Sunday, June 3, 2007

Husam hargai kepercayaan perwakilan, bertekad lebih komited majukan PAS

Saidah Hairan Mon Jun 04, 07 12:09:27 PM
KOTA BHARU, 4 Jun (Hrkh) – Dato' Husam Musa yang mengekalkan jawatan Naib Presiden PAS dengan undi terbanyak dua penggal berturut-turut menghargai kepercayaan yang diberi setiap perwakilan terhadapnya.
[Sila layari www.harakahdaily.net/muktamar/ untuk laporan semasa muktamar]-->
"Jika hendak kata syukur ini sebenarnya merupakan satu bebanan, tetapi saya ucap terima kasih kepada perwakilan yang terus memberi keyakinan kepada saya untuk memantapkan parti," katanya ketika ditemui selepas muktamar kali ke-53, berakhir di Putik, petang semalam.
Apa yang penting beliau berkata, perwakilan telah menunjukkan PAS tidak menghadapi sebarang masalah mengadakan pemilihan biar pun ketika parti lain sibuk membuat persiapan menjelang pilihan raya tidak lama lagi.
Ditanya enam anggota jawatankuasa PAS Pusat dari Kelantan yang dipilih muktamar kali ini katanya, itu merupakan satu perkembangan yang baik.
Bagaimanapun tambahnya ia agak membimbangkan dikhuatiri mereka boleh terlepas tugas di Kelantan sebagai anggota Exco dan wakil rakyat bagi menumpukan tanggungjawab di Pusat.
Pada pemilihan sempena muktamar yang berakhir semalam, anggota jawatankuasa PAS Pusat yang dipilih dari Kelantan iaitu Husam, Dato’ Mohamed Daud, Ustaz Mohd Amar Abdullah, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman, Dato’ Anuar Tan Abdullah dan Dato’ Takiyuddin Hassan.
Husam yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berharap rakan-rakannya yang terpilih memegang jawatan di Pusat dapat mengimbangi tugas supaya tanggungjawab di Kelantan tidak terabai.
Menjawab pertanyaan dua penggal menjadi pilihan utama perwakilan katanya, beliau mungkin dikenali sebagai ‘alone rangers’ yang tidak memihak kepada mana-mana.
“Saya hanya mengikut pada prinsip utama parti dan tidak ada apa-apa agenda masa depan politik saya, kadang tidak bergerak dan ada kalanya maju,” katanya.
Bagaimanapun tambah beliau yang lebih utama semangat untuk memberikan sumbangan yang lebih baik kepada parti. - mj

No comments: