Saidah Hairan Mon Jun 04, 07 11:17:47 AM
KOTA BHARU, 4 Jun (Hrkh) – Bekas anggota Parlimen Pokok Sena, Haji Mahfuz Omar menjelaskan beliau tidak berputus asa untuk bertanding lagi jawatan Naib Presiden jika ada pencalonan dalam pemilihan akan datang.
Beliau yang juga mantan Ketua Pemuda PAS Pusat tahun 1997 - 2001 memberitahu tidak kecewa biar pun gagal mendapatkan tempat sebagai Naib Presiden PAS, setelah tiga kali mencuba.
“Tidak ada apa yang nak saya kecewakan, ketika saya hendak bertanding saya yakin untuk menang tetapi selepas mengundi saya yakin untuk kalah. Saya sudah bersedia untuk menerima hakikat itu, " katanya ketika ditemui di sini, petang semalam.
Pada pemilihan sempena Muktamar PAS kali ke-53 yang berakhir semalam, Mahfuz dan Dato’ Dr Mahfodz Mohamad gagal mendapat tempat sebagai Naib Presiden PAS. Tiga pemimpin yang menang iaitu Dato’ Husam Musa, Haji Mohamad Sabu dan Ustaz Ahmad Awang.
Mahfuz juga berkata, gandingan Presiden, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya, Ustaz Nasharuddin Mat dan tiga naib presiden serta anggota jawatankuasanya bagi sesi 2007 - 2009 dianggap sebagai gandingan mantap.
Ini kerana katanya, memenuhi semua latarbelakang sama ada dari segi pendidikan dan profesional.
“Ini menggambarkan satu gandingan yang sangat mantap dan tidak timbul soal apakah PAS mahu kembali kepada kepemimpinan ulama. PAS tidak pernah keluar daripada kepemimpinan ulama kerana parti ditadbir dengan rujukan kepada al-Quran dan Sunnah.
"Saya kira ini adalah syura yang dilaksanakan perwakilan dan tidak perlu kepada apa-apa perubahan kaedah pemilihan yang diamalkan sekarang," katanya.
Menurutnya, jika diubah cara pemilihan yang diamalkan sekarang ia akan memberi satu tanggapan negatif daripada masyarakat iaitu tidak mengamalkan sistem demokrasi.
Ditanya mengenai kempen dan melobi untuk calon yang juga berlaku pada muktamar PAS kata beliau, lobi dan berkempen tidak menjadi kesalahan selagi tidak memburukkan peribadi individu lain.
Beliau berkata, jika kempen yang dilakukan dengan menyatakan visi calon yang bertanding, ia tidak dianggap menjadi sebagai satu kesalahan.
Sementara itu, mantan Naib Presiden PAS, Dato' Dr Hassan Mohd Ali yang menarik diri daripada bertanding berjanji akan terus memberi komitmen kepada parti.
"Saya tidak mengharapkan pelantikan untuk jawatan anggota jawatankuasa tambahan," ujarnya.
Berhubung cadangannya mahu pemilihan jawatan dilakukan secara syura katanya, perkara itu dilakukan dalam Dewan Ulamak PAS Pusat dan muktamar yang diadakan di Terengganu suatu ketika dahulu.
"Saya persoalkan kenapa kita perlu pertahankan sistem barat, kita ada sistem sendiri dengan merujuk kepada al-Quran," katanya. - mj
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment