Rizal Tahir Sun Jun 17, 07 03:58:58 PM
KOTA BHARU, 17 Jun (Hrkh) - Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), semakin mendapat keyakinan ibu bapa dengan tidak mengira fahaman politik, bangsa dan agama.
Ini terbukti apabila ada ibu bapa dari bangsa cina dan juga bukan ahli PAS turut menghantar anak-anak mereka di PASTI.
Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, memberitahu demikian sewaktu berucap merasmikan Kejohanan Bolasepak dan Bola Jaring PASTI Peringkat Negeri Kelantan 2007, di Padang Perdana pagi tadi.
“PASTI telah mendapat keyakinan dari ibu bapa bagi menghantar anak-anak mereka untuk mengikuti pengajian pra-sekolah.
“Tidak mengira fahaman politik, agama dan bangsa, mereka yakin PASTI mampu untuk mendidik anak-anak mereka dengan sempurna”, katanya.
“Mereka tahu PASTI mengajar anak-anak mereka mengenai moral seorang manusia yang baik dan berjaya dengan berlandaskan ajaran Islam”, katanya lagi.
Salahuddin juga memberitahu, PASTI telah menjadi pusat pengajian pra-sekolah yang terbaik di negara ini yang berkonsepkan pengajian Islam.
Sementara itu, Pengarah PASTI Negeri Kelantan, yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan, Zaki Ibrahim pula berkata, PASTI tidak sahaja memberi tumpuan pengajian di dalam kelas tetapi juga memberi tumpuan aktiviti luar kelas.
“PASTI tidak hanya menumpukan pengajian di dalam kelas sahaja tetapi turut memberi tumpuan kepada kegiatan ko-korikulum”, katanya.
Menurut Zaki lagi, Islam juga mengalakkan umatnya untuk beriadah bagi menyihatkan tubuh badan selain dari beramal ibadat kepada Allah.
Pemenang peringkat negeri akan mewakili Kelantan ke kejohanan sukan PASTI Pusat yang akan diadakan di 29 dan 30 Jun di Padang Perdana, Kota Bharu, Kelantan.
Sebanyak 14 PASTI dari seluruh kawasan telah menyertai sukan tahunan itu. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment