Azamin Amin Thu Jun 21, 07 02:53:56 PM
KUALA LUMPUR, 21 Jun (Hrkh) - Pengerusi Persidangan Negara-negara Islam (OIC), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dibidas kerana sikapnya yang menyokong usaha Presiden Palestin, Mahmoud Abbas daripada Fatah menubuhkan kerajaan darurat dan memecat Hamas dari kerajaan perpaduan Palestin.
AJK PAS Pusat, Ustaz Mujahid Rawa berkata sikap ini tidak menunjukkan betapa sensitif dan lemahnya Abdullah dalam memahami masalah yang di hadapi oleh Palestin sedangkan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Jimmy Carter yang berbeza pendapat turut mahu usaha mendamaikan kedua-dua pihak ini diteruskan.
Carter dipetik sebagai berkata bahawa Washington melakukan kesilapan dasar apabila menyokong kumpulan Fatah di Tebing Barat dan mengenakan sekatan bantuan ke atas Gaza dan tindakan tersebut lebih kepada usaha memecahbelahkan penduduk Palestin dan bukannya membawa kedamaian di rantau Asia Barat.
Carter menjadi Presiden AS pada 1977-1981 dan dipilih sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan pada 2002 kerana kerja-kerja kebajikannya dan pernah menjadi perantara perjanjian Kem David antara Israel dan Mesir pada 1978.Beliau merupakan pengkritik lantang terhadap dasar Presiden AS, George W. Bush di Asia Barat dan rantau Teluk.
"Abdullah secara tidak langsung memperkecilkan perjanjian Mekah - Taif yang mahu kedua-dua puak yang bertelagah mencari jalan perdamaian, malah kenyataannya memalukan," kata Mujahid ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Sewajarnya selaku Pengerusi OIC yang sepatutnya prihatin dengan masalah negara-negara Islam lebih berhati-hati memberi kenyataan menyokong sebelum memahami dan membuat kajian terhadap negara yang bermasalah itu seolah-olah mahu persengketaan dan perpecahan terus berlaku dibumi Palestin," katanya lagi.
Sokongan Abdullah ini katanya akan membuat umat Islam dunia seluruhnya merasa kesal dan bertambah curiga dengan kewibawaan seorang Pengerusi OIC yang tidak menampakkan usaha mencari jalan dan langkah penyelesaian kepada konflik yang berlaku di Palestin.
PAS katanya sentiasa menyokong usaha perdamaian yang dilakukan termasuk terhadap tuntutan Hamas yang mahukan Israel sudah menjajah Palestin semejak tahun 1967 berundur segera sebelum apa jua rundingan antara puak bertelagah diadakan.
Beliau turut kesal sehingga kini masih ada sebilangan besar anggota Fatah yang menjadi dalang kepada Amerika dan agen perpecahan serta pencetus sengketa di Palestin selama ini.
Minggu lepas Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dari Fatah telah memecat Hamas dari kerajaan perpaduan dan menubuh Kabinet baru di Tebing Barat selepas para pejuang Hamas menguasai Gaza.
Dalam usaha menyokong Mahmoud, AS dan Kesatuan Eropah pada Isnin lalu berjanji menarik balik sekatan 15 bulan yang dikenakan terhadap Palestin selepas Hamas memenangi pilihan raya dan sekatan itu dikenakan selepas Hamas menolak untuk mengiktiraf Israel serta enggan meletak senjata.
Walaupun demikian, Perdana Menteri yang disingkirkan, Ismail masih menganggap kerajaan perpaduan yang dipimpinnya sebelum ini merupakan kerajaan sah Palestin dan menuduh Mahmoud bersekongkol dengan komplot AS untuk menyingkirkan Hamas.
Fatah juga menolak permintaan Hamas untuk berdialog dan melarang semua bentuk perhubungan. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment