Saturday, June 9, 2007

Enam dilantik AJK PAS Pusat, Mahfuz sebagai Ketua Penerangan

Azamin Amin Sun Jun 10, 07 01:22:08 AM
KUALA LUMPUR, 9 Jun (Hrkh) - Mesyuarat Pertama PAS Pusat sesi 2007-2009 yang selesai tengah malam tadi telah melantik enam AJK PAS Pusat yang baru sebagai tambahan kepada saf barisan kepimpinan yang dipilih pada Muktamar PAS yang ke-53 baru-baru ini.
Mereka terdiri daripada Dato' Harun Taib, Ustazah Azizah Khatib Mat, Haji Wan Mutalib Embong, Haji Asmuni Awi, Anuar Tahir dan Dr. Mariah Mahmud.
Manakala bagi jawatan Setiausaha dan Bendahari Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dan Dr Hatta Ramli masing-masing mengekalkan jawatan tersebut.
Mesyuarat yang bermula jam 9 malam itu juga, turut melantik Haji Mahfuz Omar selaku Ketua Penerangan PAS Pusat yang baru manakala Pengarah Pilihanraya PAS Pusat kekal disandang oleh Dato' Haji Mustafa Ali.
Demikian menurut satu senarai penuh Jawatankuasa PAS Pusat yang dibaca oleh Ketua Pemuda PAS Salahudin Ayub kepada Harakahdaily.net yang turut disertai oleh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebaik sahaja mesyuarat tamat kira-kira 12 tengah malam di Pejabat Agung PAS dekat sini.
"Bagi Pesuruhjaya Negeri pula, hanya Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sarawak sahaja yang menampilkan muka baru manakala yang lain-lain kekal seperti biasa," kata Salahudin.
Pesuruhjaya Negeri (PJ) Pulau Pinang yang baru ialah Ustaz Salleh Man, Haji Zulkifli Mohd Omar sebagai (PJ Negeri Sembilan) dan Ustaz Haji Osman (PJ Sarawak), katanya.
Selain itu bagi negeri Perlis masih mengekalkan Ustaz Hasim Jasin sebagai PJ, Ustaz Azizan Abdul Razak (PJ Kedah), Ustaz Ahmad Awang (PJ Perak), Ustaz Mohamad Nor (PJ Wilayah Persekutuan), Dato'Dr Hassan Ali(PJ Selangor) dan Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman (PJ Melaka).
Bagi Pahang pula, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man kekal sebagai PJ negeri, Dato' Mustafa Ali (PJ Trengganu), Dr Mahfodz Muhd (PJ Johor), Haji Muhammad Abdullah (PJ Sabah) dan Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Pesuruhjaya Negeri Kelantan.
"Bagi Lajnah-lajnah dan senarai ahli lembaga Pengarah Harakah pula, ianya akan diumumkan kemudian," kata Salahudin.
Sebelum itu, pada sebelah paginya telah diadakan Mesyuarat Dewan Pemuda PAS yang telah pun melantik ahli jawatankuasa masing-masing manakala dijangka hari ini (Ahad) jam 10 pagi, akan diadakan pula Mesyuarat pertama bagi Dewan Muslimat PAS Pusat.-Az

No comments: