Wednesday, June 13, 2007

Kompleks penapisan minyak di Yan, orang kampung ditipu lagi?

Roy Rasul Thu Jun 14, 07 01:03:25 PM
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Hrkh) -
Cadangan pembinaan kompleks penapisan minyak dekat Pulau Bunting, Yan, Kedah bukan saja menyebabkan hampir 3,000 ekar tanah rizab Melayu tergadai begitu saja tetapi ia turut memberi kesan negatif kepada penduduk sekitar, khususnya mereka yang tidak terbabit dengan perpindahan nanti.
Malah penduduk kampung di kawasan Dun Sungai Limau itu, antaranya Kampung Sedaka, Kampung Sungai Kering, Sungai Daun, Sungai Dedap, Sungai Limau, Ayer Hitam dan Kampung Kubang Busuk, tidak pernah dirundingi secara sistematik, terutama mengenai bentuk pampasan dan nilai tanah.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak, yang juga Adun Sungai Limau berkata projek atas inisiatif pihak swasta itu, yang menelan kos RM50 bilion, akan memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan juga kesihatan manusia.
Beliau turut menunjukkan hasil kajian pakar mengenai bahaya industri petrokima yang membuat tinjauan terhadap sekurang-kurangnya enam tragedi kilang kimia di seluruh dunia.
Beliau yang ditemui di ibu pejabat Harakah 11 Jun lalu berkata, projek berisiko tinggi itu turut membabitkan pembinaan saluran paip minyak sepanjang 320 kilometer merentasi ke Bachok, Kelantan bagi memendekkan masa penghantaran bahan api itu dari Asia Barat ke negara-negara Asia Timur seperti Jepun, China, Korea dan Taiwan.
"PAS Kedah bukan menolak projek ini tanpa usul periksa. Kita tidak mahu rakyat Kedah, khususnya orang Melayu tertipu lagi dengan apa yang didakwa projek pembangunan, tetapi sebenarnya ia hanya usaha licik pihak tertentu untuk mengekspolitasi tanah-tanah rizab Melayu," ujar Azizan yang juga Ketua Pembangkang di Dun Kedah.
"Banyak proses dibuat tanpa mengikut prosedur, dan ini cukup membimbangkan. Orang kampung tidak diberi penerangan secukupnya. Apatah lagi kerajaan Kedah pimpinan Umno mempunyai rekod memperalatkan tanah rizab Melayu demi kepentingan sendiri," tambahnya sambil menyebut beberapa projek yang merugikan Melayu misalnya di Kerpan dan Tandop.
Lebih menghairankan, katanya, projek penapisan minyak ini, yang akan melupuskan 3,000 ekar tanah pertanian paling subur di Kedah, diluluskan tanpa perancangan teliti ketika sidang belanjawan pada November tahun lepas memaklumkan kerajaan negeri akan mencari 5,000 ekar tanah di luar Mada untuk dijadikan kawasan sawah padi yang baru.
"Bukankah projek ini bercanggah dengan hasrat kerajaan mahu menambahkan lagi kawasan bendang. 5,000 ekar yang dicari belum dapat, tiba-tiba 3,000 ekar sawah sedia ada akan hilang?" kata Ustaz Azizan.
Menurutnya, apabila tanah rizab Melayu dibangunkan, orang Melayu tidak berpeluang menikmati pembangunan di atasnya.
"Lihat saja pembangunan di sekitar bandar Alor Star," katanya, "di atas tanah bendang orang Melayu, mereka hanya boleh berniaga gerai kecil-kecilan di depan kedai yang dibangunkan atas tanah mereka dahulu."
Ditanya peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada penduduk setempat, Ustaz Azizan berkata, menurut taklimat kepada Jawatankuasa Perancang Negeri Kedah, diperincikan bahawa semasa pembinaan, sebanyak 5,000 peluang diwujudkan, tetapi apabila operasi bermula, ia hanya tinggal 800.
"Dan yang 800 peluang pekerjaan itu sekadar membabitkan tenaga kerja yang pakar dalam sektor petroleum. Orang kampung mungkin boleh jual nasi lemak atau karipap," katanya.
Beliau kesal dengan sikap pemimpin Umno setempat yang turut mengelirukan orang kampung. "Selalunya dalam majlis penerangan, pihak Umno akan pasang orangnya, dengan mendakwa sesiapa yang menentang projek ini dianggap penderhaka kepada kerajaan. Mereka juga tidak beri ruang untuk sesi soal jawab,” tegasnya.
Kompleks penapisan minyak ini akan dibangunkan oleh SKS Development Sdn Bhd. Selain penapisan minyak, komponen pembangunannya turut melibatkan jeti dan single buoy mooring, stesen janakuasa, saluran paip ke Bachok, industri petrokimia dan sokongan, serta taman industri dan perdagangan maritim.
Kompleks penapisan minyak itu dikatakan mempunyai kapasiti 500,000 tong sehari manakala depo simpanan minyak sebanyak 6 juta tong.
Dalam pada itu, Presiden Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican, 11 Jun lalu memberitahu pemberita, pihaknya tidak terbabit dalam projek saluran paip minyak berkenaan, malah Petronas juga tidak akan menyalurkan sebarang bentuk pembiayaan bagi projek itu kerana ia projek inisiatif swasta.
"Projek itu adalah inisiatif sektor swasta dan kami bukan sebahagian daripada inisiatif itu," tegasnya sambil berkata, Petronas juga tidak tahu menahu mengenai projek berkenaan dan beliau hanya mengetahuinya menerusi akhbar.
Difahamkan orang kuat di belakang syarikat terbabit dalam saluran paip itu, Transpen, adalah bekas Menteri Besar Kedah sendiri.
Kenyataan terbaru Petronas itu semakin mendedahkan bahawa "banyak yang tidak kena di sebalik projek berisiko tinggi" ini. Sepatutnya sebagai pihak yang berpengalaman luas dalam bidang , Petronas wajar dilibatkan.
Jika apa-apa berlaku kepada syarikat swasta terbabit, terutama dari segi kewangan, yang ruginya adalah orang kampung yang sudah menyerahkan tanah milik turun-menurun.
"Daripada memusnahkan kawasan bendang dan penempatan di tanah besar bertentangan Pulau Bunting itu, lebih elok jika kompleks penapisan minyak itu dibangunkan di kawasan yang tidak terbabit dengan aktiviti pertanian atau kawasan perkampungan Melayu. Boleh saja disalurkan paip minyak ke Bukit Kayu Hitam misalnya," seorang aktivis NGO memberi cadangan.
Menurut kajian, pendedahan bahan kimia dari kilang penapisan minyak seperti dirancang itu akan memberi kesan buruk kepada pengembangan janin, termasuk peringkat tumbesaran bayi dan kanak-kanak. Ia juga boleh menyebabkan leukimia kanan-kanak dan barah otak.
Dalam kes di Kerala India, keracunan berlaku kepada tanah, air dan udara, yang mengancam kesihatan dan seluruh ekologi kawasan itu. Sungai tercemar mengangkut bahan toksin beratus-ratus batu ke tempat lain yang menjejaskan kawasan berkenaan.

No comments: