Wednesday, June 13, 2007

Mungkinkah Bandaraya Kuala Lumpur akan tenggelam akibat banjir?

Nyza Ayob Wed Jun 13, 07 03:41:18 PM
KUALA LUMPUR, 13 Jun(Hrkh) - Berjuta-juta penduduk warga kota harus berjaga-jaga, kemungkinan boleh berlaku banjir besar yang menenggelamkan bandaraya Kuala Lumpur, sekiranya dalam jangka panjang, pembangunan tidak terkawal terus berlaku berlaku di kawasan tadahan hujan di 'upstream' Lembah Kelang.
AJK PAS Pusat yang juga Adun Anak Bukit, Kedah, Amirudin Hamzah menzahirkan kebimbangan beliau, rentetan banyak kejadian banjir kilat yang menyebabkan beberapa kawasan strategik pusat bandar tenggelam hingga melepasi siling aras bawah bangunan akibat hujan lebat beberapa jam di ibukota.
Amirudin yang juga seorang jurutera berpendapat, infrastruktur seperti Terowong SMART adalah perkara yang terpaksa dibuat apabila pengurusan perancangan di peringkat 'upstream' tidak dirancang dengan baik.
Bagi memastikan banjir tidak berlaku, tanah tinggi, kawasan bukit serta tanah hutan di sekitar Lembah Kelang mesti dikekalkan kerana ia berfungsi untuk menyerap air hujan yang turun, terutamanya ketika hujan lebat.
Tegasnya, sesetengah tempat yang dibangunkan tidak mengikut syarat yang ditetapkan seperti tidak ada kolam takungan, yang akan menyebabkan semua air hujan serta air daripada parit akan penuh.
Sehubungan itu beliau mendesak Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, menimbang semula kepesatan pembangunan di pusat bandar yang sekaligus boleh menyebabkan keselamatan rakyat terancam.
Jika pembangunan tidak dikawal katanya, jika diwujudkan 'sepuluh buah' Terowong SMART pun tidak akan dapat mengatasi masalah banjir akibat hujan lebat.
"Kalau rancangan pembangunan di bahagian hulu dilakukan dengan begitu pesat, suatu ketika nanti Sungai Kelang dan Sungai Gombak yang berada di tengah bandar, telah maksimum kapasitinya dan tidak dapat dibesarkan lagi akibat pembangunan di kiri kanannya.
"Ini bermakna rancangan pembangunan yang lebih mahal lagi perlu dikeluarkan. Jadi dilihat balik perancangan secara keseluruhan dan yang turut melibatkan kawasan tadahan air," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan banjir yang berlaku di kawasan Masjid Jamek berpunca dari kawasan lain, dan bukan dari Terowong SMART yang mana air daripada Terowong SMART ini dialirkan ke kawasan lain.
Sebagaimana dinyatakan, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Dato' Ir. Keizrul Abdullah, Amirudin juga berpendapat terowong banjir SMART sepanjang 9.7 kilometer tidak akan menyelesaikan masalah banjir kerana hanya sebahagian sahaja kawasan yang terlibat serta terowong dwifungsi bernilai RM1.9 bilion itu memerlukan komponen-komponen lain bagi menyokong fungsinya mengelakkan banjir di ibu kota.
Justeru katanya, rancangan tebatan banjir diperlukan, bagi mengatasi masalah banjir kilat di ibu kota. - mr

No comments: