Monday, June 18, 2007

Akibat 'keras kepala', KL banjir teruk!

Nyza Ayob Mon Jun 18, 07 05:48:32 PM
KUALA LUMPUR, 18 Jun (Hrkh) - Nampaknya, bukan sahaja terowong Smart yang dipersalahkan, tetapi sikap keras kepala pihak berkuasa yang dikatakan sebagai menyebabkan banjir tempohari.
Sebelum ini, pelbagai pihak menuding jari pada terowong Smart apabila Kuala Lumpur dilanda banjir yang teruk pada 10 Jun lalu.
Tetapi, lain pula dengan pandangan seorang pakar dalam pengurusan sungai dan air, iaitu James Dawos bahawa banjir tempohari boleh dielakkan jika pihak berkuasa mengunapakai Manual Saliran Mesra Alam (Masma).
Menurutnya, Masma jika dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan, dikatakan dapat mencegah banjir kilat seperti yang melanda ibu negara pada 10 Jun lepas.
Beliau sebagaimana dilaporkan Bernama menyifatkan banjir tersebut sebagai kesan daripada keengganan pihak berkuasa tempatan melaksanakan manual tersebut.
Bagaimanapun katanya, tidak ada majlis tempatan yang mahu menerima manual perparitan bandar "Prosedur Perancangan dan Reka Bentuk No.1: Piawaian Reka bentuk Perparitan Bandar untuk Semenanjung Malaysia" yang diluluskan kabinet pada 2001 itu.
Manual tersebut menyediakan garis panduan dan keperluan untuk semua pengawal, perancang dan jurutera mengenai sistem rekaan perparitan dalam sebarang pembangunan di kawasan bandar.
Jelas James Dawos lagi, konsep tersebut berjaya dilaksanakan di banyak negara membangun seperti Jepun dan ia sangat mesra alam sekitar. Di samping itu objektif manual ini ialah memastikan keselamatan awam, melindungi hartanah, mengawal banjir dan mengstabilkan bentuk tanah.
Dalam laporan sebelum ini, AJK PAS Pusat yang juga Adun Anak Bukit, Kedah, Amirudin Hamzah berpendapat, infrastruktur seperti Terowong SMART adalah perkara yang terpaksa dibuat apabila pengurusan perancangan di peringkat 'upstream' tidak dirancang dengan baik.
Jelasnya bagi memastikan banjir tidak berlaku, tanah tinggi, kawasan bukit serta tanah hutan di sekitar Lembah Klang mesti dikekalkan kerana ia berfungsi untuk menyerap air hujan yang turun, terutamanya ketika hujan lebat.
Amirudin yang juga seorang jururtera menyatakan, sesetengah tempat yang dibangunkan tidak mengikut syarat yang ditetapkan seperti tidak ada kolam takungan, yang akan menyebabkan semua air hujan serta air daripada parit akan penuh.
Sehubungan itu beliau mendesak Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, menimbang semula kepesatan pembangunan di pusat bandar yang sekaligus boleh menyebabkan keselamatan rakyat terancam. Justeru katanya, rancangan tebatan banjir diperlukan, bagi mengatasi masalah banjir kilat di ibu kota.
Dalam pada itu Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Dato' Ir. Keizrul Abdullah, Amirudin berpendapat terowong banjir SMART sepanjang 9.7 kilometer tidak akan menyelesaikan masalah banjir kerana hanya sebahagian sahaja kawasan yang terlibat serta terowong dwifungsi bernilai RM1.9 bilion itu memerlukan komponen-komponen lain bagi menyokong fungsinya mengelakkan banjir di ibu kota.
Pada 10 Jun lalu, Kuala Lumpur dilanda banjir kilat.Antara kawasan paling teruk dilanda banjir termasuklah Jalan Masjid India, Jalan Ipoh dan Kampung Baru, Kampung Chubadak dan Sentul. Dataran Merdeka, yang meliputi kompleks bangunan Sultan Abdul Samad ditenggelami sehingga ke paras pinggang. Banjir kilat ini dipercayai kerana kegagalan sistem peparitan dan sistem alihan yang gagal berfungsi.
Sehari selepas banjir tersebut, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan semua projek tebatan banjir di ibu kota diberi keutamaan dan dipercepatkan bagi mencegah berlakunya banjir kilat lagi.
Abdullah juga mahukan projek lencongan aliran sungai ke kolam takungan termasuk melalui Smart dan pelebaran membabitkan Sungai Klang, Sungai Gombak dan Sungai Kerayong oleh JPS serta DBKL, disiapkan lebih cepat daripada yang dijadualkan. - mks.

No comments: