Tuesday, March 25, 2008

PAS cadang undang-undang pilihan raya bersih

Awang Harun Wed Mar 26, 08 7:22:34 am MYT
KUALA TERENGGANU, 26 Mac (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencadangkan kerajaan menggubal undang-undang supaya pilihan raya dijalankan secara bersih daripada sekatan melompat parti.
Katanya, cadangan untuk menggubal undang-undang menyekat melompat parti adalah bertujuan untuk menyelamatkan Umno.
"Saya rasa lebih baik digubal undang-undang untuk pilihan raya yang bersih dan untuk menghidupkan demokrasi yang sebenar supaya dihindarkan perkara-perkara yang meragukan seperti di Terengganu, sebagai contohnya, 520,000 pengundi daripada jumlah rakyat satu juta orang," ujarnya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri di sini, semalam.
Katanya, adalah tidak munasabah lebih 50 peratus rakyat negeri ini adalah pengundi dan mereka yang keluar mengundi pula sebanyak 85 peratus yang paling tinggi di Malaysia berbanding dengan negeri-negeri lain.
"Di sana dapat dilihat pilihan raya yang tidak bersih. Sebab itu, yang penting ialah membersihkan pilihan raya terlebih dahulu daripada isu menggubal undang-undang wakil rakyat melompat.
"Wakil rakyat adalah tokoh politik, pemimpin-pemimpin yang dilantik oleh parti politik. Mereka patut menilai diri mereka sendiri dan terserah kepada diri masing-masing dan tidak boleh dihalang lompat parti," ujarnya.
Tambahnya, apa yang boleh dihalang ialah rasuah dan yang sepatutnya digubal undang-undang untuk menyekat rasuah sama ada rasuah moral atau yang berbentuk kebendaan.
Mengenai undang-undang melompat parti, katanya ia telah ditimbul pada tahun 60-an lagi iaitu di zaman almarhum Dato? Asri Muda di mana ketika itu Umno mahu membeli wakil-wakil rakyat di Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
"Ketika itu, kita pernah mencadangkan supaya digubal undang-undang ini tetapi tidak dilayan dan sekarang ini baru timbul semula seolah-olah untuk menyelamatkan Umno," katanya.
Menurutnya, para pemimpin Umno mahu mengadakan undang-undang itu adalah untuk menyelamatkan Umno dan bukannya untuk menyelamatkan demokrasi.
Tambahnya, sekiranya sesuatu parti itu berubah dasar dan matlamat, maka wakil rakyatnya ada hak untuk keluar parti.
Sebab itu, ujarnya akta melompat parti secara mutlak sahaja adalah tidak wajar kerana sepatutnya undang-undang itu dikaitkan dengan unsur-unsur yang mengotorkan demokrasi seperti rasuah dan lain-lain.
Ini, katanya telah menjadi amalan BN sejak turun-temurun dan yang berlaku di Terengganu pada tahun 1960-an, kemudian diikuti di Kelantan pada tahun 1978.
Katanya, apa yang berlaku di Kelantan pada tahun tersebut ialah wujudnya tindakan menculik wakil rakyat dan dikurung mereka dalam usaha BN hendak menjatuhkan Kelantan yang kemudiannya diisytiharkan darurat.
Pada tahun 2004 pula, katanya ada lagi cubaan untuk membeli Adun-Adun PAS di Kelantan dengan tawaran berjuta-juta ringgit.
"Wakil rakyat kita mempunyai maruah yang tinggi dan tidak dapat dibeli. Itu semua kerja-kerja Umno dan sekarang bila mereka mengalami keadaan yang terdesak barulah mereka bimbang takut 'lubang' yang mereka gali akan jatuh di lubang yang sama. Semua itu untuk kepentingan Umno dan bukan untuk kepentingan mengamalkan demokrasi yang adil di negara ini," ujarnya. - mks.

Krisis Terengganu: PM lupa BN sudah hilang kuasa majoriti

M Faqih Tue Mar 25, 08 2:28:24 pm MYT
KOTA BHARU, 25 Mac (Hrkh) - Krisis yang melanda Terengganu sekarang sebenarnya memperlihatkan kelemahan kepemimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang cuba mempertahankan keegolan Barisan Nasional (BN) tanpa menoleh ke peringkat akar umbi.

Perdana Menteri juga seperti lupa BN sudah kehilangan kuasa majoriti di Parlimen yang tidak pernah berlaku dalam sejarah sejak negara mencapai kemerdekaan, 1957.
Kehilangan majoriti dua pertiga sebenarnya menjadi titik mula pelbagai pihak untuk mempersoalkan hak-hak mereka selepas sekian lama terpinggir di bawah kuasa mutlak BN.
Begitu juga dengan institusi Raja-Raja Melayu berpeluang menggunakan ruang sekarang bagi menuntut semula hak-hak badan tersebut, yang dianggap semakin terhakis sejak imuniti Raja-Raja Melayu dikurangkan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Apa yang berlaku di Terengganu dan Perlis sudah cukup jelas menghantar mesej mengenai tidak senangnya institusi istana terhadap kuasa mutlak kerajaan BN.
"Sebelum ini pihak istana tidak mempersoalkan pelantikan Menteri Besar yang sudah dipersetujui Perdana Menteri. Namun kesempatan kuasa BN yang semakin mengecil maka sekarang mungkin menjadi masa sesuai mereka bertindak," kata anggota Parlimen Ketereh, Haji Abdul Aziz Abdul Kadir.
Beliau yang juga anggota jawatankuasa Badan Perhubungan KeADIlan Kelantan berkata, Perdana Menteri perlu mengetahui situasi politik negara sekarang.
Menurutnya sikap tidak mahu mengalah Abdullah dan Datuk Seri Idris Jusoh dalam isu pelantikan Menteri Besar Terengganu memperlihatkan Perdana Menteri seperti mempertahankan ego lama BN yang pernah memiliki kuasa dua pertiga.
"Sekarang kuasa itu sudah diragut rakyat pada pilihan raya umum lalu. Dan BN sudah terumbang ambing. Biar pun situasi serupa pernah berlaku di Kelantan pada penggal lalu, namun kepemimpinan kerajaan negeri lebih telus dan masih disenangi rakyat.
"Dengan kuasa tanpa majoriti kerajaan Kelantan dapat dipacu dengan cemerlang dalam tempoh empat tahun. Namun apa yang berlaku kepada BN sekarang mereka dilihat tidak berhati-hati dalam saat-saat genting," katanya.
Oleh itu beliau berpendapat sekiranya 23 Adun BN menyedari apa yang berlaku sekarang, mereka bila-bila masa sahaja boleh berpaling tadah daripada Idris.
Menurutnya, tidak dapat ditolak kemungkinan Idris hanya tinggal keseorangan dalam situasi sekarang.
"Adun BN yang lebih bersifat terbuka kecuali Datuk Rosol Wahid yang bermati-matian membela Idris, mempunyai peluang luas dilantik sebagai anggota Exco baru di bawah kabinet Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar baru,?"katanya.
Beliau juga mempersoal siapa sebenarnya yang menaikkan sepanduk 'Kami Nak Idris, Natang!' yang dinggapnya tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Apakah boleh ditafsirkan perkataan natang (binatang) itu dituju terhadap istana atau pihak mana. Oleh itu pihak berkuasa perlu menyiasat perkara tersebut kerana menghina dengan perkataan cukup menjijikkan," ujarnya.
Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim berkata, kenyataan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Idris menasihat 23 Adun BN tidak bersikap negatif adalah langkah terbaik.
Katanya, dalam konteks sekarang Idris perlu lebih bersikap terbuka seperti diamalkan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Menurutnya, imej Shahidan di Perlis tidak tercalar sangat berbanding dengan Idris yang terus berdegil mahu mewujudkan konflik dengan pihak istana.
"Sokongan terbuka rakyat Terengganu kepada Menteri Besar baru sudah cukup jelas menggambarkan rakyat mulai muak dengan lakonan Perdana Menteri, Idris dan Rosol," ujarnya. - mj/ mr

AMK cadang pecat PM, 22 Adun kerana menderhaka kepada Istana - Fariz

Wan Nordin Wan Yaacob Tue Mar 25, 08 3:32:36 pm MYT
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) - Bermula dengan penangguhan majlis angkat sumpah dua hari selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu, krisis pelantikan menteri besar Terengganu terus berlarutan hingga ke saat ini.
Pada 22 Mac yang lalu, Pejabat Sultan Terengganu telah mengumumkan pemilihan Datuk Ahmad Said, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal sebagai Menteri Besar dan majlis angkat sumpah diumumkan pada pagi keesokan harinya.
Pun begitu, seramai 22 Adun Barisan Nasional, yang diketuai oleh Dato' Rosol Wahid (Adun Ajil), mengumumkan untuk memulaukan majlis tersebut.
Pada masa yang sama, Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran kepada Ahmad Said agar tidak menerima pelantikan tersebut atau bakal menerima tindakan disiplin daripada jawatankuasa pengurusan parti.
Pada 23 Mac, majlis angkat sumpah yang dijadualkan berlangsung terpaksa ditangguhkan dan Ahmad Said hanya menerima watikah pelantikan daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR).
Rosol, bagi pihak kumpulan wakil rakyat BN yang memboikot majlis tersebut, menyerahkan memorandum sokongan untuk Idris dipilih sebagai menteri besar kepada MPPR.
Rosol juga menyatakan Umno negeri telah melucutkan keahlian Ahmad sebagai reaksi balas tindakan beliau yang menerima watikah pelantikan tersebut.
Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataannya dua hari lalu menyifatkan pelantikan Ahmad Said sebagai MB Terengganu sebagai tidak mengikut Perlembagaan kerana Ahmad tidak mendapat sokongan majoriti wakil BN.
Pada masa yang sama kesemua 23 wakil rakyat BN Terengganu (termasuk Idris) terus mengulangi ugutan untuk melepaskan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri jika Ahmad dilantik sebagai MB.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Fariz Musa dalam satu kenyataannya hari ini memandang serius perkara ini.
Beliau berkata tindakan tersebut sebagai suatu bentuk penderhakaan terhadap bidang kuasa serta kedaulatan Institusi Kesultanan Terengganu, termasuk Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga merupakan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dan Ketua Negara Malaysia.
AMK mencadangkan Tuanku Mizan agar memecat Abdullah Ahmad Badawi dari jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Selain itu AMK juga mencadangkan melucutkan jawatan kesemua 23 Adun BN Terengganu yang secara terang-terangan menzahirkan penderhakaan terhadap kuasa Tuanku Sultan dalam urusan pemilihan MB Terengganu yang sengaja digagalkan oleh Abdullah dan Adun-adun BN yang terlibat.

Monday, March 24, 2008

Wan Azizah bersyukur dilantik Ketua Pembangkang Parlimen ke-12

Wan Nordin Wan Yaacob Tue Mar 25, 08 2:12:19 pm MYT
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) - Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau berterima kasih kepada parti KeADILan, DAP dan PAS kerana bersetuju melantik beliau sebagai wanita pertama menyandang jawatan Ketua Pembangkang untuk Parlimen ke-12.
"Saya akan memegang amanah dan menggunakan peluang ini untuk menumpukan perhatian kepada lima isu utama yang dihadapi Malaysia dewasa ini.
"Pertama, Ekonomi: Ekonomi Malaysia harus dipupuk untuk memastikan kadar pertumbuhan yang subur, suasana yang meyakinkan untuk pelabur, dan pengagihan adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.
"Dengan terus menyuarakan bantahan terhadap amalan rasuah dan pembaziran, kami akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih mantap dan bebas dari kemiskinan serta kurang ketidaksamaan sosio-ekonomi terlalu lebar, " katanya dalam satu kenyataanya hari ini.
Kedua katanya soal perpaduan, beliau menegaskan hasrat membina perpaduan tulen yang berasaskan kepelbagaian rakyat Malaysia.
Pembangkang akan memastikan kedudukan orang Melayu tidak terancam, dan pada masa yang sama, hak-hak dan akses kepada peluang setara untuk orang Cina, India, Iban, Kadazan dan seluruh rakyat Malaysia akan terus dilindungi dan digalakkan, katanya.
Ketiga katanya soal sistem kehakiman dimana baginya Malaysia harus memulihkan integriti sistem kehakiman.
Baginya penting untuk melihat institusi-institusi kehakiman yang boleh dipercayai dalam memberi keputusan-keputusan adil tanpa berat sebelah merupakan asas terpenting demokrasi tulen.
Seterusnya fokus terhadap media dimana ujar Dr Wan Azizah, media Malaysia mesti diberikan kebebasan yang sewajarnya untuk membuat laporan yang menyeluruh dan adil.
Setiap kerajaan, di peringkat perseketuan atau negeri, mesti diawasi dengan rapi oleh media bebas dan bertanggungjawab bagi memastikan ketiadaan sebarang unsur salahguna kuasa, ujarnya.
"Kelima, Hak Asasi: Kami akan terus mempertahankan hak-hak asasi manusia di Malaysia, di mana undang-undang yang menyekat kebebasan asas rakyat mesti dimansuhkan.
"Kami mendesak semua tahanan ISA, termasuk Adun Kota Alam Shah yang baru, M Manoharan serta empat lagi tahanan politik Hindraf di Kamunting, yang ditahan tanpa bicara mesti didakwa atau dibebaskan dengan segera.
"Sebagai Ketua Pembangkang Parlimen ke-12, saya akan berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan harapan baru untuk Malaysia serta mendukung setiap hak rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan," tegasnya.
Sebelum ini pada penggal ke-11, Ketua Pembangkang di Parlimen disandang oleh Lim Kit Siang sementara pada penggal ke-10 pula Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang memegang jawatan Ketua Pembangkang selepas pemergian bekas Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Fadzil Mohd Noor ke Rahmatullah

Pakatan 5 negeri bentuk dimensi baru politik Malaysia

Lanjusoh Tue Mar 25, 08 11:36:07 am MYT
KOTA BHARU, 25 Mac (Hrkh) - Dimensi baru politik Malaysia mulai terserlah sekarang selepas rakyat di lima negeri menolak keangkuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Mulai kelihatan pakatan di antara kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor selepas halangan besar di bawah kuasa BN berjaya ditumbangkan.
Khamis lalu, kehadiran Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato? Nik Abdul Aziz Nik Mat ke Kedah sambut dengan protokol kerajaan negeri terbabit.
"Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang tiba dengan penerbangan Firefly di Lapangan Terbang Bayan Lepas disambut pemimpin kerajaan Pulau Pinang.
"Kereta khas milik kerajaan Kedah menyambut Menteri Besar Kelantan di tempat pendaratan kapalterbang. Beliau disambut wakil kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dan pemimpin Kedah.
"Kemudian diiringi ke Alor Setar dengan kereta bersama pemimpin kerajaan kedua-dua negeri," kata pegawai pengiring daripada Pejabat Perhubungan PAS Kelantan, Wan Zulkefli Wan Mohamad.
Menurutnya kemesraan jelas terbayang apabila pemimpin kerajaan baru di Kedah dan Pulau Pinang menyambut ketibaan Menteri Besar Kelantan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Kata beliau Tuan Guru Nik Abdul Aziz disambut sebagai tetamu negeri sebelum menghadiri ceramah di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat bersama Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak.
Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan juga dijemput menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Al Bukhary iaitu masjid terbesar di Kedah.
Katanya, biar pun Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah acap kali datang ke Kedah dan Pulau Pinang namun tidak pernah sambutan sedemikian rupa.
Manakala hari ini pula Menteri Kedah dijemput sebagai tetamu kerajaan Kelantan sempena majlis kesyukuran kemenangan kerajaan Barisan Alternatif di negeri ini pada pilihan raya umum lalu.
Ceramah khas sempena program berkenaan akan diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) bermula jam 9.30 malam ini yang menampilkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Azizan, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan anggota Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali.
Setiausaha Eksekutif Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Yassin Yusof berkata, sebanyak tujuh ekor lembu dikorbankan hari ini.
"Sebanyak 30 kawah nasi dan 30 kawah gulai sedang dimasakkan petugas-petugas PAS dari Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa untuk jamuan orang ramai yang bermula selepas solat Asar.
"Selepas solat Asar juga Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan berucap ringkas untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas-petugas PAS yang bekerja keras pada pilihan raya umum lalu.
Menurutnya juga Menteri Kedah dijangka tiba di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10 pada petang ini sebelum menghadiri ceramah di Putik.
Katanya, kerajaan negeri juga menyediakan makan malam sebagai meraikan rombongan Menteri Besar Kedah. - mj/ mr -->

Sunday, March 23, 2008

Isu MB: Pemuda Terengganu sokong Presiden PAS

Awang Harun Mon Mar 24, 08 1:13:53 pm MYT
KUALA TERENGGANU, 24 Mac (Hrkh) ? Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menyokong penuh kenyataan Dato? Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung perlantikan menteri besar yang baru selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 8 Mac lalu.
Ketuanya, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani berkata, pihaknya berdiri teguh dengan kenyataan Presiden PAS itu yang menyatakan sokongan penuh dan menerima keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu berhubung perlantikan menteri besar.
Ustaz Abdul Hadi dalam satu kenyataan media berkata beliau percaya keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja itu mengambil kira dan menitikberatkan hasrat dan kehendak sebenar rakyat negeri Terengganu keseluruhannya.
"Kami, Pemuda Terengganu menyatakan sokongan padu kepada Presiden dan bersama dengan istana berhubung pelantikan menteri besar yang baru," ujar Azman ketika dihubungi Harakahdaily, pagi ini.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya menilai kembali kepimpinan Umno yang telah memerintah negeri ini pada penggal lalu yang banyak melakukan pembaziran, penyelewengan, salah laku dan seumpamanya yang kesannya dirasai oleh rakyat sendiri.
Tambahnya, ini juga menyebabkan wujudnya kecelaruan di kalangan pemimpin Umno negeri dan rasa tidak mempercayai antara satu sama lain walaupun mendapat majoriti dua pertiga dalam PRU baru-baru ini.
Beliau yang juga Naib Pemuda PAS Pusat menambah, rakyat kini melihat pemimpin Umno negeri semakin tidak bermaruah dalam menangani isu pelantikan menteri besar yang begitu lama untuk diselesaikan.
"Apapun, kami tetap bersama dengan Presiden PAS dan menghormati apa juga keputusan istana berhubung perkara itu dan berharap rakyat jelata sewajarnya berdiri teguh di belakang istana agar keharmonian negeri tetap terpelihara," ujarnya. - mns

MB T'ganu: Calon lain atau pilihanraya semula

MalaysiaKini - Mar 24, 08 10:41pm

Datuk Ahmad Said, yang mendapat perkenan istana untuk jawatan menteri besar baru Terengganu, mempunyai masa selama 90 hari untuk menjalankan tugasnya sebelum memanggil persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), kata pakar perlembagaan. Jika DUN bersidang, beliau berdepan usul undi tidak percaya daripada majoriti wakil BN seperti diumumkan semalam. Bagaimanapun tempoh 90 hari itu membolehkan wakil rakyat Kijal, dan juga ketua bahagian Umno, itu menguatkan kedudukannya.Beliau, yang bakal dilucutkan secara rasmi keanggotaan Umno, boleh juga memanggil pilihanraya negeri untuk mengesahkan mandat baru, kata pensyarah undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) profesor Dr Shad Saleem Faruqi dalam beberapa laporan media. Sementara Dr Aziz Bari, profesor Universiti Islam Antarabangsa (UIA), pilihanraya negeri masih boleh dibuat oleh istana walaupun negeri itu kini tiada kerajaan. “Kuasa ini boleh digunakan dalam keadaan-keadaan luar biasa dan tidak terelakkan bagi menghalang suasana tidak menenetu di negeri itu," katanya kepada Malaysiakini hari ini."Saya fikir keadaan sukar di Terengganu sekarang termasuk dalam satu daripada keadaan-keadaan luar biasa yang melayakkan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) membubarkan Dewan Undangan Negeri." Jika pilihan ini tidak diambil, kedua-dua ahli akademik itu bersetuju MPPR harus melantik seseorang yang mendapat sokongan majotiti wakil-wakil rakyat. Dr Shad Saleem menyatakan, walaupun Sultan mempunyai budi bicara untuk melantik seseorang wakil rakyat tetapi keputusannya melantik Ahmad, yang tidak mendapat dukungan sesiapa, boleh dipertikaikan. “Sultan mempunyai kuasa menggunakan budi bicaranya tetapi kuasa ini tidak mutlak. Sultan tidak tertakluk untuk mendapat nasihat daripada bahagian-bahagian Umno negeri itu atau kerajaan Persekutuan, tetapi Baginda harus mendengar nasihat Dewan Undangan Negeri,” beliau dipetik sebagai berkata kepada Star Online hari ini. Dr Aziz bagaimanapun berhujah, pelantikan Ahmad masih lagi sah dan menganggap majlis mengangkat sumpah sekadar upacara rasmi sahaja.“Majlis angkat sumpah dan acara-acara berkaitan, pada pandangan saya, hanya untuk menunjukkan keputusan istana,” katanya. “Semua tindakan termasuk bantahan dan niat memulaukan majlis itu nanti (ada laporan menyebut diadakan Rabu ini) dan pemecatan Ahmad daripada Umno tidak akan membawa kesan terhadap keputusan istana. “Dari segi perundangan keputusan istana masih mengikat. Tetapi istana tentunya boleh juga menarik balik pelantikan tersebut," tambahnya.

Berapa lama Adun Terengganu boleh dikurung?

Abdul Halim Mohd Rashid Mon Mar 24, 08 1:35:58 am MYT
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mempersoalkan berapa lamakah Adun-Adun Umno di Terengganu "boleh dikurung".
"Sekalipun UMNO mengurung kesemua wakil rakyat mereka, berapa lama boleh dikurung?" tanya beliau.
Pelbagai sumber mendakwa 23 Adun Umno yang dikatakan menuntut perlantikan semula Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar (MB) telah dikurung kononnya "untuk memastikan sokongan mereka bagi membolehkan Idris dilantik semula".
Husam mengingatkan, walaupun hari ini Adun Kijal, Datuk Ahmad Said yang diperkenankan sebagai MB oleh Sultan Terengganu "sebatang kara", tetapi "esok lusa, belum tau. Mungkin ada yang berminat".
"Sebagai MB, Ahmad rasa saya, boleh masuk ke Pejabat MB dan boleh menyemak segala fail atau meminta segala maklumat dari pegawai dan jabatan" kata beliau dalam blognya, cetusan-hati.blogspot.com.
Husam berharap Ahmad mendapatkan laporan penilaian kos sebenar pembinaan Masjid Kristal.
"Ikut cakap umum, kosnya tak sampai RM 50 juta tapi belanjanya dikatakan lebih RM 360 juta. Mana satu betul, harap MB Terengganu boleh carikan jawapan.
"Kami juga seronok ingin tau berapa sebenarnya yang dibelanjakan untuk program kebanggaan (Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi), Monsoon Cup. Betulkah lebih dari RM 250 juta setahun?"
Untuk tujuan tersebut, kata Exco Kerajaan Kelantan itu, ada baiknya MB Terengganu bukan Idris Jusoh. "Terengganu bukan Idris Jusoh dan Idris Jusoh bukan Terengganu," katanya.
Mengulas apa yang berlaku di Terengganu itu, Husam menyifatkan pergolakan itu berpunca dari sikap pihak yang beraja di hati.
"...ada pihak yang beraja di hati sanggup hilang negeri kerana mempertahankan calon tunggal MB mereka. Jalan tengah tak cuba dicari. < "Calon kami atau 'perang'. Ultimatum".

Presiden PAS seru rakyat Terengganu hormati keputusan Istana

Azamin Amin Mon Mar 24, 08 1:28:32 am MYT
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh)- PAS menyatakan sokongan penuh dan menerima keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu berhubung perlantikan Menteri Besar Terengganu yang baru selepas dua minggu Barisan Nasional (BN) Terengganu memenangi Pilihan Raya Umum yang lalu.
Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata beliau percaya keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja itu mengambil kira dan menitik-beratkan hasrat dan kehendak sebenar rakyat negeri Terengganu keseluruhannya.
Semalam pihak Istana Trengganu telah bersetuju melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Dato' Ahmad Said, 51, sebagai Menteri Besar sekaligus menamatkan era kepimpinan Dato' Seri Idris Jusoh satu penggal.
Namun Terengganu berterusan tanpa menteri besar apabila Ahmad yang dipilih oleh pihak istana tidak mengangkat sumpah jawatan tersebut semalam.
Sebaliknya, beliau hanya menerima watikah pengisytiharan pelantikan sebagai menteri besar Terengganu yang baru dan watikah tersebut diserahkan kepada beliau oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), dan juga adinda Sultan Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud Shah.
"PAS yakin yang keputusan pihak Istana Terengganu itu bersandarkan ketidak-puasan hati Istana dan rakyat terhadap kepimpinan Menteri Besar yang lalu.
"Keputusan itu sudah pasti difahami dan diterima rakyat oleh kerana merekalah yang sebenarnya menanggung kesan langsung hasil dari ketidakcekapan dan kerakusan pimpinan negeri yang lalu," kata Ustaz Hadi dalam satu kenyataan medianya.
Beliau menyeru seluruh rakyat negeri Terengganu agar menghormati keputusan pihak Istana itu dan menyatakan pentingnya kerjasama yang dijalin antara antara rakyat dengan Istana.
"Sesungguhnya kerjasama antara rakyat dan Istana sangat penting, insya-Allah demi menjamin kestabilan dan kemakmuran negeri Terengganu Darul Iman," katanya. -->

Kenyataan terbuka mengenai lantikan MB Terengganu, Gani Patail malukan kerajaan?

Intan Abdullah Sun Mar 23, 08 3:29:03 pm MYT
KUALA LUMPUR, 23 Mac (Hrkh) - Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak wajar membuat kenyataan terbuka meminta supaya Yang DiPertuan Agong tidak masuk campur dalam urusan pelantikan Menteri Besar Terengganu. -->-->
Hal tersebut dijelaskan Pensyarah Kuliyyah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari.
Menurutnya, ia disebabkan soal perlantikan adalah terletak pada kuasa budi bicara Sultan atau Majlis Pemangku Raja berkenaan.
"Kenyataan itu tidak wajar kerana ia mendahului Yang DiPertuan Agong seolah-olah beliau hendak mengajar baginda secara terbuka.
"Abdul Gani boleh memohon menghadap dan memberitahu baginda apa yang beliau fikir baik dan perlu dilakukan. Dengan membuat kenyataan terbuka Gani telah memalukan kerajaan persekutuan dengan tindakan itu," katanya ketika diminta mengulas isu campurtangan Peguam Negara dalam pelantikan Menteri Besar Terengganu.
Tegasnya, isu kelewatan perlantikan tersebut perlu diselesaikan bersama oleh istana dan pihak Bn yang telah memenangi negeri tersebut.
"Apa pun harus diingat bahawa Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri selepas 11 hari pada pada pilihan raya umum ke-10 yakni 1999 dan ia menyebabkan kekecohan pada sidang pertama parlimen," ujarnya.
Tambahnya, pada ketika itu tidak ada sebab yang munasabah dibangkitkan kerana Mahathir turut menghabiskan masa melawat program LIMA di Langkawi meskipun beliau masih berada dalam status Perdana Menteri bagi kerajaan sementara.
Selain kekecohan di kalangan pimpinan Umno Terengganu, ujarnya pihak istana mempunyai tanggung jawab memastikan bahawa MB yang dilantik benar-benar disokong oleh semua pihak.
"Titah Raja Perlis yang mengingatkan akhbar sebelum ini supaya tidak mengeruhkan keadaan amat relevan dan ia perlu diberi perhatian oleh semua pihak khususnya pihak media," katanya lagi.
Tegasnya, Raja Perlis digambarkan oleh banyak pihak sebagai cuba melawan Perdana Menteri, apabila tidak melantik Dato' Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Besar Perlis sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah baginda mahu mempastikan siapa yang benar-benar mendapat sokongan.
"Baginda tidak mahu terpengaruh dengan sokongan yang didakwa sebaliknya baginda mahu tahu dan dengar sendiri sokongan itu, bahkan langkah yang sama diambil pihak istana Perak dan Selangor," ujarnya.
Abdul Aziz mendakwa hal tersebut adalah berpunca daripada peranan yang dimainkan pihak media.
"Selepas BN mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya baru-baru ini, mereka cuba hendak menegakkan benang basah dengan tidak membuat laporan yang sebenar.
"Dengan itu semua pihak, termasuk istana, keliru dan terpaksa membuat kepastian sendiri," ujarya lagi.
Oleh yang demikian katanya dalam isu pelantikan Menteri Besar Terengganu, pihak Istana berhak untuk mengambilkira banyak faktor sebagaimana yang berlaku di Perak selepas kekeliruan timbul apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataan memboikot majlis angkat sumpah Menteri Besarnya.
"Walaupun istana boleh melantik wakil BN sebagai penyelesaian pada kemelut tersebut, tetapi istana memilih untuk mengambil langkah berhati-hati dan menangguhkan upacara pelantikan itu.
"Dalam kes ini, saya percaya istana Terengganu mempunyai maklumat tentang pergolakan politik di negeri itu termasuklah tragedi Batu Buruk dan kekecohan di Marang pada hari pengundian," katanya lagi.
Apa yang pasti ujarnya, Istana mempunyai alasan bahkan tanggung jawab untuk enggan melantik mereka yang dipercayai terlibat dengan insiden yang mencemarkan perjalanan demokrasi itu.
"Dan sehingga kini, Idris Jusoh selaku Pengerusi Badan Perhubngan Umno Terengganu masih tidak menafikan keterlibatan beliau dengan kedua-dua insiden yang memalukan itu," katanya mengakhiri ulasan tersebut.
Kemelut pelantikan Menteri Besar selepas pilihan raya 8 Mac lalu melanda banyak negeri, bukan hanya kepada negeri yang bertukar tampuk pemerintahan yakni dikuasai parti baru bahkan juga di negeri yang telah diperintah parti pemerintah di peringkat kerajaan pusat.
Masalah yang menimpa kerajaan Terengganu berlarutan sehingga kini yang menyaksikan pertembungan antara dua orang individu iaitu mantan MB yang lalu, Idris Jusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said.
Mengeruhkan lagi suasana apabila pihak peguam negara campur tangan diikuti dengan tindakan tatatertib yang bakal diambil pihak Umno ke atas Ahmad Said sekiranya menerima keputusan pihak istana./wann.

Saturday, March 22, 2008

Ahmad Said terima surat perlantikan MB

KUALA TERENGGANU, 23 Mac 2008
Adun Kijal, Datuk Ahmad Said menerima surat perlantikan sebagai menteri besar Terengganu dari Majlis Pemangku Raja ketika menerima amaran dari Setiausaha Agung Umno akan menghadapi tindakan tatatertib dari Umno jika berbuat demikian.Siasah difahamkan, Istana Terengganu melantik Ahmad selepas yakin beliau mendapat sokongan yang mencukupi untuk dilantik sebagai MB.Ia dikatakan dalam bentuk surat akuan bersumpah dari Adun-adun Umno berkenaan yang dikatakan berjumlah 11 orang termasuk Ahmad sendiri.Ini bermakna, sokongan untuk kem Idris kini adalah 13 dari 24 Adun BN.Dengan jumlah ini, Ahmad dijangka akan menghadapi kesukaran untuk meneruskan kerajaannya kerana bila-bila masa sahaja kerajaannya boleh ditumbangkan jika dibuat undi tidak percaya oleh Adun BN yang setia kepada Idris.Langkah penyelamat kerajaan ini adalah dengan mendapatkan sokongan dari lapan Adun PAS dalam Dun Terengganu."11 campur lapan akan menjadi 19. Ini adalah angka yang cukup untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah di Terengganu," kata seorang aktivis politik di Terengganu.Siasah difahamkan, PAS akan sedia bekerjasama dengan Ahmad Said untuk membentuk kerajaan baru kerana ia bukan bersama BN tetapi bersama kumpulan yang telah diambil tindakan tatatertib oleh Umno. Dalam pada itu, akhbar dalam talian, Tranungkite.net melaporkan, Datuk Wan Mutalib, penasihat undang-undang PAS ketika dihubungi mereka menyatakan PAS tetap berdiri teguh di belakang pihak istana dalam soal ini.Manakala, jika ada kesudian pihak Adun yang dikenakan tindakan tadi, maka secara peribadinya, PAS akan memberikan sokongan kepada MB baru, kata beliau kepada Tranungkite.Hubungan dengan istanaBagaimanapun, satu lagi perkara penting dalam kontek politik di Terengganu adalah hubungan dengan istana."Sudah jelas kini Rosol (Wahid) telah membakar jambatannya dengan istana Terengganu apabila membuat kenyataan akan menghantar memorandum kepada istana Terengganu mengenai perlantikan MB ini," ulas Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu, Yahya Ali mengenainya.Bagi beliau, tindakan Rosol amat bahaya untuk masa depan politiknya."Adakah lain-lain Adun Umno berani bertindak macam Rosol?. Tindakan ini bermakna, Rosol bakal tidak akan mengecap sebarang peluang untuk menjadi MB hatta untuk menjadi exco kerana kedua-duanya memerlukan perkenan dari istana," kata beliau.Keadaan di TerengganuSementara itu, keadaan di Terengganu agak panas apabila ramai berhimpun di kediaman rasmi MB Terengganu di Batu Buruk hari ini.Lebih 200 orang berhimpun di situ dan usaha untuk melalui jalan ke situ agak sukar.Orang ramai juga dilihat berkumpul di sana-sani sekitar bandaraya Kuala Terengganu.

Jawatan Presiden Umno, hak Ku Li calonkan diri - Khaled Nordin

Malaysiakini.com Sun Mar 23, 08 10:54:41 am MYT
KUALA LUMPUR, 23 Mac - Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mohd Khaled Nordin berkata, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) berhak menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno tetapi ahli Umno berhak menolak cadangan beliau itu. -->-->
"Itu adalah hak dia (Tengku Razaleigh). Jikalau (ahli-ahli Umno) tidak menyokong beliau, itu juga adalah hak mereka," kata beliau yang juga ketua bahagian Umno Pasir Gudang kepada pemberita.
Bagaimanapun, katanya, lebih baik bagi anggota Umno menumpukan kepada usaha menangani masalah dalaman parti.
"Bagi saya, adalah lebih baik kita bersatu-padu dan berhadapan dengan musuh-musuh sebenar di dalam parti," katanya.
Manakala ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Noh Omar pula menasihatkan Tengku Razaleigh Hamzah supaya memulihkan keadaan Umno di Kelantan terlebih dahulu sebelum bercita-cita merebut jawatan presiden parti.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Noh Omar berkata adalah lebih wajar jika ahli Parlimen Gua Musang itu menumpukan membantu memperkasakan semula Umno di negeri tersebut. Tumpu di Kelantan dulu
"Saya tak nampak mengapa Tengku Razaleigh nak tawarkan diri sebagai presiden parti sebab kalau betul beliau hebat, Kelantan sepatutnya kena bantu dulu.
"Ini di Kelantan banyak bantuan kita (kerajaan Barisan Nasional) beri tapi Umno di Kelantan kalah lebih teruk lagi (pada pilihan raya umum 8 Mac lepas)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun jubli emas Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di ibu negara semalam.
Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata sekiranya benar bekas Menteri Kewangan itu berhasrat ingin memulihkan Umno, beliau seharusnya melaksanakan matlamat itu dengan memberi tumpuan penuh kepada Kelantan.
"Adalah lebih baik kita mainkan peranan masing-masing. Macam saya dari Umno Selangor, saya ingin mantapkan Umno Selangor, perpaduan di negeri Selangor kerana kekuatan bukan datang dari kepimpinan semata-mata, tapi lahir dari perpaduan.
"Bila kita bersatu, baru ada perpaduan. Bila kita ada perpaduan, baru kita ada kekuatan. Bila ada kekuatan, baru ada kejayaan. Asas penubuhan Umno sendiri ialah perpaduan," katanya./wann.

Istana lantik Ahmad Said jadi MB Terengganu, kroni Idris boikot?

Awang Harun Sun Mar 23, 08 9:18:09 am MYT
KUALA TERENGGANU, 23 Mac (Hrkh) - Selepas 14 hari Barisan Nasional (BN) Terengganu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada 8 Mac 2008 lalu isu perlantikan jawatan Menteri Besar Terengganu menjadi barah yang kini menjadi kemelut dalaman kepada parti itu.

Semalam pihak Istana telah bersetuju melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Dato' Ahmad Said, 51, sebagai Menteri Besar sekaligus menamatkan era kepimpinan Dato' Seri Idris Jusoh satu penggal.
Harakahdaily difahamkan, Pejabat Sultan Terengganu semalam telah mengeluarkan satu kenyataan bagi pelantikan tersebut dan majlis angkat sumpah jawatan akan diadakan di Istana Tamu, Batu Burok, jam 8.00 pagi ini.
Namun begitu, laluannya tidak mudah kerana pelantikan Ahmad Said sebagai MB Terengganu itu akan mendapat tentangan dari kumpulan yang menyokong bekas Menteri Besar.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato' Rosol Wahid berkata 23 Adun BN Terengganu akan memboikot majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Tamu tersebut.
Menurutnya, boikot terhadap perlantikan tersebut akan dibuat jika Idris Jusoh tidak dilantik semula bagi jawatan Menteri Besar itu.
Katanya, semua 23 wakil rakyat (Adun) BN hanya akan menyokong Idris Jusoh sebagai calon MB Terengganu dan menentang bagi nama-nama lain.
"Kami semua menyokong kepimpinan Idris Jusoh dan ada di kalangan wakil rakyat kami yang sanggup meletak jawatan jika Idris tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar.
"Semua wakil rakyat BN Terengganu kecuali Adun Kijal (Ahmad Said) telah mengadakan perjumpaan dan kami ingin menegaskan bahawa kami sebulat suara menyokong dan berdiri teguh di belakang Idris sebagai Menteri Besar Terengganu. Tiada calon lain yang kami sokong.
"Jadi mana-mana perancangan untuk menamakan selain daripada Idris, kami tidak akan menerimanya. Kami sebulat suara tidak akan menghadiri majlis tersebut (angkat sumpah jawatan Menteri Besar) jika Idris tidak dilantik sebagai Menteri Besar," tegasnya pada sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar Seri Iman, dekat sini, hari ini.
Spekulasi mengenainya bermula ekoran kegagalan Idris sendiri mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar dan anggota Exco Kerajaan Negeri yang dijadual berlangsung di Istana Maziah pada 10 Mac ditangguhkan pada saat-saat akhir.
Senario tersebut menjadi teka-teki berhubung kedudukan Idris sebagai MB Terengganu dan beberapa nama telah disebut bakal menggantikannya.
Harakahdaily difahamkan, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Ahmad Said, Dato' Mohamed Awang Tera (Chukai) dan Dato' Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu).
Namun begitu, sumber Harakah memaklumkan semua calon MB tersebut menarik diri serta berkemungkinan akan berhadapan dengan Idris Jusoh kecuali Ahmad Said./wann