Basiron Abdul Wahab Thu Jun 21, 07 03:07:18 PM
TEMERLOH, 21 (Hrkh) - PAS akan mempertingkatkan kesedaran rakyat terhadap isu Kemerdekaan melalui 'Kempen Selamatkan Malaysia' sepanjang bulan Ogos ini.
Setiausaha Penerangan PAS Pusat, Misbahul Munir Masduki berkata kempen selama sebulan sempena sambutan bulan kemerdekaan akan diadakah di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti termasuklah ceramah umum.
Katanya, jentera penerangan PAS di seluruh negara akan diarah mengadakan pelbagai bentuk kegiatan sesuai dengan program tersebut.
"Kita akan gerakkan jentera penerangan di semua peringkat untuk menjayakan kempen tersebut," katanya ketika ditemui di Pejabat Perhubungan PAS Pahang , dekat sini.
Misbah berkata, antara perkara yang akan disentuh di dalam kempen itu termasuklah isu membabitkan peranan para ulama dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara serta memperingati perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan yang nama mereka cuba dipadamkan oleh Umno daripada buku sejarah.
Katanya, mutakhir ini terdapat usaha bersungguh-sungguh daripada Umno untuk memadamkan nama tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan negara daripada buku-buku sejarah yang bukan dari kalangan Umno supaya generasi akan datang hanya mengenali tokoh-tokoh pejuang di kalangan ahli Umno sahaja.
Apa yang dilakukan Umno itu, dipercayai atas dorongan politik semata-mata tetapi kesannya akan menjadikan generasi muda 'buta' sejarah dan mereka hanya akan mengenali tokoh-tokoh Umno sahaja.
"Ia adalah suatu usaha jahat 'ala penjajah' yang mengubah sejarah untuk kepentingan politik mereka," ujarnya.
PAS, tegas Misbah akan memberi penjelasan kepada rakyat di seluruh negara berhubung isu tersebut melalui 'Kempen Selamatkan Malaysia'.
Selain itu jelas Misbah, pihaknya akan menganjurkan munaqasah ucapan dasar kepada anggota Dewan harian PAS kawasan-kawasan dalam masa tersekat.
Menurutnya lagi, jentera penerangan PAS di bawah Ketua Penerangan PAS yang baru,Mahfuz Omar akan dikemaskini sesuai dengan keperluan semasa.
Katanya antaranya termasuklah memperkemaskan unit-unit penerangan sedia ada seperti unit pengurusan isu, unit media, unit ceramah, latihan dan penerbitan. - mks
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment