Tuesday, June 19, 2007

Gaji minimum, Najib perlu jawab secara rasmi - MTUC

Intan Abdullah Wed Jun 20, 07 01:16:29 PM
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC), Syed Syahir Syed Mohamud, meminta kepada kerajaan agar memberikan maklum balas secara rasmi kepada MTUC berhubung isu permohonan gaji minimum pekerja sektor swasta.
Hari ini dalam akhbar arus perdana, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak meminta MTUC sebagai badan induk yang menaungi lapan juta pekerja sektor swasta di negara ini, supaya tidak mengadakan piket berhubung permohonan gaji minimum.
"Tidak cukup sekadar respon dalam akhbar, sebab itu secara tidak rasmi. Apa salahnya, hantar surat secara rasmi kerana dia (Najib) mempunyai ramai kakitangan yang boleh melakukannya," katanya selepas dihubungi oleh Harakahdaily pagi ini.
Ketika ditanya mengenai respon jika kerajaan memberikan maklum balas seperti yang diharapkan, Syed Husin berkata beliau akan membawa hal ini kepada Jawatankuasa Tertinggi MTUC.
Menurutnya, pihak MTUC telah mengemukakan permohonan secara rasmi dan mereka mengharapkan respon dari pihak kerajaan dalam bentuk yang sama iaitu bukan sekadar respon pada akhbar semata-mata.
"Setakat ini, kami tidak akan mengubah sebarang keputusan serta apa yang telah dirancangkan dan ditetapkan sebelum ini," tambahnya dengan panjang lebar lagi.
Najib ketika mengulas isu tersebut sebagai berkata, "terdapat banyak akibat timbul dengan gaji minimum tetapi terdapat amalan yang dilakukan oleh industri misalnya industri memutuskan tahap gaji yang boleh diterima tetapi kita masih belum menerima pakai dasar gaji minimum di negara ini," katanya.
Semalam, MTUC menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta kerajaan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi gaji minimum ditetapkan sebanyak RM900 dan tambahan RM300 sebagai Elaun Saraan Hidup (Cola) kepada pekerja sektor swasta.
Memorandum tersebut disampaikan kepada Setiausaha Sulit kanan Perdana Menteri, Ahmad Yacob.
Permintaan MTUC berhubung gaji minimum itu sudah berlarutan sejak lapan tahun lagi, ekoran itu jika tidak ada maklum balas daripada kerajaan mereka akan mengadakan piket peringkat kebangsaan yang melibatkan sembilan lokasi di seluruh negara.
MTUC memberikan tempoh seminggu kepada kerajaan dan akan mengadakan piket di beberapa tempat di negara ini jika kerajaan tidak memberikan maklum balas yang positif terhadap permohonannya.
Mereka bercadang mengadakan piket serentak di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Bangi, Shah Alam, Klang, Johor, Kuching, dan Pulau Pinang pada Isnin mulai pukul 5 hingga 6 petang. - mks.

No comments: