Sunday, June 24, 2007

Penceramah agama Umno Kelantan sertai PAS

Maslan Yusoh Sun Jun 24, 07 11:58:06 AM
JELI, 24 Jun (Hrkh) – Cerita burung ketitir yang hanya diberi makan padi kering dan air sejuk, sebaliknya tuannya membolot pelbagai hadiah pertandingan yang dimenangi mendedahkan nilai sebenar penceramah agama Umno di sisi pemimpin mereka.
Dan lebih memilukan lagi burung ketitir tersebut hanya diberi ubat tahi lembu dan bukannya panadol ketika sakit.
Inilah permulaan cerita bekas penceramah agama utama Umno Kelantan, Ustaz Abdul Hamid Derani, 39 yang kini bertukar pentas secara tiba-tiba selepas mempunyai kesedaran mendalam mengenai ‘hidup sesudah mati’.
Beliau yang merupakan di antara empat penceramah utama agama Umno Kelantan sejak 1999, malam tadi memohon kemaafan kepada pemimpin PAS dan seluruh ahlinya kerana pernah bersubahat dengan Umno.
“Bermula dari Mursyidul Am PAS, pemimpin-pemimpin lain dan seluruh ahli serta penyokong saya memohon kemaafan kerana pernah bersubahat bagi menentang perjuangan PAS selama hampir 10 tahun.
“Saya kini seperti burung ketitir yang dilepaskan terbang selepas mempunyai kesedaran kerana diperalatkan bagi kepentingan peribadi pemimpin Umno,” katanya pada majlis penyerahan borang menyertai PAS di Padang Kemahkotaan Jeli, malam tadi.
Beliau menyerah borang menyertai PAS kepada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan disaksikan ribuan penduduk Jeli yang hadir.
Permulaan cerita itu benar-benar menarik perhatian orang ramai yang hadir. Malah kata mereka, itulah kisah sebenar perangai pemimpin Umno.
Abdul Hamid menjadi penceramah agama bagi Umno Jeli dan Kelantan bermula menjelang pilihan raya umum 1999. Beliau membantu Dato’ Mustapa Mohamed bagi mempengaruhi rakyat Jeli supaya menyokong Umno.
Penceramah Umno sepertinya ada seramai 20 orang di Kelantan dan beliau berada dalam senarai empat yang paling utama.
Kehadirannya bersama PAS sudah tentu menggugat kedudukan Mustapa kerana pengaruh ustaz berkenaan yang begitu petah berceramah mampu menarik lebih ramai lagi ahli-ahli Umno.
Malah, Setiausaha Agung Umno, Dato’ Radzi Sheikh Ahmad difahamkan datang ke Kelantan membincangkan perkara itu.
Ini kerana Umno Kelantan dikatakan gagal menjaga kebajikan jentera mereka, sebaliknya pemimpin Umno hidup bergaya.
Bagi menyedapkan hati Umno Kelantan, maka dijaja cerita, Abdul Hamid dibayar RM30,000 supaya meninggalkan Umno.
Sebaliknya, ustaz tersebut menafikan dakwaan tanpa asas itu. “Kita semua tahu, PAS hendak ambil di mana duit sebanyak itu, sebaliknya duit dalam poket pula kita bagi,” ujarnya.
Sejak lebih setahun lalu, Umno Kelantan telah kehilangan ramai tokoh utama kerana menyertai PAS, dimulai bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Ahmad Rusli Ibrahim.
Manakala di bahagian Ketereh, tiga bekas anggota jawatankuasa Umno bahagian itu iaitu Hussin Mat, Abdul Manaf dan Pak Ku Mat juga meninggalkan perjuangan bersama Umno.
Ribuan penduduk tempatan tetap menghadiri ceramah berkenaan, biar pun padang agak basah ekoran hujan pada sebelah petangnya.
Hadir sama Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa, Ahmad Rusli, Ketua Penerangan PAS Negeri, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah, Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali, Saifuddin Nasution Ismail dan Yang Dipertua PAS Jeli, Haji Apandi Mohamad.

No comments: