Sunday, June 3, 2007

Himpunan 100,000 depan SPR, PAS telah mula gerakkan ahli - Presiden PAS

Wan Nordin Wan Yaacob Sun Jun 03, 07 04:28:49 PM
KOTA BHARU, 3 Jun (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa gerak kerja ke arah mengumpulkan ahli dan rakyat untuk perhimpunan 100,000 rakyat di hadapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun dimulakan.
[Sila layari www.harakahdaily.net/muktamar/ untuk laporan semasa muktamar]-->
Bagaimanapun beliau tidak memberi tarikh sebenar himpunan itu akan diadakan, namun semasa ditanya tentang permit dari pihak berkuasa berhubung program itu beliau menyatakan PAS tidak perlu menunggu kelulusan tersebut.
PAS akan meneruskan niat itu demi mendesak pemulihan perjalanan pilihan raya dari SPR, ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang medianya selepas menutup tirai Muktamar PAS kali ke-53 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik) sebentar tadi.Turut serta ialah, Timbalannya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar dan Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.
Terdahulu sebelum sidang media itu, dalam sesi ucapan penggulungan yang dibuat oleh Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, beliau mendesak pimpinan menyegerakan himpunan tersebut.
Memandangkan Pilihan Raya Umum ke-12 akan diadakan hanya beberapa bulan dari sekarang, Pemuda PAS mahu melihat himpunan itu berjaya direalisasikan.
Pandangan beliau itu turut disetujui oleh Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu yang yakin bukan sekadar 100,000 boleh dikumpulkan untuk himpunan itu malah beliau menjangkakan hampir setengah juta boleh dikumpulkan.
Itu pun katanya jika seluruh ahli PAS menyertai perhimpunan itu dengan sokongan dari pelbagai parti pembangkang lain terutamanya Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) sebagai parti rakan Barisan Alternatif (BA).
Isu himpunan 100,000 rakyat di hadapan SPR hangat diperkatakan dalam perbahasan bermula dari perbahasan Dewan-dewan hinggalah muktamar penuh yang berakhir hari ini.
Rata-rata perwakilan mahukan himpunan itu direalisasikan dan tidak hanya akan menjadi cadangan semata-mata.
Di peringkat Dewan Pemuda PAS sendiri telah menjadikan isu ini usul yang dibawa ke muktamar penuh dan ia diperbahaskan dengan teliti dan hangat.
Sejauhmana ia akan dilaksanakan tentulah pimpinan PAS lebih arif tentang perjalanannya kerana beliau adalah orang yang akan dipertanggungjawabkan atas perencanaan himpunan ini sejauhmana ia berjaya atau sebaliknya.
Muktamar PAS kali ke-53 melabuhkan tirainya tepat jam 3.00 petang tadi dengan Presiden PAS menyampaikan ucapan penggulungan dan penutup muktamar dengan menyentuh segala isu yang ditumbulkan perwakilan.
Barisan pimpinan yang baru seperti kata Presiden PAS ia semakin mantap dan ia menepati citarasa parti yang mendasarkan Islam sebagai perlembagaan parti.
Barisan inilah yang akan menghadapi gelodak dan kekotoran politik Umno/Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang yang cukup rakus membaham demokrasi dengan menggunakan SPR sebagai alatnya.
Presiden PAS sendiri melahirkan keyakinan barisan pimpinan ini untuk berhadapan dengan pilihan raya ini. - mks.

No comments: