Azamin Amin Tue Jun 19, 07 12:35:37 PM
KUALA LUMPUR, 19 Jun (Hrkh) - Tindakan TV3 yang sanggup membelanjakan RM7 juta untuk sebuah program pertandingan nyanyian berkumpulan baru-baru ini amat dikesali dan didakwa mencambahkan budaya hedoisme yang semakin parah di kalangan remaja di negara ini.
AJK PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad berkata hiburan melampau atau hedoisme yang lahir daripada program-program realiti TV semakin tidak terkawal dan mengakibatkan kesan yang huruk kepada akhlak dan fikrah remaja yang secara langsung mendatang kesan sosial yang kronik kepada negara.
"Adalah lebih mulia dan baik bagi media seperti TV3 menyumbangkan jutaan ringgit itu kepada mereka yang memerlukan daripada menggalakkan masyarakat lalai dan khayal dengan hiburan supaya lari daripada menghayati realti kehidupan yang sebenar," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Seiring dengan rancangan Bersamamu yang mengalakkan rakyat dan penonton menderma kepada yang susah, Tv3 sepatutnya menjadi contoh terlebih dahulu dan melakukan perkara yang sama,bukannya mementingkan nilai komersial semata-mata yang ada antaranya merosakkan fikrah remaja" katanya lagi.
Tambahnya lagi, jika sebuah rumah kos rendah boleh dibina dengan jumlah RM30,000, dengan jumlah RM7 juta tersebut sudah pasti dapat menyelamatkan ribuan rakyat yang hidup susah, merempat dan tiada tempat berteduh akibat daripada bencana alam, kemalangan ataupun disebabkan oleh kemiskinan.
Kos tersebut juga dapat menampung yuran persekolahan dan pendidikan bakal pemimpin masa hadapan seperti anak-anak yatim dan anak-anak keluarga miskin yang semakin membebankan sehingga menyebabkan mereka kandas dalam pelajaran dan tidak dapat meneruskan pengajian mereka.
Beliau diminta mengulas laporan bahawa rancangan Gang Starz terbitan TV3 yang menelan kos penganjuran dan penerbitan terbesar berjumlah RM7 juta dan turut menyediakan hadiah wang tunai paling lumayan dalam sejarah penganjuran pertandingan nyanyian di negara ini iaitu AS$100,000 (RM343,985) untuk juaranya.
Malah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Dato' Farid Ridzuan dilaporkan memberi jaminan akan mengadakan rancangan dengan 'lebih hebat' pada masa akan datang.
“Insya-Allah kami akan menganjurkan Gang Starz yang lebih besar pada tahun depan,” katanya dalam satu sidang akhbar.
Kata Idris,program dan rancangan hiburan seperti ini secara sedikit demi sedikit telah menerapkan nilai-nilai yang rosak kepada pemikiran remaja yang mengakibatkan mereka lalai kepada pelajaran dan malas untuk meneruskan pendidikan.
"Remaja akan berpendapat bahawa bakat lebih penting daripada ilmu pendidikan kerana program dan rancangan hiburan telah 'mengajar' mereka menjadi sebegitu rupa,yang ahirnya mengabaikan pelajaran dan menggalakkan ponteng sekolah" katanya lagi.
Selain itu dakwanya, budaya hedoisme ini dianggap sebagai salah satu agenda kerajaan dengan kerjasama media untuk mematikan kesedaran politik di kalangan masyarakat khususnya para remaja supaya lupa dan tidak sensitf kepada masalah yang berlaku dalam negara seperti gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa, kadar jenayah yang meningkat dan masalah beban kos sara hidup yang semakin tinggi dari masa ke semasa.
"Macam di Indonesia sewaktu era Suharto, rakyatnya digula-gulakan dengan hiburan melampau supaya lupa realiti bahawa mereka terpaksa tidur di dalam kotak-kotak dan kaki lima," katanya
Jika tidak dibendung dengan segera kata Idris akan memberi implikasi yang besar dan kesan buruk akan dilihat dalam jangka masa 50 tahun akan datang.
"Akan lahirlah generasi muda yang kosong pengisian ilmu dari sudut mental dan spiritual mereka, bila terlalu lalai dan seronok dengan hiburan yang disogokkan," katanya lagi.
Isu hiburan melampau ini juga pernah diulas oleh Mufti Negeri Perak, Dato' Seri Dr Hj Harussani di dalam laman web Jabatan Agama Islam Perak dua tahun lalu yang menyatakan bahawa umat Islam kini menghadapi krisis akidah yang sangat membimbangkan dan pengaruh hedoisme, merupakan masalah utama yang melanda remaja masa kini seperti leka asyik memuja artis @ idola mereka.
Harussani sebelum ini juga pernah mengeluarkan fatwa bahawa konsert 'Jom Heboh' anjuran Media Prima Berhad sebagai haram di sisi agama. - mks.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment