Wan Nordin dan Intan Abdullah Mon Jun 18, 07 05:10:07 PM
SHAH ALAM, 18 Jun (Hrkh) - Perbicaraan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang disambung hari ini setelah tertangguh pada 4 Jun lalu mendapat sambutan hangat dari pelbagai pihak.
Seawal jam 6.30 pagi lagi, para wartawan telah bersiap sedia menanti di perkarangan mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mengikuti perbicaraan kes berprofil tinggi yang dikaitkan dengan seorang Penganalisis Politik terkemuka, Abdul Razak Baginda.
Kereta-kereta memenuhi kawasan 'parking' kereta di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam, termasuk di tepi-tepi jalan raya yang turut dipenuhi kenderaan media dari dalam dan luar negara serta pemerhati luar yang membuat liputan kes besar yang telah mencuri tumpuan mereka.
Masing-masing bersiap sedia dengan kamera dan buku catatan bagi mendapatkan maklumat perbicaraan dan gambar Abdul Razak Baginda serta mereka yang terlibat dengan kes tersebut.
Mereka terpaksa bersesak-sesak menanti di tangga dan koridor mahkamah yang telahpun dipenuhi dengan pihak polis dan pegawai-pegawai mahkamah yang bertugas selain ahli keluarga Abdul Razak dan Altantuya.
Setiap kali pintu kamar bilik perbicaraan mahkamah tersebut dibuka, maka serentak dengan itu, para jurugambar menghalakan lensa kamera mereka dan begemerlapankan 'flash' kamera di hadapan pintu kamar. Tidak kiralah yang keluar itu ada kaitan atau tidak dalam kes Altantuya, semuanya menjadi tumpuan rakaman kamera jurugambar maka serentak itulah para wartawan juga menyerbu siapa sahaja yang keluar.
Para wartawan dan jurugambar yang menanti kelibat Abdul Razak di hadapan pintu bilik perbicaraan kecewa kerana tidak dapat menjejakinya setelah Abdul Razak berjaya dibawa keluar oleh pihak berkuasa penjara melalui pintu laluan hakim.
Beberapa lensa kamera yang cekap sempat merakam kelibat Abdul Razak yang dibawa masuk dan keluar melalui pintu belakang Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan kawalan ketat oleh pihak polis dan penjara.
Dalam keadaan kelam kabut itu, beberapa anggota polis yang kelihatan berang dengan keadaan, mengarahkan jurugambar berundur ke belakang jauh dari kawasan kamar perbicaraan.
Kedengaran beberapa orang jurugambar menjawab sinis arahan yang dibuat oleh anggota polis, kerana bagi mereka yang penting lensa kamera mereka mampu mendapatkan gambar tertuduh, peguam-peguam dan keluarga yang terbabit dengan kes pembunuhan tersebut.
Penulis dan rakan sendiri cuba sedaya upaya bagi mendapatkan seberapa banyak maklumat dari setiap peguam mahupun mereka yang keluar dari kamar perbicaraan.
Di dalam kamar, tempat duduk telah penuh sejak awal pagi lagi sementara suasana agak terkawal dengan perbicaraan dijalankan dalam nada suara yang agak perlahan.
Seketika selepas itu Abdul Razak yang kelihatan bergari memakai baju kemeja panjang bewarna biru berseluar hitam digari bersekali dengan dua lagi tertuduh dan dibawa oleh lebih 10 pegawai penjara dan polis yang mengawal pergerakan tertuduh dengan baik.
Kesempatan beberapa minit ketika Abdul Razak melangkah masuk ke kawasan belakang pintu pesalah mahkamah itu dapat diintai oleh lensa kamera jurugambar yang datang dari dalam dan luar negara bagi membuat liputan kes tersebut.
Pada jam 12.15 tengah hari, keluarga dan penyokong Razak Baginda beserta beberapa orang ahli keluarganya kelihatan keluar dengan menaiki lif dengan memakai t-shirt putih Razak Baginda's Brothers.
Sejurus selepas itu, keluarga Altantuya, serta Peguam Pemerhati bagi keluarga Altantuya, Karpal Singh yang keluar dari pintu bilik perbicaraan diserbu oleh pihak media bagi mendapatkan perkembangan terbaru perbicaraan kes Altantuya.
Abdul Razak yang dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dituduh terbabit dalam mengarahkan pembunuhan Altantuya bersama dua lagi tertuduh Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Korporal Sirul Azhar Umar, 35.
Spekulasi demi spekulasi dikeluarkan oleh pihak tertentu yang menyatakan bahawa kes ini ada kaitan dengan nama besar dalam politik tanah air hingga bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pernah mencabar Najib menafikan kaitan beliau dengan kes ini.
Ada sumber yang menyatakan bahawa Abdul Razak atau salah seorang tertuduh akan digugurkan pertuduhan ke atasnya, bagaimanapun sehingga kini belum ada lagi tertuduh yang digugurkan kesnya.
Dalam kes ini, Abdul Razak, dituduh bersubahat dengan dua anggota polis Unit Tindakan Khas Bukit Aman, Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Kpl Sirul Azhar Umar, 35, di tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini antara jam 9.54 pagi dan 11.O5 pagi pada 18 Oktober tahun lalu untuk membunuh Altantuya.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun yang sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Korporal Sirul Azhar Umar, 35, dituduh membunuh Altantuya di satu kawasan di Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment