Monday, June 18, 2007

Hormati prinsip dan undang-undang Islam - Teras

Anis Nazri Mon Jun 18, 07 06:11:26 PM
KUALA LUMPUR, 18 Jun (Hrkh) - Semua pihak, khususnya golongan bukan Islam perlu menjadikan kes Lina Joy sebagai rujukan, yang jelas menyatakan bahawa setiap perkara berkaitan agama Islam perlu dirujuk di bawah undang-undang Islam.
Sepertimana yang diputuskan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy, akhir Jun lalu, yang menjelaskan mana-mana perkara berkaitan agama Islam dengan tidak melalui undang-undang Islam, ia nyata bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Malaysia.
Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid, berkata mereka juga perlu menghormati prinsip dan undang-undang agama lain, khususnya Islam yang mempunyai tafsiran berbeza berkenaan kebebasan beragama apabila seseorang itu memeluk agama Islam.
"Prinsip dan undang-undang itu perlu difahami dan dihormati oleh semua pihak dan tidak menjadikannya isu hak asasi kerana Islam mempunyai prinsip berbeza mengenainya," jelas beliau kepada Harakahdaily, hari ini bagi mengulas hasrat sekumpulan NGO yang ingin mengadakan perhimpunan secara aman sebagai tanda prihatin mereka terhadap kes yang melanda Revathi dan wanita-wanita lain yang tidak diberikan hak dalam memilih agama kepercayaan mereka.
Kumpulan yang terdiri daripada Lembaga Konsultatif Buddha, Hindu, Kristian, Sikh dan Tao serta badan-badan yang memperjuangkan hak wanita seperti Persatuan Tindakan Wanita (AWAM), Sisters in Islam (SIS), Organisasi Bantuan Wanita (WAO), Pusat Perubahan Wanita Pulau Pinang (WCC) dan Kolektif Pembangunan Wanita (WDC) berhasrat ingin berhimpun di Dataran Merdeka dengan cara menyalakan lilin.
Mengulas lanjut isu Revathi itu, Azmi menegaskan bahawa apa saja yang berkaitan dengan agama Islam, sama ada pihak yang mahu keluar daripada Islam atau sebaliknya, perlu menggunakan undang-undang syariah dan tidak boleh dipersoalkan.
Sementara itu, akhbar alternatif online, Malaysia-today melaporkan Revathi kini ditempatkan di sebuah pusat pemulihan akhlak yang dikendalikan pihak penguatkuasa Agama Islam sejak Januari lalu kerana memohon untuk menukar status keagamaannya sebagai penganut agama Hindu bukannya Islam.
Ibu kandung Revathi merupakan seorang mualaf yang memasuki agama Islam sebelum beliau dilahirkan.
Revathi mendakwa beliau dibesarkan oleh neneknya sebagai seorang Hindu. Beliau juga berkahwin dengan Suresh pada Mac 2004 dalam upacara berdasarkan kepercayaan Hindu.
Dalam permohonannya kepada Jabatan Agama Melaka, Revathi telah dinasihati supaya merujuk kepada mahkamah bagi menukar status agamanya.
Mahkamah Syariah berkeputusan bahawa Revathi dibawa ke pusat pemulihan di Ulu Yam, Selangor selama 100 hari. Keputusan tersebut dibuat berdasarkan kepada undang-undang jenayah syariah.
Azmi juga menegaskan biarpun perhimpunan itu merupakan salah satu saluran mereka dalam kebebasan berhimpun dan bersuara, ia tetap dibimbangi kerana ia dilihat seolah-olah bertujuan memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya tunduk dengan kehendak mereka. - mks.

No comments: