Anis Nazri Wed Jun 20, 07 11:22:32 AM
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - Ketika umat Islam di negara ini masih terluka dengan tindakan kerajaan Britain memberikan pengiktirafan dan Darjah Kesatria yang membawa gelaran 'Sir' kepada Salman Rushdie, yang pernah menghina Islam, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein yang pernah menjulang keris Sangsaka bangsa sebagai amaran kepada orang bukan Melayu agar tidak mencabar UMNO dalam isu hak keistimewaan Melayu, mampu bergelak ketawa dengan pihak yang mengiktiraf Salman.
Kini, Hishamudin hanya mampu menjulangkan pisau dan garfu sahaja di hadapan Pesuruhjaya Tinggi British yang mengiktiraf Salman yang menghina umat Islam, melalui bukunya 'The Satanic Verse'.
Jelas semangat Tok Janggut, Datuk Bahaman, Tok Gajah, dan Datuk Maharaja Lela yang bangkit menentang British kerana mempertahankan tanahair dan akidah Islam, tidak diwarisi oleh pemimpin UMNO kini. Mereka terlalu lemah dan mudah dijentik telinga bila berhadapan dengan Kuasa-kuasa besar dari Barat.
Tindakan beliau mewakili kerajaan pada majlis sambutan ulangtahun Ratu Elizabeth II, di kediaman Pesuruhjaya Tinggi British, semalam amat dikesali, apatah lagi tanpa sedikit pun membangkitkan isu 'Salman The Devil' sebagai menzahirkan rasa tidak puas hati umat Islam di Malaysia yang terhina dengan pengiktirafan itu.
"Seharusnya kerajaan memboikot majlis ini dan menghantar surat bantahan serta membawa isu ini ke parlimen, namun apa yang kita harapkan adalah sebaliknya.
Mereka turut sama meraikan ulang tahun hari jadi Ratu Elizabeth II, yang mengiktiraf peranan Salman dalam memperlekehkan Islam.
Dengan kehadiran Hishamuddin ke majlis ini juga secara tidak langsung BN juga mengiktiraf tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan British," tegas Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah, Herman Samsudeen, dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.
Atas nama diplomasi dan ahli KOMANWEL, kononnya, Hishamuddin tidak menggunakan peluang dan ruang ini untuk berbicara dengan kerajaan British berkenaan perkara ini.
Seharusnya, pada usia 50 tahun kemerdekaan, Herman berkata negara ini sudah mampu berdiri sendiri dan tidak lagi tunduk pada tekanan kuasa-kuasa besar barat seperti Britain.
Negara kita katanya, perlu ada pendirian yang kukuh dan martabat negara harus terus dijaga tanpa mengkesampingkan akidah dan maruah umat Islam.
Oleh itu, Pemuda PAS Wilayah mengesa agar Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, selaku Pengerusi OIC mengambil tindakan yang serius dalam hal ini dan menegur tindakan Kerajaan Britain.
"Inilah masanya pemimpin Umno membuktikan bahawa mereka berani ke depan untuk memberikan tekanan agar Kerajaan British menarik semula pengiktirafan yang diberikan pada Salman. Inilah masanya untuk mereka membuktikan perjuangan mereka terhadap masa depan Islam," tegas beliau lagi.
Dalam masa sama, Pemuda PAS Wilayah mengajak kepada pemimpin politik yang cintakan kedamaian dan NGO-NGO lain seperti Prowaris, Abim, Jim, Teras, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan sebagainya tampil ke hadapan untuk membuat bantahan dan kecaman terhadap tindakan biadap kerajaan Britain ini. - mr
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment