Roy Rasul Tue Jun 05, 07 04:15:26 PM
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) – Sebelum tindakan mogok diambil, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan satu piket besar-besaran di seluruh negara pada 25 Jun ini.
Setiausahanya, G Rajasekaran berkata, piket atau tunjuk perasaan tersebut bertujuan untuk meningkatkan kempen gaji minima RM900 dan tuntutan elaun sara hidup (Cola) RM300 kepada pekerja-pekerja sektor swasta ekoran kerajaan mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, yang dihubungi Harakahdaily hari ini, piket akan diadakan selepas waktu kerja iaitu bermula 5.30 petang bagi mengelakkan gangguan waktu bertugas.
“Perkara ini sudah kita maklumkan kepada semua kesatuan yang berjumlah 220 kesatuan dan lebih daripada 50,000 pekerja akan menyertainya,” katanya.
Menurutnya, piket itu terpaksa diambil kerana para pekerja menghadapi masalah yang serius berhubung dasar gaji mereka yang terlalu rendah.
Sebelum itu katanya, seramai seribu ahli MTUC akan menemui Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya pada 18 Jun bagi menyerahkan satu memorandum berhubung tuntutan gaji minimum dan pembayaran cola.
“Kita pergi menemui perdana menteri supaya kerajaan campur tangan dalam isu ini,” katanya.
Katanya lagi, jika usaha mereka tidak mendapat apa-apa hasil sama ada dari kerajaan mahupun majikan barulah mereka akan mengadakan mogok sehari.
Namun katanya, tarikh mogok akan ditentukan selepas satu mesyuarat diadakan. - mns
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment