suatu medium yang tidak sewajarnya dinafikan keberkesanannya.
Blog semakin aktif bukti pengaruh besar
Dalam perkembangan lain, Pensyarah Jabatan Media Universiti Malaya, Dr. Abu Hassan Hasbullah dalam laporan kepada akhbar arus perdana berkata, Malaysia yang memiliki hampir 500,000 blog yang aktif menjadi bukti penggunaan blog sebagai sangat berkuasa dalam mempengaruhi pemikiran rakyat negara ini terutama mengenai politik.
Katanya, blog kini mempunyai jangkauan penyebaran maklumat sangat berkesan memandangkan jumlah pengguna Internet yang melayari web dan blog adalah sangat ramai setiap hari.
"Kajian pihak kami mendapati 70 peratus keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu dipengaruhi oleh maklumat yang dipaparkan dalam blog," katanya.
Dr. Abu Hassan berkata, kerajaan mengambil pendirian tidak mempedulikan maklumat dalam blog sebelum pilihan raya tetapi pembangkang bertindak sebaliknya.
Beliau berkata, pemimpin kerajaan kini juga boleh menggunakan blog untuk berkempen tetapi mereka perlu ingat bahawa masa sehingga 10 tahun diperlukan bagi membolehkan sesuatu blog itu mula dikenali ramai.
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato' Johan Jaafar yang turut menyertai forum tersebut pula berpendapat, sesetengah blog begitu berpengaruh apabila menerima sehingga sejuta kunjungan dalam satu hari yang normal.
"Kalau pada hari-hari yang ada isu yang panas, jumlah kunjungan boleh mencecah antara tiga dan empat juta," katanya.