Tuesday, June 19, 2007

Gelaran'Sir' kepada Salman Rushide: Sepatutnya Malaysia negara pertama mengutuk

Johari Jaafar Tue Jun 19, 07 10:56:33 AM
IPOH, 19 Jun (Hrkh) - "Sepatutnya Malaysia negara pertama yang mengutuk keputusan Britain untuk menganugerahkan gelaran 'Sir' kepada Salman Rushidie, bukannya Iran kerana Perdana Menteri Malaysia adalah Pengerusi Pertubuhan Negara- Negara Islam".
Demikian ditegaskan oleh Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Misbahul Munir Haji Masduki, yang diminta mengulas tindakan Iran yang membantah pemberian anugerah 'Sir' oleh Britain kepada penulis buku 'Surah-Surah Syaitan'.
Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri yang sentiasa 'mendendangkan lagu Islam hadhari' sewajarnya menjadi pelopor mengutuk keputusan Britain untuk memberikan pengiktirafan kepada penulis novel `Surah-Surah Syaitan' itu.
"Walau bagaimanapun kita mengucapkan syabas kepada Iran yang mengutuk keputusan Britain itu, malah kita mahu seluruh negara Islam turut sama mengutuk tindakan tersebut," katanya.
Ekoran tindakan Salman menulis buku tersebut beliau terpaksa hidup dalam persembunyian selama sepuluh tahun selepas Ayatullah Khomeini mengerluarkan kenyataan kepada mana-mana orang yang dapat membunuh Sallman diberikan ganjaran yang mahal.
Menurut Misbahul, Britain sengaja mahu mencetuskan kembali kemarahan umat Islam apabila berhasrat menganugerahkan gelaran `Sir' kepada Salman Rushdie..
"Apa jasa yang dibuat oleh Salman hinggakan Britian mahu memberikan penghormatan setinggi itu, tidak ada jasa yang dibuatnya melainkan menghina Islam dan Al-Quran.
"Sekiranya Britain masih mahu juga memberikan pengiktirafan itu bermakna negara itu turut bersekongkol dengan Salman menghina Islam, ini satu tindakan yang tidak boleh dimaafkan oleh umat Islam," tegasnya.
Britain tidak sepatutnya memberikan penghormatan kepada Salman yang ternyata telah menghina al-Quran dan Islam kerana tindakan memberikan anugerah itu samalah dengan menghina al-Quran dan Agama Islam , jelasnya.
"Apakah Britain mahu memjadi pembela kepada orang yang telah menghina Islam?," tanya beliau. Beliau menyeru seluruh umat Islam mengutuk tindakan Britain untuk memberikan anugerah kepada Salman Rushdie itu. - mns

No comments: