Nyza Ayob Sat Jun 16, 07 06:00:17 PM
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Hrkh) - Pihak polis diminta supaya menyiasat segera akan kemungkinan berlakunya penyelewengan serta salah guna kuasa oleh Menteri Kerja Raya, Dato' S. Samy Vellu dalam beberapa isu yang membabitkan pengurusan tol dan laluan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (Smart).
Gesaan tersebut dibuat dalam laporan polis hari ini, yang diketuai oleh Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Fariz Musa serta Naib Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainudin kira-kira jam 3.40 petang di Balai Polis Dang Wangi, dekat sini.
Sementara itu, sebelum laporan polis dibuat, di hadapan balai polis tersebut, mereka melaungkan , kata-kata seperti 'Pecat Samy' bersama wakil-wakil peniaga yang terlibat dalam banjir baru-baru ini serta penyokong KeADILan yang lain.
Dalam laporan polis itu, AMK mendesak satu siasatan dibuat apakah kebarangkalian akan adanya kepentingan peribadi Samy di dalam urusan dengan syarikat yang mengendalikan laluan terowong Smart iaitu Syarikat Gamuda.
Ini berdasarkan beberapa faktor antaranya, Syarikat Gamuda, diberi hak kutipan tol selama tiga tahun memandangkan syarikat tersebut hanya melabur kira-kira RM600 juta dan bakinya yang berjumlah lebih RM 1.2 billion merupakan tanggungan kerajaan.
Selain itu, AMK juga berpendapat Samy juga harus disiasat memandangkan bencana banjir yang berlaku pada 10 Jun lalu berpunca daripada kegagalan perencanaan Smart.
Di samping itu, AMK juga mempersoalkan apakah perbelanjaan RM2 bilion untuk projek Smart itu sia-sia memandangkan kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta pada 13 Jun lalu dengan tujuan memperbaiki sistem saluran bandaraya.
Dalam pada itu, AMK juga bertanggapan mutu pembinaan Smart tidak sepadan dengan kos pembinaannya serta kutipan tol sebanyak RM2 yang bermula 15 Jun lalu tanpa memenuhi fungsi yang sepatutnya.
Laporan polis itu juga dibuat memandangkan terdapat beberapa kelemahan didapati di terowong Smart yang membawa risiko tinggi kepada pengguna seperti selekoh yang merbahaya dan kebocoran di beberapa tempat mengakibatkan air bertakung di bahu jalan di dalam terowong.
Sebelum ini, AMK membuat pendedahan perjanjian konsesi tol serta pada 28 Februari lalu pihak AMK juga membuat laporan polis dan BPR selepas pendedahan tersebut. Bagaimanapun tidak terdapat maklum balas atau sebarang tindakan daripada pihak berkuasa ini.
Berdasarkan pendedahan yang pernah didedahkan oleh AMK, pemegang konsesi akan diberikan hak untuk mengutip tol sehingga tahun 2042 dan dijanjikan hak untuk menaikkan kadar tol beberapa kali sepanjang tempoh itu sehingga RM7.00 satu perjalanan, katanya.
Pada 10 Jun lalu, Kuala Lumpur dilanda banjir kilat.Antara kawasan paling teruk dilanda banjir termasuklah Jalan Masjid India, Jalan Ipoh dan Kampung Baru, Kampung Chubadak dan Sentul. Dataran Merdeka, yang meliputi kompleks bangunan Sultan Abdul Samad ditenggelami sehingga ke paras pinggang. Banjir kilat ini dipercayai kerana kegagalan sistem peparitan dan sistem alihan yang gagal berfungsi.
Sehari selepas banjir tersebut, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan semua projek tebatan banjir di ibu kota diberi keutamaan dan dipercepatkan bagi mencegah berlakunya banjir kilat lagi.
Abdullah juga mahukan projek lencongan aliran sungai ke kolam takungan termasuk melalui Smart dan pelebaran membabitkan Sungai Klang, Sungai Gombak dan Sungai Kerayong oleh JPS serta DBKL, disiapkan lebih cepat daripada yang dijadualkan. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment