Wednesday, June 13, 2007

KeADILan bantah pemindahan Universiti Malaya

Harakahdaily Wed Jun 13, 07 03:20:06 PM
KUALA LUMPUR, 13 Jun (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) membantah pemindahan Universiti Malaya (UM) ke Sepang khususnya untuk sebarang kepentingan komersial yang hanya akan memberikan keuntungan kepada segelintir korporat kaya yang sememangnya sudah tinggi kekayaannya.
"Agak menggusarkan perancangan ini mempunyai dua matlamat, pertama untuk memaksimumkan keuntungan daripada pembangunan di kawasan asal UM; kedua melalui penjualan unit-unit villa dan banglo kepada staf-staf universiti," demikian dikatakan oleh Timbalan Presidennya,Dr Syed Husin Ali, dalam kenyataan media hari ini.
Sebagaimana pembangunan dan projek komersial yang lain di dalam negara, beliau melihat tiada sebarang sensitiviti yang difikirkan oleh pemaju atas kesan pembangunan tersebut terhadap mereka yang berkenaan.
"Usaha untuk memindahkan universiti ini hanya akan menyukarkan kehidupan ribuan staf akademik dan bukan akademik dan keluarga mereka," jelas beliau.
Beliau juga menegaskan bahawa sebarang usaha untuk menginstitusikan perubahan major ke atas UM tidak boleh hanya diputuskan oleh Pentadbiran Universiti tetapi pandangan kesemua staf akademik dan bukan akademik, mahasiswa dan graduan mesti diambil kira.
Guocoland (Malaysia) Berhad, sebuah pemaju hartanah yang dipunyai oleh Tan Sri Quek Leng Chan yang juga memiliki Kumpulan Hong Leong, merancangan untuk membangunkan kawasan UM yang meliputi 750 ekar tanah menjadi kawasan perbandaran dan perumahan komersial.
Dalam masa yang sama, Guocoloand memiliki hartanah seluas 4,860 hektar di Sepang, iaitu sebahagian daripada perancangan untuk membina projek villa dan banglo mewah. Mereka bercadang agar villa dan banglo ini boleh dijual kepada staf-staf universiti sekiranya perancangan memindahkan UM berjaya.
Dr Syed Husin yang juga bekas pensyarah UM dengan sebilangan besar alumni UM turut melahirkan rasa terkejut dan kesal atas perancangan pemindahan tersebut.
"UM dibina di kawasan asal di Petaling Jaya seawal 1959, selepas pemisahan universiti tersebut dari Universiti Malaya di Singapura. Meskipun terdapat usaha-usaha untuk melobi universiti tersebut berhampiran Johor Bahru dan kawasan berhampiran, lokasi tersebut dikekalkan sehingga Universiti Malaya dirasmikan pada 1962," ujar beliau yang mula mengajar di UM sejak awal 70an.
Beliau bersambung, UM dan keadaan geografi, fizikal dan persekitaran sosialnya telah sepenuhnya bersatu dan membangun sebagai sebuah institusi yang menyumbang kepada pendidikan tinggi negara dan memainkan peranan penting ke arah proses pembinaan bangsa dan negara. Malah sebilangan besar graduan universiti ini telah dilahirkan dan menjadi orang penting dalam bidang politik dan pentadbiran di Malaysia kini.
"Universiti Malaya dan Lembah Pantai adalah 'bersatu' jiwanya, dan tidak mungkin boleh dipisahkan. Sewajarnya tidak boleh ada sebarang usaha untuk memisahkan keduanya," tegas beliau. - mks.

No comments: