Monday, December 24, 2007

Mana keadilan - pemuda Melayu dipenjara, Hindraf dilepaskan!

Mazlan Jusoh & Salmah Mat Husain Tue Dec 25, 07 6:02:45 am MYT
KOTA BHARU, 25 Dis (Hrkh) - Di manakah keadilan? Cuba anda bayangkan mangsa yang cedera ditembak polis tidak dibenarkan ikat jamin oleh mahkamah, sedangkan 31 lelaki yang pernah dituduh cuba membunuh seorang penjawat awam dilepaskan.

Inilah nasib malang yang menimpa Suwandi Abdul Ghani dan Mohamad Azman Aziz yang kini ditahan di Penjara Terbuka Marang setelah Hakim Mahkamah Sesyen, Hassan Abdul Ghani pada 9 Disember lalu tidak membenarkan mereka diikat jamin.
Manakala anggota Hindu Action Right Force (Hindraf) yang ditahan polis semasa perhimpunan di Kuala Lumpur, 25 November dibebaskan Mahkamah Sesyen Shah Alam.
"Ini bukan soal perkauman, tetapi kita mahu menuntut di mana keadilannya. Dua anak muda Melayu yang ditembak polis sehingga cedera parah tidak dibenarkan ikat jamin.
"Manakala dalam kes lain di mana anggota Hindraf yang dikatakan mendatangkan kecederaan kepada angota polis pula dibebas. Mana keadilannya dalam isu ini," kata bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, Dato' Ibrahim Ali.
Sebagaimana juga kata Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar dua orang awam yang ditembak polis didakwa serta dipenjarakan tanpa ikat jamin, seolah-olah menggambarkan Malaysia menggunakan hukum 'rimba'.
Pada kejadian berdarah di Batu Burok 8 September lalu dua pemuda Melayu, Muhdmmad Azman Aziz, 21 dan Suwandi Abd Ghani, 38, ditembak seorang anggota polis pada satu perhimpunan.
Difahamkan tembakan secara rambang tersebut menebusi dada mereka, manakala Suwandi terpaksa dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu bagi mengeluarkan peluru yang terbenam dalam dadanya.
Ibrahim berkata, dua tragedi yang berlaku itu diselesaikan secara tidak adil kerana Barisan Nasional (BN) mahu menarik sokongan orang India pada pilihan raya umum akan datang.
"Jelas isu di antara Batu Burok dan Kuala Lumpur bermotif politik kerana ia diselesaikan secara tidak adil. Saya bukan mahu menghasut tetapi perkara seperti itu perlu diberitahu kepada rakyat," katanya pada ceramah di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV di sini, baru-baru ini.
Mengulas isu yang sama Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, dua isu yang berlaku di Kuala Lumpur dan Batu Burok memperlihatkan kerajaan telah mempengaruhi sistem perundangan di negara ini.
Ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam sempena pungutan derma untuk Tabung pilihan Raya PAS Kota Bharu baru-baru ini katanya, sistem perundangan di negara ini boleh ditarik atau ditolak sesuka hati.
"Pada awalnya saya bayangkan peserta perhimpunan Hindraf akan mengalami nasib sama seperti dua pemuda Melayu di Batu Burok yang tidak dibenarkan ikat jamin.
"Lebih menghairankan lagi tuduhan yang dikenakan terhadap Suwandi dan Azman juga sudah agak lewat," ujarnya beliau.
Oleh itu, Nasharuddin berharap Perdana Menteri memastikan dua pemuda Melayu juga dibebaskan seperti yang berlaku terhadap peserta Hindraf.
"Saya bukan mahu membangkitkan soal perkauman, tetapi isu yang paling jelas di sini bagaimana keputusan pentadbiran perundangan itu berlainan antara kes di Batu Buruk dan Batu Caves," ujarnya.
Suwandi dan Azman kini didakwa di bawah seksyen 149 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda.
Sementara itu dalam majlis yang sama, anggota jawatankuasa KeADILan Pusat, N Gobalakrishnan berkata, dalam tempoh sebulan beliau sudah empat kali ditahan polis sehingga terpaksa bermalam di lokap dan penjara.
Menurutnya sepanjang ditahan beliau ditempatkan di lokap Balai Polis di Shah Alam, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur , selain itu turut ditahan di penjara Sungai Buluh dan Pudu.
Kata beliau biarpun diugut kerajaan BN dengan menahan sesuka hati, namun beliau tidak pernah gentar untuk terus berjuang bagi menegakkan keadilan di negara ini.
Beliau juga menjelaskan perhimpunan Hindraf pada 25 November lalu sebenarnya bagi menuntut pampasan daripada kerajaan Britain selepas membawa masuk orang India ke ladang kira-kira 100 tahun lalu.
"Pada 1907 masyarakat India dibawa bekerja di ladang di Setiawan Perak sehingga menyebabkan ramai yang susah sehingga sekarang. Hindraf telah memfailkan kes itu di England dengan menuntut kerajaan Britain membayar sebanyak 1 juta paun Sterling kepada setiap orang India," katanya.
Beliau juga memberitahu Hindraf tidak pernah memusuhi orang Melayu sebaliknya bermusuh dengan pemimpin Umno yang menganiayai mereka.
Menurutnya pada zaman awal kemerdekaan di negara ini terdapat 1,000 sekolah Tamil, namun sekarang sudah tinggal 542 buah.
Kata beliau, perjuangan sebenar Hindraf telah diselewengkan media arus perdana sehingga menyebabkan masyarakat tidak faham perkara sebenar yang berlaku.
Hadir sama pada ceramah itu, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datoƃ¢' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah. - mks

Sunday, December 23, 2007

Kes Batu Burok: Malaysia amal hukum rimba - Anwar

Awang Harun Sun Dec 23, 07
DUNGUN, 23 Dis (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Malaysia mengamalkan Undang-undang 'Rimba' ketika mengendalikan kes polis melepaskan peluru hidup pada kejadian 8 September lalu.

Ini kerana, katanya pihak yang bertanggungjawab melepaskan tembakan serta hampir meragut dua nyawa orang awam itu tidak didakwa oleh mahkamah.
Sebaliknya, kata Dato' Seri Anwar dua orang awam yang ditembak itu didakwa serta di penjarakan tanpa ikat jamin.
"Apa ni..ini hukum 'rimba' mana yang dipakai. Orang yang kena tembak di penjarakan dan yang melepaskan tembakan pula dilepaskan," ujarnya ketika berucap pada Ceramah Perdana Sempena Aidil Adha di Perkarangan Masjid Lama Sura, baru-baru ini.
Katanya, rakyat perlu membuat perubahan yang menyeluruh bagi menukar kepimpinan negara yang semakin lemah dan bercelaru ini.
Suwandi dan Azman kini ditahan di Penjara Terbuka Marang setelah Hakim Mahkamah Sesyen, Hassan Abdul Ghani pada 9 Disember lalu tidak membenarkan mereka diikat jamin.
Mereka menghadapi empat tuduhan, antaranya didakwa menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang, seorang atau lebih daripada anggota perhimpunan telah dengan sengaja cuba menyebabkan cedera parah kepada Wan Aziz Wan Omar (RF143706), seorang penjawat awam.
Kesalahan itu di bawah seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 333 dan seksyen 511 kanun yang sama di mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara untuk tempoh lima tahun atau denda.
Semua tuduhan itu membabitkan mereka bersama-sama 18 orang yang lain pada 8 September lalu, lebih kurang jam 11.40 malam di tempat letak kereta Hotel Permai Inn, Jalan Sultan Mahmud kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
Perbicaraan kes tersebut akan diadakan pada 30 dan 31 Disember 2007 ini dan pendakwaannya diketuai sendiri oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail

Tuesday, December 18, 2007

EIDUL MUBARAK

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA KORBAN KEPADA SEMUA WEBLOG DAN PENGUNJUNGAN YANG SELAMA INI MEMBERI SOKONGAN UNTUK TERUS BERJUANG.

Insiden Batu Burok, Suhakam perlu tarik balik pembatalan siasatan

Wan Nordin Wan Yaacob Wed Dec 19, 07 9:15:51 am MYT
KUALA LUMPUR, 19 Dis (Hrkh) - Keputusan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) membatalkan siasatan awam terhadap kes polis melepaskan tembakan peluru hidup dalam insiden Batu Burok, Kuala Terengganu 8 September lalu mendapat reaksi negatif dari Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih).

Menurut Jurucakap Bersih, Sivarasa Rasiah, Suhakam sebelum ini membatalkan siasatan awam tersebut kerana dua mangsa dalam kejadian itu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada 9 Disember lalu atas tuduhan cuba mencederakan anggota polis ketika perhimpunan haram itu.
Katanya, hujah Pengerusi panel siasatan awam itu Dato' Muhammad Shafee Abdullah berkata di bawah peruntukan Seksyen 12(2) dan (3) Akta Suhakam 1999 menyatakan suruhanjaya itu tidak boleh menyiasat kes yang belum selesai di mahkamah atau telah diputuskan secara muktamad oleh mahkamah adalah bertentangan dengan semangat mempertahan hak asasi manusia.
Sivarasa yang juga seorang peguam berkata, interpretasi Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Muhammad Shafee Abdullah mengenai akta tersebut bercanggah dengan semangat untuk melindungi dan mempromosi hak asasi manusia.
Sivarasa juga menjelaskan bahawa Suhakam tidak dibenarkan menyiasat aduan pelanggaran hak asasi manusia sekiranya kes pelanggaran hak asasi manusia yang sama dibawa ke mahkamah.
Aduan mengenai anggota polis menembak ke arah orang ramai yang tidak bersenjata, tidak sama dengan kes menyebabkan kecederaan di mahkamah, katanya dalam satu kenyataannya yang disiarkan dalam sebuah akhbar versi internet.
Seksyen 12 Akta Suhakam 1999, katanya, jika difahami secara mendalam, bertujuan 'mengelak mangsa pelanggaran hak asasi manusia daripada membawa aduannya ke mahkamah dan kemudiannya meminta (Suhakam) menjadikan siasatan'
Beliau menggesa Suhakam supaya menarik pembatalan tersebut dan meneruskan siasatan awam.
Baginya, Suhakam telah menghantar isyarat yang salah kepada pihak polis dan pihak penguatkuasa apabila membatalkan siasatan tersebut kerana ia "akan menggalakkan lebih banyak pelanggaran dan budaya bebas daripada hukuman."
Justeru beliau sekali lagi menggesa Suhakam supaya menarik semula keputusan badan itu membatalkan siasatan awamnya..
Dalam kejadian di Batu Burok, polis didakwa telah melepaskan peluru hidup ke atas dua orang awam iaitu, Muhammad Azman Aziz, 21, dan Suwandi Abdul Ghani, 38.
Polis didakwa melepaskan lima tembakan peluru hidup ke atas orang ramai yang menyertai satu bantahan pada kira-kira jam 11.40 malam dekat Hotel Permai Inn di Jalan Sultan Mahmud.
Sementara pada 9 Disember mangsa yang terkena tembakan anggota polis itu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan cuba mencederakan Lans Koperal Wan Abdul Aziz Wan Omar dan juga terhadap tuduhan alternatif telah dengan sengaja mencederakan anggota polis yang sama.
Terkini dua minggu lalu, dua mangsa tembakan polis itu tidak dibenarkan diikat jamin, dan ia dikecam oleh Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya mengenai kes tersebut. -->, Suhakam sebelum ini membatalkan siasatan awam tersebut kerana dua mangsa dalam kejadian itu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada 9 Disember lalu atas tuduhan cuba mencederakan anggota polis ketika perhimpunan haram itu.
Katanya, hujah Pengerusi panel siasatan awam itu Dato' Muhammad Shafee Abdullah berkata di bawah peruntukan Seksyen 12(2) dan (3) Akta Suhakam 1999 menyatakan suruhanjaya itu tidak boleh menyiasat kes yang belum selesai di mahkamah atau telah diputuskan secara muktamad oleh mahkamah adalah bertentangan dengan semangat mempertahan hak asasi manusia.
Sivarasa yang juga seorang peguam berkata, interpretasi Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Muhammad Shafee Abdullah mengenai akta tersebut bercanggah dengan semangat untuk melindungi dan mempromosi hak asasi manusia.
Sivarasa juga menjelaskan bahawa Suhakam tidak dibenarkan menyiasat aduan pelanggaran hak asasi manusia sekiranya kes pelanggaran hak asasi manusia yang sama dibawa ke mahkamah.
Aduan mengenai anggota polis menembak ke arah orang ramai yang tidak bersenjata, tidak sama dengan kes menyebabkan kecederaan di mahkamah, katanya dalam satu kenyataannya yang disiarkan dalam sebuah akhbar versi internet.
Seksyen 12 Akta Suhakam 1999, katanya, jika difahami secara mendalam, bertujuan 'mengelak mangsa pelanggaran hak asasi manusia daripada membawa aduannya ke mahkamah dan kemudiannya meminta (Suhakam) menjadikan siasatan'
Beliau menggesa Suhakam supaya menarik pembatalan tersebut dan meneruskan siasatan awam.
Baginya, Suhakam telah menghantar isyarat yang salah kepada pihak polis dan pihak penguatkuasa apabila membatalkan siasatan tersebut kerana ia "akan menggalakkan lebih banyak pelanggaran dan budaya bebas daripada hukuman."
Justeru beliau sekali lagi menggesa Suhakam supaya menarik semula keputusan badan itu membatalkan siasatan awamnya..
Dalam kejadian di Batu Burok, polis didakwa telah melepaskan peluru hidup ke atas dua orang awam iaitu, Muhammad Azman Aziz, 21, dan Suwandi Abdul Ghani, 38.
Polis didakwa melepaskan lima tembakan peluru hidup ke atas orang ramai yang menyertai satu bantahan pada kira-kira jam 11.40 malam dekat Hotel Permai Inn di Jalan Sultan Mahmud.
Sementara pada 9 Disember mangsa yang terkena tembakan anggota polis itu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan cuba mencederakan Lans Koperal Wan Abdul Aziz Wan Omar dan juga terhadap tuduhan alternatif telah dengan sengaja mencederakan anggota polis yang sama.
Terkini dua minggu lalu, dua mangsa tembakan polis itu tidak dibenarkan diikat jamin, dan ia dikecam oleh Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya mengenai kes tersebut.

Kekal Presiden MTUC, PAS ucap tahniah kepada Syed Shahir

Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 19 Dis (Hrkh) - PAS mengucapkan tahniah kepada Syed Shahir Syed Mohamud, yang mengekalkan jawatan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam pemilihan jawatan kongres tahunan kesatuan itu yang ke-37 semalam.

"PAS yakin dengan kemampuan dan pengalaman Syed Shahir, MTUC akan terus kehadapan dalam membela dan mempertahankan nasib dan kebajikan para pekerja di Malaysia, khasnya lebih 750,000 tenaga pekerja yang bernaung di bawah MTUC," kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataannya hari ini.
PAS akan sentiasa menjalin kerjasama dan persefahaman dengan MTUC dan akan terus memberikan sokongan khususnya dalam isu-isu pembelaan nasib dan masa depan tenaga pekerja di Malaysia, katanya.
Ini penting bagi menjamin kehidupan mereka yang selesa serta bebas dari sebarang bentuk penindasan samada oleh pihak majikan atau mana-mana pihak yang berkepentingan, katanya.
Terdahulu semalam, Syed Shahir Mohamud berkata beliau mungkin sukar menjalankan tugasnya memimpin kongres tersebut dengan berkesan kerana sebahagian besar jawatankuasa barunya dimenangi oleh kumpulan yang tidak sealiran dengannya.
Beliau mengakui bahawa ramai 'orang-orangnya' gagal mendapat tempat dalam pemilihan kongres itu yang berlangsung semalam.
Syed Shahir berjaya mengekalkan jawatan presiden dengan menewaskan pencabarnya, Mohd Shafie BP Mammal yang sebelum ini merupakan timbalan presiden MTUC.
Syed Shahir mendapat 278 undi untuk menewaskan pencabarnya Mohd Shafie BP Mammal dengan majoriti 43 undi.
Beliau menegaskan demikian ketika ditemui di luar Dewan Sivik MPPJ selepas pengerusi persidangan kali ini, J Ganesan Murty, mengumum keputusan pemilihan kali ini pada kira-kira jam 7.25 malam tadi.
Namun begitu, sebahagian besar jawatan penting MTUC kali ini dimenangi oleh calon-calon dari kumpulan Mohd Shafie yang turut bergabung dengan Setiausaha Agung MUTC, G Rajasekaran.
Rajasekaran pula berjaya mengekalkan jawatan setiausaha agung dengan majoriti tipis empat undi sahaja, untuk menewaskan pencabarnya Abdullah Sani Abdul Hamid.
Bagaimanapun, Syed Shahir meminta semua pihak supaya bersatu dan terus bekerja untuk kepentingan golongan pekerja.
Menurut senarai pemenang kali ini, 12 daripada 15 calon yang terpilih memegang jawatan penting MTUC kali ini merupakan dari kumpulan pencabarnya, Mohd Shafie yang bekerjasama dengan kumpulan Rajasekaran.
Calon-calon dari kumpulan Syed Shahir yang tewas kali ini ialah calon jawatan timbalan presiden, Abdullah Sani Abdul Hamid bagi jawatan setiausaha agung, J Solomon (jawatan timbalan setiausaha) dan juga P Maniam (jawatan timbalan presiden).
Syed Shahir menghadapi saingan hebat kali ini berikutan wujudnya pihak dalam MTUC yang tidak sehaluan dengan cara kepimpinan beliau yang dikatakan keras sentiasa mengambil pendekatan keras terhadap kerajaan, dalam memperjuangkan isu gaji minima dan pemberian COLA pada kakitangan swasta. -->

Monday, December 17, 2007

Mustafa Ali lawat tahanan kes Batu Burok di Penjara Pulau Kerengga

Awang Harun Tue Dec 18, 07 10:15:21 am MYT
MARANG, 18 Dis (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa melawat mangsa tembakan peluru hidup dalam Tregedi Berdarah Batu Burok 8 September lalu, Muhammad Azman Aziz di Penjara Terbuka Marang, Pulau Kerengga, semalam.

Beliau yang datang bersama isteri, To' Puan Aminah Mohamad dan keluarga berkesempatan berbual dengan Azman sambil bertanya khabar keadaan kesihatan dan suasana kehidupan di situ.
Azman kelihatan ceria berbual dengan Mustafa pada pertemuan kira-kira 40 minit itu yang turut disertai ayah, ibu serta empat orang adik beradiknya.
Turut hadir pada perjumpaan kira-kira jam 3 petang itu ialah Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ahmad Kamal dan Setiausaha Urusan Ulamak PAS Kawasan Marang, Ustaz Suhairi Daud.
Pada sebelah pagi, kepimpinan PAS turut serta dalam lawatan keluarga Suwandi Ab Ghani.
Antara yang hadir ialah Ketua Lajnah Kebajikan Pemuda PAS negeri, Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir dan Yang Dipertua PAS Kawasan Marang, Ustaz Hassan Mohd Salleh.
Suwandi dan Azman ditahan di penjara tersebut kerana tidak dibenarkan diikat jamin oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Hassan Abdul Ghani pada 9 Disember lalu.
Mereka menghadapi empat tuduhan, antaranya membabitkan mereka bersama-sama 18 orang yang lain pada 8 September lalu, lebih kurang jam 11.40 malam di tempat letak kereta Hotel Permai Inn, Jalan Sultan Mahmud kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
Mereka didakwa menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang, seorang atau lebih daripada anggota perhimpunan telah dengan sengaja cuba menyebabkan cedera parah kepada Wan Aziz Wan Omar (RF143706), seorang penjawat awam.
Kesalahan itu di bawah seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 333 dan seksyen 511 kanun yang sama di mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sendiri mengetuai pendakwaan terhadap mereka yang akan dibicarakan pada 30 dan 31 Disember ini.

Ustaz Haron Din mahu jentera pilihanraya PAS masuk 'gear lima'

Bashir Ishak Tue Dec 18, 07 11:17:25 am MYT
ARAU, 18 Dis (Hrkh)- Jentera pilihanraya PAS di semua peringkat kini harus berada pada tahap persediaan yang paling maksimum kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din.
Menurutnya, apabila gendang pilihanraya sudah mula dipalu maka tahap persediaan dan cara bekerja di dalam jemaah perlu berubah dan dipertingkatkan segera.
"Dalam keadaan sekarang di setiap peringkat sepatutnya sudah bersiap siaga, 'alert' dan dipacu pada tahap gear lima," katanya
Katanya lagi, jentera pilinhanraya mengandungi dua elemen iaitu jentera atau "machinery" dan sistem yang mana kedua-duanya perlu berjalan selaras.
Jelasnya, jentera parti adalah mekanisme yang digerakkan oleh petugas-petugas yang harus berada dalam keadaan terbaik sama ada dari segi persediaan mental atau fizikal.
Manakala sistem pula katanya adalah elemen yang menentukan pergerakan jentera yang diatur oleh pimpinan parti.
"Ibarat sebuah kereta, ada skru, ada kipas, ada ekzos, semua perlu berfungsi berpandukan sistem yang diatur. Kalau jadi ekzos tu kenalah besedia untuk kena panas.
"Begitulah kita dalam jemaah ini, kita ada ketua dan ada pengikut. Jangan pula nanti pengikur nak buat kerja ketua dan sebaliknya ketua buat kerja orang bawah, jadi celaru dan haru-biru," ujarnya.
Selain itu katanya, setiap petugas pilihanraya juga perlu memahami undang-undang pilihanraya khususnya bagi mereka yang akan bertugas di bilik-bilik pembuangan undi sebagai Polling Agent dan Counting Agent (PACA).
"Pengalaman piliharaya 2004 memerlukan persediaan yang lebih rapi. Ada masanya kita peru bertegas dengan sebarang perkara yang tidak betul," sarannya.
Jelasnya lagi, PAS sentiasa membuat persediaan awal menjelang pilihanraya umum termasuk mengenalpati calon-calon yang layak bertanding.
"Kita tidak ada lobi-melobi untuk jadi calon, yang pentingnya calon dipilih berdasar pelbagai kriteria tertentu. Bukan macam parti lawan kita yang masih celaru," katanya.
Dr Haron berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena pilihanraya umum akan datang kepada jentera pilihanraya PAS dari seluruh negeri Perlis Sabtu lalu.
Majlis berlangsung di Balai Islam MADI, Markas Tarbiyah PAS Perlis di Jejawi dalam dekat sini yang dihadiri petugas pilihanraya di peringkat negeri, kawasan, Dun dan cawangan-cawangan.

Bebaskan 31 demonstran HIndraf, Batu Burok bagaimana?

Azamin Amin Mon Dec 17, 07 2:42:22 pm MYT
KUALA LUMPUR, 18 Dis (Hrkh) - Tindakan PM, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengarahkan Peguam Negara menggugurkan pertuduhan cubaan membunuh ke atas 31 demonstran Hindraf membuktikan campurtangan politik yang ketara dalam sistem perundangan negara. Abdullah, dalam satu kenyataan yang disiarkan sebuah stesen tv tempatan dipetik sebagai berkata: "Dato' Seri Samy Vellu telah menyampaikan kepada saya permohonan ibu bapa pemuda seramai 31 orang agar anak mereka tidak ditahan serta dibebaskan dari tuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis semasa demonstrasi Hindraf di Batu Caves tempoh hari.

"Mereka juga sudah insaf serta berjanji tidak mahu lagi ikut serta mana-mana perhimpunan Hindraf di masa akan datang kerana selama ini mereka telah terpedaya. Dan saya meminta Peguam Negara supaya mengkaji semula tuduhan keatas mereka."
Kenyataan Abdullah mengundang pelbagai persoalan dan pertikaian ramai pihak dan masyarakat khususnya pemerhati politik dengan pendekatan beliau dalam menangani krisis yang berlaku.
Dua perkara bersabit yang menyebabkan dibangkitkan, pertama Abdullah sendiri meminta Peguam Negara mengkaji semula pertuduhan ke atas 31 demonstran Hindraf, seolah-olah membuktikan PM sudah 'memperalat', 'memperkudakan' dan mempengaruhi sistem badan kehakiman.
Secara tidak langsung membayangkan Abdullah berkuasa sama ada mahu mengekalkan tuduhan atau membebaskan siapa sahaja dengan berselindung di sebalik kuasa eksekutiff sebagai Perdana Menteri sedangkan beliau dan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib pernah menyatakan tidak sesiapapun boleh mengatasi undang-undang.
Implikasi kedua, dalam insiden Batu Burok, Trengganu yang hampir serupa tetapi sedikit berbeza, dua mangsa keganasan dan tembakan peluru hidup Muhammad Azman Aziz, 21, dan Suwandi Abdul Ghani, 38, dituduh cuba mencederakan Lans Koperal Wan Abdul Aziz Wan Omar sedangkan tubuh mereka berdua ditembusi peluru namun terpaksa meringkuk di dalam penjara kerana tidak dibenarkan ikat jamin.
Jauh sekali untuk mendengar sama sekali Perdana Menteri berkata :"Dan saya meminta Peguam Negara supaya mengkaji semula tuduhan ke atas mereka."
Sebelum ini anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Wakaf Mempelam Mohd Wahid Endut berkata, beliau agak terkilan dengan tindakan polis yang menahan dua tertuduh pada awal pagi kerana mereka masih dalam rawatan selepas ditembak malah tindakan mahkamah tidak membenarkan kedua-duanya dijamin juga memberi tekanan kepada anggota keluarga masing-masing, katanya.
Kamal Amir yang menulis di Malaysia Today juga berpendapat kenyataan Abdullah (yang membela dan percaya 31 demostarn itu insaf) boleh diseret kemuka pengadilan atas tuduhan "menghina mahkamah" kerana mengeluarkan kenyataan berpihak "subjudice" sebelum mahkamah memulakan prosiding dan membuat keputusan.
"Kalau benarpun mahu memenuhi permintaan Samy Vellu yang semakin ketandusan pengaruh dari masyarakat India kenapa tidak didiamkan sahaja tanpa diumumkan kepada khalayak," katanya yang dipetik daripada blog tersebut.
Dalam pada itu, seorang penganalisa politik berpendapat, penangkapan puluhan aktivis politik dalam isu Hindraf, Himpunan Bersih dan Batu Burok disifatkan sebagai langkah mempertahankan survival politik Abdullah dan tiada kaitan dengan unsur jenayah seperti yang didakwa memandangkan Abdullah sendiri 'boleh berunding' dalam mengkaji semula pertuduhan mereka.
"Tindakan itu mestilah disusuli dengan mengkaji semula ataupun membebaskan semua yang terlibat dalam perhimpunan aman Bersih dan Batu Burok juga," katanya yang bersetuju dengan sikap Abdullah yang 'boleh bertolak ansur'.
Mengulas isu sama, dalam blog Roslan SMS turut membangkitkan persoalan mengapa Presiden MIC dan Umno mahu menggunakan kedudukan mereka untuk menganggu proses pendakwaan?
"Mengapa tiba-tiba Presiden Umno bersimpati dengan 31 ini? Mengapa tidak bersimpati dengan anggota polis yang tercedera dan orang awam yang terperangkap dengan angkara keganasan ini? Dan sejak bila pula atas arahan PM seseorang itu boleh dikecualikan dari undang-undang sedangkan Raja-raja Melayu pun boleh diseret ke mahkamah!," kata Roslan dalam blognya.
"Bagaimana dengan kes di Batu Burok? Anggota PAS yang ditembak oleh polis kini merengkok dipenjara sementara menunggu perbicaraan, mereka yang ditembak tetapi mereka yang didakwa?," katanya
Beliau dalam blog n32.blogspot.com menganggap Abdullah dan Samy Vellu tiba-tiba mahu meraih simpati masyarakat India, lalu kini mahu menjadi juara pula memintas proses mahkamah untuk membebaskan 31 mereka yang terbabit dalam perhimpunan Hindraf. - mr -->

Sunday, October 7, 2007

PAS sedia jalin hubungan politik dengan parti Nalakarupan

klpos.com Mon Oct 08, 07 8:51:31 am MYT
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Hrkh) - Parti pembangkang terbesar dan paling lama di Malaysia, PAS memberitahu pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti termasuk parti baru yang ditubuhkan oleh ahli perniagaan, Datuk Nalakarupan KS.
Demikian kata pimpinan parti tersebut ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa bersama media di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut di sini semalam.
Menurut Bendahari Agung parti Islam itu, Dr Hatta Ramli, demokrasi tidak menyekat perbezaan pendapat dan PAS sentiasa mengamalkan dasar terbuka dalam berkerjasama dengan berbagai pihak bagi faedah rakyat.
PAS giat meningkatkan sokongan bukan Melayu kepada parti tersebut dengan mengadakan berbagai kempen termasuk memperkenalkan Kelab Penyokong PAS yang terbuka kepada kaum Cina dan India di negara ini.
"Tidak jadi masalah untuk berkerjasama selagi tujuan dan dasar perjuangannya selari atau tidak bercanggah dengan tujuan dan dasar perjuangan kita," kata beliau.
KLpos.com sebelum ini menyiarkan penubuhan Parti India Bersatu Malaysia (MIUP) yang diterajui Nallakarupan. Parti yang mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) itu bagaimanapun hanya terbuka untuk kaum India sahaja .
PAS giat meningkatkan sokongan bukan Melayu kepada parti tersebut dengan mengadakan berbagai kempen termasuk memperkenalkan Kelab Penyokong PAS yang terbuka kepada kaum Cina dan India di negara ini.
Selain itu, PAS juga menjalinkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dianggotai berbagai kaum dan dipimpin secara de facto oleh bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam majlis itu juga, selain Dr Hatta turut hadir adalah Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustapha Ali, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkifli Ahmad dan kolumnis Harakah Subky Abdul Latif.
Majlis yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong itu bukan sahaja dihadiri oleh media arus perdana dan alternatif tetapi juga penulis serta penganalisis politik seperti Syed Hussain Al Attas, James Wong serta blogger Jeff Oii.
PAS cari kaedah sebar berita blog ke kampung
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Husam Musa memberitahu bahawa pihaknya sedang mencari kaedah sesuai untuk menyebarkan berita-berita yang disiarkan oleh media alternatif termasuk blog-blog ke kawasan yang tidak mempunyai akses internet.
Menurut beliau, blog sudah berjaya menembusi kepungan media arus perdana yang dikuasai oleh pemerintah tetapi ia hanya terbalas kepada penduduk di bandar-bandar dan orang muda sahaja.
Tugas pembangkang adalah untuk hantar apa yang ada di internet kepada pengundi luar bandar dan jika berjaya maka runtuhlah penguasaan media arus perdana, kata Husam
Katanya, jika terdapat pendekatan supaya apa yang didedahkan di blog dan media alternatif dapat sampai ke kawasan luar bandar maka maka pihaknya menjangka perubahan lebih besar dalam pilihan raya akan datang.
"Tugas pembangkang adalah untuk hantar apa yang ada di internet kepada pengundi luar bandar dan jika berjaya maka runtuhlah penguasaan media arus perdana," jelas beliau.
Tambahnya lagi, PAS berharap pilihanraya ke 12 akan diadakan lebih lama lagi dari tarikh yang digembar-gemburkan iaitu bulan November ini sehingga ke Mac tahun depan.
"Lebih lama pilihanraya diadakan lebih baik kerana PAS dalam mengisi kelompongan-kelompongan ini," kata beliau.
Pemerhatian KLpos.com mendapati selain Harakah cetak dan harakahdaily.net yang menjadi media rasmi PAS, terdapat puluhan blog dan laman web yang menyokong parti tersebut secara langsung atau tidak langsung.
Sementara, jentera penerangan PAS yang diketuai oleh Mahfuz Omar pula giat menerbitkan risalah empat muka yang mengandungi berbagai isu untuk disebarkan ke akar umbi.
Risalah tersebut dibuat secara tidak berkala dengan nama yang berbeza dan diterbitkan hampir setiap minggu. - mr

Isu PGCC - Teras selar Abdullah Badawi dan Patrick Lim

Azamin Amin Mon Oct 08, 07 9:18:06 am MYT
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Hrkh) - Projek Mega Pulau Pinang, Penang Global City Centre (PGCC) tajaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Pengerusi Eksekutif Equine Capital Berhad, Patrick Lim dilihat tidak memberi sebarang kesan positif dan meminggirkan lagi nasib rakyat khususnya Melayu Pulau Pinang yang semakin terabai selama ini
Ia juga diselar berikutan tidak mengendahkan apa jua pandangan dan maklmum balas rakyat terhadap projek yang cuba dilaksanakan kerajaan ini malah kata-kata dan janji bahawa projek mega bernilai puluhan bilion ringgit termasuk PGCC yang dikatakan akan memberi kesan pertumbuhan ekonomi kepada rakyat Pulau Pinang menimbulkan pelbagai persoalan dan dianggap tidak realistik.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata projek mega yang diumumkan tidak melalui proses rundingan dengan rakyat untuk mendapat maklumbalas dan rakyat hanya dilihat sebagai objek dan penerima pasif dari apa sahaja yang dirancang.
"Kaedah autokratik kerajaan sering digunakan dalam membuat keputusan yang melibatkan juga perbelanjaan dari wang awam sebagai suatu pendekatan yang meminggiran rakyat dan tidak mesra rakyat," katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.net.
"Nampaknya kerajaan hanya mendengar suara syarikat lebih dari suara rakyat sehingga pertimbangan sama ada rakyat kecil akan terpinggir dari proses pembangunan menjadi faktor tidak diperhalusi," katanya.
Malah semakin disangsikan kata Azmi ialah risiko pembangunan berskala mega ini diumum dan dilulus dalam keadaan luar prosedur biasa dan kepantasan yang luar biasa.
Apatah lagi rakyat tidak berhak bertanya jauh sekali untuk mengkritik dan kerajaan nampaknya tidak memberi ruang untuk konsultasi penuh dengan pelbagai pihak termasuk agensi tertentu dalam kerajaan sendiri, katanya
Beliau turut memberi contoh situasi yang berlaku kepada Kompleks Tunku Abdul Rahman (Komtar) yang kini sudah menunjukkan tanda kegersangan peniaga kerana tidak lagi menjadi pusat kunjunggan sedangkan dahulunya sebagai penarik dan mercu tanda pembangunan Pulau Pinang.
"Setakat ini tiada sebarang isyarat terhadap penyertaan kaum bumiputera kerana mereka dilihat tidak mampu menyertai projek sebesar ini," katanya.
"Kini kependudukan kaum Melayu sudah banyak terhakis di pulau ini dan dengan melaksanakan projek PGCC yang akan dikendali oleh syarikat besar, penempatan Melayu yang sedia ada akan menjadi tanda tanya," katanya.
Teras katanya kesal dengan keghairahan berlebihan pemimpin negara untuk melaksanakan projek berskala besar ini sehingga memberi kesan kepada orang Melayu yang terus menjadi penumpang kepada proses pembangunan dan juga tidak memberi ruang untuk rakyat Melayu bersuara membela nasib meraka yang semakin terpinggir.
Di laporkan semasa perasmian PGCC di Hotel Equatorial Bukit Jambul baru-baru ini, projek tersebut hanya menonjolkan bangunan berkembar menempatkan pusat membeli belah, panggung kesenian, pembangunan taman dalam bandar yang menghubungkan Taman Belia dan Taman Botani dengan menyembunyikan perancangan teliti pembangunan elit yang memisahkan golongan kaya dan miskin.
Di fahamkan projek tersebut menelan belanja RM23 billion di tapak Padang Lumba Kuda, Batu Gantung seluas 104 hektar. - mr

Wednesday, October 3, 2007

Kenapa kekayaan Petronas tidak dinikmati rakyat?

Azamin Amin Thu Oct 04, 07 9:29:12 am MYT
KUALA LUMPUR, 4 Okt (Hrkh) - Walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar hasil minyak dan mempunyai keuntungan yang berlipat ganda namun kekayaannya walaupun secebis tidak dinikmati sepenuhnya oleh rakyat jelata, malah semakin hari semakin dihimpit dengan kos sara hidup dan beban yang tinggi.

Malaysia kaya kerana keuntungan yang diperolehi daripada perniagaan Petronas setiap tahun.
Petronas mencatatkan keuntungan kira-kira RM35.5 bilion pada tahun kewangan 2004-2005 iaitu satu kadar yang jika dibahagi jumlah warganegara Malaysia maka setiap individu akan memperolehi RM1,500 seorang bagi setahun, demikian menurut petikan daripada tuntelanai.blogspot.com.
Keuntungan ini tidak termasuk RM3.12 bilion yang dibayar kepada kerajaan dalam bentuk cukai, duti dan pembayaran royalti. Dan adalah dijangkakan bagi tahun berakhir 2005-2006 pula pendapatan ini akan mencecah RM50 bilion bermakna setiap rakyat Malaysia akan menerima RM2,000 seorang.
Sejak ditubuhkan pada awal 70an tidak ada satu sen pun duit keuntungan petronas digunakan untuk faedah orang miskin melalui sistem zakat. Perbelanjaannya tidak bertunjangkan kepada kebajikan rakyat dan seringkali dibelanjakan dengan tidak cermat, dibazirkan, tidak digunakan secara berhemah untuk membantu rakyat yang miskin dan daif.
Duit Petronas banyak sekali dihabiskan melalui projek-projek yang tidak menguntungkan rakyat dan dilihat hanya menguntungkan pemimpin Umno dan kroni-kroninya seperti disenarai di bawah :
i. Membail-outkan Bank Bumiputra (kini CIMB) dua kali bernilai RM4.86 bilion akibat pengurusan bank tidak ada integriti salah urus dan melonggarkan syarat-syarat pemberian pinjaman yang besar kepada kroni-kroni yang tidak dibayar balik pinjaman.
ii. Membeli bon kerajaan sendiri bernilai RM3.8 bilion.
iii. Membina gelanggang Formula 1 berharga RM286 juta dan setiap kali ada perlumbaan Petronas akan menjadi hostnya berbilion ringgit dikeluarkan.
iv. Beli Hicom (Proton) berharga RM999.4 juta dan selesaikan hutang RM1,299.6 juta.
v. Membangunkan Putrajaya dan MSC berharga RM22 bilion.
vi. Membail-outkan MAS sebanyak RM668.8 juta.
vii. Penubuhan Dana Harta sebagai modal permulaan sebanyak RM4.56 bilion.
viii. Membina KLCC berharga RM1.8 bilion. Maintenance sebulan bernilai RM95,000.00, setahun sudah menjadi RM108 juta.
ix. Membina KLIA sebanyak M9 bilion, peruntukan tahunan sebanyak RM900 juta dan maintenance sebulan RM75 juta.
Semua yang berlaku ini dilihat hanya untuk menyelamatkan dan memperkayakan pemimpin semata-mata termasuk mengekalkan kuasa yang sedia ada.
Akibat daripada itu rakyat dibebankan dengan kenaikan harga petrol tertinggi dalam sejarah tanah air pada tahun 28 Februari 2006 sebanyak RM0.30, manakala LPG naik 30 sen sekilogram.
Kenaikan ini turut mempengaruhi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran. Kemudian diikuti dengan kenaikan kadar tarif elektrik dan air.Kenaikan ini menyebabkan kehidupan rakyat tertekan dan dihimpit dengan kemiskinan yang melampau.
Ketika harga minyak di pasaran antarabangsa meningkat sampai USD72.00 setong menyebabkan kantung Petronas juga turut mendapat keuntungan kerana Malaysia juga merupakan salah sebuah negara pengeksport minyak dunia yang terkenal (menjadi ahli OPEC), tetapi nasib rakyat Malaysia amat malang mendapat pemimpin yang tidak cekap mengurus dana negara.
Apakan tidak, sepatutnya harga minyak diturunkan, tetapi dengan tiba-tiba arahan dikeluarkan untuk menarik balik subsidi minyak kira-kira RM4.4 bilion kerana kononnya kerajaan tidak mampu lagi.
Wang subsidi yang dapat dijimatkan itu dikhabarkan untuk memperbaiki sistem pengangkutan di negara ini yang dikatakan sangat buruk itu, tetapi sampai sekarang sudah hampir 2 tahun tidak nampak sebarang projek pun dilaksanakan.
Apa yang kita lihat ialah sistem pengangkutan di negara ini bertambah buruk apatah lagi semua laluan di lebuh raya semakin sesak dan sendat dengan berbagai jenis kenderaan.
Selain itu, rumah rakyat miskin dan setinggan dirobohkan sesuka-hati untuk memberi laluan taukeh-taukeh kaya membuat pembangunan di situ.
Walaupun sudah 50 tahun merdeka ada yang masih guna air perigi dan rumah masih lagi macam reban ayam sedangkan pemimpin rumah bagaikan istana.
Dalam konteks negara ini, kerajaan bukan Umno dan Umno bukan kerajaan. Apa yang terjadi sekarang ialah fahaman rakyat bahawa UMNO itu kerajaan dan kerajaan itu adalah Umno. Akibat daripada fahaman ini, maka muncullah berbagai menyalahgunaan kuasa yang menyebabkan para pemimpin Umno/BN menggunakan harta kerajaan dengan sewenang-wenangnya tanpa sedikit pun merasa bersalah dan berdosa.
Seperti slogan PAS yang perlu dinilai dan disokong semua pihak:" Negara dalam bahaya, Selamatkanlah Malaysia!" - mks.

Pertemuan dengan Dr M hampir setahun, PM tetap bisu

Abdul Halim Mohd Rashid Thu Oct 04, 07 8:44:46 am MYT
KUALA LUMPUR, 4 Okt (Hrkh) - Walaupun telah hampir setahun pertemuannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad diadakan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetap tidak menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh orang yang melantiknya itu.
"Pertemuan tersebut di adakan dua hari menjelang Hari Raya tahun lalu. Pelbagai perkara dibangkitkan oleh Dr Mahathir dalam pertemuan itu termasuk penglibatan anak dan menantunya, tindakan menjadikan Malaysia negara polis, tindakan menyekat bekas Perdana Menteri itu bercakap dengan ahli-ahli Umno, kewujudan nama Perdana Menteri dalam beberapa buah syarikat yang mengendalikan soal minyak untuk makanan di Iraq, jambatan bengkok, Proton, AP dan (Datuk Seri) Rafidah Aziz," katanya.
Malangnya, kata Mahfuz lagi, tidak ada satu pun dari pelbagai perkara yang dbangkitkan oleh Dr Mahathir itu yang dijawab oleh Perdana Menteri, walaupun kabinet pernah membuat keputusan untuk menjawab semua perkara yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri itu.
"Seperti yang saya nyatakan selepas pertemuan itu, ini bukan persoalan peribadi di antara dua orang yang pernah berkerja bersama atau persoalan ayam itek dua orang yang berjiran.
"Apa yang dikritik oleh Dr Mahathir selama ini ialah kegagalan Abdullah menjadi Perdana Menteri yang berkesan dan boleh diyakini mempertahankan kedaulatan dan maruah negara," katanya.
Beliau mempersoalkan, sehingga berapa kali Ramadankah Perdana Menteri berkeras untuk kekal dengan sifat tidak bertanggungjawab kepada rakyat dan negara.
"Tidak cukup hanya mencatit dalam buku kecil seperti Cina ikan mencatit buku hutang tetapi selepas itu tidak ada sebarang tindakan dibuat untuk menyelesaikan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir kerana perkara-perkara tersebut boleh membawa kemusnahan kepada negara," kata Mahfuz.
Mahfuz tidak menolak kemungkinan bahawa sikap Perdana Menteri yang seolah-olah mengundang kemusnahan ke atas negara itu menyebabkan Dr Mahathir tertekan dan sakit.
Beliau juga mengharapkan keadaan kesihatan Dr Mahathir akan bertambah baik agar beliau dapat meneruskan usaha untuk membetulkan kesilapannya mengangkat Abdullah sebagai penggantinya.

Tuesday, October 2, 2007

Saksi lihat FRU 'mengganas' di Batu Buruk

Awang Harun Wed Oct 03, 07 8:55:42 am MYT
KUALA TERENGGANU, 3 Okt (Hrkh) - 'Paku dulang paku serpih, kata orang diri yang lebih' begitulah ungkapan yang layak digunapakai terhadap Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu yang sering kali 'mempergunakan' pihak tertentu termasuk anggota keselamatan polis.
Tragedi berdarah pada malam 8 September di Batu Buruk telah mencetus dimensi baru corak politik di negeri ini sama ada amalan demokrasi masih boleh digunapakai atau sebaliknya.
Peruntukkan yang diberi dalam Perlembagaan Negara mengenai hak kebebasan bersuara bagi setiap rakyat semakin terhakis hanya digunakan bagi mengekalkan kuasa pemerintahan Umno/BN sahaja.
Tinjauan Harakah menemui beberapa orang lagi mangsa 'keganasan' polis serta saksi yang melihat kejadian di depan mata penglibatan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan SB.
Abdul Majid Kadir, 49, dari Kampung Mengabang Telipot melahirkan rasa kesal dengan tomohan pihak tertentu terhadap PAS yang merosakkan harta benda awam dalam kejadian 8 September lalu.
Katanya, tuduhan PAS 'mengganas' serta menganjurkan rusuhan pada malam itu tidak benar sama sekali dan menyeleweng fakta sebenar. "Saya ada pada malam itu untuk mendengar ceramah Bersih dan tidak dapat masuk kerana sekatan polis tetapi orang ramai berkumpul secara aman melihat keadaan itu. "Saya lihat polis dan FRU yang mula melepaskan air 'water cannon', gas pemedih mata, menangkap dan memukul orang awam terlebih dahulu," jelasnya kepada Harakah, semalam.
Bahkan, katanya kejadian merosakkan kenderaan awam termasuk motosikal dan kereta yang pecah itu dilakukan sendiri oleh anggota FRU yang sedang 'mengamuk'. Menurutnya, terdapat beberapa rakaman yang menggunakan 'handset' oleh orang awam yang melihat kejadian itu dirampas pihak polis dan FRU terbabit. "Saya melihat sendiri beberapa anggota FRU bertindak agresif menendang puluhan deretan motosikal dan memecahkan cermin kereta kancil warna merah dengan kayu 'cota' mereka," ujarnya.
Kata beliau, tuduhan PAS buat rusuhan adalah tidak benar dan kerosakkan harta benda awam yang berlaku sekitar jam 2.30 pagi turut diragui kebenarannya.
Seorang mangsa tahanan polis, Tengku Mohd Faisal Tengku Ambak, 33, dari Dungun menyifatkan penangkapan terhadapnya dibuat secara rambang oleh pihak polis.
Beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan 'merusuh' atau berdemonstrasi pada malam itu tangkap ketika berada di Taman Awam jam 8.45 malam tersebut.
"Polis tangkap saya secara rambang dan saya sama sekali tidak terlibat dengan rusuhan, demonstrasi atau bakar bendera.
"Saya ditahan ketika berada di Taman Awam seawal jam 8.45 malam tanpa sebab dan dibawa menaiki 'black maria' bersama 10 tahanan lain," jelasnya kepada Harakah, semalam.
Katanya, situasi malam itu 'dikuasai' oleh pihak pasukan keselamatan polis yang berperanan mencetuskan kekacauan di Batu Burok.
Manakala, seorang penduduk Imran Ali, 35, dari Jalan Budiman menyifatkan tindakan polis SB dan FRU 'ganas'.
"Saya berani kata sebab saya lihat mereka (polis,FRU) bertindak ganas dengan merosakkan motosikal dan kereta orang awam yang diletakkan di tepi jalan," ujarnya.
Katanya, kerosakkan kenderaan awam yang dipaparkan dalam akhbar-akhbar itu bukan angkara PAS tetapi pihak FRU sendiri.
Menurutnya, beberapa rakaman dibuat oleh orang awam yang melihat aksi ganas FRU itu telah dirampas 'handset' berkamera mereka. - mks.

Monday, October 1, 2007

Tol akan naik lagi 1 Januari 2008?

Wan Nordin Wan Yaacob Mon Oct 01, 07 11:50:50 pm MYT
KUALA LUMPUR, 2 Okt (Hrkh) - Pengumuman terkini, Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S.Sammy Vellu yang menyatakan mengenai betapa kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengelakkan kenaikan 10 perarus bayaran tol hanya memberi 'signal' bahawa kenaikan akan berlaku menjelang 1 Januari 2008 nanti.
Signal 'awal' dari Samy ini sekaligus akan meneruskan lagi episod awal kepada siri penjajahan poket rakyat bagi memenangi hati kroni-kroni mengaut kekayaan negara.
Seperti biasa kerajaan Malaysia yang diterajui Umno/BN akan menggunakan hujah 'berdasarkan perjanjian, pemilik konsesi berhak menaikkan harga tol.
Dan kerajaan juga katanya berpandangan sekiranya pemilik konsesi tidak dibenarkan menaikan harga tol maka kerajaan terpaksa menggunakan wang negara, kata Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin kepada Harakahdaily hari ini
"Menjadi persoal siapa yang membuat perjanjian bodoh yang jelas berat sebelah ini? Maknanya syarikat kapitalis ini lebih berkuasa dari kerajaan BN yang lemah ini,"kata Badrul Hisham.
Usaha tutup kelemahan kerajaan
Perlu disedari kenaikan tol, hak dan perjanjian konsesi ini sebenarnya satu usaha terancang untuk menutup kelemahan dan amalan korupsi rompakan wang negara secara berterusan, katanya.
"Kita mengambil contoh pemegang kosesi terbesar lebuhraya di Malaysia, PLUS. Syarikat ini telah mengalami keuntungan sebanyak RM583 juta untuk separuh tahun 2007 (Januari-Jun 2007) dan berdasarkan rekod keuntungan ini sentiasa meningkat dari tahun ke tahun berdasarakan pertambahan jumnlah kenderaan di Malaysia,"kata Badrul Hisham.
Malangnya kerajaan tidak boleh menghalang kenaikan seperti yang kononya termaktub dalam perjanjian kerana 'perjanjian sulit' dengan pemegang saham syarikat tersebut, ujarnya.
Krisis 1997-1998 'bail out' jamin kepentingan kroni
Dalam isu ini, Badrul Hisham mengimbau sejarah sewaktu krisis ekonomi 1997-1999.
Ketika itu kerajaan telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk menyelamatkan Kumpulan Syarikat UEM-Renong terutamanya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) melalui Khazanah Nasional yang kini secara efektif memegang ekuiti PLUS sebanyak 69 peratus, katanya.
Kerana usaha 'bail ou't yang menjamin kepentingan kroni maka sehingga kini rakyat terus menderita, ujarnya.
"Setiap kali membayar tol kita bukan sahaja membayar harga menggunakan lebuhraya tetapi kita turut tolong membayar hutang 'bail out' yang dibuat oleh kroni,"ujarnya.
Mengulas pengumuman Samy Vellu itu beliau melihat bahawa tiga implikasi besar dari pengumuman tersebut akan dirasai.
Tiga impilkasi jika harga tol naik
Pertamanya kerajaan akan menguar-uarkan kadar kenaikan dan kemudian akan mengumumkan 'dengan penuh rasa keperhatinan' bahawa kerajaan berkorban untuk tidak menaikkan (atau menaikkan separuh) kadar tol tetapi kerajaan berkorban dengan membayar sejumlah billion Ringgit Malaysia kepada pemegang konsesi sebagai pampasan, katanya.
Ini kerana pilihan raya yang terlalu hampir, Maka rakyat akan terus ditipu dengan lupa opsyen pertama ini dengan yang akan rugi tetap rakyat, katanya.
Ringgit Malaysia yang dibayar ialah datangnya dari belanjawan negara juga sementara melaluinya pemimpin BN melalui kroni mereka akan terus menikmati keuntungan yang dikehendaki, katanya.
Pihak yang lebih rugi ialah rakyat Sabah dan Sarawak yang terpaksa yang terpaksa melalui jalan yang teruk setiap hari tetapi wang mereka juga secara tidak langsung turut dirompak melalui belanjawan negara, katanya.
Implikasi ke dua yang akan berlaku ialah jika rakyat berani rakyat bangkit dengan kesedaran dengan menunjukkan protes secara langsung dan tidak langsung, katanya.
Dari tidak membayar tol, menyertai protes-protes terbuka dan sekurang kurangnya rakyat sedar yang Malaysia sedang ditadbir oleh kerajaan yang bekerjasama dengan kapitalis merompak, katanya.
"Implikasi ketiga yang boleh mungkin berlaku ialah, lebih 'malangnya' jika kerajaan terus menaikkan harga tol kerana yakin tidak akan hilang undi.
"Walaupun pilihan raya amat hampir rakyat akan terus hilang maruah diri tertipu dan terus mengundi BN dan keyakinan ini diperkukuhkan dengan yakin betapa SPR telah sedia menjadi kuda tunggangan BN untuk menjamin kemenangan,"katanya sinis.

Sunday, September 30, 2007

Panel siasat video: Jangan sampai jadi bahan ketawa

Abdul Halim Mohd Rashid Mon Oct 01, 07 8:27:56 am MYT
KUALA LUMPUR, 1 Okt (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar mempersoalkan sejauh manakah panel yang ditubuhkan untuk menyiasat 'video Lingam' boleh mendapatkan kerjasama saksi penting jika panel itu sendiri tidak boleh menjamin perlindungan kepada saksi berkenaan.
"Bagaimana saksi penting iaitu orang yang merakamkan video tersebut hendak tampil membuat pengakuan tentang kesahihan video itu jika tidak ada jaminan perlindungan untuknya?" beliau mempersoalkan.
Mahfuz juga mempersoalkan, ketika ketiga-tiga anggota panel tersebut tidak mempunyai kepakaran dalam bidang yang berkaitan dengan rakaman video, apakah jaminan bahawa mereka tidak menggunakan kepakaran orang-orang yang tidak jujur yang akhirnya akan memberikan maklumat yang salah kepada mereka?
Panel tersebut dianggotai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Tan Sri Lee Lam Thye serta bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar.
Video tersebut pula dilaporkan mengandungi rakaman perbualan peguam Datuk VK Lingam dan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim untuk mengatur perlantikan dan kenaikan pangkat hakim-hakim yang sehaluan.
"Siapa di antara mereka yang boleh mengesahkan segala maklumat mengenai rakaman video itu dalam keadaan mereka hanya bergantung kepada penemuan-penemuan polis dan agensi-agensi kerajaan lain?" soal beliau.
Menurut sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris 26 September lalu, panel tersebut menjalankan tugas mereka hanya berdasarkan penemuan-penemuan polis dan agensi-agensi kerajaan yang lain.
Mereka juga boleh menyiasat penemuan-penemuan tersebut tetapi tidak boleh terlibat secara langsung untuk menemubual atau mendapat maklumat lanjut dari mereka yang terlibat.
Mahfuz menyifatkan bidang kuasa panel tersebut amat tidak kondusif untuk membolehkan mereka menjalankan siasatan yang diyakini oleh rakyat dan dunia.
"Saya bimbang hasil siasatan panel tersebut hanya akan menjadi bahan gelak ketawa. Jangan sampai seluruh dunia mentertawakan panel penyiasat tersebut dan panel tersebut akhirnya menjadi ikon yang dipersendakan seluruh dunia sehingga akhirnya ada istilah "panel penyiasat Malaysia" yang digunakan bagi merujuk mana-mana badan siasatan yang tidak diterima kewibawaannya," kata beliau.
Sepatutnya, kata Mahfuz lagi, anggota-anggota panel tersebut menolak perlantikan mereka dan bersama-sama rakyat menuntut supaya diwujudkan suruhanjaya diraja menyiasat video tersebut.
Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub menyifatkan dua isu utama mengenai panel tersebut akan tetap dipersoalkan sehingga bila-bila
Isu pertama ialah mengenai kuasa panel tersebut manakala isu kedua ialah kredibiliti anggota-anggotanya.
"Paling buruk sekali ialah panel itu mesti menyerahkan hasil siasatannya kepada kabinet yang kemudiannya akan mengumumkan kepada rakyat. Tidak ada orang berakal yang mahu mempercayai bahawa panel itu bebas," tegas beliau

Sunday, September 23, 2007

Tragedi Batu Buruk: Pemuda PAS serah memorandum kepada PBB

Wan Nordin Wan Yaacob Mon Sep 24, 07 1:15:20 pm MYT
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Hrkh) - Insiden keganasan polis terhadap orang awam dalam meleraikan himpunan ceramah umum di Batu Buruk, Terengganu baru-baru ini telah di bawa ke pengetahuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Ketua Pemudanya, Salahuddin Ayob telah menyerahkan memorandum aduan pencabulan hak asasi manusia yang berlaku dalam tragedi itu kepada PBB dalam satu pertemuannya di pejabat PBB di Jalan Dungun, Damansara hari ini.
Dalam memorandum itu, Pemuda PAS mengutarakan isu penggunaan peluru hidup oleh polis ke atas orang awam semasa insiden berdarah ceramah umum anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan bersih (Bersih) di Batu Buruk.
Memorandum itu diserah Salahuddin kepada wakil PBB di Malaysia dan disaksikan oleh delegasi Pemuda PAS.
Penggunaan peluru hidup itu secara jelas mencabuli hak asasi manusia dan PBB adalah badan yang berhak untuk menggunakan fungsi badan itu untuk berbuat sesuatu, kata Salahuddin.
Salahuddin meminta tindakan ganas polis di Batu Buruk yang jelas melanggar hak asasi manusia dan menjejaskan keselamatan awam disiasat oleh PBB.
Katanya lagi, Pemuda PAS meminta Setiausaha Agung PBB mengutarakan isu itu dalam mesyuarat badan itu dan mengambil perhatian secara serius.
Sebelum ini, Bersih yang menganjur program pada malam kejadian berdarah itu berpendirian bahawa polis telah melakukan provokasi dan bertindak secara tidak profesional dengan menembak gas pemedih mata dan semburan air ke arah orang awam yang sedang berhimpun sedangkan ceramah pada malam itu telah pun dibatalkan.
Program Bersih yang dianjurkan pada malam itu bertujuan mengajak rakyat menuntut dan memahami hak mereka dalam sebuah negara demokrasi untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih, demikian menurut kenyataan media Bersih.
Dalam pada itu, Bersih juga turut menuntut antara lainnya ialah supaya pihak polis tidak lagi diperalatkan oleh Umno/BN untuk kepentingan politik murahan mereka sehingga mengakibat insiden yang tidak diingini berlaku.
Malah Bersih menggesa Menteri Besar Terengganu, DatoĆ¢€™ Seri Idris Jusoh selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri agar bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian ini.
Mengulas isu yang sama juga bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Dato' Ruhanie Ahmad dalam blognya menyifatkan drama yang sedang berlaku ekoran Tragedi Batu Buruk adalah kerana 'pihak-pihak yang kelihatan sedang cemas oleh kekhuatiran kehilangan kuasa?'
Bagi beliau, peristiwa peluru hidup di Batu Buruk 8 September lalu adalah implikasi dari kewujudan pembesar yang kelihatan seakan-akan sudah hilang kawalan terhadap destini negara?
"Inikah akibatnya permainan politik setengah masak? Inikah kesannya politik "baling batu sembunyi tangan"? Inikah implikasinya bila ada pembesar yang kelihatan seakan-akan sudah hilang kawalan terhadap destini negara?" tanya bekas Setiausaha Politik Tun Musa Hitam itu.
Kepada pihak yang membaling batu sembunyi tangan, beliau mengingatkan, bagaimanakah jika kebenaran suatu hari nanti akan menafikan segala-galanya yang sedang diheboh-hebohkan?
"Berapa lama lagikah rakyat jelata perlu dihidangkan dengan keadaan seperti ini. Dan, bagaimanakah jika kebenaran akan suatu hari nanti menafikan segala-galanya yang sedang diheboh-hebohkan oleh pihak-pihak yang kelihatan sedang cemas oleh kekhuatiran kehilangan kuasa?
"Lantaran itu, tidak murnikah kalau impak peristiwa di Batu Buruk itu ditangani secara lebih ikhlas, teliti dan bijaksana oleh pihak berkuasa?" Ruhanie mempersoalkan.
Dalam tragedi berdarah itu, seorang anggota polis yang tidak beruniform dengan sengaja telah bertindak melepaskan beberapa das tembakan dengan menggunakan peluru hidup sehingga mengakibatkan dua orang awam mengalami kecederaan yang amat seruis.
Mangsa pertama Suwandi Abd Ghani, 37, telah menggalami kecederaan parah dan telah dipindahkan daripada Hospital Besar Kuala Terengganu ke Hospital Kubang Kerian, Kota Bahru untuk menjalani pembedahan.
Mangsa kedua, Mohd Azman Abd Aziz, 21, juga mengalami kecedaraan parah dan masih dirawat di Hospital Besar Kuala Terengganu.
Bagi mengelakkan dirinya dari memikul tanggungjawab berikutan keganasan polis itu, Abdullah berkata insiden tersebut mungkin berpunca daripada pembangkang. - mks.

Klip Video: Respon PM, TPM lemah, pecat Ahmad Fairuz

Wan Nordin Wan Yaacob Mon Sep 24, 07 9:59:06 am MYT
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Hrkh) - Pendedahan mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim berhubung klip video membabitkan perbualan antara seorang peguam dengan hakim kanan semakin mendapat perhatian ramai hingga Perdana Menteri dan Timbalannya terpaksa menggunakan pelbagai alasan untuk menutup isu tersebut.
Klip video yang turut disiarkan dalam beberapa lama web termasuk web rasmi Parti KeADILan Rakyat itu beberapa hari lalu menghantui pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
Malangnya jawapan-jawapan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri dan Timbalannya tidak masuk akal dan tidak bertanggungjawab semata-mata untuk menutup isu besar itu dari mata rakyat, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar.
"Bagaimana pula dengan tindakan menukar pendakwaraya dalam kes Altantuya Shaariibuu hanya kerana didakwa dilihat bermain badminton tetapi bukti berupa video dan gambar tidak pun diketengahkan.
Bukti
"Dalam isu konspirasi kehakiman pula jelas Anwar mendedahkan klip video yang dikatakan membabitkan perbualan antara VK Lingham dan seorang hakim yang disyaki, Tun Ahmad Fairuz, tetapi pihak hakim dan kerajaan pimpinan Abdullah sebaliknya mahu menutup isu ini,"kata Kamarudin yang juga ahli Parlimen Tumpat.
Beliau berkata demikian hari ini ketika mengulas kenyataan PM dan TPM terhadap isu pendedahan Anwar berhubung isu klip video membabitkan konspirasi kehakiman.
Baginya, kes ini secara jelas menunjukkan perbualan antara peguam terbabit dengan hakim tersebut mengikut klip video dan teks asal yang telah ditranskrip.
"Setakat ini kata PM dan TPM hanyalah klip ini perlu dipastikan sahihnya.Dalam kes Altantuya, bukti hakim bermain badminton dengan peguam tidak pun dikemukakan tetapi tindakan untuk menggantikan hakim terus dilakukan.Buktinya mana, tiada pun pihak yang menanyakannya,"tegasnya.
Pada pandangan Kamarudin, kes ini membabitkan integriti badan kehakiman negara yang boleh memberi kesan kepada proses perundangan dan sebarang keputusan berhubung peghakiman.
Helah tutup kes
"Apa yang dilakukan PM hanya memberi amaran kepada pihak yang mendedahkan kes ini jika klip video itu tidak benar mereka akan diambil tindakan. Ini kes besar jangan kata tak ada bukti,"tegasnya.
Apa yang dilihat kenyataan PM itu hanyalah satu helah untuk terus menutup kes yang boleh menggugat keyakinan rakyat terhadap ketelusan badan kehakiman di negara ini, katanya.
Justeru tindakan untuk menyiasat dan meneliti kandungan perbualan antara peguam dan hakim itu perlu dilakukan segera oleh pihak kerajaan dan badan kehakiman, katanya.
Beliau juga mahu PM dan semua pimpinan politik serta kehakiman konsisten dan telus dalam mengendalikan kes besar ini yang boleh akan mencerminkan kewibawaan badan perundangan negara ini, katanya.
PM dan TPM hilang wibawa
Sementara itu Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah pula berkata, cubaan PM dan TPM mutakhir ini untuk mempersoalkan kebenaran video itu sememangnya tidak menampakkan kewibawaan dan sikap bertanggungjawab pimpinan kerajaan.
"Mustahil sama sekali bagi seorang yang rasional untuk menonton video ini dan kemudiannya serta-merta mendakwa kepalsuannya. Peguam-peguam Malaysia sedar dengan situasi kehakiman kita pada tahun 2002, dan mampu memahami segala yang tersurat mahupun tersirat dalam perbualan ini,"katanya.
Fakta-fakta dan nama-nama yang tersebut dalam perbualan itu sememangnya bukan asing lagi kepada mereka, katanya.
Malah seseorang yang tidak mengecam seorang nama sekali pun masih lagi boleh melihat apa yang cuba dibuat dalam perbualan itu, katanya.
PM cuba dakwa klip video ciptaan komputer
Nampaknya, PM dan TPM sedang cuba mendakwa bahawa video ini mungkin telah dihasilkan menggunakan imej ciptaan komputer, ataupun satu lakonan semata-mata, katanya.
"Dakwaan ini sememangnya langsung tidak masuk akal, dan sebenarnya menampakkan betapa terdesaknya mereka ini, sehinggakan terpaksa menggunakan alasan yang begitu lemah sekali,"katanya.
Respons Ketua Hakim Negara yang begitu pendek, sekadar 'tiada komen' semata-mata, boleh jelas difahami semua sementara peguam yang sedang dikaitkan dalam kontroversi ini pula masih lagi belum berkata apa-apa, katanya.
KeADILan ingin meminta supaya PM dan TPM tidak begitu cepat membuat kesimpulan mereka sehingga satu pasukan forensik bebas selesai menyiasat video tersebut, katanya.
Dalam pada itu, KeADILan juga menegaskan bahawa kerja ini sepatutnya menjadi sebahagian tugas Suruhanjaya Diraja yang dikehendaki untuk menjalankan penyiasatan penuh ke atas hal ini, katanya.
Surat terbuka kepada Yang Dipertuan Agong
Sementara itu dalam satu surat terbuka kepada Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Majlis Raja-raja Melayu, Ahli majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin berkata, pendedahan tersebut beserta bukti rakaman perbualan, jelas menunjukkan bagaimana campur tangan dan gangguan dalam institusi kehakiman.
Melalui perbualan itu peguam tersebut melakukan usaha termasuk campur tangan beberapa pihak lagi seperti tokoh korporat Vincent Tan dan Tengku Adnan (menteri Pelancongan ketika itu) memastikan Fairuz dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.
"Negara kini berada dalam krisis integriti yang cukup hebat kini. Seluruh dunia kini sedang melihat Malaysia, bagaimana kita selaku bangsa yang bermaruah menangani permasalahan ini,"katanya.
Gantung sementara, atau pecat
Sewajarnya dalam kes ini melihat dengan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz sendiri meletakkan jawatan atau sekurang-kurangnya mengosongkan jawatan sementara untuk membolehkan siasatan dijalankan, kata Badrul Hisham.
"Menginsafi betapa negara sedang diuji dengan ujian integriti yang hebat, makanya dengan ini patik mendesak tindakan segera berdasarkan Artikel 125 Perlembagaan Persekutuan, di mana mengizinkan pemecatan atau penggantungan Hakim serta merta berdasarkan salah laku etika,"katanya.
Satu Suruhanjaya Diraja bebas harus dibentuk segera bagi menyiasat perkara ini termasuk menyiasat semula kes terbesar negara iaitu konspirasi terhadap Anwar Ibrahim yang telah banyak merugikan negara.
Pada 19 September lalu, Anwar dalam satu sidang medianya di Petaling Jaya telah mendedahkan satu klip video yang didakwanya rakaman perbualan antara peguam dengan seorang hakim.
Menurut Anwar klip video itu dirakam pada tahun 2002 namun beliau enggan menyatakan sumber rakaman itu diperolehi.
Terkemudian selepas itu KeADILan menyerahkan klip itu kepada Majlis Peguam Malaysia dan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk siasatan lanjut. - mks.

Presiden PAS kunjungi mangsa tembakan Batu Buruk

Awang Harun & Azamin Amin Foto Awang Harun
Sun Sep 23, 07 10:43:54 am MYT
MARANG, 23 Sept (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang meluangkan masa hampir 30 minit menziarahi mangsa tembakan peluru hidup,Suwandi Abdul Ghani, 38, dalam tragedi 8 September di Batu Buruk, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Beliau berada di rumah Suwandi bagi mendengar sendiri cerita sebenar pada malam kejadian itu.

Turut tercedera akibat tembakan polis ialah Muhamad Azman Aziz, 21, dari Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Suwandi yang cedera parah telah menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bagi mengeluarkan peluru ditubuhnya manakala Muhamad Azman yang terkena tembakan pada bahagian leher dan bahu menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Lebih menyedihkan, kedua-dua mangsa terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Difahamkan seorang anggota Polis berpangkat konstabel dari Jabatan Siasatan Jenayah, Wan Abdul Aziz Wan Omar mengaku telah melepaskan tembakan tersebut sebagaimana laporan Polis yang dibuatnya.

Manakala, empat anggota FRU yang sekadar cedera ringan iaitu Che Malek Jusoh, Chandran a/l Shammugam, Mohd Imran Ismail dan Azmi Husin menerima rawatan sebagai pesakit luar dalam kejadian tersebut.

Kejadian berdarah dan tembakan peluru hidup di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu 8 September lalu menimbulkan pelbagai persoalan yang wajar dijawab segera kepada rakyat jelata tentang kewibawaan serta intergriti Polis Diraja Malaysia dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam selama ini.

Justeru, selain amarah rakyat termasuk kecaman pelbagai pihak, parti politik dan NGO terhadap insiden yang berlaku, PAS telah memanjangkan bantahan dan kecaman terhadap PDRM di Bukit Aman minggu lalu.

Turut hadir menyampai memo bantahan di atas kejadian itu kepada seorang pegawai polis di luar pekarangan Bukit Aman ialah Naib Presiden PAS Mohamad Sabu; Ketua Pemuda PAS Salahudin Ayub; Setiausaha Agung PAS Dato' Kamarudin Jaffar dan Bendahari PAS Dr Hatta Ramli dengan di saksikan lebih 50 hadirin yang terdiri daripada penyokong pelbagai parti politik.

Hadir sama ialah Ketua Angkatan Muda KeADILan Shamsul Iskandar dan Ketua Penerangan KeADILan TIan Chua.

Antara lain isi kandungan bantahan tersebut ialah mempersoalkan kewajaran polis menggunakan kekerasan dalam menyuraikan perhimpunan aman malah lebih buruk lagi menggunakan peluru hidup sehingga mengakibatkan dua tercedera parah.

"Kita menggesa satu Suruhanjaya Bebas Diraja bagi mengenal pasti dan menyiasat punca kejadian. Kita membantah sekeras-kerasnya tindakan kasar polis terhadap orang awam yang hadir untuk mendengar ceramah yang telah dibatalkan," kata Salahudin yang turut kecewa dengan dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap parti pembangkang yang selama ini sering kali dilabel tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini,Badan Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang menganjur program pada malam kejadian berdarah itu berpendirian bahawa polis telah melakukan provokasi dan bertindak secara tidak profesional dengan menembak gas pemedih mata dan semburan air ke arah orang awam yang sedang berhimpun sedangkan ceramah pada malam itu telah pun dibatalkan.

Program Bersih yang dianjurkan pada malam itu bertujuan mengajak rakyat menuntut dan memahami hak mereka dalam sebuah negara demokrasi untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih, demikian menurut kenyataan media Bersih.

Dalam pada itu, Bersih juga turut menuntut antara lainnya ialah supaya pihak Polis tidak lagi diperalatkan oleh Umno/BN untuk kepentingan politik murahan mereka sehingga mengakibat insiden yang tidak diingini berlaku.

Malah Bersih menggesa Menteri Besar Terengganu, DatoĆ¢€™ Seri Idris Jusoh selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri agar bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian ini. - mks.

Monday, September 17, 2007

PM tadbir ekonomi negara macam main silap mata - Tan Sri Khalid

Nyza Ayob Tue Sep 18, 07 10:26:43 am MYT
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Hrkh) - Sebelum Malaysia mencapai tahap sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa, antara perkara penting yang diselesaikan ialah kefahaman struktur kewangan yang mesti dimantapkan dengan kehendak syariah.
Perkara tersebut ditegaskan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tan Sri Khalid Ibrahim sewaktu mengulas tentang strategi kerajaan dalam Bajet 2008 yang akan menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa.
Jelas Khalid, pada masa sekarang terdapat perbezaan pendapat besar yang dilakukan oleh bank-bank di Malaysia yang dikatakan menjalankan perbankan secara Islam.
Katanya, sistem yang dilakukan di negara-negara Teluk yang tidak selari pandangan mereka dengan Malaysia. Antara yang dipertikaikan ialah cara-cara bank mengemukakan struktur kewangan yang dikatakan mengikut lunas-lunas syariah.
Katanya lagi, pada pandangan pemerhati syariah antarabangsa, Malaysia menjalankan pembiayaan jual beli (Al-Bai Bithaman Ajil ) secara 'silap mata'.
Jelasnya bank-bank ini bukan menjalankan usaha jual beli tetapi menjalankan usaha pinjaman. Jual beli tersebut katanya disesuaikan dengan kadar faedah yang berada di pasaran.
" Ini adalah satu usaha untuk sengaja mencari jalan supaya tidak ada beza kos mendapat pinjaman dari bank-bank Islam dengan kos pinjaman untuk bank-bank konvensional.Ada kalanya perkataan Al Bait Bitaman Ajil (jual beli) hanya nama sahaja tetapi sebenarnya ialah Al Daim (memberi pinjaman).
"Jadi perkara ini mesti diselesaikan. Jika tidak diselesaikan bererti Malaysia tidak akan dianggap sebagai menjalankan sistem perbankan Islam secara tulen. Malaysia menjalankan sistem bank Islam tetapi disesuaikan dengan cara-cara perbankan bukan Islam. Jafi tidak perlu PM menyatakan kita ingin menjadikan bank Islam peringkat antarabangsa jika konsepnya tidak betul," tegas Khalid.
Khalid yang ditemui di kediamannya baru-baru ini sewaktu sesi temu bual mengenai reaksi Bajet 2008 menyatakan, oleh kerana fatwa-fatwa tidak dihebahkan kepada rakyat, besar kemungkinan rakyat tidak tahu maksud bank Islam yang sebenar.
"Perbankan cara Islam sebenarnya tidak ada perselarian dengan konsep perbankan yang ada sekarang. Perbankan cara Islam bukan sahaja memikirkan tidak ada riba tetapi adalah satu pelaburan bersama antara orang yang meminjam dengan orang yang memberikan pinjaman, " katanya.
Dalam pada itu, beliau menekankan konsep perbankan yang ada sekarang ialah konsep memberi hutang dan hutang itu mesti dibayar dengan faedah. Tetapi bank-bank secara Islam di Malaysia tidak menyatakan perkara itu faedah sebaliknya menyatakan ia kadar diskaun.
Perkara ini katanya adalah pensesuaian dan konsep ini tidak ada kena mengena dengan konsep perbankan atau konsep kewangan Islam.
"Konsep kewangan Islam mengambil kira risiko dan pulangan hasil daripada penggunaan modal tersebut. Apabila hasil dan pulangan itu didapati, agihan dapat dilakukan.
"Pengagihan, faedah atau diskaun tidak boleh ditentukan sebelum hasil-hasil ini didapati. Jadi, kerja-kerja yang dilakukan oleh bank-bank Islam di Malaysia kebanyakannya hanya mengubah suai apakah faedah dengan diskaun tersebut,"katanya. - mks

Sunday, September 16, 2007

Kes 6 kapal peronda TLDM RM6.75 bilion: Najib perlu jawab!

Ahmad Lutfi Othman Mon Sep 17, 07 1:52:41 pm MYT
Pendedahan yang dipetik dari Laporan Ketua Audit Negara 2006 tentang perbedaan ketara harga pasaran dengan harga yang dibayar untuk beberapa peralatan Institut Kemahiran Belia Negara (KBN) menjadi bualan umum baru-baru ini dan mendapat perhatian media. Namun ada isu lebih besar, membabitkan lebih banyak wang rakyat, dan salah lakunya lebih menjolok mata.

Ramai terpegun bagaimana harga set screwdriver boleh menjadi RM224.94 sedangkan harga pasaran hanya RM40, harga kamera digital (Kodak, DC4800, 3.1 Megapixel) melonjak kepada RM8,254.29 (harga pasaran RM2,990), set pasu plastik (3 saiz 8 inci, 6 inci dan 4 inci) RM42.80 (harga pasaran RM5.20), settee 6 seater (jenis PVC) RM9,075 (harga pasaran RM1,500) dan 2 tonne jack RM5,741.69 (harga pasaran RM50).
Selain itu, sebuah kren menara berharga RM2.73 juta dibeli untuk IKBN Chembong dan sebuah lagi berharga RM2.990 juta untuk IKBN Bachok, sedangkan harga pasaran masing-masing hanya RM1.45 juta dan RM1.53 juta. Sebanyak 152 pakej komputer desktop yang dilengkapi perisian Computer Assisted Design and Drafting untuk jurusan Pelukis Pelan Seni Bina pada empat IKBN Bachok, Chembong, Kinarut dan Kuala Perlis telah dibeli dengan harga R4.47 juta atau RM29,385 setiap pakej sedangkan harga pasaran hanya RM9,250 bagi satu pakej, yakni kos keseluruhan RM1.41 juta.
Sebanyak 430 set papan bancuh simen untuk jurusan Jurubina Bangunan dan jurusan Jurulepa dan Penjubinan pada empat IKBN yang sama telah dibeli dengan harga RM441,610 atau RM1,027 setiap satu. Sedangkan harga pasaran hanya RM150 sahaja (harga untuk 430 set hanya RM64,500) dan menurut tenaga pengajar IKBN, kosnya boleh dikurangkan lagi sekiranya pihak IKBN membeli papan sendiri dan pelajar diberi tugas untuk membuat papan bancuh simen sendiri.
Tiga unit kabin telah dibeli dengan harga RM425,700 atau RM141,900 setiap satu untuk dijadikan bilik kuliah jurusan Operator Kren Menara di IKBN Bachok dan IKBN Chembong. Pihak Jabatan Audit Negara mendapatkan sebut harga sebuah kabin yang sama termasuk upah pengangkutan, kos memasang 2 penghawa dingin dan sewa kren, iaitu RM20,000 sahaja (RM60,000 untuk tiga unit).
Sebanyak 17 set buku teknikal dengan 10 tajuk telah dibeli untuk jurusan Pelukis Pelan di KBN Bachok, Chembong dan Kuala Perlis, dengan harga RM181,900 atau RM10,700 setiap set. Semua 10 tajuk buku tersebut boleh dibeli daripada Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka dengan harga RM417 sahaja dan ini bermakna harga yang dibayar Kementerian Belia dan Sukan adalah RM174,811 lebih tinggi daripada harga pasaran.
Begitu juga dengan harga satu set pen teknikal yang dibeli dengan harga RM1,146.56 sedangkan harga pasaran hanya RM160. Sebanyak 15 pakej kenderaan terpakai (tidak melebihi 5 tahun, terdiri daripada 4 jenis kereta, Honda Civic, Toyota Corolla, Protoeon Wira dan Iswara) dibeli dengan harga RM4.24 juta (satu set RM280,000) untuk jurusan Ketuk Mengetuk dan Semburan Cat, sedangkan harga pasaran sekitar RM2.8 juta (satu set RM183,000).
Pembaziran wang rakyat dalam kes IKBN
Okey, saya tidak mahu membutirkan lebih banyak pendedahan laporan Audit itu hanya berlengkar di Kementerian Belia dan Sukan. Dan segala yang dibentangkan di atas pun bukanlah prioriti catatan ringkas ini. Ia mungkin boleh diibaratkan sebagai kes membabitkan ikan bilis sedangkan ada kes melibatkan ikan jerung yang tidak diberikan keutamaan oleh pihak media. Namun tidak pula saya anggap pembaziran wang rakyat dalam kes-kes IKBN ini boleh didiamkan begitu sahaja.
Menteri bertanggungjawab, ketika itu, Dato' Seri Hishamuddin Hussein harus menjelaskan bagaimana keadaan pincang itu boleh berlaku. Kita pun pelik juga dengan peranan Biro Inovasi dan Perundingan, Universiti Teknologi Malaysia yang dilantik sebagai perunding untuk membantu Kementerian Belia dan Sukan mengenal pasti keperluan peralatan IKBN, dan sehingga Disember 2006, sejumlah RM6.54 juta telah dibayar kepadanya.
Kita tinggalkan sekejap isu-isu yang membabitkan perbedaan harga yang begitu ketara itu, dengan menyedari jumlah terkumpul yang sepatutnya boleh dijimatkan tidak kurang daripada RM10.80 juta, selain dapat mengelak permohonan penambahan perolehan peralatan sehingga kosnya berjumlah RM267,90 juta. Kerajaan juga terpaksa membayar tidak kurang RM88.45 juta untuk peralatan yang masih tidak digunakan atau tidak digunakan secara optimum disebabkan tiada keperluan, tenaga pengajar tidak pakar dan pembelian yang terlalu awal.
Ooop, cukup dulu hal berkenaan.
Kita beralih kes yang lebih besar membabitkan Kementerian Pertahanan, yang kini diketuai Timbalan Perdana Menteri, Dato' Najib Razak. Semalam (15 September), di Pekan, Najib berkata kerajaan bersedia mengguna pakai apa sahaja kaedah baru yang disyorkan oleh Jabatan Audit Negara asalkan dapat menyumbang ke arah pentadbiran kewangan awam lebih cekap, telus dan mempunyai akauntabiliti. Beliau mengulas langkah Audit hendak memperkenalkan indeks akauntabiliti pengurusan kewangan ke atas semua kementerian dan perbendaharaan negeri bermula tahun depan.
Najib seterusnya berkata, langkah memperkenalkan sistem ini dapat mengelakkan berulangnya salah urus dana di kementerian dan jabatan berkaitan. ‘‘Kalau tidak ada sistem penilaian, perkara-perkara ini (salah urus kewangan) akan berulang dan membuatkan banyak pihak mengatakan laporan audit itu (sekadar) merupakan cerita lama yang diulang balik,” katanya. Bagaimanapun, beliau menambah kerajaan tidak mahu pelaksanaan sistem itu menyebabkan berlaku perubahan yang besar dari segi pentadbiran kewangan di semua kementerian.
Saya rasa Najib seperti mahu menekankan bahawa jangan cuba memandai-mandai buat cadangan untuk mereformasikan sistem pentadbiran kewangan yang terpakai selama ini.
Laporan Audit dedah banyak perkara
Laporan Ketua Audit Negara turut mendedahkan banyak perkara yang tidak kena dalam pengurusan perolehan 6 buah kapal peronda (Petrol Vessel - PV) Tentera Laut Diraja Malaysia, yang tidak dibuat dengan baik dari segi perancangan, pelaksanaan dan pemantauan.
Saya minta rakan saya, Lifeboat, yang berpengalaman dalam hal pengauditan ini, untuk membuat analisis lebih terperinci dalam Harakah cetak keluaran depan.
Kos membina 6 buah PV ini ialah RM5.35 bilion. Selepas Jemaah Menteri bermesyuarat pada 15 September 1983, diputuskan kontraktor awal ialah Naval Dockyard Sdn Bhd (NDSB), sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan, yang kemudiannya selepas diswastakan menjadi konsortium PSC-NDSB, diketuai Penang Shipbuilding And Construction Sdn Bhd (PSC).
Bagaimanapun Penglima Tentera Laut ketika itu, Dato' Seri Mohd Shariff Ishak menekankan TLDM tidak bersetuju dengan cadangan penswastaan kepada PSC, antaranya kerana PSC merupakan limbungan yang kecil, prestasinya tidak baik dan hanya mempunyai pengalaman membina bot tunda dan bot polis jenis kecil.
Jawatankuasa Pemandu Pelaksananaan Program Pembinaan Kapal Peronda, yang bertanggungjawab menetapkan dasar dan garis panduan berhubung dengan kewangan, pengurusan projek dan teknikal di samping mengawal perlaksanaannya ditubuhkan. Ia dipengerusikan Dato' Seri Najib Razak, Menteri Pertahanan.
Semakan Audit menunjukkan jawatankuasa ini bermesyuarat sebanyak 7 kali dari tahun 1994 hingga 1998 sahaja, dan tidak lagi bermesyuarat selepas itu. Manakala Jawatankuasa Pengerusan Eksekutif yang dipengerusikan Mohd Shariff dan Timbalan Ketua Setiausaha 1 Mindef hanya bermesyuarat sebanyak empat kali bagi tempih 1994 hingga 1996 dan tidak lagi bermesyuarat selepas itu.
Mengikut kontrak asal, 6 kapal peronda itu sepatutnya diserahkan secara berjadual, bermula Mac 2004 (PV1), seterusnya Januari 2005 (PV2), Oktober 2005 (PV3), April 2006 (PV4), Oktober 2006 (PV5) dan April 2007 (PV6). Malangnya hanya PV1 dan PV2 dapat diserahkan, itu pun masing-masing pada Jun 2006 (terlewat 27 bulan) dan Julai 2006 (terlewat 18 bulan).
Audit merumuskan bahawa punca ia gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan kerana pemilihan kontraktor yang hanya mempunyai limbungan yang kecil dan pengalaman membina bot tunda dan bot polis jenis kecil sahaja, masalah kewangan serta lain-lain masalah yang dihadapi oleh kontraktor, seperti pengurusan tidak cekap dan masalah aliran tunai.
Semasa penyerahan PV1 yang dikenali sebagai KD Kedah pada 2 Jun 2006, terdapat 100 item/kerja masih belum diselesaikan. Keadaan yang sama juga berlaku semasa penyerahan PV2 (KD Pahang) pada 27 Julai 2006 di mana sebanyak 383 item/kerja masih belum diselesaikan.
Kos bina kapal peronda RM2.875 bilion
Bagaimanapun, semakan Audit mendapati tiada tuntutan denda lewat dibuat Kementerian Kewangan walaupun Unit Perancang Ekonomi melalui mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan (Perolehan) Kementerian Pertahanan pada bulan September 2005 telah mencadangkan supaya denda lewat berjumlah RM107 juta dituntut bagi PV1 dan PV2. Berdasarkan perkiraan Audit, sejumlah RM214.01 juta denda lewat boleh dikenakan terhadap kontraktor atas kelewatan keenam-enam PV berkenaan.
Bagi mengatasi masalah kewangan yang dihadapi kontraktor dan memastikan kapal dapat diserahkan secepat mungkin, Kementerian Pertahanan pada Oktober 2005 telah memohon kelulusan Kementerian Kewangan untuk membayar baki bayaran kemajuan PV1 dan PV2 berjumlah RM145 juta tanpa disokong Statement of Progress yang ditandatangani Pasukan Projek PV. Perbendaharaan, pada Januari 2007 membayar RM143.12 juta.
Dan pada 17 Januari 2007, tarikh penyerahan kapal peronda itu dirombak dengan memberi ruang lebih selesa. Bagi PV3, tarikhnya dianjak daripada Oktober 2005 kepada Disember 2008; PV4, Julai 2009; PV5, November 2009; dan PV6, Mac 2010.
Jika diambil secara purata, kos bagi membina sebuah kapal peronda ialah RM848.19 juta (iaitu kos keseluruhan RM5.08 -- yakni tidak termasuk bayaran Commercial Package Achievement Fee bernilai RM267.50 juta -- dibahagi enam). Berdasarkan Laporan Pasukan Projek PV setakat bulan Disember 2006, merujuk peratusan kemajuan fizikal pembinaan kapal, PV3 baru 55.89% dibina, PV4 (44.75%), PV5 (19.81%) dan PV6 (18.47%).
Setelah dibuat perkiraan, nilai semua 6 kapal peronda itu, mengikut peratusan siap hanya RM2.875 bilion, manakala kos yang masih diperlukan untuk menyiapkan empat lagi PV berkenaan ialah RM2.214 bilion. Persoalan besarnya, kerajaan sudah pun membayar RM4.256 bilion kepada kontraktor! Peruntukan yang berbaki hanya RM832.92 juta, sedangkan yang diperlukan ialah RM2.214 bilion, itu pun belum diambil kira kos yang semestinya meningkat.
Wang rakyat hampir RM 1 bilion dibuat main-main
Maka bagi memulihkan projek ini, kerajaan bersetuju menambah nilai kontrak sebanyak RM1.4 bilion lagi (senang-senang wang pembayar cukai dihanguskan!), iaitu daripada RM5.35 bilion kepada RM6.75 bilion. Bagaimanapun, pihak Audit tidak dapat menentukan justifikasi untuk menambah nilai kontrak sejumlah RM1.4 bilion itu.
Lebih menarik (sebenarnya lebih menyesakkan dada rakyat) apabila pihak Audit tidak dapat mengesahkan 14 bayaran kemajuan berjumlah RM943.46 juta kepada kontraktor bagi tempoh Disember 1999 hingga Januari 2002 disebabkan baucer bayaran dan dokumen sokongan yang berkenaan telah hilang daripada simpanan Kementerian Pertahanan.
Masya Allah, wang rakyat hampir RM1 bilion itu boleh "dibuat main-main" begitu sahaja, seolah-olah bagai duit "mak-pak depa". Ini bukan pembelian seringgit dua. Rekod menunjukkan baucer yang tidak dikemukakan itu daripada serendah RM6.69 juta, pada 19 November 2001, sehingga kepada yang tertinggi RM222.06 juta (pada 27 September 2001).
Jadi, kepada Najib, apa penjelasan anda kepada isu ini, terutama bagaimana kontraktor yang langsung tiada berkelayakan dipilih menjalankan projek sebesar itu? Dari awal Kementerian Pertahanan sudah diperingatkan bahawa kontraktor yang dipilih itu hanya berpengalaman membina bot tunda dan bot polis jenis kecil! Memang sengaja mengundang padah (sebenarnya memang mahu mengagihkan kepada kroni meskipun sudah diketahui tidak mampu)! - mks.

Tuesday, September 11, 2007

Laporan Audit Negara, korupsi parah dalam kerajaan pimpinan Abdullah

Wan Nordin Wan Yaacob Wed Sep 12, 07 09:43:46 AM
KUALA LUMPUR, 12 Sept (Hrkh) - Angkatan Muda KeADILan (AMK) melihat laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini yang mendedahkan kepincangan dan penyelewengan wang negara adalah bukti jelas betapa wujudnya penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Laporan Audit Negara mengenai aktiviti kementerian dan jabatan Kerajaan Persekutuan 2006 yang mendedahkan mengenai pembelian barangan dan peralatan yang harganya berlipat kali ganda daripada harga pasaran adalah satu pembuktian jelas betapa wujud penyelewengan ketara ke atas perbelanjaan kerajaan,"kata Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin.
Korupsi pada tahap parah
Laporan itu antara lain mendedahkan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membeli peralatan pada kadar harga terlalu tinggi sehingga lebih daripada 200 peratus membuktikan korupsi peringkat kementerian berada di tahap yang parah, kata Shamsul Iskandar.
Ia termasuklah membeli barangan yang berharga RM50 pada kadar RM5,700, kata Shamsul Iskandar yang merujuk kepada Laporan Audit Negara.
Malah, dilihat ada pembelian dua buah kren menara di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada harga yang tidak munasabah iaitu hampir RM3 juta berbanding harga pasaran kira-kira RM1.5 juta, katanya.
LHDN tidak serah hasil kutipan cukai?
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga didapati masih belum menyerahkan hasil kutipan cukai berjumlah RM13.82 bilion kepada Kerajaan Persekutuan sehingga 31 Disember tahun lepas, katanya.
"Yang lebih mengejutkan ialah bagaimana empat NGO di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat didedahkan tetap menerima bantuan berjumlah RM1.5 juta walaupun kedudukan kewangan mereka kukuh,"katanya.
AMK menegaskan bahawa fakta-fakta ini menunjukkan penyelewengan ketara wang rakyat oleh pemerintah Umno-BN, katanya.
Di saat rakyat digesa mengubah cara hidup, kerajaan sewenang-wenangnya berbelanja dengan begitu boros dan keterlaluan, ujar Shamsul Iskandar.
Sehubungan itu, AMK menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) segera melakukan penyiasatan terhadap kesemua penyelewengan yang telah dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara.
Selain itu Dewan Rakyat digesa untuk membahaskan laporan Ketua Audit Negara ini di Parlimen dan siasatan menyeluruh dilakukan dengan serta merta, katanya.
Keriuhan pendedahan bersifat sementara
Sementara itu Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) Ezam Mohd Noor pula berpendirian, laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini banyak mendedahkan kepincangan pentadbiran negara membabitkan jutaan wang ringgit.
"Gerak mengalu-alukan laporan dan pendedahan itu bagaimanapun bimbang keriuhan pendedahan ini bersikap sementara dan akhirnya penyelewengan lepas dan tidak dipertanggungjawabkan di atas kesalahan menjijikkan ini,"kata Ezam dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.
Justeru Gerak menubuhkan satu unit khjas serta merta dalam mempastikan setiap penyelewengan yang didedahkan oleh Laporan Audit Negara ini dipertanggungjawabkan ke atas pihak yang terbabit, kata Ezam.

Monday, September 10, 2007

Tragedi Batu Buruk: Satu konspirasi jahat polis dan Umno-BN

Intan Abdullah Foto Nasir Sudin Mon Sep 10, 07 05:27:43 PM
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Hrkh) - Insiden berdarah di Pantai Batu Buruk 8 September lalu adalah hasil konspirasi jahat dan provokasi pihak polis yang dipergunakan oleh Umno
Maklumat tersebut disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustapa Ali dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut tengahari ini.
Jelasnya, beliau mendapat maklumat daripada Adun Wakaf Mempelam,Abdul Wahid Endut yang menyatakan bahawa terdapat saksi yang telah menyatakan bahawa ia adalah 'pre-plan' yang melibatkan antara Setiausaha Politik Perdana Menteri, Senator Dato' Wan Farid.
"Maklumat tersebut menyebutkan bahawa kira-kira jam 3 hingga 4 petang pada 8 September lalu, sewaktu satu kursus diadakan, seorang polis yang mengendalikan kursus tersebut telah menerima satu panggilan yang memaklumkan bahawa satu 'huru-hara' akan berlaku menjelang malam nanti di pantai Batu Buruk dan pegawai polis bertugas yang tidak beruniform dikehendaki memastikan identiti dengan memakai riben," jelasnya.
"Jika fakta ini dipertikaikan, dia boleh soal siasat saya," ujarnya menyatakan kesediaan untuk disiasat berhubung kenyataan tersebut.
Polis roboh pentas bila tuan rumah tiada
Menceritakan kronologi kejadian tersebut, ujar Mustapa oleh kerana ia adalah 'pre-plan' atau usaha terancang, pihak polis telah bertindak berjumpa dengan tuan rumah yang menjadi premis ceramah Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk memujuk tuan rumah agar tidak membenarkan pihak Bersih mengadakan ceramah pada malam itu.
Tuan rumah tersebut diminta untuk menandatangani sepucuk surat pada 7 September yang tidak mengizinkan Bersih meneruskan hasrat mereka.
Namun, tuan rumah yang enggan berbuat demikian menyatakan bahawa rumahnya adalah premis tetap pembangkang mengadakan ceramah sejak tahun 1990-an lagi.
Polis telah meneruskan usaha yang sama pada keesokan harinya, 8 September jam 3 petang namun usaha mereka gagal.
Dua jam kemudian, pihak polis telah datang ke rumah tersebut sewaktu ketiadaan tuan rumah lalu bertindak merobohkan pentas ceramah yang akan diadakan ceramah malam nanti.
Ujarnya, penganjur telah membuat rayuan untuk meneruskan ceramah, dan telah dipanggil untuk berunding pada jam 5 petang, tetapi mereka tetap tidak memberikan kelulusan.
Pada jam 9 malam, Yang DiPertua Kawasan Batu Buruk, Abdul Wahid Endut telah menghubungi Ketua Polis Terengganu untuk merayu agar membenarkan ceramah tersebut diteruskan namun gagal.
Kemudian pada jam 9.40 malam beliau bersama-sama pemimpin Bersih telah pergi ke rumah tersebut bagi menjelaskan kedudukan sebenar status ceramah tersebut kepada tuan rumah, tetapi mereka telah dihalang dari masuk ke kawasan rumah terbabit.
Tembak membabi buta
Setelah perbincangan dibuat, polis masih tetap berkeras untuk tidak memberikan keizinan kepada pihak penganjur di saat orang ramai telah berhimpun kira-kira setengah kilometer dari tempat kejadian.
Kemudian, FRU mula menembak 'water cannon' dan gas pemedih mata secara membabi buta ke arah orang awam yang berterusan hingga jam 1.30 pagi.
Salah seorang anggota polis yang tidak beruniform didapati telah melepaskan beberapa das tembakan di tengah-tengah orang awam, dan telah terkena kepada Suwandi Abdul Ghani, 37, yang menembusi paru-parunya, serta Muhammad Azamn Aziz, 21, yang terkena pada lehernya.
Sementara itu, pihak polis juga telah bertindak menangkap beberapa pimpinan PAS yang dimulai oleh Exco PAS Terengganu yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Haji Shukrimun.
Orang awam yang turun bagi menghadiri ceramah tersebut juga cuba menangkap pegawai polis yang tidak beruniform setelah menyedari kehadiran dan tindakan mereka yang mencurigakan.
Dalam keadaan yang tidak terkawal tersebut, polis telah berjaya menangkap 23 orang awam, berpuluh-puluh orang awam telah tercedera dan empat parah.
Mustapa kesal dengan perancangan yang dibuat oleh polis dan Umno-BN mencetuskan provokasi yang menyebabkan kekecohan terjadi.
Bahkan beliau percaya terdapat campurtangan Umno kerana ada pihak yang melihat ada beberapa 'orang yang tidak dikenali' muncul setelah kejadian tersebut membawa bendera Umno serta membakarnya.
"Kemudian, mereka menuduh pembangkang yang mencetuskan provokasi tersebut disebabkan adegan membakar bendera tersebut," katanya tegas.
Terdapat tiga orang wartawan yang ditangkap serta semua jurugambar juga dirampas kamera mereka.
"Sebab itu kita lihat hampir semua akhbar menyiarkan gambar yang sama, kerana sumber maklumat serta gambar itu adalah daripada polis yang bertugas, bukan daripada wartawan dan jurugambar yang bertugas," tegasnya lagi.
PAS tubuh 'legal team, hantar memorandum pada Suhakam
Ini adalah kali pertama pihak polis menggunakan peluru hidup dalam majlis ceramah bagi menyuraikan orang ramai yang hadir dan bertentangan dengan prosedur polis.
Katanya, PAS juga telah membuat laporan polis bagi pihak mangsa yang ditembak.
Beliau menyerahkan tugasan untuk menyiasat kejadian tersebut kepada pasukan 'legal team' yang diketuai oleh AJK PAS Pusat, Hanipa Maidin
PAS juga ujarnya, akan mengemukakan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(Suhakam), Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Terengganu berhubung insiden tersebut.
Sidang media yang diadakan bertujuan memperbetulkan maklumat yang telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik yang menyatakan bahawa pembangkang telah bertindak.
Sidang yang dipengerusikan oleh AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman dimulai dengan penjelasan Dato' Mustapa Ali yang diikuti oleh kenyataan beberapa pimpinan Barisan Alternatif lain iaitu, Setiausaha Agung Keadilan, Tan Sri Khalid Ibrahim; Koordinator Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Arutchelvan; Jurucakap Bersih, Ronnie Liu; Ahli Parlimen Seputeh, Theresa Kok dan Jurucakap Suaram, Yap Swee Seng.
Dalam sidang tersebut, beliau menyatakan kebimbangan terhadap orang ramai yang telah mempunyai persepsi buruk kepada penganjur iaitu PAS sebagai tuan rumah yang mengadakan program Bersih ini sebagai tidak melakukan proses yang sepatutnya menurut undang-undang.
"PAS telah mengemukakan permohonan untuk mengadakan program tersebut berdasarkan bukti surat yang bertarikh 30 Ogos," ujarnya sambil menunjukkan lampiran surat yang dikemukakan.
Pihak polis ujarnya menjawab permohonan tersebut, bahawa ia tidak diluluskan pada 6 September yang lalu kerana semua alasan ini tidak boleh diterima kerana ia tidak benar.
Turut hadir, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaafar; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; AJK PAS Pusat, Anuar Tahir; Dato' Abu Bakar Chik; Dr Dzulkifli Ahmad; Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar; Sekretariat Bersih, Faizal Mustafa; Hanipa Maidin dan Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin.
Sidang media kira-kira dua jam tersebut mendapat liputan yang meluas daripada seluruh media serta pegawai-pegawai polis yang diarahkan datang bertugas untuk mendapatkan maklumat. - mks.

Sunday, September 2, 2007

Sudah 13 pelatih meninggal, Najib biar PLKN macam nahas Nuri?

Azamin Amin Mon Sep 03, 07 11:30:26 AM
KUALA LUMPUR, 3 Sept (Hrkh) - Sudah menjadi satu tabiat kerajaan, setelah kematian semakin meningkat dan kronik maka ketika itulah sesuatu kejadian itu akan diperhalusi dan diperincikan semula agar program tersebut diteruskan mahupun dibatalkan serta-merta.
Naib Presiden PAS Ustaz Ahmad Awang berkata, jumlah kematian 13 Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) semakin membimbangkan ibu bapa dan wajar dihentikan serta merta untuk memperbaiki kelmahan yang ada, malah kerajaan perlu mengambil perhatian serius insisden yang berlaku.
Beliau juga mahu Menteri Pertahanan Dato' Seri Najib Tun Razak lebih bertanggunjawab dan tidak sambil lewa dalam menangani masalah dan kejadian buruk yang berlaku kepada pesert PLKN ini
"Kini sudah meningkat 13 kematian, Najibn mahu tunggu apa lagi? Adakah beliau mahu biarkan sehingga aangka korban menjadi banyak seperti kajadian nahas helikopter Nuri baru lah nak mansuhkan atau batalkan?" Soalnya ketika dihubungi Harakahdaily.net sebentar tadi.
"Menjadi tabiat kerajaan seolah-olah tidak mengarhagai kerisauan rakyat Malaysia dan bila sudah terjejas bteruk, barulah nak di buat kajian semula," katanya.
Beliau diminta mengulas kematian seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari Kem Cheneh Cemerlang, Kemaman selepas muntah-muntah dan sakit kuning yang didakwa keluarganya berpunca daripada termakan makanan dicemari najis haiwan semalam menjadikan sejumlah 13 pelatih mati sejak program itu dimulakan pada 2004.
Mangsa, Mohd. Rafi Ameer, 18, yatim piatu, meninggal dunia dalam perjalanan untuk dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini kira-kira pukul 10.30 malam tadi setelah keadaannya semakin kritikal.
Ahmad berkata, jumlah kematian pelatih PLKN semakin meningkat menimbul rasa kerisauan masyarakat khususnya ibu bapa para pelajar sehingga menyebabkan hilang keyakinan terhadap program yang dijalankan selama ini.
Justeru, ibu bapa katanya, digesa bersama-sama dengan bersunggun-sungguh untuk turut menyatakan rasa tidak puas hati dan membantah program PLKN yaang dlihat penuh kepincangan dan kelemahan ini.
PAS katanya, sejak awal lagi membantah program ini yang dilihat hanya sekadar bersifat dan mempunyai agenda dan kepentingan politik BN semata-mata dan ini dapat dilihat apabila dalam modul latihannya turut memburuk-burukkan anak Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat yang dilabel sebagai pengganas.
Tambahnya, kerajaan sering memperguna dan memperkotak katik sikap rakyat Malaysia yang selama ini mempunyai jiwa yang lembut dan jarang sekali membantah jika kerajaan melakukan sebarang kesilapan dan kecurangan.
"Sudah sampai masanya rakyat Malaysia khususnya ibu bapa bertegas dan memnunjukkan bantahan kepada kerajaan diatas kelemahan PLKN yang menyusahkan hati mereka setiap hari.
Sebelum itu,pelatih perempuan, Prema Elenchelian, 18, dari Kem Kisana Beach Resort dekat sini mati selepas tergelincir di dalam tandas ketika menjalani latihan di Hutan Lipur Jeram Linang dekat sini dua hari lalu.
Antara beberapa kes kematian yang dilaporkan seperti mendiang Teng Siau Shen, 18, yang mengikuti program di Kem PDS Pasir Panjang, Port Dickson meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas pada Januari lalu dan dalam bulan yang sama Ili Ameera Azlan dari Taman Tuanku Jaafar, Seremban meninggal dunia secara mengejut ketika mengikuti kem latihan PLKN di Melaka.
Pada 22 Mei tahun lalu, Theresa Pauline Sarimuthu, yang menyertai acara kembara halangan di Kem Khidmat Negara Kuala Pilah, Negeri Sembilan kejang dan rebah secara tiba-tiba dan meninggal dunia.
Pada tahun 2005, sekurang-kurangnya lima kes kematian berlaku dalam kem PLKN iaitu dua kes kematian lemas berlaku di Sarawak dan Kelantan, dan dua kes kematian sakit tenat di Johor dan Sabah manakala pada tahun 2006, didapati seorang peserta dipukul mati di Kem Padang Hijau, Johor.
Terdahulu Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub pernah membuat kenyataan supaya, Najib dan kerajaan tidak sekadar merakam ucapan takziah dan memberi pampasan semata-mata tetapi mahu tindakan proaktif dalam mengatasi masalah kematian pelatih yang mengundang rasa tidak senang masyarakat.
Katanya, walaupun tidak menafikan persoalan ajal dan maut itu adalah sesuatu yang ditakdirkan tuhan namun punca dan kesilapan mestilah dipandang serius supaya kejadian tidak diingini berlaku lagi di masa akan datang. - mr