Sunday, June 17, 2007

Kes Altantuya: Hakim tolak permohonan Karpal18-06-2007 12:39:39 PM

SHAH ALAM: Perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu diteruskan hari ini setelah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yassin yang mendengar kes itu menolak permohonan peguam pemerhati bagi keluarga mangsa, Karpal Singh, supaya perbicaraan kes berprofil tinggi itu didengar oleh hakim lain.
Karpal Singh, dalam permohonannya sejurus prosiding bermula mendakwa Mohd Zaki mempunyai pertalian kekeluargaan dengan isteri Hazman Ahmad, yang merupakan peguam bela tertuduh pertama iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri hingga boleh menyebabkan perbicaraan kes itu menjadi berat sebelah.
Mohd Zaki dalam keputusan lisannya berkata isteri Hazman telah meninggal dunia dan perkara itu tidak akan menjejaskan kredibiliti mahkamah untuk mendengar dan memberikan keputusan yang adil dalam perbicaraan berkenaan.
Hakim itu berkata beliau layak mendengar perbicaraan itu kerana pertaliannya dengan arwah isteri Hazman hanyalah tiga pupu.
Beliau kemudian turut menolak satu lagi permohonan Karpal Singh untuk menyoal saksisaksi kerana menurutnya perbicaraan itu hanya memerlukan penglibatan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Azilah, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, yang sebelum ini bertugas di Unit Tindakan Khas (UTK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman didakwa membunuh Altantuya, 28, seorang model di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini antara pukul 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt tahun lepas.
Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, didakwa bersubahat membunuh Altantuya, dengan Azilah dan Sirul Azhar di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini antara pukul 9.54 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Okt tahun lepas.
Jika sabit kesalahan, ketigatiga tertuduh boleh dihukum mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA

No comments: