Sunday, February 24, 2008

Duti setem: SPR mesti bayar ganti rugi menyeluruh

Abdul Halim Mohd Rashid Mon Feb 25, 08 12:47:40 am MYT
KUALA LUMPUR, 25 Feb (Hrkh) - "Kalau tidak boleh kata gila pun, bagaimana saya hendak percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) waras, lebih-lebih lagi Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman?".

Itulah reaksi spontan Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar terhadap tindakan tidak berpedoman Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai duti setem.
"Tetapi yang lebih penting, SPR mesti membayar ganti rugi kepada semua calon yang telah bersusah payah untuk memastikan borang pencalonan mereka mempunyai duti setem.
"Ganti rugi bukan sahaja setakat kos duti setem tersebut malah mestilah menyeluruh meliputi semua kos, kesusahan serta tekanan yang dihadapi oleh calon-calon semata-mata untuk memastikan borang pencalonan mereka mempunyai duti setem seperti yang diarahkan oleh SPR," kata beliau.
Apa yang sangat menyakitkan hati, katanya, setelah calon-calon bersusah-payah memastikan borang pencalonan mereka mempunyai duti setem seperti yang diarahkan oleh SPR pada 21 Februari lalu, tiba-tiba SPR mendakwa telah mengeluarkan surat untuk menarik balik peraturan itu pada 23 Februari.
"Bayangkan susah payah yang terpaksa ditempuhi oleh calon-calon di Kedah, Kelantan dan Terengganu kerana hari Jumaat dan Sabtu adalah cuti umum di ketiga-tiga negeri itu.
"Saya difahamkan ada calon yang terpaksa naik kapal terbang ke Kuala Lumpur semata-mata untuk memastikan borang pencalonan mereka mempunyai duti setem," katanya.
Tindakan SPR itu, katanya, amat menyusahkan dan menyakitkan hati.
"Saya bimbang saya tidak dapat mencari istilah yang sesuai selain 'gila' untuk menggambarkan tindakan SPR itu," katanya.
Bagi Mahfuz, hanya dua sebab sahaja yang mendorong tindakan SPR itu.
"Pertama, mereka sengaja hendak menganiaya, menyusahkan serta mengkucar-kacirkan persediaan pembangkang. Kedua, mungkin SPR gila, terutama Pengerusinya.
"Saya tidak tuduh Rashid dan SPR gila. Tetapi, saya tidak yakin mereka waras," Mahfuz mengulangi apa yang telah dinyatakan.

Undi BA, jadikan Pak Lah Ketua Pembangkang di Parlimen

Mohd Sabri Said Mon Feb 25, 08 6:25:17 am MYT
PERMATANG PAUH, 25 Feb (Hrkh) - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Malaysia (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menyeru semua rakyat memberikan undi pada Barisan Alternatif (BA) dalam pilihan raya kali ini untuk memastikan Presiden Umno menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum pada 8 Mac nanti.
Bukan sahaja Dato' Seri Abdullah rakyat juga disaran menghukum Timbalannya, Dato' Seri Najib supaya mengalami nasib yang sama agar memudahkan Kerajaan BA menghantarnya menjadi Duta di Monggolia.
Jelasnya, itupun kalau rakyat di Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang dan Pekan, Pahang mahukan khidmat mereka sebagai Ahli Parlimen dilanjutkan.
"Jika mereka menang pun biar sekadar menjadi Ketua Pembangkang manakala Najib kita hantar sebagai Duta di Monggolia," tegasnya ketika memberikan amanat pada pengundi sempena mengumumkan nama-nama calon KeAdiLan di Taman Kelasah, Permatang Pauh semalam.
Menurut Dato' Seri Anwar, pemuda yang mahu bekerja untuk Umno sila jalankan kerja seperti biasa kerana mungkin takut diugut kerana berkhidmat dengan kerajaan tetapi ingat bila undi nanti biar memangkah BA.
Beliau memberitahu, jika sekiranya mereka mendapat habuan kurang daripada RM400.00 untuk laksanakan kerja BN bermakna mereka telah ditipu kerana sejak dulu BN tidak pernah membayar kurang daripada itu.
"Kita tahu jika mereka nak kerja untuk BN kerjalah tapi kena ingat pembayaran mesti beres jangan ditipu. Lazimnya pembayaran lebih dari RM400.00 semalam jika dapat kurang dari itu bermakna ada orang ambil peluang terhadap jentera muda, " tambahnya lagi.
Jika dapat pula kata beliau, jangan lupa bagi sebahagiannya pada BA untuk melawan mereka balik kerana wang itu adalah wang rakyat.
Seandainya diberikan bendera untuk dinaikkan, jentera pemuda Umno usah sangkutkan di tiang tinggi sebaliknya setengah tiang sahaja kerana Umno bakal mati menjelang pilihan raya kali ini.
"Sangkut bendera BN setengah tiang sahaja baru sesuai dengan umur mereka yang tidak panjang, "jelasnya dengan gelak ketawa ribuan hadirin.

Mohamad Sabu ditentang wanita bergelar nenek

Adnan Ibrahim Foto Nasir Sudin Sun Feb 24, 08 6:53:00 pm MYT
KUALA TERENGGANU, 24 Feb (Hrkh) - Haji Mohamad Sabu berdepan dua calon iaitu Barisan Nasional (BN) dan Bebas yang boleh dikatakan bergelar nenek di Parlimen Kuala Terengganu.
Calon bebas seorang wanita, Maimun Yusuf, 89 mengemukakan borang percalonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pukul 9.05 pagi.
Lima minit kemudian diikuti calon BN, Dato' Razali Ismail, bermakna Parlimen tersebut menghadapi pertandingan tiga penjuru sebagaimana yang diumumkan Pegawai Pengurus SPR Kuala Terengganu, Dato' Mat Razali Kassim, 53.
Sementara empat Dewan Udangan Negeri (Dun) dalam parlimen tersebut hanya berlaku pertandingan satu lawan satu.
Mohd Abdul Wahid Endut sekali lagi diamanahkan bertanding bagi mempertahankan kerusi beliau di Wakaf Mempelam menentang Othamn Awang dari BN yang merupakan muka baru.
Dr Syed Azman Ahmad Nawawi menghadapi tugas besar bagi mempertahankan kerusi Dun Batu Burok yang dilepaskan oleh Wan Mutalib Embong. Kali ini beliau meghadapi saingan BN yang merupakan Senator, Nordiana Shafie.
Nordiana yang juga Ketua Puteri Umno Terengganu mengantikan calon BN lalu Dato' Che Mat Jusoh yang digugurkan.
Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dr Abdul Manaf Che Mat bertanding di Dun Bandar menentang calon BN dari MCA, Toh Chin Yaw.
Bagi kerusi Parlimen terdapat bantahan daripada parti yang bertanding iaitu PAS dan Umno, bagaimanapun ditolak oleh SPR.
Hampir 5,000 penyokong PAS mengiringi calon yang bertanding berarak ke Wisma Durul Imam bermula di Masjid Tok Ku Paloh Cabang Tiga pada pukul 8.15 pagi. Manakala BN berarak dari Bangunan Umno di Jalan Gong Kapas. - mns

PAS Terengganu cadang saman SPR kerana kelirukan calon

Adnan Ibrahim Sun Feb 24, 08 8:27:39 pm MYT
KUALA TERENGGANU, 24 Feb (Hrkh) - PAS Terengganu kemungkinan akan mengambil tindakan menyaman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana membuat peraturan yang menyusahkan mereka yang mahu menjadi calon dalam pilihan raya umum kali ini.
Timbalan Pesuruhjayanya, Dato' Wan Abdul Mutalib Embong, berkata pihaknya akan menyaman SPR yang mengeluarkan surat peraturan mengarahkan mereka yang mahu bertanding dalam pilihan raya kali ini, menyerahkan borang mereka dengan dikenakan duti setem
Beliau yang berkata demikian ketika ditemui selepas penamaan calon di Kompleks Seri Iman di sini, tengahari tadi, menyifatkan SPR ada niat buruk terhadap pembangkang.
"Sebaliknya apabila berlaku insiden di Marang di mana kesemua lima calon Barisan Nasional (BN) mengemukakan borang tidak berduti setem, dan apabila bantahan dibuat, tiba-tiba SPR mengeluarkan surat yang didakwa bertarikh 23 Februari memansuhkan surat arahan itu yang dikeluarkan pada 21 Februari," ujarnya.
Surat arahan pertama turut menyatakan mereka yang tidak berbuat demikian boleh dibatalkan menyertai pertandingan pilihan raya umum kali ini.
"Kita telah mengemukakan bantahan tersebut ke atas lima calon BN di Marang, bagaimanapun ditolak oleh SPR dengan mengemukakan alasan baru iaitu surat bertarikh 23 Februari, memansuhkan surat arahan 21 Februari.
Bagaimana ini boleh berlaku? Kita tahu di Kuala Lumpur cuti hujung minggu," ujarnya.
Kelima calon tersebut iaitu Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Dato' Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi kerusi Parlimen Marang, Ketua Pemuda Umno Bahagian Marang, Razali Idris, bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rhu Rendang, Alias Abdullah di Dun Alur Limbat, Zaidi Muda di Dun Bukit Payung dan di Dun Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad.
Sebelum itu Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengecam SPR yang menarik kembali arahan supaya semua calon pilihan raya mengenakan duti setem pada borang percalonan.
Arahan tersebut yang didakwanya cuba memerangkap calon pembangkang sebaliknya 'menikam' BN sendiri.
Ia memang cukup menyusahkan kerana surat itu dimaklumkan pada hari Khamis tetapi pembangkang dikatakan tetap berusaha mematuhinya sehingga terdapat mereka yang mahu menjadi calon terpaksa terbang ke Kuala Lumpur berikutan Terengganu cuti umum pada Jumaat dan Sabtu.
Seperti yang dialami calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fariz Musa di Parlimen Kemaman, beliau terpaksa bergegas ke Kuala Lumpur dengan kapal terbang pada hari Jumaat apabila mendapat maklumat pada pagi hari tersebut.
Namun begitu berlaku kepada lima calon BN di Marang mengemukakan borang tanpa duti setem. Apabila PAS mengemukakan bantahan sebaliknya mereka mendapat pembelaan SPR.
Dalam surat SPR yang ditandatangani Setiausahanya, Dato' Kamaruzzaman Mohd Nor menyatakan, "Pegawai Pengurus boleh menolak Kertas Penamaan Calon jika sekiranya Akuan Berkanun (Borang 5 atau 5A) yang dikemukakan bersama kertas penamaan tersebut tidak mematuhi peruntukan di bawah peraturan 4 (7) Peraturan-Peraturan Pilihan raya (Perjalanan Pilihan raya) 1981."
Menurut Ustaz Hadi, PAS kesal kerana penarikan balik arahan tersebut tidak dimaklumkan kepada parti-parti pembangkang.
"Kita hanya dengar pegawai berbisik sesama sendiri mengatakan arahan tersebut hanya diterima subuh tadi," katanya.
Tegasnya, setelah didesak beberapa kali, barulah pegawai menunjukkan surat pembatalan arahan tersebut.

Saturday, February 23, 2008

Presiden PAS diarak lima ribu penyokong, Umno Marang kucar-kacir

Mohd Rashidi Hassan Foto Nasir Sudin Sun Feb 24, 08 11:54:50 am MYT
MARANG, 24 Feb (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ditentang oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Dato' Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi kerusi Parlimen Marang.
-->
Di kerusi Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, beliau ditentang oleh Ketua Pemuda Umno Bahagian Marang, Razali Idris.
Pengumuman dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Pejabat Daerah Marang sebentar tadi.
Bagi kerusi Dun Alur Limbat, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali, yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, ditentang Alias Abdullah.
Di Bukit Payung, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah ditentang calon BN oleh Zaidi Muda.
Manakala AJK PAS Kawasan Marang, Mohd Draman menjadi calon PAS di Dun Pengkalan Berangan ditentang oleh Yahya Khatib Mohamad.
Pengundian akan diadakan 8 Mac depan.
Sebelum itu, rombongan calon PAS diarak kira-kira 5 ribu penyokong yang berhimpun sejak 7.30 pagi di Markas Besar MTD Rhu Rendang di Kampung Kijing dekat sini.
Calon-calon BN diiringi sekitar 500 orang penyokong sahaja.
Parlimen Marang mempunyai 74,813 pengundi.
Pada PRU ke-11 tahun 2004, Ustaz Hadi yang menjadi Ahli Parlimen Marang sejak tahun 1990, tewas kepada Dato' Abdul Rahman Bakar dengan hanya 163 undi sahaja.
Kali ini, Rahman yang juga Ketua Umno Bahagian Marang diketepikan oleh Pengerusi Perhubungan Umno negeri Dato' Seri Idris Jusoh.
Turut diketepikan dari senarai calon BN adalah Ketua Umno Bahagian Kuala Terenganu, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Dato' Tengku Putera Tengku Awang (Hulu Terengganu) dan Dato' Rosli Mat Hassan (Dungun).
Umno Marang kucar-kacir
Rahman ketika ditemui wartawan di pusat penamaan calon mengakui bahawa Umno bahagian itu berada dalam kucar-kacir kerana beliau diketepikan sebagai calon BN.
Bagaimanapun beliau menafikan berlakunya perpecahan dalam bahagian.
Rahman mengakui sehingga kini ramai ahli dan penyokong Umno memprotes tindakan Idris mengetepikan beliau.
Menurutnya bantahan berlaku bukan sahaja di Marang tetapi di seluruh negeri.
Katanya, beliau akan cuba memujuk para penyokongnya untuk menghentikan bantahan kerana bimbang ianya menjejaskan peluang calon BN di Marang.
Apa yang dibimbangkan katanya, ahli-ahli dan penyokong Umno seluruh negeri membuat 'silent protes' terhadap calon-calon BN.
Beliau bagaimanapun berkata, walaupun proses memujuk ahli untuk tidak menentang keputusan menggugurkannya amat perlahan, namun yakin ianya akan dapat di atasi.
Sehingga kini difahamkan penyokong-penyokong melemparkan pelbagai kecaman terhadap Idris yang didakwa membohongi Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sehingga mengetepikan Rahman. - mks.

Majlis Syura lebih teliti berbanding BPR

Nyza Ayob Sun Feb 24, 08 1:07:29 am MYT
KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Ali berkata calon-calon PAS bagi Pilihan raya umum ke-12 tidak memerlukan tapisan Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana para calon telah melalui sistem Majlis Syura pemilihan yang dilakukan dengan lebih teliti dan telus.
Kata Hasan, tapisan yang dilakukan BPR juga banyak meragukan kerana berdasarkan pengalamannya membuat laporan BPR mengenai 18 rasuah Khir Toyo, tidak ada siasatan yang dilakukan ke atas Menteri Besar Selangor itu.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan wartawan dalam sidang media yang diadakan pada majlis pengisytiharan calon PAS Selangor, di sini baru-baru ini.
"Kita tidak perlu tapisan BPR kerana tapisan melalui Majlis Syura lebih membuat 'kita menggigil'. Kita tidak bertanggungjawab kepada BPR tetapi kita bertangggungjawab kepada Allah.
"Jika individu yang merokok dipandang serius untuk tidak dipilih sebagai calon, apatah lagi kesalahan lain. Sebagaimana dinyatakan Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Aziz bahawa dia tidak mahu melihat calon PAS yang merokok,"katanya.
Mengenai pemilihan calon yang diketengahkan PAS di Selangor, katanya PAS mempunyai prinsip dan falsafah yang mana PAS memberi ruang kepada setiap inidvidu untuk bangkit menonjolkan kebolehan masing-masing.
"Calon yang ditonjolkan PAS daripada pelbagai profesional. Gabungan antara doktor, jurutera, jurubina, peguam, ulama dan ahli perniagaan menunjukkan gelombang yang kita lakukan di Selangor.
"Dan saya yakin melalui gelombang ini, kita dapat lihat perbezaan antara calon Umno dan PAS. Jika kita tidak mempunyai ilmu bagaimana kita hendak berbahas di Parlimen dan Dun soal pembangunan, bajet termasuk enakmen-enakmen? Dan saya rasakan PAS telah meletakkan calon yang betul-betul berkelayakan,"katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menaruh keyakinan sokongan rakyat terhadap PAS semakin bertambah berdasarkan beberapa isu yang berlaku di negara kebelakangan ini.
Tambahnya kehadiran lebih 5,000 rakyat pada majlis itu membuktikan sokongan rakyat terhadap PAS walaupun kehadiran mereka bukan disebabkan publisiti di sebarang media.
"Kehadiran mereka pada malam ini juga menunjukkan satu testimoni terhadap PAS. Saya yakin peluang untuk PAS amat cerah. Dan pada 9 Mac, perubahan akan berlaku di Selangor
"Kita mengharapkan dapat merampas semua kerusi di Selangor. Setiap lapan tahun berlaku persempadanan semula, strategi BN dan Umno ialah untuk mencampurkan 50 peratus Cina, 50 peratus Melayu atau 30 peratus Melayu dan 20 peratus India. Tetapi strategi seperti ini akhirnya memakan tuan,"katanya.
Beliau juga menekankan bahawa pencalonannya di Dun Gombak Setia bukan perkara luar biasa kerana sebelum ini pada 1999 beliau pernah bertanding di Parlimen Parit Buntar, Perak dan Dun Sungai Burung, Selangor.
"Jika pada 1999 saya memenangi kedua-dua kerusi Parlimen dan Dun tetapi pada 2004 saya kalah di kedua-dua kawasan ini. Jadi pada kali ini , saya hanya bertanding di Gombak Setia dan saya dapat menumpukan sepenuh perhatian saya pada kawasan ini,"katanya, penuh mengharap.
Sementara itu, sewaktu ditanya mengenai laporan media yang bersifat propaganda Barisan Nasional, Hasan menegaskan beliau tidak membaca akhbar kerana terdapat laporan akhbar yang tidak melaporkan perkara sebenar.
"Apa yang di dalam media ini mengekalkan baik? Dan saya yakin apa yang anda semua tulis pada malam ini apabila sampai kepada editor masing-masing tidak akan keluar sebagaimana yang ditulis. Saya memahami tugas anda, tetapi anda tidak dapat lari daripada sistem seperti ini,"katanya. - mks.

Arahan kenakan duti setem cuba perangkap pembangkang

Lanjusoh Sat Feb 23, 08 8:06:11 pm MYT
KOTA BHARU, 23 Feb (Hrkh) – Pejabat Peguam Negara dikatakan mengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan borang-borang penamaan calon dikenakan duti setem sebelum dikemukakan pada hari penamaan calon esok.
Dan borang pencalonan yang tidak dibayar duti setem difahamkan diarah supaya ditolak pada hari penamaan calon.
Sedangkan pada borang pencalonan ditulis perkataan tidak perlu kepada pembayaran duti setem sebagaimana diamalkan 11 kali pilihan raya sebelum ini.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, arahan tersebut dibuat secara tergesa-gesa pada petang Khamis lalu.
"Ketika itu hanya tinggal tidak sampai sejam lagi pejabat hendak tutup. Bagaimana kita hendak selesaikan bayar duti setem kesemua 59 borang iaitu 45 Dun dan 14 Parlimen. Ketika itu pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah hendak tutup.
"Cuba tuan-tuan bayangkan bagaimana hendak selesaikan dalam masa begitu singkat. Bukankah kelam kabut jadinya," katanya pada ceramah memperkenalkan calon PAS bagi peringkat parlimen Kota Bharu di Dataran Stadium di sini malam tadi.
Difahamkan arahan itu dikeluarkan pada jam 4 petang hari Khamis yang dianggap banyak pihak sebagai usaha memerangkap pembangkang.
Bagaimanapun Wan Abdul Rahim berkata, SPR dapat membantu menyelesaikan masalah itu dengan mengarahkan LHDN membuka kaunter pada hari cuti Jumaat dan Sabtu.
"SPR lebih bersimpati dengan kita sehingga mengeluarkan arahan supaya kaunter LHDN dibuka. Arahan supaya dibayar dikenakan duti setem kita percaya ia bukan dibuat SPR, tetapi pihak lain.
"Mengikut maklumatnya arahan yang tidak masuk akal itu dibuat Pejabat Peguam Negara dan kita percaya ia bukan dilakukan SPR. Dan mungkin juga pejabat Peguam Negara menerima arahan daripada pemimpin tertinggi negara," katanya.
Kata beliau tindakan tersebut secara jelas bertujuan menyusahkan pembangkang. Begitu juga katanya dengan hari penamaan calon yang ditetapkan pada hari Ahad sedangkan negeri-negeri Pantai Timur adalah hari bekerja.
Menurutnya suasana kelam kabut itu secara jelas menggambarkan kepemimpinan negara sekarang begitu lemah dan tidak mempunyai perancangan teliti.
Malah katanya pada pilihan raya umum lalu arahan untuk memasang bangsal panas begitu kelam kabut sekali kerana ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.
Oleh itu beliau percaya segala peraturan itu bukan dibuat pegawai kerajaan sebaliknya pemimpin Umno bagi mempertahankan kuasanya.
Pada majlis itu, Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan nama-nama calon PAS yang bertanding di seluruh Kelantan. Orang ramai memenuhi segenap ruang Dataran Stadium.
Malah ramai yang hadir mencatat nama-nama calon apabila disebut Menteri Besar. Ada yang mengangguk-angguk kepala tanda bersetuju.
Sebelum pengumuman nama calon, diadakan solat hajat selepas solat Isyak yang diimamkan Menteri Besar.
Setiap calon yang bakal bertanding memperkenalkan diri kepada orang ramai yang hadir. Antara mereka ialah Wan Rahim, Dato' Takiyuddin Hassan, Dato' Anuar Tan Abdullah dan Rohani Ibrahim.
Pengisytiharan calon tersebut dibuat serentak di seluruh 14 kawasan parlimen di Kelantan. Di Pengkalan Chepa diadakan di Kompleks Purnama, Pasir Mas di padang mini stadium, Tumpat (Padang Kemahkotaan) dan Machang di padang Majlis Daerah.
Pengumuman nama-nama calon yang bertanding dibuat Yang Dipertua PAS kawasan. Setiap program tersebut dihadiri tidak kurang 5,000 penduduk tempatan.

SPR mula 'main kotor' untuk bantu BN menang PRU Ke-12

Awang Harun Sat Feb 23, 08 7:32:55 pm MYT
KUALA TERENGGANU, 23 Feb (Hrkh)- PAS serta Barisan Alternatif (BA) mendakwa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan sengaja akan mencari kesilapan teknikal bagi membatalkan kelayakan calon-calon bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) menjelang hari penamaan calon esok.
Ini kerana, beberapa peraturan baru yang dibuat di saat akhir ini banyak menyusahkan calon-calon yang bakal bertanding.
Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali berkata, SPR seperti sudah diarah oleh pihak tertentu dengan peraturan yang menyusahkan rakyat dan parti-parti pembangkang.
Katanya, SPR sengaja mahu mencari kesalahan teknikal yang sebelum ini tidak perlu tetapi disyaratkan dalam PRU Ke-12.
"Kita (PAS) mempertikaikan bayaran RM10 untuk duti setem yang dikenakan oleh pihak SPR kepada calon-calon yang hendak bertanding dalam pilihan raya kali ini.
"Kita telah beberapa kali hadapi pilihan raya sebelum ini dan tidak pernah dikenakan peraturan itu," tegasnya.
Katanya, peraturan tersebut mengejutkan banyak pihak dan kemungkinan terdapat calon-calon yang tidak sempat mengangkat sumpah.
Menurutnya, kelewatan pihak SPR memaklumkan peraturan baru tersebut menyusahkan serta menjadi taktik 'kotor' bagi kesilapan teknikal sahaja. - mr/mks

Tuesday, February 19, 2008

Tolak Islam Hadhari, kembali kepada Islam sebenar - Presiden PAS

Harakahdaily Wed Feb 20, 08 11:05:41 am MYT
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Islam Hadhari adalah satu konsep mengelirukan dan menggugat akidah umat Islam Malaysia.
"Niat dan matlamat sebenar Islam Hadhari menjadi keliru sejak awal lagi. Namanya yang bermaksud Islam Bertamadun menggambarkan seolah-olah ia adalah Islam yang baharu yang lebih bertamadun daripada Islam al-Quran yang asal. Ia tambah mengelirukan kerana mempunyai rukun yang tidak sama dengan rukun Islam asal," kata Ustaz Abdul Hadi dalam satu kenyataannya semalam.
Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memperkenalkan dan mempelopori satu gagasan baru kepada rakyat Malaysia sejak tahun 2003, yang dinamakan sebagai Islam Hadhari, atau dalam bahasa Melayunya Islam Bertamadun.
Islam Hadhari mempunyai rukun-rukunnya tersendiri yang baharu berjumlah 10 kesemuanya. Islam asal yang diturunkan Allah SWT melalui Rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w.pula mempunyai lima rukun.
"Islam Hadhari sejak penubuhannya lebih banyak membawa kekeliruan dan masalah kepada pemahaman Islam di kalangan rakyat. Bukan sahaja mereka yang bukan Islam bertambah menjadi sangat keliru, mereka yang beragama Islam, khususnya golongan muda dan mereka yang tidak berpendidikan tinggi menjadi kelam-kabut," katanya.
Menurut Ustaz Abdul Hadi, antara perkara-perkara yang membawa kekeliruan adalah:
1. Penerusan Malaysia sebagai pusat pengeluaran arak, perjudian,dan lumba kuda terbesar di Asia Tenggara. Kegiatan-kegiatan ibu kemaksiatan ini terus berkembang dan dilesenkan oleh pentadbiran Islam Hadhari.
2. Konsert dan program hiburan yang melampau secara 'live' dan melalui media massa meningkat lebih 100 peratus sejak Islam Hadhari dilancarkan.
3. Isu murtad. Bilangan orang Islam yang mengisytiharkan keluar daripada Islam (murtad) secara rasmi meningkat dari setahun ke setahun. Setakat ini belum ada sebarang inisiatif daripada pentadbiran Islam Hadhari untuk mengekang masalah dan menjaga kemurnian akidah rakyat secara jelas. Bahkan cadangan PAS di Parlimen ditolak mentah-mentah.
4. Gejala maksiat di kalangan pimpinan. Kebejatan moral yang begitu parah di kalangan pimpinan kerajaan Umno-BN sendiri, khasnya daripada mereka beragama Islam yang diketahui umum tidak menggambarkan kesungguhan di peringkat tertinggi dalam menghayati Islam Hadhari.
Ustaz Abdul Hadi berkata, cara Islam Hadhari diperkenalkan, kandungannya yang kosong, pelaksanaan yang terlalu bercelaru, sokongan kepimpinan sendiri yang tidak lebih daripada tepian bibir mulut, pertentangan secara jelas dengan syariat dan akidah Islam ajaran al-Quran, benar-benar telah mengelirukan rakyat.
Bahkan ia juga mudah membawa kepada kegelinciran akidah Islam sebenar, katanya.
"Dengan demikian, PAS dan rakyat Islam yang prihatin serta menyintai kemurnian akidah dan syariat Islam dengan tegasnya menggesa agar rakyat Malaysia seluruhnya menolak segala usaha yang membawa kepada kekeliruan dan kerosakan akidah dan kembali kepada Islam yang sebenarnya," katanya. - lanh

Monday, February 18, 2008

Awas, perancangan 'jahat' halang calon BA bertanding

Azamin Amin Tue Feb 19, 08 9:21:36 am MYT
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Hrkh) - Terdapat perancangan 'jahat' pihak tertentu untuk menghalang parti pembangkang khususnya PAS bertanding di kawasan Parlimen Pandan, Selangor pada pilihan raya umum ke-12.
Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan Iskandar Abdul Samad mendakwa ada ura-ura bakal-bakal calon dan pimpinan parti-parti bukan Barisan Nasional (BN) akan ditahan sebelum hari penamaan calon pada 24 Februari supaya BN dapat meraih kejayaan dengan menang tanpa bertanding.
"Walaupun desas-desus, kita mengambil perhatian serius tentang dakwaan tersebut," katanya dalam satu kenyataan media yang difaksmilikan kepada Harakahdaily semalam.
Katanya, perkembangan beberapa insiden di Pandan telah mendorong PAS untuk berwaspada dan menggesa supaya pihak-pihak tidak bertanggungjawab melupakan perancangan jahat untuk menjatuhkan PAS dalam pilihan raya akan datang.
Antara insidennya ialah pada 26 Januari lalu, seorang anggota cawangan khas Balai Polis Daerah Ampang telah menyusup masuk dalam konvensyen PAS manakala keesokannya pihak polis yang menggalas 'machine gun' didakwa telah cuba menakut-nakutkan tetamu yang hadir di majlis minum teh bersama masyarakat India di Pandan Indah.
Selain itu pihak polis didakwa telah mengganggu Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Ali berucap pada lawatan ke Kampung Pandan yang diadakan di rumah ahli PAS 29 Januari lalu.
"Pada 16 Februari lalu, polis telah cuba mmeberhentikan program solat hajat dan munajat kami di Pandan Indah," katanya.
Katanya, provokasi polis itu tidak boleh dijadikan alasan perundangan memandangkan program-program Umno seperti Majlis Mesra Rakyat ADUN Chempaka pada 10 Februari lalu tidak diganggu padahal diadakan di padang awam.
"Kita seru supaya semua pihak bertindak secara bertamadun dan berfikiran waras untuk menghormati demokrasi di negara ini
"Jika perlu, kita akan mengadap Sultan Selangor supaya baginda dapat memastikan agar demokrasi di Selangor ini tidak dicemari,"tegasnya.
Beliau tidak mahu insiden 28 September lalu berulang lagi iaitu Naib Yang Dipertua PAS telah dibelasah di Kampung Pandan.
Walaupun laporan polis telah dibuat sehingga kini penyerang terbabit belum didakwa sama sekali.
"Nyawa pimpinan PAS terancam jika pihak-pihak tidak bertanggungjawab dan pengancam ini terlepas daripada undang-undang," katanya. - mks

Wednesday, February 13, 2008

Bubar Parlimen mengejut, Abdullah takut pengaruh Anwar

Anis Nazri Wed Feb 13, 08 7:33:40 pm MYT
KUALA LUMPUR, 13 Feb (Hrkh) - Sah! Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi gentar dengan pengaruh Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim apabila mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini.
Kebimbangan terhadap pengaruh Anwar dilihat sebagai satu alasan mengapa Abdullah mengumumkan pembubaran parlimen secara tergesa-gesa, walaupun sering menafikan kebimbangan Umno terhadap pengaruh Anwar.
Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua, kenyataanya kepada wartawan di pejabatnya, di Brickfields berkata Anwar dibenarkan bertanding pada 15 April ini, iaitu lebih kurang sebulan - yang menjadikan BN bimbang dengan keadaan tersebut.
"Apa saja yang mereka sebut tentang Anwar, kononnya tidak bimbang dengan pengaruh Anwar, sebenarnya menunjukkan sikap sebaliknya. Hakikatnya, BN tidak mahu Anwar menyertai pilihan raya," tegas Tian Chua, hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa kesal dan kecewa berhubung pembubaran ini memandangkan Abdullah baru saja menafikannya kepada media, semalam.
"Kita bukan persoal hak beliau untuk membubarkan parlimen, tapi cara beliau mengingkari janji itu yang dikatakan semalam. Semalam cakap lain, hari ini sudah lain. Ini bermakna banyak lagi janji-janji yang dibuat sebelum ini boleh diragukan sama ada ikhlas atau taktik pilihan raya semata-mata," tegasnya.
Dalam pada itu, Tian turut menjangkakan pilihan raya umum kali ini merupakan pilihan raya yang sengit, selain akan dipenuhi dengan taktik-taktik kotor daripada BN dalam memastikan kemenangan mereka.
Beliau turut meminta Abdullah berhenti mengarahkan mana-mana pihak dalam jentera kerajaan sepanjang tempoh kempen memandangkan Abdullah kini tiada kuasa sebagai Perdana Menteri untuk memutuskan sama ada sesuatu perhimpunan itu aman atau sebaliknya.
"Saya harap Abdullah berhenti mengarahkan mana-mana pihak dalam jentera kerajaan, kerana beliau kini hanyalah calon berpotensi seperti saya dan kamu juga. Biar pihak polis yang menentukan sama ada aman atau tidak sesuatu perhimpunan aman, protes aman, ceramah umum dan sebagainya. Harap BN sedar hakikat ini," kata beliau.
Justeru, beliau berharap pihak polis membuat keputusan secara profesional tanpa dipengaruhi mana-mana parti kerana semua parti adalah sama dalam menghadapi pilihan raya ini.- wann/mks.

PRU-12: Pembangkang bersedia hadapi BN

Roy Rasul, Salmiyah Harun & Nyza Ayob Wed Feb 13, 08 2:33:25 pm MYT
KUALA LUMPUR, 13 Feb (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa mengingat semua petugas parti memberi tumpuan sepenuhnya khasnya dalam tempoh dua minggu selepas pembubaran parlimen hari ini.

Katanya, yang dihubungi Harakahdaily hari ini, mulai saat ini mereka perlu mengorbankan masa, tenaga dan apa saja untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya ke-12 ini.
"Segala persiapan kita sudah masuk ke tahap pelaksanaan di peringkat akhir dan kita mengharapkan semua petugas parti memberi tumpuan sepenuhnya," katanya.
Tambahnya, walaupun tarikhnya dipilih secara tidak demokratik oleh BN namun PAS bersedia menghadapi pilihan raya kali ini.
"PAS mengharapkan agar pilihan raya kali ini akan dilaksanakan secara bebas, bersih dan adil sejajar dengan sistem demokrasi yang kita sama-sama terima.
"PAS menegaskan amaran yang pernah disuarakan sebelum ini agar tidak ada mana-mana pihak menjadi perkakas dan mengizinkan dirinya membantu mana-mana parti secara tidak demokratik termasuklah menjadi pengundi hantu pada hari mengundi nanti,"tegasnya.
Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen berkuatkuasa hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-12 diadakan.
Katanya beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini untuk pembubaran Parlimen ke-11.
Abdullah juga mengumumkan semua kerajaan negeri dinasihatkan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing, kecuali Sarawak berkuatkuasa pada tarikh yang sama, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.
Sekarang masanya membuat pecutan terakhir
Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub mengharapkan jentera Pemuda melaksanakan tugas dan tanggungjawab sepenuhnya dalam menggerakkan jentera pilihan raya serta jangan ada sebarang alasan untuk menghalang tanggungjawab tersebut.
Katanya, sekarang merupakan masa untuk Pemuda membuat pecutan terakhir setelah membuat persediaan menghadapi Pilihan raya sejak setahun yang lalu.
"Sekarang merupakan masanya bagi Pemuda menggunakan seluruh stamina yang ada untuk mencapai matlamat dan kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang,"katanya.
Muslimat jangan mudah lemah semangat
Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh mengingatkan semua jentera parti khususnya muslimat mengambil peluang waktu 'kecederaan' ini untuk bekerja bersungguh-sungguh.
"Kita kena berkerja bersungguh-sungguh untuk menumbangkan kesombongan dan keangkuhan Umno dan BN yang semakin menjadi-jadi, dalam pilihan raya nanti," katanya.
Beliau ketika dihubungi berkata, para petugas parti hendaklah menjaga dispilin bukan sahaja untuk parti bahkan kepada Yang Maha Esa.
Beliau juga menasihatkan semua jentera parti muslimat PAS jangan mudah lemah semangat dengan kekuatan jentera parti lawan yang menguasai segala aspek termasuklah media.
Awas, taktik kotor BN
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pilihan Raya KeADILan, Fuziah Salleh berkata, apa yang penting rakyat perlu bertenang.
Ini kerana katanya, Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan yang tergugat dan atas sebab itu mereka akan menggunakan pelbagai taktik kotor dalam pilihan raya kali ini.
Sehubungan itu, katanya Barisan Alternatif (BA) perlu menjaga pengundi-pengundi BA dan mendekati pengundi-pengundi atas pagar bagi memastikan kemenangan.
"Kita kena fokus betul-betul dan saya menyeru petugas-petugas BA supaya jangan hilang fokos dan jangan habiskan masa terlalu banyak dengan perang bendera dan poster.
"Kadang-kadang kita hilang fokus kerana terlalu seronok menaikkan bendera dan poster.
"Walaupun tidak dinafikan benda itu penting tetapi perkara itu sebenarnya hilang fokos daripada kita menyentuh pengundi secara 'direct'," katanya yang dihubungi Harakahdaily hari ini.
Oleh itu katanya semua petugas, wanita, pemuda dan dewasa perlu mendekati pengundi dan menarik mereka agar menyokong BA.
Abdullah tidak hormati kaum Tionghua
Dalam respons perkara yang sama, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Chong Eng menganggap pembubaran Parlimen hari ini menggambarkan Abdullah tidak menghormati kaum Tionghua di negara ini memandangkan mereka masih dalam mood menyambut Tahun Baru Cina.
Katanya, hari ini merupakan hari ke tujuh mereka menyambut Tahun Baru Cina dan esok merupakan upacara keagamaan mereka sempena perayaan tersebut.
"Sungguhpun kita sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya,pengumuman hari ini di luar jangkaan yang mana kita menjangkakan selepas Tahun Baru Cina. Sekarang bukan masa darurat. Dan beliau boleh menangguhkannya dalam tempoh dua minggu lagi.
"Selain itu beliau berbohong kepada rakyat. Semalam beliau menyatakan Parlimen tidak akan dibubarkan dan hari ini beliau mengumumkan Parlimen akan dibubarkan,"katanya. - mks.

Wednesday, February 6, 2008

Masyarakat Tionghua tidak lupa jasa baik kerajaan PAS

Wan Kay Thu Feb 07, 08 6:45:11 am MYT
DUNGUN, 7 Feb (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali, meraikan masyarakat Tionghua di daerah Dungun dalam satu sambutan Majlis Sempena Tahun Baru Cina yang diadakan di Dewan Perpustakaan Dungun, baru-baru ini.
-
Program yang mendapat sambutan hangat tersebut dianjurkan oleh Lajnah Perpaduan Nasional dengan kerjasama Kelab Penyokong PAS Kawasan Dungun adalah untuk meraikan warga emas dan pelajar cemerlang PMR di dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.
Pengerusi Kelab Penyokong PAS Terengganu, Ng Chai Hing berkata masyarakat Tionghua di negeri ini masih tidak lupa kenangan manis berada di bawah pemerintahan kerajaan PAS Terengganu dari tahun 1999 – 2004.
Katanya, kerajaan PAS Terengganu banyak menyelesaikan masalah rakyat termasuk masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat Tionghua.
"Kami tidak akan lupa jasa baik kerajaan PAS yang memerintah dan banyak menyelesaikan masalah rakyat dan masalah masyarakat Tionghua,” ujarnya ketika berucap pada majlis tersebut.
Menurutnya, pelbagai bantuan diberikan oleh kerajaan PAS tanpa mengira kaum, bangsa dan agama dan ia dilakukan dengan adil dan saksama.
"Masyarakat tionghua turut menerima bantuan komputer, pengagihan tanah di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB), pengurniaan tanah perkuburan (jirat) di Wakaf Tapai dan banyak lagi," tambah Ng.
Turut bersama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Dungun, Serena Lim Abdullah. Beliau merasa yakin 'mood' pengundi Cina kini berpihak kepada PAS serta Barisan Alternatif (BA).
Katanya, selama hampir empat tahun kerajaan UMNO/BN memerintah pelbagai dasar menyukarkan dan menekan rakyat telah dilaksanakan. Rakyat dan peniaga susah untuk mencari makan (rezeki).
"Kita semua sudah dapat rasai bagaimana cara pemerintahan PAS empat tahun dan cara Umno/BN ini hampir empat tahun.
"Kerajaan BN banyak menekan dan jika rakyat mahu senang kita kena sokong dan beri undi pada PAS dalam pilihan raya akan datang ini," ujarnya.
Manakala, seramai 12 orang pelajar Cina yang cemerlang dalam peperiksaan PMR turut diraikan serta menerima sumbangan masing-masing.
Seorang pelajar, Wong Mendy, 16, dari Kampung Batu 46 Sura antara pelajar terbaik mendapat keputusan 8A dalam peperiksaan PMR tahun 2007 lalu.
"Saya ucap terima kasih kepada ibubapa, guru dan rakan-rakan yang banyak membantu kejayaan saya dalam pelajaran. Saya bercita-cita jadi seorang doktor," ujarnya.
Rakannya, Lim Kee Mei, 16, dari Kampung Teluk Lipat merakamkan ucapan terima kasih kepada kelab PAS di atas sumbangan yang diterima itu.
"Saya ucap terima kasihlah kepada Kelab PAS dan pihak-pihak lain yang memberi sumbangan dan meraikan kami bersama ibubapa kami di sini," ujarnya.
Katanya, tahun baru kali ini amat bermakna kerana diraikan oleh seorang pemimpin besar yang dipanggil 'Tok Guru'.
Pelajar Sekolah Menengah Sultan Omar, Chong Wei Seng, 16, melahirkan rasa gembira dapat bertemu dengan pemimpin besar PAS.
Ini kerana, katanya gambaran yang diberikan oleh pihak tertentu selalu memburuk-burukkan 'orang baik'.
"Saya rasa gembira dapat bertemu dengan Tok Guru (Dato' Seri Abdul Hadi Awang) pemimpin besar PAS pada tahun baru ini.
"Saya lihat dia baik dan tidak 'seburuk' yang digambarkan oleh pihak lain kepada Tok Guru itu," jelasnya.
Kelab Penyokong PAS Dungun ditubuhkan bulan Januari lalu yang kini bergiat aktif bagi mendapat sokongan masyarakat tionghua kepada PAS/BA.
Hadir sama pada majlis tersebut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali dan Yang DiPertua PAS Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.

Tuesday, February 5, 2008

Sesi taklimat manifesto PAS: 'Negara beramanah,bersih, adil dan berkebajikan'

Intan Abdullah Foto Nasir Sudin Wed Feb 06, 08 12:51:34 pm MYT
KUALA LUMPUR, 6 Feb (Hrkh) - Lebih 1,000 pemimpin PAS pelbagai peringkat hadir dalam majlis taklimat Manifesto Pilihan Raya PAS di Dewan Dato' Fadzil Mohd Nor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, dekat sini, pagi tadi.

Dengan bertemakan 'Negara Beramanah, Bersih, Adil dan Berkebajikan', majlis pelancaran dan taklimat khas manifesto ini disampaikan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefli Ahmad.
Dalam majlis yang sama, para pemimpin PAS peringkat pusat, negeri dan kawasan diberi peluang untuk turut sama berkongsi pendapat serta membincangkan intipati manifesto tersebut.
Dalam merealisasikan hasrat PAS membentuk negara berkebajikan, PAS antara lain menawarkan penurunan harga bahan bakar (petrol dan diesel) dengan pendekatan 'subsidi' bagi menangani inflasi harga barang keperluan dan perkhidmatan.
Selain mendedahkan 32 tawaran yang lain, di sektor pendidikan, PAS menawarkan penghapusan semua pinjaman tertunggak PTPTN, mengembalikan pendidikan percuma di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam serta pemberian biasiswa.
Turut dijangka mendapat perhatian, pelaksanaan Akta Gaji Minima serta Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional, penghapusan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) serta Akujanji di kalangan kakitangan kerajaan.
Menurut Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar, majlis taklimat pada hari ini adalah untuk tujuan penjelasan di peringkat jentera parti, manakala pelancaran manifesto tersebut kepada umum akan dibuat dalam jangka masa terdekat ini.
Majlis penutup dilaksanakan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tengahari tadi. Turut hadir, Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang; Ketua Penerangan, Mahfuz Omar serta Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali serta AJK PAS Pusat dan Dewan-dewan.
PAS mendahului parti-parti politik yang lain dalam menyiapkan manifesto pilihan raya yang sekaligus menggambarkan keseriusan dalam melaksanakan agenda perubahan dalam negara khususnya untuk memberi manafaat kepada rakyat.
Sebelum ini, banyak pihak termasuk pemimpin Umno-BN memberi ulasan terhadap konsep negara berkebajikan yang akan dibawa oleh PAS.

Pertarungan dalam pilihan raya sengit - Mustafa Ali

Awang Harun Wed Feb 06, 08 11:29:19 am MYT
KUALA TERENGGANU, 6 Feb (Hrkh) - PAS menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-12 kali ini merupakan suatu pertarungan sengit antara parti-parti pembangkang dengan Barisan Nasional (BN).
Ini kerana, Umno dan kerajaan BN akan mempertahankan kemenangan mereka dan PAS serta Barisan Alternatif (BA) berusaha bagi mendapatkan kemenangan tersebut.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali berkata hasrat PAS/BA adalah hendak menang serta dapat memerintah semula Terengganu dalam pilihan raya akan datang.
"Pilihan raya kali ini kita (PAS) jangka sengit sebab Umno hendak pertahankan kemenangan dia (BN) dan kita (PAS) pula hendak menang dan memerintah semula negeri Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Pesuruhjaya PAS Terengganu ke Bilik Gerakan di Unit Peti Undi (UPU) Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam, dekat sini semalam.
Katanya, pilihan raya semakin dekat dan pemimpin Umno/BN tidak mampu lagi melewatkan tarikh tersebut.
Menurut sumber, katanya kerajaan BN akan mengadakan pilihan raya tersebut sebelum 15 Mac 2008 depan serta pembubaran dewan bulan Februari ini.
Hadir sama dalam siri lawatan tersebut Bendahari PAS negeri selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut.