Tuesday, June 5, 2007

Berita berbau fitnah: Misbahul Munir bercadang saman akhbar

Basiron Abdul Wahab Tue Jun 05, 07 03:57:04 PM
TEMERLOH 5 Jun (Hrkh) – Bekas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Misbahul Munir Masduki akan mengambil tindakan undang-undang terhadap media arus perdana yang didakwa telah memfitnahnya melalui berita yang disiar pada 3 Jun lalu.
Menurutnya, akhbar berkenaan jelas tidak beretika dan telah memfitnahnya dengan mengatakan beliau adalah wakil PAS Perak yang berucap ketika membahaskan ucapan terima kasih kepada dasar presiden PAS pada Muktamar Agong PAS ke–53 di Pusat Tarbiyyah Islamiah, Kelantan (Putik) 2 Jun lalu sedangkan wakil Perak yang berucap itu bukanlah beliau.
“Akhbar berkenaan jelas tidak berakhlak kerana memetiknya sebagai wakil PAS Perak yang berucap membahas ucapan dasar presiden, sedangkan yang berucap itu bukan saya, kenapa tulis nama saya,” soalnya.
Difahamkan, akhbar Mingguan Malaysia melalui berita muka depannya bertajuk ‘Dewan Ulama PAS Ibarat Tin Kosong‘ memetik wakil Perak, Misbahul Munir Masduki mengatakan Dewan Ulama PAS hanya hidup dalam kepompong sendiri dan tidak berperanan dalam usaha mencelikkan rakyat terutama ketika berdepan dengan pelbagai isu yang melibatkan kepentingan umat Islam.
Manakala akhbar Berita Minggu dalam ruangan analisinya di muka 12 bertarikh 3 Jun turut memetik Misbahul Munir sebagai pembahas, mahu sayap parti itu bersikap lebih proaktif dalam menghurai pelbagai isu berbangkit tanpa terhad kepada ceramah dan kuliah di markaz semata-mata.
Menurut beliau, ekoran laporan berita yang salah dan tidak benar itu, menyebabkan beliau menerima banyak panggilan telefon serta sms daripada individu yang tidak berpuas hati dengan ucapan yang tidak diucapkanya itu.
“Saya banyak menerima panggilan telefon serta sms daripada individu yang mempersolkan dan marah-marah merujuk kepada berita media terbabit,” ujarnya.
Katanya, belau memandang serius perkara itu dan telah mengarahkan peguamnya untuk meneliti kes berkenaan dan seterusnya mengambil tindakan mahkamah dalam masa terdekat. - mns

No comments: