Monday, June 18, 2007

Harga minyak turun jika BA diberi mandat

Zaili Muhammad Mon Jun 18, 07 03:30:55 PM
BUKIT KATIL, 18 Jun (Hrkh) - Seandainya diberi mandat dalam pilihan raya umum akan datang oleh rakyat, Barisan Alternatif (BA) akan memastikan antara perkara utama yang dilakukan dalam memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara adalah dengan menurunkan harga minyak.
Kebajikan dan keselesaan rakyat di dalam sesebuah negara adalah menjadi tanggungjawab utama pemerintah yang peka dan dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi.
Menurut Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad semasa ditemui Harakahdaily, bahawa sepatutnya yang berlaku ialah kerajaan menjadi kuli kepada rakyat sebab rakyat yang memilih mereka.
"Akan tetapi sebaliknya yang berlaku pula sebagaimana kita lihat, selepas memenangi pilihan raya Umno dan Barisan Nasional menindas dan menzalimi rakyat dengan pelbagai tekanan serta menjadikan rakyat seperti kuli.
"Ini adalah kerana mereka beranggapan rakyat Malaysia mudah diperdayakan pada setiap kali pilihan raya dan mereka juga yakin boleh memenanginya melalui pelbagai helah dengan dibantu Suruhanjaya Pilihan Raya," kata beliau.
Ustaz Idris selanjutnya menerangkan perbezaan Kerajaan Kelantan yang diperintah oleh PAS dalam usaha membantu rakyat dan memberi kebajikan serta keselesaan kepada mereka.
"Di Kelantan kita memperkenalkan 'Takaful Kifalah' yang diberi kepada semua rakyat negeri tanpa mengambil kira perbezaan agama atau bangsa mahupun fahaman politik.
"Kerajaan negeri juga bersetuju dengan cadangan Kerajaan Pusat untuk membina lebuh raya di Kelantan dari Kuala Krai ke Kuala Lumpur tapi dengan syarat tiada tol kerana tidak mahu membebankan rakyat yang sudah merasai kesan dari pelbagai kenaikan harga barang.
"Inilah dia kerajaan yang berjiwa rakyat, kerajaan yang menjaga kebajikan rakyat, kerajaan yang boleh memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan inilah kerajaan yang boleh dipanggil 'kuli rakyat', patutnya rakyat menjadi tuan bukannya menjadi kuli," tegas beliau.
Beliau juga mengulangi seperti apa yang dikatakan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa kalau BA memerintah Malaysia, BA akan turunkan harga minyak sebanyak 50 sen bagi memberi keselesaan kepada rakyat.
"Arab Saudi apabila harga minyak dunia naik, harga minyak dalam negaranya diturunkan dan gaji kakitangan dinaikkan, inilah pemimpin yang berjiwa menolong rakyat, kita negara pengeluar minyak sepatutnya dalam negeri murahlah.
"Tapi tidak berlaku dalam negara kita malahan Pak Lah memberi alasan kenaikan harga minyak dunia menyebabkan kerajaan tidak mampu menanggungnya lagi ketika menaikan harga minyak di negara kita," tambahnya. - mks.

No comments: