Monday, June 11, 2007

Jalan raya makin sesak, banjir makin teruk, rakyat pertikai kerajaan

Harakahdaily Mon Jun 11, 07 10:02:53 PM
KUALA LUMPUR,11 Jun(Hrkh) - Tindakan Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S.Samy Vellu mengumumkan kadar bayaran Tol sebanyak RM 2 untuk pengguna Terowong SMART pada tengahari tadi didakwa menimbulkan kemarahan rakyat kerana rakyat kini tertanya-tanya sama ada terowong yang belum siap sepenuhnya ini selamat atau tidak.
Kenyataan tersebut dibuat melalui kenyataan bersama yang dikeluarkan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad serta Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad, merujuk kepada banjir kilat yang berlaku di ibu kota semalam.
Jelasnya lagi, belum pun selesai penduduk membersihkan sisa lumpur tinggalan banjir semalam tetapi Samy sudah mengumumkan pengutipan tol RM 2 yang akan bermula khamis ini (14 Jun 2006).
”Bagaimana jika berlaku banjir lagi? Atau apakah yang akan berlaku sekiranya ada keretakkan atau runtuhan seperti mana projek-projek mega yang lain?,” soalnya.
Tambahnya lagi, terowong ini juga menyebabkan berlaku kesesakan dihujung Tol SMART di Jalan Sungai Besi berhampiran Lapangan Terbang TUDM.
Justeru itu, beliau mengesa agar kerajaan mengambil satu inisiatif yang bijak dalam menangani dua masalah utama rakyat di Kuala Lumpur ini.
Beliau kesal dengan Jabatan Pengairan Dan Saliran yang gagal memberikan amaran awal kepada para penduduk bagi menghadapi banjir ini.
Ini kerana katanya, kenaikan paras air di Sungai Gombak, Sungai Batu dan Sungai Kerayong telah diketahui lebih awal tetapi amaran awal tidak dikeluarkan oleh mana-mana pihak termasuklah Jabatan Bomba sehinggalah beberapa kawasan benar-benar ditenggelami air.
Beliau mahu JPS, JKR, Bomba, Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL dapat bekerjasama bagi mewujudkan sistem amaran banjir di ibu kota ini bagi membantu mengurangkan kesan-kesan sampingan banjir seperti kehilangan nyawa dan harta benda.
PAS Wilayah turut bersimpati terhadap nasib warga kota Kuala Lumpur yang di timpa musibah banjir besar yang berlaku semalam.
Semalam, beberapa kawasan penting ibu negara telah ditenggelami air melebihi 1 meter. Antara kawasan yang terlibat adalah Jalan Masjid India, Jalan Ipoh dan Kampung Baru, Keramat Kampung Chubadak dan Sentul. Masjid Jamek Jalan Bandar dan Dataran Merdeka, yang meliputi kompleks bangunan Sultan Abdul Samad turut ditenggelami air separas pinggang.
Esok, Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub akan melakukan lawatan kepada mangsa banjir di Kuala Lumpur.

No comments: