Anis Nazri Wed Jun 06, 07 10:17:57 AM
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Hrkh) - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa untuk mengambil tindakan dengan memperkukuhkan segala pelaksanaan, kaedah dan cara berkaitan penggunaan dakwat kekal sebelum ia diserahkan untuk persetujuan kabinet.
Jawatankuasa Bersih, Dr Dzulkifli Ahmad, berkata pihaknya tidak mahu segala cadangan yang dikemukakan SPR longgar serta tidak teliti hingga membolehkan kabinet menolak cadangan tersebut.
"Secara dasarnya, ia memang bagus. Tapi kita mahu SPR bersungguh-sungguh dengan kertas cadangan tersebut bagi memastikan segala prosedur dan kaedah pelaksanaan itu dikemukakan secara jelas dan terperinci agar ia tidak ditolak kabinet," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Katanya, Bersih tidak mahu wujudnya masalah-masalah teknikal yang melibatkan kecuaian SPR dalam mengemukakan kertas cadangan tersebut dan kemudiannya memaksa ia dipulangkan semula ke SPR dan dutangguhkan pelaksanaannya.
"Bersih amat berharap SPR bertindak segera dalam perkara ini dan melaksanakan dengan penuh penelitian, sejajar dengan piawai antarabangsa agar ia tidak boleh dipertikaikan lagi," jelas beliau.
Sebelum ini dalam reaksi awalnya, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang PAS secara dasarnya bersetuju dengan cadangan SPR itu, bagaimanapun khuatir perkara itu tidak akan menjadi kenyataan seperti mana beberapa keputusan yang diumumkan oleh SPR sebelum ini.
Malah, katanya, masih terdapat beberapa lagi cadangan pihak pembangkang bagi memastikan perjalanan pilihan raya berjalan secara bersih dan adil belum dipertimbangkan.
"Kita baru tengok berita, itu pun pihak media. Kita tidak terima secara rasmi tetapi kita setuju pada dasar kerana ini satu-satunya dari tiga permohonan yang dibuat PAS dan beberapa NGO kepada SPR yang ditunaikan.
"Sayangnya setakat ini keputusan ini hanyalah pada dasar sahaja sebaliknya pelaksanaannya belum diketahui kerana tiada sebarang perbincangan atau penyataan rasmi yang dibuat SPR kepada PAS.
"Jenis mana dakwat dan panjang mana jari nak dicelup ini bergantung kepada apa yang berlaku selepas ini," tegasnya dalam sidang media di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik), baru-baru ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, SPR bercadang melakukan pembaharuan pada pilihan raya umum ke-12 dengan memperkenalkan pelaksanaan titik dakwat atas kuku pengundi dan peti undi lut sinar bagi mengelakkan penipuan.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, kedua-dua langkah terbaru itu bertujuan untuk memperlihatkan ketelusan di kalangan pengundi dan parti yang bertanding.
“Mengenai sistem titik dakwat, meskipun SPR pada dasarnya telah bersetuju tetapi ia masih tertakluk pada hasil kajian memandangkan cadangan itu tertakluk kepada undang-undang pilihan raya," katanya, baru-baru ini.
Katanya, peti lut sinar itu bagi menggantikan peti besi hitam yang digunakan sejak pilihan raya umum pertama pada 1955.
“Dengan menggunakan peti undi lut sinar semua pihak dapat melihat pergerakan kertas undi dengan lebih mudah. Mereka juga boleh memantau apa jua benda yang terdapat di dalam peti undi itu sama ada kertas undi atau sebaliknya.
“Jika sempat, kita akan cuba laksanakannya pada pilihan raya umum ini,” katanya.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Gerakan, Dato' Seri Chia Kwang Chye dilaporkan bahawa kaedah tersebut tidak wajar dilaksanakan di sebuah negara maju seperti Malaysia terutamanya dengan kecanggihan teknologi sekarang.
“Kalau dulu, kaedah itu digunakan di negara yang tidak mempunyai penyimpanan rekod pengundi yang baik tetapi negara kita mempunyai sistem penyimpanan data yang canggih. Jadi kenapa nak guna kaedah yang ketinggalan zaman ini,” katanya yang juga Timbalan Menteri Penerangan.
Tambah Kwang Chye, SPR sepatutnya mencari kaedah yang tidak menyusahkan diri sendiri atau memastikan bahawa rekod pengundi adalah terkini.
Ujarnya, sistem yang diguna pakai pada masa kini untuk mengesan pengundi hantu adalah baik dan hanya perlu dikemaskini. - mr
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment