Tuesday, July 29, 2008

Muzakarah, Muslimat PAS setuju tetapi...

Intan Abdullah Wed Jul 30, 08 9:58:57 am MYT
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Dewan Muslimat PAS Pusat bersetuju mengadakan muzakarah bersama Wanita Umno berhubung hal kepentingan menjaga agama Islam dan memelihara kemaslahatan rakyat secara umumnya.
Setiausaha Muslimat PAS, Aiman Athirah Al-Jundi berkata Muslimat PAS lebih berminat dengan perbincangan mengenai usaha menjaga Islam dan menjaga kebajikan rakyat.
"Bagi Muslimat PAS, muzakarah ini dilihat untuk mencari persefahaman bagi menjaga Islam dan memelihara kepentingan rakyat secara umum," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Beliau diminta mengulas mengenai cadangan Wanita Umno melalui Sekretariat Advokasi dan Pemerkasaan Wanita Islam (Senada) yang akan mengadakan muzakarah dengan Dewan Muslimat PAS bagi membincangkan isu-isu berkaitan wanita Islam di negara ini.
Walau bagaimnapun, muslimat melihat pelawaan itu lebih menggambarkan seolah-olah terdapat wujud usahasama mewujudkan kerjasama politik kedua-dua parti.
Tegasnya, kenyataan tersebut disokong oleh pendedahan Abdullah mengenai pertemuan-pertemuan yang dibuat bersama dengan pemimpin PAS.
"Muslimat sentiasa berwaspada dengan sebarang pertemuan mahupun kerjasama yang mahu dijalinkan dalam apa jua bentuk sekalipun setelah terdapat beberapa kenyataan daripada pemimpin Umno sebelum ini yang kelihatan 'bias'," katanya.
Hal ini digambarkan apabila Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali menawarkan kerjasama serta pelawaan
"Apabila mereka membuat pelbagai tawaran kepada PAS, ianya kelihatan seolah-olah PAS ini 'hubbun dunia' yakni cintakan pangkat dan kedudukan," tegasnya.
Dalam perkembangan lain, pihaknya menyatakan bahawa Muslimat kini lebih cenderung untuk mengadakan perbincangan bersama sayap wanita KeADILan dan DAP.
"Jika benar mereka ingin mewujudkan kerjasama itu, berikan dulu keadilan kepada para isteri dan anak-anak mangsa tahanan ISA, baru boleh bercakap mengenai kerjasama untuk kepentingan rakyat lain," ujarnya. - mks. _

Isu muzakarah: Pemimpin akar umbi PAS mahukan penjelasan

Basiron Abdul Wahab Tue Jul 29, 08 3:47:18 pm MYT
TEMERLOH, 29 Julai (Hrkh) ? Para pemimpin PAS di peringkat akar umbi menggesa PAS Pusat segera menangani sebarang perbezaan pendapat ekoran isu Muzakarah PAS-Umno.
Yang Dipertua PAS kawasan Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf berkata, serangan berterusan media arus perdana terhadap PAS dalam isu berkenaan sedikit sebanyak mengelirukan pemikiran ahli PAS di peringkat pertengahan dan bawahan.
Katanya, bahagian penerangan dan gerak saraf parti perlu diberi suatu penjelasan rasmi dari PAS Pusat mengenai perkara itu supaya unit berkenaan dapat memberi penjelasan dan membalas serangan lawan dengan berkesan.
sebagai pemimpin PAS peringkat kawasan, beliau menerima banyak panggilan daripada ahli bertanyakan perkara tersebut dan sukar bagi beliau untuk memberi jawapan yang tepat mengenainya ekoran kekurangan maklumat.
"Elok jika PAS Pusat segera menangani isu berkenaan, kelewetan akan menyebabkan ahli tertanya?tanya dan ternanti-nanti untuk mendapat maklumat yang tepat sedangkan media lawan terus menyerang dari segenap sudut," ujarnya.
Beliau yang juga ketua Dewan Ulama PAS Pahang berkata, pemimpin tertinggi parti telah mengambil pendekatan yang betul dengan merahsiakan isu berkenaan sebagai suatu rahsia parti, tetapi Umno yang dilanda krisis telah mengambil peluang membocorkannya kepada umum demi kepentingan politik mereka.
Justeru, PAS perlulah bertindak proaktif melawan balik strategi lawan dengan lebih berkesan.
Yang Dipertua PAS Paya Besar, Ustaz Yusuf Embong menggesa pemimpin PAS Pusat mengambil serius isu yang dibangkitkan Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar dalam kenyataan permohonan maafnya seperti disiarkan Harakahdaily.
Kenyataan Mahfuz itu, katanya mendedahkan beberapa kelemahan dalam pentadbiran parti yang perlu ditangani segera.
Yusuf mengesyorkan mesyuarat khas membincangkan isu pertemuan PAS-Umno dilaksanakan segera agar suatu keputusan yang padu dapat dibuat dan diambil tindakan segera.
Mahfuz dalam surat terbukanya kepada ahli, penyokonbg dan pengundi PAS antara lain memohon maaf atas kenyataannya sebelum ini yang menafikan wujud pertemuan PAS-Umno.
"Kenyataan yang saya buat sebelum ini bukanlah atas sifat peribadi saya, tetapi dibuat atas kapasiti sebagai Ketua Penerangan PAS berdasarkan keputusan parti yang mengarahkan saya berbuat demikian.
"Saya tidak menyalahkan pimpinan PAS yang mengarahkan saya berbuat demikian, tetapi ia adalah kesalahan beberapa individu yang gagal memberikan maklumat sebenar kepada pimpinan PAS.
"Tindakan mereka merahsiakan perkara-perkara tertentu berkaitan pertemuan dengan Umno telah menyebabkan pimpinan PAS mengambil pendirian bahawa tiada pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno.
"Saya berharap individu terbabit dapat tampil ke hadapan membuat penjelasan kepada ahli-ahli dan penyokong PAS tentang pertemuan berkenaan termasuk butir-butir perbincangan seperti yang didedahkan oleh Presiden Umno baru-baru ini," kenyataan Mahfuz dipetik.
Yusuf menambah, walaupun permohonan maaf Mahfuz memberi sedikit gambaran kepada situasi sebenar yang berlaku, namun ia tetap mengundang perlbagai persolan di kalangan ahli bawahan.
Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Cameron Highlands, Ustaz Ahmad Ludin juga mahu pimpinan PAS Pusat segera membuat keputusan rasmi berkaitan isu berkenaan seterusnya segera mengadakan suatu taklimat khas kepada para pimpinan PAS Kawasan.
"Kami di pedalaman ini kurang mendapat akses internet, maklumat kami bergantung kepada maklumat lisan yang amat terbatas daripada pihak atasan yang sentiasa ditunggu-tunggu sedangkan media arus perdana terus menyerang setiap hari.
"Adalah baik sekiranya PAS Pusat segera bertindak sebelum lawan menyerang dengan lebih hebat lagi,? ujarnya.- tajdid_

Monday, July 28, 2008

Harakahdaily dilayari peminat dari 129 negara

Azamin Amin Tue Jul 29, 08 11:31:35 am MYT
KUALA LUMPUR, 29 Julai (Hrkh) - Harakahdaily.net merupakan laman web yang ditatap dan dilayari oleh penduduk daripada 129 negara di seluruh dunia termasuk menerima kunjungan pelawat kira-kira 150,000 setiap hari.
Perunding bebas IT Harakah, Amir Ramadzan Ibrahim memberitahu sepanjang bulan Jun tahun ini, laman web ini telah lebih 2.6 juta lawatan dengan jumlah halaman yang dibaca adalah 12.2 juta dan hampir 17 peratus dikenal pasti sebagai pelawat baru dalam tempoh berkenaan.
Amir menjelaskan kedudukan dan pencapaian laman web tersebut kepada sidang Editorial Harakah dan para wartawan yang menghadiri seminar 'Harakah Dua Kali Seminggu' yang diadakan di salah sebuah hotel dekat sini, semalam.
"Selepas Malaysia, United Kingdom dan Amerika merupakan negara yang teratas kedudukannyamengunjungi laman web ini malah Zimbawe turut tersenarai dalam 129 negara tersebut.
"Lebih mengejutkan rekod di Malaysia turut menunjukkan penduduk yang paling ramai melayari dan meminati Harakahdaily.net ini datangnya daripada Bandaraya Ipoh yang kemudiannya di ikuti oleh Kuala Lumpur," kata Amir.
Selain itu Kajang, Selangor katanya Kota Kinabalu juga merupakan antara 10 bandar yang disenaraikan sebagai pelawat yang paling ramai yang mengunjungi laman web tersebut.
Berikutan isu-isu politik utama berlaku antaranya membabitkan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Harakahdaily.net menyaksikan jumlah pelawat melebihi 150,000 sehari iaitu peningkatan 50 peratus berbanding jumlah purata pada bulan sebelumnya, katanya.
Harakahdaily.net yang bermula sebagai harakahdaily.tripod.com katanya telah menjadi laman web utama yang berfungsi menyebarkan berita-berita khususnya mengenai parti.
Sejak dimulakan 1999, laman web tersebut yang hanya menerima sekitar 15,000 sehari telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelawat dan pelayar laman web di seluruh dunia sehingga kini.
"Daripada apa yang dipaparkan, menunjukkan Harakahdaily berjaya melaksanakan fungsinya dengan baik dan mengalami peningkatan daripada semasa ke semasa," katanya yang turut menunjukkan statistik dan rekod pencapaian laman web itu kepada para wartawan.

Sunday, July 27, 2008

Parti baru bertunjang Islam boleh satukan PAS, Umno ? Nik Aziz

Mohd Nor Yahya Sun Jul 27, 08 3:25:52 pm MYT
MACHANG, 27 Julai (Hrkh) Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempelawa ahli-ahli serta penyokong Umno menyertai PAS bagi memastikan agama Islam dan nasib orang Melayu lebih terbela.
Kata beliau muqabalah (perbincangan) di antara pemimpin PAS dan Umno boleh diadakan bagi mencari kaedah satu parti sahaja bagi orang Islam dan Melayu di negara ini.
?Ini kerana PAS telah lama berjuang di atas landasan Islam. Saya pun tak faham mengapa orang Umno tidak mahu menyertai PAS, apa yang tidak kena bagi Umno tehadap PAS.
?Sedangkan kita terima hakikat bahawa Islam mesti diutamakan," katanya selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Kelantan di Markas Dewan Ulama (Madu) di sini semalam.
Malah beliau berkata, sekiranya ahli Umno segan untuk menyertai PAS lebih baik menubuh parti baru yang juga berlandas Islam.
Ini kerana kata beliau ahli PAS sudah tentu tidak akan menyertai Umno.
Katanya, keinginan Umno mengajak PAS bermuzakarah boleh dilakukan sekiranya ia hanya berkaitan Islam.
Bagaimanapun kata beliau Umno seringkali tidak memberi kerjasama untuk melaksanakan program pembangunan di negeri ini dan isu tersebut tentunya boleh membantut diteruskan muqabalah.
?Lagi pun muzakarah yang dimaksudkan sebelum ini hanya lahir daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bukannya keputusan parti Umno itu sendiri.
"Muzakarah hanyalah kehendak Perdana Menteri dan bukannya Umno, kalaulah kita adakan muzakarah atau muqabalah, tiba-tiba Perhimpunan Agung Umno tidak bersetuju presidennya tak boleh buat apa-apa," katanya.
Menurutnya juga muqabalah hendaklah hanya menyentuh aspek Islam sahaja bukannya melibatkan dasar parti kerana PAS perlu menjaga hubungan dengan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.
?Saya amat menyokong sekiranya Umno dan PAS bubar dan kita tubuh satu parti baru dan parti tersebut hendaklah berlandaskan Islam,? katanya.
Sementara itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Mohamed Daud menyokong cadangan Menteri Besar Kelantan supaya Umno dan PAS dibubar untuk membolehkan parti baru yang berasas Islam ditubuh.
"Bagi Dewan Ulamak kami bersetuju memberi mandat kepada pemimpin parti seperti presiden, timbalan, naib dan setiausaha bermuqabalah dengan Umno," katanya.
Beliau juga berkata, apa yang telah dibincangkan dengan Umno hendaklah dibawa kepada Majlis Syura Ulamak sebelum dibawa ke muktamar pertengahan Ogos depan.
Oleh itu beliau berharap tidak timbul sebarang fitnah hasil muqabalah dengan Umno.
Beliau juga meminta ahli PAS berlapang dada dan menyerah kepada kebijaksanaan pimpinan PAS bagi mengadakan sebarang muqabalah dengan Umno. - mj

Penggunaan Mercedes untuk tetamu satu pembaziran - MB Perak

Harakahdaily Sun Jul 27, 08 3:20:26 pm MYT
IPOH, 27 Julai (Hrkh) - Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan keputusan kerajaan Pusat supaya 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor yang dibeli kerajaan negeri Terengganu tidak boleh digunakan oleh Menteri Besar, exco dan pegawai kanan negeri itu, sebagai satu pembaziran.
Bernama melaporkan, Mohammad Nizar berkata ini kerana keputusan itu akan menyebabkan kenderaan-kenderaan yang baru dibeli itu tersadai tidak digunakan.
"Kita tidak tahu kenapa Kabinet buat keputusan tidak boleh pakai...sekarang sudah jadi pembaziran, 14 buah kereta bernilai RM3.4 juta tersadai kerana bukan hari-hari ada tetamu," katany.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan yang diumum Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam supaya kereta baru yang dibeli kerajaan Terengganu itu hanya digunakan untuk membawa tetamu kerajaan negeri.
Pembelian kereta baru oleh kerajaan negeri Terengganu itu menimbulkan kontroversi kerana bercanggah dengan dasar kerajaan yang mengutamakan penggunaan kereta Nasional.
Bercakap kepada pemberita selepas perasmian Konvensyen PAS Perak ke-13 oleh Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang di sini semalam, Mohammad Nizar berkata adalah lebih baik jika kereta yang dibeli itu digunakan kerana anggota exco Terengganu turut perlu melakukan perjalanan yang jauh dan lasak.
Beliau berkata penggunaan kereta jenis lain selain Proton Perdana sepatutnya tidak menjadi masalah kerana ada akitiviti dan penggunaan yang memerlukan kereta lebih lasak seperti Mercedes.
Mohammad Nizar berkata seperti di Perak, kereta Proton Perdana yang diguna turut melibatkan perjalanan yang jauh dan terdapat tiga kereta sering mengalami kerosakan dan mungkin perlu ditukar.
Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri Perak tidak bercadang menukar kereta rasminya kepada model lain kerana menghormati arahan penggunaan kereta Nasional.
Menurut beliau pembelian Mercedes pada masa kini hanya akan membawa persepsi kerajaan yang membazir kerana ia memberi gambaran kemewahan.
"Walaupun kita mempunyai peruntukan membeli kereta baru yang diluluskan oleh kerajaan sebelum ini, kita mengambil keputusan menggunakan kereta sedia ada," katanya.
Beliau berkata keputusan untuk menggantikan kereta hanya akan dibuat apabila keadaan memerlukan serta mempunyai justifikasi dan apabila kerajaan negeri mempunyai kemampuan./wann_

Saturday, July 26, 2008

Pindaan Auku, kemenangan awal perjuangan mahasiswa

Intan Abdullah Sun Jul 27, 08 2:19:44 pm MYT
KUALA LUMPUR, 27 Julai (Hrkh) - Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mohamad Khaled Nordin dianggap suatu kemenangan awal perjuangan mahasiswa.
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata kenyataan Khaled bahawa dengan pindaan Auku yang membenarkan pemimpin parti politik termasuk pembangkang masuk ke dalam kampus sememangnya telah lama diperjuangkan oleh mahasiswa sebelum ini.
"Namun apa yang dibimbangi adalah ianya sekadar gimik politik semata-mata kerana ia masih belum diluluskan oleh Dewan Rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Bagaimanapun, beliau masih menganggap apa yang dikatakan Khaled itu sebagai satu harapan baru yang menjelma pada masa depan para mahasiswa.
Dalam satu laporan akhbar, Khaled dilaporkan berkata dalam pindaan Auku yang baru akan membenarkan pemimpin politik masuk ke kampus.
Namun pimpinan politik boleh berbuat demikian dengan syarat memberi ceramah mengenai isu yang ada kaitan dengan pengajian dan akademik mahasiswa, kata Khaled.
"Saya berharap biarlah tajuk program pengisian yang dijalankan oleh pihak IPT dan para mahasiswa agar menjurus kepada kepentingan pengajian dan negara," ujarnya.
Mengulas isu yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Bangi, Dr Shafie Abu Bakar pula berharap agar KPT dapat bersikap telus dalam keterbukaan yang diamalkan ketika melaksanakan pindaan Auku kelak.
"Harapnya jangan 'double standard' kerana jika dilihat kepada mahasiswa di luar negara terdapat kelab parti politik seperti kelab umno luar negara,"katanya.
Sungguhpun begitu, pihaknya masih melihat perkembangan mengenai pindaan Auku tersebut sebagai suatu yang positif apabila mahasiswa diberikan peluang untuk menjemput mana-mana pemimpin politik.
"Ia suatu yang positif dan sangat dialu-alukan kerana mahasiswa merupakan golongan terpelajar yang boleh menilai mengenai hasrat pemimpin dan kerajaan yang memerlukan keterbukaan," ujarnya lagi.
Namun, beliau yang merupakan bekas pensyarah jabatan Persuratan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia meminta pihak KPT mendedahkan pindaan tersebut kepada umum.
"Kita hendak tahu mengenai pindaan keseluruhan didedahkan terutamanya mengenai IPT supaya ianya dapat dinilai kerana semuanya tiada erti memandangkan golongan mahasiswa ini merupakan generasi pelapis pemimpin pada masa akan datang.
"Jika pandangan mereka dikongkong, ianya akan mempengaruhi kecenderungan dan sikap mereka," katanya./wann _

Perak sediakan RM2 juta bantu pelajar ke IPTA

Johari Jaafar Sun Jul 27, 08 2:17:30 pm MYT
IPOH, 27 Julai (Hrkh) - Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan peruntukan RM2 juta membantu pelajar di negeri ini yang melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi awam (IPTA).
Melalui peruntukan ini peruntukan ini ibubapa yang berpendapatan RM1500 sebulan layak mendapatkannya, kata Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Muhammad Nizar Jamaluddin.
"Kita cuma dapatkan sediakan RM2 juta untuk membantuqan anak anak Perak melanjutkan pelajaran ke IPTA bagi keluarga yang berpendapatan RM1500 sebulan.Inilah yang kita mampu berikan untuk tahun ini dan bantuan ini akan dikendalikan Yayasan Perak."
Muhammad Nizar Jamaluddin berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyampaian Dermasiswa kepada 55 orang pertama yang terpilih di sini Sabtu 26 Julai.
Turut hadir di majlis itu, Pengerusi Yayasan Perak, Roslan Shahrom; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr. Abdul. Rahman Hashim; Exco pengajian Tinggi, Thomas Su; Ahli-Ahli Exco Kerajaan Perak; Adun Titi Serong Drs Khalil Idham Lim; Pengurus Besar Yayasan Perak, Jamil Mat Kasa; Ketua Sektor Pembangunan dan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Perak, Mohd Idris Ramli, dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Perak.
Mengulas lanjut, Mohammad Nizar berkata, yayasan akan bertindak adil dalam menyalurkan bantuan tersebut tanpa mengira ideologi politik dan kaum.
Yayasan katanya tidak memilih kasih dan bantuan ini diberikan sebagai penghormatan kepada mereka yang telah berjaya.
"RM2 juta ini adalah peruntukan dari belanjawan tambahan dari kerajaan yang baru kerana kita amat perihatin dengan permasalahan rakyat kesan dari kenaikan harga minyak," jelasnya./wann _

Tuesday, July 22, 2008

Akibat sokong pembangkang, kontraktor disenarai hitam

Wan Nordin Wan Yaakob Wed Jul 23, 08 02:49:17 pm MYT
KUALA LUMPUR,23 Julai (Hrkh) - Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrisnan mendakwa seorang Ahli Parlimen Umno di Johor telah menulis surat kepada seorang jurutera sebuah agensi kerajaan agar menyenaraihitamkan kontraktor yang menyokong pembangkang. -
Semasa mencelah ucapan Dr Mohd Puad Zarkahsi (BN-Batu Pahat) dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan pada 16 Julai lalu, Gobalakrishnan berkata, "Saya ada satu surat di mana ditulis oleh seorang Melayu kepada jurutera daerah yang berbangsa Melayu, kononnya surat ini menyatakan dengan segala hormatnya, pendaftaran Kontrak Kelas F, (Melayulah), di atas dirujuk.
"Bersama-sama ini dilampirkan senarai nama-nama kontraktor yang sudah kami semak dan perlu disenaraihitamkan kerana mereka adalah penyokong dan bersimpati kepada PartiPembangkang," kata Gobala memetik salinan surat yang diperolehinya itu.
"Ini adalah surat daripada Yang Berhormat Batu Pahat. Jadi adakah Yang Berhormat Batu Pahat menafikan ini? Ini Yang Berhormat Batu Pahat seorang Melayu, mahu senarai hitamkan kontraktor-kontraktor Kelas F, kesemuanya kontraktor Kelas F, mereka adalah orang-orang Melayu. Jadi, apa surat ini?,"soalnya.
Sementara itu, Puad dalam menjawab isu itu berkata, beliau hanya meyatakan soal keadilan kerana baginya ada sesetengah kontraktor yang mendaftar 50 syarikat di bawah satu pemilik yang sebenarnya.
Namun, Gobala yang tidak berpuas hati dengan ulasan Puad itu berkata, dalam surat itu tidak disebutkan soal pendaftaran 50 syarikat di bawah satu nama, sebaliknya isu menyokong pembangkang yang menjadi alasan senarai hitam. - mks._

RM42.5 juta tampung operasi Majlis Harga Barang?

Wan Nordin Wan Yaacob Wed Jul 23, 08 02:46:27 pm MYT
KUALA LUMPUR,23 Julai (Hrkh) - Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution mendedahkan bahawa RM42.5 juta dikehendaki untuk tampung perbelanjaan operasi sekretariat Majlis Harga Barang Negara dan melantik secara kontrak 2,000 graduan sebagai pegawai pemantau harga.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-undang perbekalan Tambahan di Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu.
Beliau menyatakan bahawa berdasarkan pengumuman Perdana Menteri pada 22 Januari lalu, fungsi Majlis Harga Negara adalah untuk menstabilkan harga barang keperluan.
"Saya kira membahaskan tentang Majlis Harga Barang ini, dia tak boleh dipisahkan dengan isu inflasi. Saya memetik tiga perkara untuk kaitkan bagaimana isu Majlis Harga Barang Negara ini dengan inflasi.
"Saya masih ingat ketika Yang Berhormat Menteri membentangkan usul tempoh hari, sejurus selepas kerajaan menaikkan harga minyak dengan andaian bahawa inflasi akan dapat dikawal dan defisit dapat dikurangkan,"katanya.
Saifuddin seterusnya memetik tiga pandangan pakar ekonomi, yang pertama, Gabenor Bank negara, Tan Sri Dr. Zetty Akhtar bahawa kadar inflasi bulan Jun sudah menjangkau 6 peratus akibat kenaikan mendadak harga petrol dan diesel.
Profesor Emeritus Dr. Arif Karim pula pada 11 Julai yang lepas, berkata, 'policy option'untuk negara ini adalah terhad kerana mengalami defisit belanjawan bagi 10 tahun yang lepas.
Justeru beliau melihat bahawa peruntukan sebanyak RM42.5 juta (bagi sekretariat) adalah merupakan 'knee jerk reaction', 'korek lubang' dan 'tutup lubang' sebab pendekatan ini yang bersifat jangka pendek.
Ujarnya lagi, ia tidak langsung mengatasi masalah kekurangan bekalan barangan keperluan dan menjamin harga barangan stabil di negara ini untuk tempoh jangka masa panjang.
"Saya berpendapat oleh kerana kerja-kerja pemantauan harga yang dikelolakan oleh Majlis Harga Barang Negara sehingga kita perlukan RM42.5 juta untuk perbelanjaan operasi sahaja. Ini baru sekretariat sahaja ini ? perbelanjaan operasi," katanya. - mks. _

Monday, July 14, 2008

Usul ketidakpercayaan ditolak, MP Pakatan Rakyat keluar dewan

Azamin Amin & Wan Nordin Mon Jul 14, 08 3:27:52 pm MYT
TerkiniKUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh) - Seperti dijangkakan, speaker telah menolak usul ketidakpercayaan yang dibawa oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini. -->
Tindakan speaker yang menolak untuk dibawa ke dewan usul tersebut telah menyebabkan Ahli-ahli Pakatan Rakyat bertindak bangun dan keluar dari persidangan yang sedang berlangsung.
Berikut adalah kronologi peristiwa
1.00 petang: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar daripada dewan hari ini sebagai protes terhadap speaker yang tidak membenarkan usul dibawa ke dalam dewan.
Sementara itu, Wan Azizah dalam sidang medianya sebentar tadi melahirkan kekesalannya atas perintah mahkamah yang dikeluarkan untuk menghalang Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada hadir ke parlimen.
11.35 pagi: Masih tiada sebarang maklumat mengenai keputusan usul yang dibawa oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
11.30 pagi: Wartawan yang menemui pimpinan Pakatan Rakyat di luar parlimen sebelum ini melahirkan rasa terkejut dan mengakui tidak mengetahui sebarang usaha dan rancangan untuk mengadakan demonstrasi oleh sesiapa. Sehingga kini, wartawan dari media alternatif masih tidak dibenarkan masuk.Dan
10.30 pagi: Dilaporkan pihak berkuasa dengan kekuatan seramai 200 anggota polis, 100 orang anggota berpakaian preman dan 4 trak FRU berkawal di sekitar parlimen. Sementara itu, wartawan dan jurugambar dari media alternatif termasuk dari agensi asing turut dihalang dan berlegar di luar bangunan parlimen
10.10 pagi: Media alternatif termasuk dari Harakah, Malaysiakini dan WebTVPAS dihalang dari masuk ke parlimen dengan alasan tidak mempunyai pas rasmi
9.45 pagi: Wartawan Harakah yang ingin membuat liputan sidang Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini masih lagi menunggu giliran untuk masuk ke kawasan tersebut.
9.30 pagi: Wartawan Harakah dan petugas media lain telah 'dipaksa' berjalan kaki sejauh hampir sekilometer daripada pintu pagar Parlimen dan sebarang kenderaan media tidak dibenarkan masuk.
Sehingga berita ini ditulis, hanya kenderaan Ahli Parlimen sahaja yang dibenarkan masuk.
8.30 pagi: Jalan raya sekitar Kuala Lumpur dilaporkan sesak akibat beberapa sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak polis.
7.30 pagi: Pengguna jalan raya memberikan laporan bahawa pihak polis telah melakukan sekatan ke jalan-jalan yang menuju masuk ke Kuala Lumpur dan sekitar kawasan parlimen.
Sebelum ini,Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata langkah keselamatan itu terpaksa diambil selepas beliau mendapat maklumat satu demonstrasi besar-besaran akan diadakan oleh pihak pembangkang sama ada di dalam ataupun di luar kawasan Parlimen.
Ia ekoran tindakan Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail mengetuai 14 ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul ketidakpercayaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kepada Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang akan memutuskan sama ada menerima atau menolak usul itu, Isnin ini.
"Saya difahamkan, sama ada usul ini akan diterima ataupun ditolak, saya telah mendapat maklumat satu demonstrasi besar-besaran akan dibuat sama ada di dalam atau di luar kawasan Parlimen, Isnin ini,"dakwanya.
Nazri berkata pihak polis akan membuat kawalan yang ketat dan hanya akan membenarkan ahli Parlimen sahaja masuk ke dalam kawasan Parlimen.
"Saya telahpun menghubungi Speaker memaklumkan tentang tindakan yang saya ambil ini, semata-mata untuk keselamatan ahli-ahli Parlimen dan juga kawasan Parlimen.
"Keselamatan Anggota-anggota Parlimen dan keselamatan kawasan Parlimen adalah diutamakan dan kita tidak mahu apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku dalam kawasan Parlimen," katanya lagi.
Ditanya sama ada pihak media yang membuat liputan akan turut terjejas dengan langkah keselamatan tersebut, Nazri berkata perkara itu adalah terpulang kepada pihak polis.
"Media, memanglah mereka bertugas. Jadi apa juga tindakan yang diambil oleh pihak polis itu terpulang kepada budi bicara mereka kerana akhirnya polis yang bertanggungjawab di atas keselamatan di kawasan itu," katanya. - mks._

Wednesday, July 2, 2008

Syed Hamid dirayu benarkan tahanan ISA lawat anak yang koma di hospital

Roy Rasul Thu Jul 03, 08 2:37:03 pm MYT
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Hrkh) - Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Syed Albar dirayu supaya membenar tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Shahrial Sirin untuk menziarah anak sulungnya, Aina Mardiah Shahrial, 17, yang sedang koma di Hospital Kajang, Selangor.
Menurut Pengerusi Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuh ISA (GMI), Norlaila Osman, Aina berada dalam keadaan koma disebab terjatuh di rumahnya semalam.
Katanya, dalam keadaan kritikal begitu menteri sewajarnya membenarkan tahanan berjumpa anaknya yang hanya bergantung kepada mesin jangka hayat.
Beliau yang dihubungi Harakahdaily hari ini berkata, setakat ini keluarganya difahamkan bahawa pihak Kem Tahanan Kamunting tidak membenarkan Shahrial keluar daripada kem kerana belum kebenaran menteri bertanggungjawab.
"Walaupun sudah diberitahu kepada pihak kem tetapi kena dapat surat dari menteri dulu dan masalahnya sekarang, bukan mudah untuk mendapat tandatangan menteri," katanya.
Dalam kejadian semalam, pesakit yang tinggal bersama ibunya, Siti Fatma Masrun, di Hulu Langat, terus pengsan biarpun tidak serius semasa terjatuh.
"Saya difahamkan oleh doktor yang merawatnya semalam Aina berkemungkinan mengidap darah beku dalam otak sejak kecil lagi.
"Jadi apabila dia jatuh berkemungkinan darah bekunya itu mpecah dan merebak ke seluruh otak hingga menyebabkan dia pengsan dan seluruh organnya tidak berfungsi," cerita Norlaila.
Norlaila yang melawat Aina hari ini berkata, Aina dalam kritikal dan bergantung kepada mesin jangka hayat," katanya.
"Paling menyedihkan ayahnya tidak mendapat kebenaran untuk dibawa ke hospital walaupun anaknya dalam kritikal" katanya. - mr _

Tuesday, July 1, 2008

Mustafa Ali puji, tegur MB Pakatan Rakyat

Azamin Amin Wed Jul 02, 08 11:13:57 am MYT
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Hrkh) - Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato' Mustafa Ali sentiasa menjadi antara 'buruan' pihak media kerana dilihat sering memberi pandangan tajam dan idea bernas berhubung isu-isu semasa.
Kini buah fikirannya itu boleh dibaca melalui blog peribadi beliau yang dilancarkan baru-baru ini.
Blog yang dikenali sebagai Politik Malaysia di http://padapendapatsaya.blogspot.com/ itu turut memuatkan kritikan, teguran serta kekaguman beliau terhadap Menteri-menteri Besar Pakatan Rakyat.
"Tujuan saya menyertai menyertai bloggers adalah untuk sama-sama memberikan sumbangan dan pengalaman dalam dunia politik Malaysia.
"Saya yakin, apa yang ada ini jika tidak dikongsi bersama akan hilang ditelan zaman.Selamat berkenalan di dunia baru saya ini," kata Mustafa yang juga AJK PAS sewaktu menghantar posting yang pertama pada 24 Jun lalu.
Sementara itu dalam blog tersebut, beliau turut menasihati agar kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Sri Mohamad Nizar Jamaludin agar berhati-hati dalam membuat kenyataan yang akan memberi kesan kepada kerajaan itu dalam jangka masa panjang.
"Sebagai Menteri Besar, beliau harus berhati-hati dalam membuat sesuatu kenyataan. Beliau harus membuat kajian teliti terlebih dahulu dan mengambil kira pelbagai pihak termasuk pimpinan masyarakat samada yang menyokong kerajaan atau tidak bersama kerajaan, " kata Mustafa.
Tidak terkecuali mendapat teguran ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mana Mutafa Ali menyifatkan 'style' tindakan Khalid dalam satu-satu isu seumpama tindakan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam sebuah syarikat korporat.
Baginya seorang Menteri Besar kepada sebuah kerajaan negeri mesti banyak membuat rujukan kepada pimpinan kerajaan negeri yang lain dan parti sebelum bertindak.
Sungguhpun begitu beliau secara peribadi mengucapkan tahniah kepada Khalid atas sikap berani dan tegasnya dalam tindakan beliau menggantung Pegawai Khas, Yahaya Shaari selama dua bulan selepas Yahaya disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah atas tuduhan salah guna kuasa.
"Tindakan ini adalah without fear or favour. Bagi saya ini tidakan berani dari Khalid dan dibuat tanpa takut akan implikasi politiknya," katanya.
Dalam kes Pulau Pinang pula, beliau sependapat dengan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng dalam kepentingan menjaga alam sekitar malah semua pihak sensitif dengan tindakan kerajaan negeri Kedah untuk mengambil balak di dalam kawasan tadahan air di negeri itu.
"Namun demikian, sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat, Lim Guan Eng tidaklah boleh menyerang Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak begitu sahaja tanpa merujuk dan secara yang berlapik," katanya
"Saya bukanlah suka sangat hendak mengkritik begitu sahaja tetapi kalau masing-masing sudah membuka ruang dan menghentam satu sama lain secara terbuka atau dengan bahasa undang-undangnya 'open the pandora box', kita kena masuk jugalah," kata Mustafa dalam blognya itu./wann _

Kesan kenaikan harga minyak, jangan abaikan pesara - Nasharudin

Nyza Ayob Wed Jul 02, 08 11:07:14 am MYT
KUALA LUMPUR, 2 Julai(Hrkh) - Ustaz Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) menyarankan agar kerajaan tidak mengabaikan golongan pesara kerajaan tatkala golongan ini turut merasai beban kenaikan harga minyak ketika ini.
Beliau berkata demikian sewaktu membahaskan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke -9 di Dewan Rakyat semalam.
Katanya, kesan kenaikan kos hidup begitu membebankan seluruh rakyat termasuk golongan yang bergantung semata-mata pada pencen.
Katanya tuntutan yang dibuat Persatuan Pesara Kerajaan baru-baru ini wajar diberi perhatian oleh kerajaan memandangkan jasa golongan kepada negara.
Jelas Nasharudin, antara tuntutan pesara ini ialah agar kadar pencen tidak lagi dibayar berdasarkan separuh daripada gaji pokok terakhir tetapi dinaikkan sebagaimana amalan di negara lain.
Tambahnya, di negara seperti Sri Lanka dan Singapura, pencen pesara kerajaan dibayar rerdasarkan seratus peratus gaji pokok terakhir sebelum bersara.
"Jika tidak dinaikkan pada kadar 100 atau 90 peratus, sekurang-kurangnya antara 60 ke 75 peratus buat peringkat permulaan,"katanya.
Sementara itu,dalam ucapannya juga Nasharudin mengharapkan kerajaan lebih serius dalam membangunkan kewangan Islam.
Katanya, beberapa badan dan agensi kewangan dan pelaburan milik kerajaan termasuk yang memperjuangkan ekonomi bumiputera sebenarnya masih menjalankan kaedah ekonomi konvensional.
"Saya juga yakin ramai yang akan mengalukan sekiranya KWSP setakat Mac 2008 telah mengumpulkan caruman sejumlah 320.32 bilion dikendali dan diurus mengikut sistem kewangan Islam.
"Bagaimana kita mahu berjaya dalam meningkatkan perjuangan ekonomi bumiputera tetapi kita membelakangkan kehendak dan tuntutan syariat,"katanya.
Dalam ucapannya, Nasharudin turut menyentuh mengenai kadar kemiskinan rakyat tetap meningkat walaupun kerajaan mengatakan ianya telah berkurangan.
"Perdana Menteri mensasarkan di penghujung Rancangan Malaysia ke -Sembilan nanti pada 2010 kemiskinan tegar dapat dihapuskan.
"Kita mendoakan agar kemiskiann tegar ini dapat dihapuskan walaupun ia hampir pasti tidak dapat dilakukan. Cuma, apakah langkah-langkah yang sedang dan bakal diambil dan apakah langkah-langkah tersebut realistik untuk menghadapi kebarangkalian bagi menghapuskan kemiskinan tegar," katanya.
Nasharudin kecewa kerana masih terdapat sekolah-sekolah di kawasan luar bandar yang agak dhaif yang perlu diberi perhatian kerajaan./wann _