Wan Nordin dan Azamin Amin. Foto Nasir Sudin Fri Jun 08, 07 03:24:37 PM
KUALA LUMPUR, 8 Jun (Hrkh) - Pengerusi Persidangan Negara Islam (OIC), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi diselar kelekaannya hingga mengabaikan nasib umat Islam Selatan Thailand yang kini bermandi darah diinjak dan dihina tentera Thailand.
Dalam pada itu beliau yang juga Perdana Menteri Malaysia dikatakan hanya leka mempersiapkan urusan perkahwinannya sahaja sedangkan ribuan umat Islam Thailand telah terkorban sejak konflik Selatan Thailand terjadi, kata Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.
Abdullah hanya sibuk menyiapkan baju pengantin untuk majlis persandingannya di Putrajaya esok (Sabtu 9 Jun 2007), kata Salahuddin.
Beliau berkata demikian sebaik sahaja menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Perdana Menteri Thailand, di Kedutaan Thailand hari ini dalam satu perhimpunan aman anjuran Dewan Pemuda PAS.
Turut serta ialah, Timbalannya, Ustaz Nasruddin Hassan @Tantawi; Setiausaha Pemuda PAS, Ahmad Sabki Yusof; bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS yang juga AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad; wakil Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) dan Pertubuhan Pelajar Kebangsaan Islam Malaysia (PKPIM) dan Pengerusi Teras, Azmi Abdul Hamid.
Berucap lanjut mengenai konflik di Selatan Thailand Salahuddin berkata, Pemuda PAS sanggup mengalirkan darah demi mempertahankan nasib umat Islam di Selatan Thailand.
Umat Islam sendiri atas nama persaudaraan Islam pantang dicabar jika saudara mara mereka dihina sedemikian rupa, katanya.
Baginya, Pengerusi OIC yang disifatkan sebagai tidur perlu dikejutkan bagi membela nasib umat Islam lebih-lebih lagi kini umat Islam Selatan Thailand berhadapan dengan lebih 30,000 tentera Thailand yang dihantar General Surrayud Chulanodh untuk memusnahkan populasi Islam di sana.
Agenda ini dilihat seiring dengan agenda negara Barat seperti Amerika Syarikat yang kini dalam misi menghapuskan penganut Islam di merata tempat, katanya.
Sementara itu Ustaz Nasruddin pula berkata, Pemuda PAS membantah sekeras-kerasnya tindakan biadap dan kezaliman yang dilakukan oleh tentera Thailand sejak dari peristiwa berdarah di Tak Bai dan Masjid Kerisek pada tahun 2004.
"Setitis juga darah saudara seIslam kita di Thailand tumpah ke bumi, maka darah kita juga ada sahamnya," tegasnya diikuti dengan laungan takbir dan hancur Thailand.
Bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS dalam ucapannya pula berkata, himpunan ini adalah mengambil seruan dari Rasulullah S.A.W yang membawa maksud "Sesiapa yang tidak mengambil tahu urusan saudara Islamnya, maka dia bukan dari kaum kami".
Ustaz Idris berkata, himpunan itu diadakan bagi menunjukkan solidariti umat Islam di Malaysia ke atas nasib malang yang menimpa umat Islam Thailand, dan himpunan yang serupa akan diteruskan sehingga kekejaman tentera Thailand dihentikan.
Wakil Gamis, Zulkhairi Ahmad pula berkata, pada April 2004, lebih 100 nyawa umat Islam melayang sementara di Kerisek pula mereka dibunuh oleh tentera Thailand ketika sedang bersolat Isyak.
Ini menunjukkan siri kekejaman yang dilakukan oleh tentera Thailand yang kini mendapat sokongan General Surrayudh yang tidak berusaha untuk memulihkan keadaan yang semakin tegang di wilayah tersebut.
Kira-kira 200 aktivis dan Pemuda PAS menyertai himpunan aman yang diadakan selepas solat Jumaat di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak hari ini.
Himpunan dimulakan oleh Exco Pemuda PAS Pusat, Ustaz Riduan Mohd Noor dengan laungan-laungan takbir serta selawat ke atas Nabi.Seketika selepas memulakan himpunan itu, Ketua Pemuda PAS memimpin gerombolan pemuda membawa kain rentang bertulis mengecam kekejaman tentera Thailand dan kerajaan Thailand pimpinan Surrayudh.
Anggota keselamatan dilihat mundar-mandir bagi mengawal laluan, sementara satu trak FRU dengan sebuah 'water cannon' menanti gerombolan demonstran di hadapan Balai Polis Jalan Tun Razak berhadapan dengan British High Commision.
Bagaimanapun himpunan itu tidak pun mendapat halangan dari pihak berkuasa yang hanya memerhati pergerakan demonstran selain beberapa Pegawai Cawangan Khas (SB) sibuk mencatat sesuatu dan menangkap gambar demonstran.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment