Monday, June 30, 2008

Adili kes Anwar secara bijaksana, media jangan sensasikan isu

Wan Nordin Wan Yaacob Tue Jul 01, 08 10:11:36 am MYT
KUALA LUMPUR, 1 Julai (Hrkh) - Insiden dakwaan liwat terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim mengejutkan rakyat dan menjadi kebimbangan, kata Presiden Abim, Yusri Mohammad.
Malah, Abim memberi amaran kepada semua pihak termasuk media agar tidak mensensasikan isu ini kerana ia membabitkan maruah dan isu peribadi, katanya.
Negara ini telah dan masih merasa perit dan pedih kesan krisis yang berpanjangan dan kompleks, melibatkan Ketua Umum KeADILan itu sebelum ini, katanya.
"Jika kita tidak berhati-hati, isu terbaru ini mungkin mengheret negara ke kancah krisis yang akan membawa akibat buruk kepada rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataannya semalam.
Abim berharap semua pihak yang terlibat menangani isu ini, benar-benar mengambil pengajaran dari episod gelap krisis yang lalu, untuk bersiap menanganinya dengan penuh kewaspadaan, teliti dan berhemah, katanya.
Isu terbaru ini merupakan ujian dari Tuhan. Umat Islam diajar oleh junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W agar kembali merujuk kepada Tuhan Rabbul Jalil ketika menghadapi situasi yang berat sebegini, katanya.
"Kita dituntut merujuk kembali kepada Tuhan dengan memperbanyakkan istirja', istighfar, solat dan bermunajat kepadanya.
"Kita juga dituntut untuk kembali kepada Tuhan dengan merujuk kepada ajaran-Nya dalam menangani persoalan yang timbul," kata Yusri.
Kata Yusri, Abim mencadangkan agar semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan majlis solat hajat dan munajat untuk maksud ini.
"Seterusnya Abim berharap agar pihak berkuasa, media, pemimpin politik, turut merujuk kepada prinsip keadilan dalam memilih langkah dan tindakan terbaik sepertimana yang dianjurkan dalam Islam.
"Merujuk kepada pengalaman yang telah dilalui dalam krisis yang lepas, adalah wajar jika semua pihak lebih berhati-hati dan berwaspada dalam setiap langkah yang diambil," katanya.
Yusri meminta pihak berkuasa harus memastikan setiap prosedur perundangan yang terlibat, dilaksanakan secara adil untuk meredakan kebimbangan di kalangan masyarakat awam.
Pihak terbabit juga, tambahnya, perlu mempertimbangkan faktor keselamatan Anwar sepertimana yang layak diterima olehnya.
"Pihak media juga diingatkan agar mengelak daripada menjadi 'hakim' yang membicarakan kes ini di luar mahkamah dalam setiap laporan serta liputan yang dijalankan.
Bagi Yusri kes ini membabitkan individu dan isu yang boleh membawa kesan dan akibat yang besar.
Sehubungan itu, semua pihak terutamanya media juga haruslah mengelak membuat laporan yang mengelirukan serta mensensasikan isu ini secara keterlaluan, katanya

Saturday, June 28, 2008

Konspirasi politik cuba jatuhkan imej Anwar � Nik Aziz

Lanjusoh Sun Jun 29, 08 2:30:00 pm MYT
PENGKALAN CHEPA, 29 Jun (Hrkh) � Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan tuduhan liwat terhadap Ketua Umum KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu konspirasi politik.
�Ini kerja-kerja politik belaka. Geng-geng politik semua, kerana tidak beriman. Dalam blog pun dibuat macam-macam tuduhan.. apa ni,� katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, sebelum berlepas ke Kuala Lumpur, hari ini.
Semalam pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan dilaporkan mendakwa diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri terbabit.
Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan itu yang dianggap cuba mengulangi kes serupa pada 1998.
Beliau dipecat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad daripada jawatannya pada 1998 kerana didakwa menyalahguna kuasa dan dituduh terbabit dengan perbuatan liwat.
Kemudian pada 1999 Anwar dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas tuduhan salahguna kuasa dan pada 2000 dikenakan hukuman penjara sembilan tahun atas tuduhan liwat.
Bagaimanapun pada 2004 Mahkamah Persekutuan telah membatalkan sabitan hukuman liwat dan sekaligus membebaskan Anwar.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, di negara ini tuduhan liwat terhadap seseorang bagi menjatuhkan karier politiknya seperti menjadi amalan biasa.
�Di Malaysia sudah jadi begitu suka tuduh menuduh. Berapa kali telah dibuat tuduhan begitu.
�Liwat ini bukan orang buat di atas jalan raya, perbuatan itu dilakukan secara sulit sekiranya benar ia berlaku. Mengapa pula senang-senang hendak tuduh orang lain.
�Allah Taala akan kenakan bala ke atas orang yang menuduh,� ujar beliau.
Menurutnya juga dalam Islam ada lima perkara yang mesti dikenakan hudud iaitu murtad kerana ia terlibat dengan akidah, dan mencuri membabitkan harta benda orang lain.
Manakala tuduhan zina boleh menjatuhkan maruah seseorang.
Beliau berkata, tuduhan zina mesti ada sekurang-kurang empat orang saksi kalau tidak, boleh dirotan atau denda terhadap orang yang membuat tuduhan.
Menurutnya hakim sudah melepaskan Anwar terhadap tuduhan liwat sebelum ini dan sekarang tuduhan serupa pula cuba diulangi.
�Tuduhan zina ini berkehendak kepada saksi, tidak boleh tidak,� katanya. Beliau juga mengakui tuduhan yang dibuat itu secara tidak langsung boleh menjejaskan imej pembangkang.
�Bukan itu sahaja malah boleh menjejaskan imej negara, apa sebab hendak buat tuduh menuduh begini,� katanya.
Beliau berkata begitu juga dengan tuduhan rasuah terhadap seseorang mesti ada bukti yang jelas dan tidak boleh dibuat sesuka hati. - mj _

Tiada peruntukan pelan peralihan kuasa Najib jadi Presiden Umno - Ku Li

Wan Nordin Wan Yaacob Sun Jun 29, 08 12:37:10 pm MYT
JOHOR BAHARU, 29 Jun (Hrkh) - Tengku Razaleigh Hamzah ( Ku LI) mendakwa tiada peruntukan dalam Umno bagi pelan peralihan kuasa untuk Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden Umno.
Bertentangan dengan apa yang diperkatakan di kalangan anggota Umno mengenai pelan peralihan kuasa untuk Najib mengambil alih jawatan daripada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ku LI mendakwa perkara seperti itu memang tidak ada.
Menurut laporan Abdullah akan melepaskan jawatan itu kepada Najib.
"Tidak ada pelan peralihan kuasa sedemikian kerana hak itu berada di tangan ahli-ahli. Selepas tiga tahun akan ada proses pemilihan di semua peringkat.
"(Hanya) jika anda mati di pertengahan jalan (ketika memegang sesuatu jawatan) maka seorang lain akan menggantikan anda secara memangku," kata veteran Umno itu kepada wartawan selepas Sesi Perjumpaan dengan Rakyat anjuran Kelab Veteran Melayu Johor (Protem) semalam.
Tengku Razaleigh ditanya mengapa Najib perlu bertandinng bagi jawatan presiden Umno pada pemilihan parti itu Disember depan ketika terdapat pelan peralihan kuasa untuk beliau menjadi presiden dan Perdana Menteri.
Najib dilaporkan oleh sebuah harian sebagai berkata bahawa beliau akan membuat keputusan sama ada akan bertanding jawatan presiden selepas menerima pencalonan yang cukup dari anggota Umno.
Ku Li berkata setiap orang dalam parti layak untuk menawarkan diri bertanding untuk sebarang jawatan asalkan mereka mempunyai kredibiliti, berwibawa dan mematuhi perlembagaan parti.
Ku Li sendiri akan bertanding bagi jawatan presiden.
Pada majlis itu, Ku Li menjelaskan kepada hadirin bahawa beliau tidak boleh bercakap apa saja yang boleh dianggap sebagai berkempen sebagaimana dinyatakan dalam buku kecil merah Umno mengenai tata etika.
Beliau berkata beliau tidak akan mempertaruhkan peluang untuk bertanding jawatan presiden kerana jika didapati melakukan kesalahan melanggar tata etika, beliau mungkin dipecat dan ini akan mengecewakan penyokongnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa kira-kira 300 orang hadirin berdiri teguh di belakang Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail, dalam usaha baginda untuk mendapatkan semula hak ke atas Batu Puteh./wann _

Laporan polis, Anwar kata satu rekaan ulangi peristiwa 1998

Wan Nordin Wan Yaacob Sun Jun 29, 08 10:50:07 am MYT
SHAH ALAM, 29 Jun (Hrkh) - Laporan polis yang dibuat terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah rekaan semata-mata untuk menjatuhkannya.
"Laporan awal pagi ini adalah satu rekaan semata-mata. Saya percaya kita sedang menyaksikan ulangan pendekatan sama yang digunakan terhadap saya pada tahun 1998 apabila tuduhan palsu dibuat dengan paksaan.
"Nyatalah ini satu tindakan terdesak oleh regim Barisan Nasional untuk menghalang usaha rakyat Malaysia menuju kebebasan, demokrasi dan keadilan, " kata Anwar dalam sidang medianya di sini.
Laporan palsu ini dirancang oleh pihak-pihak berkepentingan untuk menyerang beliau sebagai satu serangan balas terhadap bukti yang diperolehi mengaitkan Ketua Polis Negara Musa Hasan dan Peguam Negara Gani Patail dengan perbuatan salah laku, termasuk usaha pemalsuan bukti-bukti kes yang melibatkannya saya pada tahun 1998 hingga 1999.
Serangan jahat ini tidak akan menghalangnya dari mendedahkan bukti-bukti tersebut kepada awam, tegasnya.
Beliau menyeru rakyat Malaysia untuk bangun menentang kuasa-kuasa menindas yang akan digunakan oleh kerajaan pada hari dan minggu-minggu berikutnya.
"Kita menjangkakan pihak media, badan kehakiman dan pihak polis akan tunduk di bawah telunjuk serta arahan pemerintah," katanya.
"Rakan-rakanku rakyat Malaysia- kita telah mengambil langkah berani pada 8 Mac 2008 untuk mara demi harapan baru untuk kebebasan dan keadilan untuk semua rakyat.
"Gerakan rakyat untuk perubahan mesti terus maju dengan segala kekuatan dan keberanian," katanya. _

Gempar, polis kunjungi Anwar, sms tersebar Anwar bakal ditahan?

Wan Nordin Wan Yaacob Sun Jun 29, 08 10:48:17 am MYT
SHAH ALAM 29 Jun (Hrkh) - !!!Gempar seketika pagi tadi apabila ramai anggota polis mengunjungi sebuah hotel terkemuka di Shah Alam ketika Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim berada di hotel tersebut. Para petugas media dan penyokong Anwar gempar seketika tatkala kereta peronda polis muncul di depan pintu utama hotel tersebut kira-kira jam 8.40 pagi tadi.
Para wartawan telah mula berkampung di sini sejak semalam berikutan tersebarnya laporan mengenai kemungkinan penahanan Ketua Umum KeADILan itu.
Kelihatan seorang wakil Anwar bercakap dengan anggota polis tersebut dan kemudian kereta peronda tersebut beredar dari situ..
Sejak semalam, timbul desas-desus yang menyatakan bahawa Anwar akan ditahan ekoran satu laporan polis yang dibuat terhadapnya semalam.
Laporan tersebut dibuat oleh pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa telah diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.
Sumber KeADILan mengatakan bahawa polis telah menahan pembantu khas Anwar semalam dan memaksanya membuat laporan polis yang dia diliwat oleh Anwar.
Sementara Saiful Bukhari dikatakan sedang memberi keterangan di salah sebuah balai polis di Kuala Lumpur.
Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan dalam laporan tersebut dan mendakwanya ianya merupakan satu rekaan semata-mata.
Sebaliknya, beliau berkata, laporan tersebut diatur oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk 'menyerangnya' sebagai tindak balas terhadap bukti yang diperolehinya, yang membabitkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail berhubung salah laku,termasuk mereka bukti dalam kes-kes terhadapnya pada 1998-1999.
Anwar dijangka membuat laporan polis berhubung bukti-bukti yang diperolehinya itu hari ini.
Presiden KeADILan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan perkara itu tetapi tidak diketahui bila dan di mana laporan itu akan dibuat.
Dalam kenyataannya pagi tadi, Wan Azizah berkata, Saiful merupakan seorang sukarelawan yang tampil membantu KeADILan, sewaktu pilihan raya umum lalu.
Ekoran itu, katanya, mereka tidak membuat sebarang semakan latar belakang pengadu.
Mengenai laporan tersebut, beliau berkata, ia bertujuan untuk mencemarkan masa depan politik Anwar.
Menurut Wan Azizah perkara yang sama berlaku sepertimana 10 tahun yang dulu.
Anwar, bekas TPM dan Menteri Kewangan, dipecat dari kerajaan pada 1998 kerana didakwa menyalahguna kuasa dan dituduh terbabit dalam perbuatan liwat.
Pada 1999, beliau dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas tuduhan salahguna kuasa dan pada tahun 2000, dijatuhkan hukuman sembilan tahun penjara atas tuduhan liwat.
Bagaimanapun, pada 2004, Mahkamah Persekutuan telah membatalkan sabitan hukuman liwat dan membebaskan Anwar.
Anwar mendakwa tuduhan terhadapnya itu merupakan satu konspirasi politik terhadapnya, tetapi kerajaan menafikannya.
Kini menurut Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin, beliau sedang mengusahakan untuk menguruskan ahli keluarga Anwar dan akan berpindah dari hotel tersebut ke suatu lokasi lain.
Beliau yang menghubungi Harakahdaily menyatakan bahawa perkembangan itu mengejutkan ramai pihak dan beliau meminta semua pihak bertenang sementara perkembangan terkini dimaklumkan kemudian.
Namun setakat ini tiada tangkapan mahupun kenyataan daripada pihak polis dibuat berhubung isu tersebut. _

Wednesday, June 25, 2008

Bimbang PAS berpecah: Nik Aziz enggan berunding dengan UMNO

Sumber : Bernama Khamis, 26 Jun 2008
Kota Bharu :Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menegaskan beliau tidak akan mengadakan sebarang pertemuan dengan pemimpin Umno bagi mengelak perpecahan dalam PAS sendiri.
Menurut Menteri Besar Kelantan itu, sebarang perundingan dengan parti lawan itu hanya akan memecahbelahkan PAS kerana ada di kalangan anggota PAS yang tidak bersetuju dengan perkara itu.
"Terhadap ura-ura yang mengatakan saya akan mengadakan perundingan dengan Umno, ini saya nak jawab, tak akan ada perjumpaan dengan Umno.
"Kita tak mahu nanti timbul perpecahan dalam PAS sendiri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini.
Beliau berkata PAS perlu menjaga hati anggota dan juga penyokong parti itu selain tidak mahu Muktamar PAS yang akan datang menjadi medan melepaskan kemarahan anggota parti yang tidak setuju dengan cadangan itu.
Dalam perkembangan lain, Nik Aziz berkata kerajaan negeri hari ini merangka beberapa lagi langkah penjimatan yang akan dilaksanakan serta-merta.
"Kerajaan negeri Kelantan telah lama mengamalkan langkah penjimatan dan ia dilaksanakan berdasarkan ajaran Islam, iaitu jangan boros dan juga jangan kedekut dalam mengurus kewangan kerajaan," katanya.
Antara langkah penjimatan itu ialah semua penerbangan pegawai kerajaan perlu menggunakan kelas ekonomi kecuali bagi kes kesihatan dan tuntutan elaun exco kerajaan negeri dihadkan.
Nik Aziz berkata pembiayaan program yang dianjur kerajaan negeri dikurangkan sebanyak 30 peratus daripada biasa dan program hendaklah diadakan di dewan-dewan milik kerajaan negeri.
Selain itu, penjimatan elektrik di semua pejabat kerajaan pada waktu rehat kecuali ada staf yang bertugas dan juga penjimatan dari segi pembelian peralatan pejabat.
"Kerajaan juga akan memberhentikan segera projek naik taraf yang tidak perlu. Pekeliling mengenainya akan diedar dalam dalam masa terdekat," katanya.

KeADILan pulangkan wang derma ke akaun kerajaan negeri - Tan Sri Khalid

Salmiyah Harun Thu Jun 26, 08 10:17:00 am MYT
SHAH ALAM, 26 Jun (Hrkh)- Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan wang derma 100 hari yang dimasukkan ke dalam akaun Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) akan dipulangkan ke akaun kerajaan negeri.
Beliau berkata, wang sumbangan anak-anak syarikat kerajaan Selangor yang tidak diketahui jumlahnnya akan dibahagikan kepada parti dalam Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun, katanya masalah itu akan diputuskan dalam perjumpaan bersama perhubungan negeri pada malam ini.
"Kita akan adakan mesyuarat dan perjumpaan perhubungan negeri yang mana isu-isu pengaliran dana yang masuk ke akaun KeADILan itu akan dibangkitkan,"katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Bangunan SUK Shah Alam petang semalam.
Katanya, berdasarkan surat yang ditulis oleh bekas setiausaha khasnya yang mencadangkan wang derma itu dimasukkan dalam satu akaun iaitu akaun parti.
Sementara itu, beliau menafikan tuduhan daripada Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang mengatakan Menteri Besar itu adalah jurucakap kepada BPR.
Khalid berkata, beliau berjumpa dengan BPR supaya membuat penyiasatan dan BPR menyerahkan surat mengenai penyiasatan tersebut kemudian beliau hanya membaca surat berkenaan.
"Saya hanya membaca apa yang dilakukan oleh BPR, dan saya berterima kasih kepada BPR, sebenarnya perkara ini bukan baru bahkan di dalam PNB pun saya sama-sama meengkaji sistem aliran maklumat bersama badan itu,"katanya.
Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Lew menjelaskan seramai 37 wakil termasuk Yang dipertua dari 12 Pihak Berkuasa Tempatan serta beberapa ketua bahagian akan membuat lawatan ke Singapura.
Katanya, rombongan itu akan bertolak ke Singapura esok sehingga 28 Jun untuk membuat tinjauan bagaimana negara itu mengendalikan dan menjadikan bandar mereka bersih dan hijau.
"Tidak salah untuk kita melihat bagaimana mereka melakukan operasi yang menjadikan negara mereka efisyen, walaupun kita ada pakar tertentu tetapi kita mahu mencari kelebihan mereka," katanya.
Beliau juga menegaskan lawatan itu adalah lawatan kerja dan mereka dijangka akan menaiki bas ke Singapura.
"Kami akan naik bas, isteri atau suami tidak dibenarkan ikut, kita dalam lawatan kerja,"katanya. - mr _

Umno Terengganu tanpa nakhoda, Ahmad Said belum terima surat perlantikan

Harakahdaily Thu Jun 26, 08 10:15:58 am MYT
KUALA TERENGGANU, 26 Jun (Hrkh)- Setelah hampir dua minggu Dato' Ahmad Said diistiharkan akan dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu oleh Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi masih belum dapat melaksanakan tugas rasminya.
Ini kerana, Ahmad mengesahkan masih belum menerima apa-apa surat rasmi dari ibu pejabat Umno Malaysia.
"Kita akan buat bila tiba masanya. Kita akan beritahu, insyaAllah dalam masa yang terdekat ini. Surat belum terima lagi dalam proses," jelasnya ketika ditanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, semalam.
Namun begitu, kata Ahmad mesyuarat Umno bahagian Kemaman berjalan seperti biasa dan tidak ada masalah sebagai ketuanya.
"Mesyuarat Umno bahagian Kemaman kita buat tidak ada masalah. Saya, ketua bahagian di situ (Kemaman)," ujarnya.
Beliau telah diumumkan perlantikan sebagai pengerusi Umno negeri oleh Presiden Umno pada 14 Jun 2008 lalu di Primula Beach Resort.
Perlantikan ke jawatan tersebut perlu dilakukan setelah mantannya, Dato' Seri Idris Jusoh meletak jawatan pada 28 Mei 2008 lalu kerana tidak dipilih menjadi Menteri Besar Terengganu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, baru-baru ini.
Turut serta mengikut jejak langkah Idris Jusoh itu adalah Setiausaha Umno Terengganu, Dato' Rosol Wahid dan Ketua Penerangan Umno Terengganu, Dato' Ahmad Shabery Chik. - mr_

Tuesday, June 24, 2008

Nasharudin cadang Petronas wujudkan tabung bagi pesakit miskin

Wan Nordin Wan Yaacob Wed Jun 25, 08 2:29:00 pm
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa (PAS Bachok) mencadangkan agara Petronas mewujudkan tabung khas bagi membantu pesakit kronik yang miskin.
Semasa bagun mengutarakan soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini, Ustaz Nasharudin bertanyakan samada Petronas akan menubuhkan tabung bagi membolehkan rakyat miskin mendapat rawatan penyakit kronik di Pusat Perubatan Prince Court milik Petronas.
Katanya dengan cara ini rakyat yang miskin tidak perlu bersusah payah bagi mendapatkan rawatan penyakit kronik dengan belanja yang besar di hospital swasta lain.
Begitu pun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Amirsham Abul Aziz yang menjawab soalan itu menyatakan Petronas tidak bercadang untuk berbuat demikian.
Soalan itu ditimbulkan selepas soalan asal yang dikemukakan Mohamad Azmi Ali (KeADILan Gombak) berhubung rasional Petronas mewujudkan 'Prince Court Medical Centre' yang menelan belanja RM544 juta.
Menurut Menteri tersebut, penglibatan Petronas dalam bidang ini dibuat atas dasar tanggungjawab sosial, dan selaras dengan misi korporatnya.
Ia juga segaris dengan usaha kerajaan menyediakan pelacongan kesihatan bertaraf dunia, katanya. _ -->

Monday, June 23, 2008

Harakah dibenar keluar dua kali seminggu

Abdul Rahim Sabri Jun 24, 08 11:10am
MalaysiaKini - Kuala Lumpur .Kerajaan telah meluluskan permohonan akhbar rasmi PAS, Harakah untuk diterbitkan dua kali seminggu, seperti sebelumnya.
Lembaga pengarah Harakah telah mengemukakan permohonan tersebut sejurus selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.
Ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman mengesahkan pihaknya telah menerima surat kelulusan tersebut daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.
Pada masa ini, Harakah diterbitkan dua kali sebulan, sejak tahun 2000.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai satu perkembangan yang menarik.
Ahmad Lutfi juga menyambutkan keputusan kerajaan meluluskan permohonan Harakah untuk dikeluarkan dua kali seminggu.

Saturday, June 21, 2008

Nik Aziz pelawa SAPP sertai Pakatan Rakyat

Salmah Mat Husain Sun Jun 22, 08 10:54:27 am MYT
KOTA BHARU, 22 Jun (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengajak Parti Maju Sabah (SAPP) menyertai Pakatan Rakyat, sekiranya parti itu kecewa dalam pakatan Barisan Nasional (BN) yang telah disertainya sekian lama.
Tuan Guru berkata, Pakatan bersedia memberi laluan kepada parti itu untuk membuka lembaran baru dalam sejarah politik negara sekiranya SAPP berminat.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan tapak projek Bandar Stelit Pasir Tumbuh, Khamis lalu apabila parti itu memperlihatkan rasa kecewa terhadap kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden BN.
Menurutnya, tindakan SAPP itu jelas menunjukkan sikap orang yang kecewa, untuk itu beliau diseru menyertai Pakatan Rakyat.
"Memang kami belum mengenali secara keseluruhannya parti itu, namun ia boleh berbincang dan dengan cara ini sudah mula ada titik pertemuan antara Pakatan Rakyat dan SAPP yang jelas begitu kecewa dalam pakatannya dengan BN selama ini.
"SAPP sebenarnya sudah melalui jalan pembangkang, ini memberi gambaran yang baik untuk menjalinkan pakatan yang baru," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas adakah usaha untuk mengajak parti itu menyertai Pakatan selepas parti itu mengumumkan rasa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah.
Ketika ditanya adakah PAS bersedia menyokong usul tersebut sekiranya dibentangkan di Parlimen, beliau memberitahu perkara itu akan berlaku.
Sambungnya, ini kerana usaha untuk menyingkir Perdana Menteri itu bukan atas peribadi, sebaliknya atas dasar serta ketidakupayaannya mentadbir negara.
Jumaat lalu, Presiden parti itu, Yong Teck Lee, mengisytiharkan partinya hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Presiden BN.
Ketika mengumumkan perkara itu, Yong dan dua Anggota Parlimennya, Dato' Eric Majimbun (Sepanggar) dan Dato' Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul tidak percaya di Dewan Rakyat yang bakal bersidang Isnin ini.
"SAPP sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, peruntukan undi tidak percaya ada dalam Perlembagaan, dan menjadi sebahagian proses demokrasi di negara ini," ujarnya dalam sidang media itu.
Tuan Guru sebelum itu merasmikan tapak projek Bandar Stalet Pasir Tumbuh yang bernilai RM100juta di atas stanah seluas 20 ekar. - mns

Orang PM dipercayai sedang pujuk SAPP kembali ke pangkuan BN

Intan Abdullah Sat Jun 21, 08 4:19:28 pm MYT
KUALA LUMPUR, 21 Jun (Hrkh) - Pengerusi BN, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dipercayai sedang mengatur strategi bagi memujuk Pengerusi Parti Maju sabah (SAPP), Dato' Yong Teck Lee supaya kembali ke pangkuan BN.
Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu mendakwa Abdullah yang juga merupakan Presiden Umno itu sedang menghantar orang-orang tertentu bagi menjalankan proses pemujukan ke atas ahli-ahli parlimen SAPP.
"Abdullah akan menggunakan segala kuasa yang dimilikinya untuk mengembalikan kepercayaan SAPP serta parti-parti komponen BN yang lain kepada Umno seterusnya mengekalkan sokongan dan pengaruhnya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Walau bagaimanapun, Mohamad sabu tidak menolak kemungkinan terdapat di kalangan ahli parlimen SAPP yang beralih arah.
"Bahkan terdapat juga kemungkinan wakil rakyat yang berjaya dipujuk," ujarnya.
Mengulas mengenai usul undi tidak percaya yang digembar-gemburkan oleh SAPP untuk dikemukakan pada sidang parlimen bermula 23 Jun ini, beliau kurang pasti akan keberkesanannya.
"Walaupun Anwar Ibrahim ada menyatakan beliau mempunyai cukup sokongan untuk menumbangkan kerajaan BN, saya tidak dapat memastikan mengenai lompat parti ini kerana saya tidak membuat tinjauan," katanya lagi.
Sungguhpun begitu, beliau menyerahkan hal tersebut kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk menguruskannya.
Mohamad Sabu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Dato' Yong Teck Lee semalam bahawa partinya telah hilang kepercayaan terhadap Abdullah dan dua anggota parlimennya Eric Majimbun (Sepanggar) dan Dato' Dr Chua Soon Bui (Tawau) akan menyokong usul tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Yong tidak menyebut tentang kemungkinan partinya keluar dari Barisan Nasional (BN) dan siapa yang akan mengemuka undi tidak percaya itu. - mns_

Pengunduran Abdullah mampu perkukuhkan semula BN - Husam

Salmah Mat Husain Sat Jun 21, 08 4:14:55 pm MYT
KOTA BHARU, 21 Jun (Hrkh) - Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu mendesak Pengerusinya, Dato� Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Perdana Menteri melepaskan jawatannya.
Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, memberitahu perkara itu perlu bagi memperkukuhkan semula kedudukan BN dan negara selaku parti memerintah.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mesyuarat Dewan Tertinggi BN 19 Jun lalu yang berakhir tanpa sebarang keputusan.
Menurutnya lagi, parti-parti komponen di dalam Barisan Nasional sepatutnya mengambil langkah drastik mempertahankan masa depan kerajaan BN memandangkan pucuk pimpinan yang ada sekarang telah gagal berbuat demikian.
"Untuk tujuan itu, langkah paling mudah adalah meminta Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Barisan Nasional mengundurkan diri dengan serta merta.
"Pengunduran Dato' Seri Abdullah akan membolehkan perubahan teraju di dalam Barisan Nasional dan seterusnya perlantikan Perdana Menteri yang baru," ujarnya lagi.
Tambahnya, hanya dengan pertukaran kepimpinan sahaja akan berkemungkinan membantu wujudnya keyakinan terhadap usaha pengukuhan semula BN.
Husam menambah kata, pilihan raya ke-12 yang lalu telah menyaksikan bagaimana parti-parti komponen BN di Semenanjung Malaysia mengalami keputusan yang paling buruk di dalam sejarah gabungan parti itu.
Akibat kejadian itu, jelasnya parti komponen itu telah melakukan post-mortem dan juga mendengar keluhan akar umbinya.
"Hasilnya tidak dapat dinafikan, faktor utama yang menyebabkan prestasi buruk ini adalah berhubung rapat dengan penolakan kepimpinan Dato' Seri Abdullah oleh ahli-ahli dan penyokong-penyokong serta pengundi-pengundi yang sebelum ini setia dengan Barisan Nasional.
"Oleh yang demikian, mekanisme perubahan dalaman boleh untuk sementara waktu meredakan masalah Barisan Nasional dan kekeliruan ahli-ahli parti komponen terhadap masa depan Barisan Nasional," ujarnya lagi.
Sidang tergempar BN tanpa keputusan konkrit juga katanya memperkuatkan lagi tanggapan bahawa Barisan Nasional tidak lagi mempunyai kekuatan untuk mendisiplinkan anggotanya dan berdepan dengan pilihan yang terhad dalam mempertahankan survivalnya.
Mempertimbangkan perletakkan jawatan Dato' Seri Abdullah adalah yang sepatutnya di dalam mesyuarat kelmarin dan bukannya bermesyuarat tetapi hasilnya hanyalah pengumuman satu keputusan yang longgar. - mns_

Iklim politik Malaysia tidak lagi sihat - Tengku Razaleigh

Mohd Sabri Said Sat Jun 21, 08 3:43:17 pm MYT
GLUGOR, 21 Jun (Hrkh) - Mantan Menteri Kewangan Malaysia, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan iklim politik Malaysia semakin sakit berikutan kemunculan suara-suara desakan selepas pilihan raya umum ke 12.
Dari segi demokrasi memang ia satu perkembangan yang baik tetapi untuk kepentingan parti Umno dan Barisan Nasional (BN) ia satu yang mendukacitakan, katanya.
"Desakan pada kerajaan semakin membara dan ini mengambarkan iklim politik Malaysia makin bercelaru dan tidak sihat. Apa akan berlaku pada masa depan," jelasnya ketika ditanya wartawan selepas ucaptama dalam program Kongres Permuafakatan Melayu Pulau Pinang Zon Utara di Dewan Kuliah 'U' Univesiti Sains Malaysia (USM), Glugor pagi tadi.
Beliau ketika mengulas tindakan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Dato' Seri Yong Tek Lee yang mahu mencetuskan undi tidak percaya pada Persidangan Parlimen Isnin ini menambah, ia satu keputusan yang memperlihatkan BN tidak lagi seutuh dulu.
Rakyat sekarang ini bijak menilai dan mereka telah lakukan tindakan dalam pilihan raya umum lepas di mana BN kehilangan banyak kerusi dan hilang empat negeri di Pantai Barat dan gagal menawan Kelantan, katanya.
"Kemelut inilah yang membuatkan wujud suara-suara yang boleh mengancam BN secara menyeluruh," terangnya.
Senario ini katanya, menjadi semakin tegang apabila SAPP sebuah parti dari komponen BN di Sabah mengisytiharkan melakukan undi tidak percaya pada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di parlimen Isnin ini.
Semalam Perdana Menteri mengumumkan tidak akan mengenakan tindakan pada SAPP kerana ia bukan suara keseluruhan SAPP malahan ia hanya dari Presidenya sahaja.
Tetapi, dalam perhimpunan SAPP semalam sudah memutuskan segala-galanya ia adalah suara SAPP bukan secebis keluhan daripada seorang dua kepimpinan tertinggi sahaja.
Kongres Kemuafakatan Melayu Zon Utara kali ini dianjurkan bersama antara Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Ikatan Kelab-Kelab Melayu Pulau Pinang (Ikatan).
Beberapa kertas kerja dibentangkan antaranya oleh Profesor Dato' Dr Zainal Kling bertajuk 'Kedaulatan Kebudayaan, Pendidikan, Bahasa dan Agama Bangsa Melayu'.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Haji Azmi Abdul Hamid dengan tajuk 'Mencetuskan Kebangkitan Bangsa' dan 'Melakar Masa Depan Bangsa Melayu Berpaksikan Kedaulatan Perlembagaan Malaysia oleh Profesor Madya Dr. Mustaffa Kasim dari Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir, Universiti Utara Malaysia (UUM). - mn

Wednesday, June 18, 2008

PM mungkin akan letak jawatan dalam masa terdekat? - Mahfuz

Wan Nordin Wan Yaacob Thu Jun 19, 08 12:05:12 pm MYT
KUALA LUMPUR, 19 Jun (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka akan melepaskan jawatannya secepat mungkin sebelum usul undi tidak percaya di bawa ke Dewan Rakyat.
Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar hari ini ketika mengulas mengenai kenyataan Parti Maju Sabah (SAPP) mengenai sokongan terhadap undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri yang mungkin akan dibawa ke Dewan Rakyat isnin ini.
Beliau menjangkakan bahawa akan ramai lagi ahli Parlimen Umno dan BN yang akan membuat kenyataan bagi menyokong langkah SAPP itu sebelum sidang Dewan Rakyat Isnin ini.
Justeru, baginya Perdana Menteri mungkin akan berbuat demikian bagi mengekalkan pemerintahan kerajaan BN hari ini, dan hal ini mungkin mendapat sokongan di kalangan ahli Parlimen BN.
Namun kata Mahfuz, beliau lebih melihat bahawa 'taktik' ini tidak akan memberi impak kepada rakyat yang terhimpit dengan kenaikan harga minyak dan beban kerana kelemahan kerajaan.
Sebaliknya, jika Abdullah mengundur diri, kemungkinan besar Timbalannya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak akan mengangkat sumpah seterusnya mengemudi kerajaan dengan 'beban' yang masih sama.
"Saya pernah ingatkan dahulu bahawa Najib dan Abdullah adalah liabiliti kepada negara, malah parti BN itu sendiri adalah beban kepada rakyat.
"Justeru bagi saya bukan sahaja Abdullah perlu melepaskan jawatan, sebaliknya undi tidak percaya perlu dibuat kepada kerajaan BN seluruhnya dan gantikan dengan kerajaan yang baru," ujar Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.
Sementara itu beliau juga menyatakan bahawa PAS menyambut baik tindakan SAPP itu dan menyeru parti komponen BN bukan sekadar membuat undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.
Sebaliknya membawa usul undi tidak percaya kepada kerajaan yang ada hari ini atas alasan kerajaan kini terlalu lemah dan tidak berupaya membela rakyat, ujarnya.
Di pihak Pakatan Rakyat sendiri, pakatan akan membincangkan hal ini semasak-masaknya kerana bimbang kemungkinan taktik ini hanya akan menyebabkan peralihan kepimpinan bukan kerajaan.
"Apa yang penting dan boleh menyelamatkan rakyat ialah dengan hanya menukar kerajaan," tegasnya.
Beliau turut menyokong kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang mendesak Abdullah melepaskan jawatan.
Namun beliau juga melahirkan kebimbangan dengan senario ini hanya akan menyebabkan 'peralihan kepimpinan' bukan 'peralihan kerajaan'.
Paling penting dalam hal ini, rakyat adalah perkara pokok yang perlu diambil kira oleh seluruh ahli Parlimen BN dalam membuat keputusan, tegas Mahfuz.
Semalam, pengumuman yang dinantikan seluruh rakyat Malaysia akhirnya terjawab apabila ahli Parlimen Parti Progresif Sabah (SAPP) dikatakan akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat Isnin ini.
Tindakan ini adalah sejarah yang mungkin tidak dapat dilupakan Perdana Menteri dan rakyat Malaysia bahawa usul tidak percaya akan dikemukakan terhadap perdana menteri.
"Sewaku sidang Dewan Rakyat mulai Isnin ini, 23 Jun, ahli-ahli Parlimen kita akan menyokong undi tidak percaya kepada PM.
Sama ada usul itu akan dikemukakan oleh ahli Parlimen kita atau ahli Parlimen lain, akan diputuskan bila tiba masanya,ujar satu kenyataannya semalam.
SAPP mempunyai dua ahli Parlimen, iaitu Dato' Dr Chua Soon Bui (Tawau) dan Dato' Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) selain empat ahli dewan undangan negeri.
Majimbun yang kini berada di luar negeri, telah menyatakan sokongannya terhadap keputusan parti itu dengan menandatangan kenyataan tersebut.
Chua turut hadir dalam sidang akhbar yang diadakan khas di Kota Kinabalu memberi empat sebab mengapa beliau menyokong usul tidak percaya terhadap PM itu. _

Tuesday, June 17, 2008

Mahkamah putuskan kerusi Dun Sanglang dikosongkan

Bashir Ishak Wed Jun 18, 08 2:38:26 pm MYT
KANGAR, 18 Jun (Hrkh) - Mahkamah Pilihan Raya hari ini memutuskan kerusi Dun N.15 Sanglang dikosongkan berikutan petisyen yang dikemukakan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.
Bagaimanapun, semua keputusan sama ada Ustaz Hashim diisytiharkan sebagai pemenang atau diadakan pilihan raya semula dipulangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Hakim Pilihan Raya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani semasa membaca penghakimannya memutuskan kemenangan calon BN, Abdullah Hassan dibatalkan berdasarkan tuntutan pertama di dalam petisyen berkenaan.
Namun begitu, bagi tuntutan kedua iaitu mengisytiharkan Ustaz Hashim sebagai pemenang, beliau memutuskan bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa berdasarkan Seksyen 35C dalam AKta Kesalahan Pilihan raya 1954 yang telah dimansuhkan pada tahun 2003.
Petisyen ini dikemukakan oleh Ustaz Hahsim selaku calon PAS yang bertanding mempertahankan kerusi Dun tersebut tetapi diisytiharkan kalah kepada calon BN, Abdullah Hassan dengan majoriti 149 undi.
Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) yang mana Ustaz Hashim sepatutnya menang dengan majoriti 47 undi.
Ustaz Hashim menamakan Pegawai Pengurus Pilihan raya Parlimen Arau, Mohd Daud Abdul Hamid, SPR dan Abdullah sebagai responden.
Ustaz Hashim diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin, Zulmi Sabri dan Aqbal Shiffudin Adnan Sallehuddin. Abdullah pula diwakili K. Jegathesan dan Albert Antoni.
Manakala Mohd Daud dan SPR di wakili Dato' Kamaluddin Md Said, Rozi Bainon dan Wan Roslan Wan Ismail. - mns _

Konsert: Pemuda PAS Pusat sokong Pemuda PAS Selangor

Intan Abdullah Wed Jun 18, 08 2:36:56 pm MYT
KUALA LUMPUR, 18 Jun (Hrkh) - Pemuda PAS Pusat menyokong saranan Pemuda PAS Selangor dalam menyatakan bantahan pada Konsert Sambutan 100 Hari Pakatan Rakyat.
Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan, Pemuda PAS Pusat berdiri bersama pendirian Pemuda Selangor bagi memastikan konsert yang mengundang aktiviti hiburan yang tidak sesuai dengan Islam itu tidak diadakan.
"Andaikata konsert tersebut akan diteruskan, kita tidak akan teragak-agak untuk menyertai Pemuda PAS Selangor untuk menganjurkan demonstrasi bagi membantahnya," ujarnya kepada Harakahdaily.
Beliau berharap agar kerajaan Selangor lebih memahami kehendak semasa rakyat yang ingin melihat perubahan dalam membawa kemajuan di negeri tersebut yang baru sahaja 100 hari diterajui Pakatan Rakyat.
"Kita melihat program ini berpotensi mendorong kepada keruntuhan akhlak dan moral, yang sepatutnya dielakkan penganjurannya," ujarnya.
Jelasnya, Pakatan Rakyat seharusnya memperlihatkan kelainan dalam pendekatan pentadbirannya.
"Kita mahu lihat penampilan yang berbeza dan lebih positif yakni dengan mengelakkan jemputan artis-artis yang tidak menepati ciri-ciri hiburan menurut Islam," katanya lagi.
Isu konsert yang membariskan Alleycat, Ella dan Mas Idayu sempena 100 hari pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat selangor pada 6 Julai akan datang di Stadium Shah Alam mencetuskan kontroversi serta bantahan pelbagai pihak.

"Sempit sungguh fikiran Umno, seperti tempurung jantan" - Nik Aziz

Nyza Ayob Wed Jun 18, 08 11:41:52 am MYT
KUALA LUMPUR, 18 Jun (Hrkh) - Buat julung kalinya lautan manusia yang terdiri daripada pelbagai kaum memenuhi Dataran MPAJ, Pandan Indah pada 14 Jun lalu untuk mendengar tazkirah serta amanat yang disampaikan oleh Mursyidul Am, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Majlis tersebut juga mencatat sejarah kerana berjaya menghimpunkan dua Adun dari kawasan Chempaka iaitu beliau yang juga Adun Chempaka di Parlimen Pengkalan Chepa dan Iskandar Abdul Samad, Adun Chempaka di Parlimen Pandan.
Selain itu majlis tersebut turut menampilkan AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, dan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pandan, Ramamoorthy sebagai penceramah. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Adun Lembah Jaya, Khassim Abdul Aziz.
Nik Abdul Aziz dalam ucapannya menekankan mengenai konsep perpaduan yang disarankan dalam agama. Beliau menceritakan, melalui pertemuannya dengan ketua-ketua agama lain di Kelantan, beliau mengingatkan mereka bahawa semua kaum berasal daripada satu keturunan yang sama yang menjamin satu ikatan persaudaraan.
"Saya menyatakan kepada mereka, oleh kerana kita semua berasal daripada keturunan Adam, kita semua bersaudara. Apabila kita menganggap kita semua bersaudara, akan timbul perasaan hormat, sayang dan kasih.
"Tetapi Umno meletakkan Melayu dalam satu kelompok. Bangsa Cina diletakkkan dalam satu kelompok di bawah MCA, bangsa India pula diletakkan di bawah kelompok MIC. Jadi ketiga-tiga kaum ini tidak pernah bertemu kerana diletakkan berasingan. Tetapi Islam tidak mengasingkan kaum kerana semua kaum adalah bersaudara yang merupakan asas kepada perdamaian," katanya.
Selain itu kata Menteri Besar Kelantan ini lagi, sepanjang mentadbir Kelantan sejak 1990, beliau telah memperkenalkan tiga dasar yang diterapkan kepada semua pegawai kerajaan serta kakitangan di bawah pentadbirannya.
Katanya, pelaksanaan dasar ubudiyyah, itqan dan mas'uliyyah memudahkan semua rakyat memahami yang mana dasar berkenaan sesuai untuk semua peringkat masyarakat.
Jelasnya dasar ubudiyyah mengingatkan masyarakat yang berasal daripada pencipta. Manakala dasar Itqan (kualiti) menekankan bahawa setiap perkara dan pekerjaan yang dilakukan hendaklah dilaksanakan tanpa mengetepikan kualiti.
"Allah menyukai setiap apa yang dilakukan hambanya dengan berkualiti. Menulis, berniaga dan bertani semuanya dengan itqan. Selain itu dasar mas'uliyyah mementingkan tentang tanggung jawab yang perlu dilaksanakan. Seluruh masyarakat akan disoal suatu hari nanti tentang tanggung jawab masing-masing," katanya.
Dalam ucapannya juga beliau menekan mendedahkan megenai kepincangan yang dilakukan oleh Barisan Nasional sepanjang beliau menerajui Kelantan, yang menyifatkan parti tersebut tidak mengamalkan konsep keadilan.
"Konsep keadilan disebut di dalam al-Quran dan konsep tersebut wujud sebelum timbulnya konsep demokrasi. Pelbagai kezaliman yang dilakukan Umno. Saya tidak suka menyebut perkara tersebut, tetapi saya terpaksa menyebutnya juga.
"Sewaktu Tun Daim Zainudin menjadi Menteri Kewangan, saya berjumpa dengannya meminta hutang 'soft loan' bagi melaksanakan Air Kelantan. Kami diberi RM600 juta untuk projek Air Kelantan. Semua projek air di Kelantan datang dari kerajaan pusat. Apabila sampai kepada saya, saya tidak dapat memberi projek tersebut kepada kontraktor di Kelantan kerana dikatakan di bawah pemerintahan PAS. Ini perangai Umno," katanya.
Selain itu beliau juga melahirkan kekesalan kerana terdapat Menteri Besar di sebuah negeri mengeluarkan larangan secara terbuka dalam media agar pegawai kerajaan negeri tersebut tidak melawat Kelantan.
"Sempit sungguh fikiran Umno. Seperti tempurung jantan," katanya yang disambut ketawa orang ramai. - mns_

Monday, June 16, 2008

PAS sudah lama cadangkan muzakarah dengan Umno - Nik Aziz

Salmah Mat Husain Mon Jun 16, 08 9:17:06 pm MYT
KOTA BHARU, 17 Jun (Hrkh) - PAS sudah lama mencadang diadakan muzakarah dengan Umno bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan yang timbul khususnya berhubung agama Islam dan orang Melayu.
Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bagaimana berkata, cadangan berkenaan tidak pernah dilayan pemimpin parti itu walaupun ia bertujuan untuk kebaikan semua pihak.
Beliau diminta mengulas saranan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mencadangkan pemimpin-pemimpin Melayu tanpa mengira fahaman politik duduk semeja bagi membincangkan masalah yang dihadapi negara sekarang.
Menteri Besar Kelantan itu ditemui pemberita selepas merasmikan majlis perletakan batu asas asrama kedua Maahad Muhammadi Lelaki dan Pelancaran Kelab TaHa (Lembaga Tabung Haji) peringkat negeri di sini, hari ini.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, setelah lima negeri berjaya dirampas pembangkang pada pilihan raya umum lalu, cadangan sedemikian diketengahkan semula.
Menurutnya juga ekoran kuasa mutlak Barisan Nasional (BN) hilang barulah kelihatan pemimpinnya bersikap lebih lembut dengan merangka pelbagai program bagi menambat semula hati rakyat.
Antaranya cadangan mengurangkan kadar bunga pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
"Sedangkan kami di Kelantan tidak mengenakan kadar bunga satu sen pun daripada pemohon pinjaman Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin). Kerajaan pusat baru nak turunkan kadar bunga.
"Ini semua adalah perkara khianat terhadap agama Allah yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab khasnya pemimpin Umno dan BN," ujarnya.
Katanya juga muzakarah mesti ada asasnya untuk dibincangkan contohnya soal perpaduan, kenapa kita sesama Islam asyik bertengkar sedangkan ia bertentangan dengan prinsip Islam.
Beliau berkata, pertemuan boleh diadakan dengan syarat semua pihak perlu ikhlas.
"Ikhlas ni hanya ada pada PAS yang mengikut kehendak Islam sebenar dan ia tiada pada Umno. Umno tidak akan ikhlas dalam perjuangannya selagi berpegang pada ajaran nasionalis.
"Kecuali parti itu kembali semula pada ajaran Islam, baru mereka faham pengertian ikhlas dari sudut Islam," ujarnya. - mj _

Mahkamah benarkan Anwar cabar kesahihan pemecatannya

Harakahdaily Tue Jun 17, 08 9:16:59 am MYT
KUALA LUMPUR,17 Jun (Hrkh) - Mahkamah Persekutuan di sini semalam memberikan lampu hijau kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar kesahihan dari segi perlembagaan, pemecatannya daripada jawatan Kabinet hampir 10 tahun lalu, oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bernama melaporkan panel tiga anggota itu yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, sebulat suara membenarkan Anwar merayu kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, bahawa pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah sah pelaksanaannya dari segi undang-undang oleh Tun Dr Mahathir.
Berikutan keputusan itu, Mahkamah Persekutuan akan menentukan dua persoalan undang-undang - sama ada pemecatan Anwar tidak mengikut perlembagaan, dan sama ada Tun Dr Mahathir boleh memecat timbalannya tanpa terlebih dahulu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.
Mahkamah akan memutuskan, pertama sama ada peruntukan Artikel 43(5) Perlembagaan Persekutuan secara khusus menghendaki Yang di-Pertuan Agong merupakan kuasa yang membatalkan pelantikan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam Kabinet Malaysia dengan berdasarkan prinsip bahawa hanya pihak yang berkuasa yang melantik mempunyak hak untuk membatalkan sebarang pelantikan yang dibuatnya.
Dan kedua, sama ada pemotongan nama Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan penggantian nama perayu (Anwar) dengan nama responden Tun Dr Mahathir sebagai menteri kewangan melalui perintah Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan 1998 dapat membaiki ketidakpatuhan responden pertama terhadap peruntukan jelas dalam perkara tersebut.
Mahkamah masih belum menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan Anwar itu dan beliau diperintah untuk memfailkan rekod rayuan dalam jangka masa 14 hari.
Bersidang bersama Malanjum ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Datuk Abdul Aziz Mohamad.
Pada 23 Dis 1998, Mahkamah Tinggi menolak saman Anwar terhadap Tun Dr Mahathir dan kerajaan, untuk terus membatalkan permohonannya bagi satu perintah mengisytiharkan keputusan Tun Dr Mahathir memecatnya daripada jawatan Kabinet pada 2 Sept 1998 sebagai salah dari segi undang-undang, tidak sah dan batal.
Anwar menegaskan bahawa pembatalan pelantikannya patut dilakukan Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat perdana menteri dan pembatalannya tidak boleh dikuatkuasakan oleh perdana menteri tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.
Anwar juga gagal memansuhkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas Mahkamah Rayuan pada 25 April 2007 menolak rayuannya dan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Mahkamah Rayuan mengesahkan bahawa pemecatan Anwar daripada jawatan Kabinet dilakukan mengikut undang-undang oleh Tun Dr Mahathir memandangkan kuasa untuk melantik dan memecat menteri terletak pada perdana menteri.
Anwar diwakili peguam Karpal Singh, Ram Karpal Singh, S.N.Nair dan Nicholas Netto. Beliau tidak hadir di mahkamah.
Terdahulu Karpal Singah berhujah bahawa Tun Dr Mahathir merupakan orang yang membuat keputusan untuk memecat Anwar daripada jawatan Kabinet dan menggugurkan beliau berkuat kuasa pukul 5.30 petang 2 Sept 1998 tanpa sebarang penunjuk bahawa Yang di-Pertuan Agong telah dinasihati beliau sebelum beliau (Tun Dr Mahathir) menyediakan dan menyerahkan surat pemecatan kepada Anwar.
Karpal Singh berkata Anwar, yang merupakan pemohon terhadap rayuan itu, bersetuju untuk tidak memohon mendapatkan kembali jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerana perkara itu adalah akademik.
Sebaliknya Anwar mahu mahkamah menganugerahkannya ganti rugi.
Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi yang mewakili Tun Dr Mahathir dan kerajaan, membantah permohonan kebenaran itu dengan berkata perkara itu telah menjadi sesuatu yang akademik. - mks. _

Saturday, June 14, 2008

Peraliahn kuasa, PM dan TPM perlu berundur bagi selamatkan negara - Mahfuz

Wan Nordin Wan Yaacob Sun Jun 15, 08 2:22:17 pm MYT
SEREMBAN 15 Jun (Hrkh) - Formula peralihan kuasa seperti yang dipersetujui Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Najib Tun Razak bukan jalan terbaik bagi menyelematkan negara dan rakyat dari kesengsaraan 'terlampau' mutakhir ini, kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.
Sebaliknya, kata beliau kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu perlu melepaskan jawatan masing-masing kerana mereka adalah liabiliti negara.
"Mereka adalah pemimpin yang menjadikan rakyat terus sengsara, negara berada dalam keadaan tidak menentu, pentadbiran cukup lemah dan rakyat terus tertekan dengan pelbagai dasar mereka yang tidak tentu," ujar Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena semasa menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri berhubung formula peralihan kuasa dengan Najib yang disiarkan akhbar arus perdana semalam.
Mengulas lanjut, Mahfuz menyatakan Perdana Menteri seorang pemimpin yang lemah dan tidak mampu mentadbir negara dengan bijaksana.
Sementara Najib adalah seorang yang sangat dikenali dengan dakwaan skandal-skandal tertentu termasuk dalam isu pembelian peralatan ketenteraan, kapal selam dan jet pejuang yang menjadi sebutan ramai.
"Kedua-dua mereka adalah liabiliti kepada negara, justeru kedua-duanya perlu melepaskan jawatan masing-masing bagi menyelamatkan negara,
"Formula yang mungkin berkesan bagi mengatasi masalah negara ini ialah, saya menyeru kepada seluruh ahli parlimen BN termasuk Umno menyertai Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan sekaligus menyelamatkan negara dan rakyat yang kini berada dalam keadaan kritikal," ujar Mahfuz.
Jika perkara ini lambat dilaksanakan, beliau bimbang negara dan rakyat akan terus berada dalam keadaan yang tidak menentu dengan kerana kelemahan pemimpin Umno/BN yang mentadbir negara ini._

Harga minyak 'hadiah' BN pada penyokongnya

Azamin Amin Sun Jun 15, 08 9:55:55 am MYT
KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - Seluruh rakyat patut 'berterima kasih' kepada sesiapa yang baru menyertai atau menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana sokongan mereka ini telah menyumbang kepada keyakinan Umno/BN untuk menaikkan harga minyak yang jelas membebankan rakyat Malaysia.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata jika mereka (yang menyertai) tidak menyokong Umno ketika bekas presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad pun menarik diri kemungkinan Umno terpaksa berfikir dua kali untuk menaikkan harga minyak ini.
"Biarlah ia menjadi pengajaran kepada orang yang menyertai Umno/BN atau bekerjasama dengan Umno/BN atau berhasrat untuk menyertai kerajaan BN bagi menindas rakyat melalui kenaikan harga minyak ini," katanya dalam tulisannya di Harakah keluaran terbaru.
Dalam menangani masalah kenaikan tersebut sepatutnya Perdana Menteri mengumumkan beliau dan semua anggota kabinet tidak layak untuk menerima gaji dan elaun kerana mereka tidak bekerja untuk membangunkan negara dan mengeluarkan rakyat daripada bebanan hidup, katanya.
Katanya, kerajaan juga sewajarnya menghapuskan projek-projek membazir dan menghapuskan tender runding reka dan bina kerana ia melibatkan kos yang besar iaitu hampir sekali ganda daripada kos tender terbuka.
Kerajaan juga wajar menghentikan projek-projek membazir yang mengakibatkan rakyat menanggung beban seperti penganjuran Kejohanan Bola Sepak Belia Asia (CYC) yang menelan kos hingga RM17 juta, yang diakui oleh Menteri Belia dan Sukan serta Presiden FAM sebagai tidak bermanfaat untuk Negara dan pembangunan bola sepak, katanya.
"Begitu juga projek seperti Taman Tamadun Islam di Terengganu yang menelan hampir RM1 bilion.
"Petronas sendiri membazirkan wangnya dengan banyak untuk orkestra di KLCC, termasuk membelanja sehingga RM3.5 juta sebulan untuk membayar gaji 105 orang pemuzik orchestra yang majoritinya rakyat asing," kata Mahfuz yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena.
Kesan daripada itu beliau membangkit persoalan bagaimana Petronas boleh bersungut tentang peningkatan kos pengurusannya mencecah 200 peratus, sedangkan pembaziran begitu banyak berlaku.
"Jika dikaji Laporan Ketua Audit Negara, kita akan dapati begitu banyak pembaziran dalam perbelanjaan awam. Sepatutnya pembaziran ini telah lama diatasi," katanya yang merujuk soal pembaziran kerajaan mempengaruhi kesan kenaikan harga minyak demi menampung kerugian akbibat salah urus dana negara dan rakyat jelata. - mks. _ -->

Sebuah parti komponen akan keluar BN - Ku Li

Harakahdaily Sun Jun 15, 08 9:53:53 am MYT
KUALA TERENGGANU, 15 Jun (Hrkh) -Meneruskan siri kempennya di Pantai Timur, Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah semalam mendakwa sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) akan meninggalkan parti itu sebelum hujung bulan ini.
Buletinonline memetik bekas Menteri Kewangan itu berkata dalam jelajah kempennya selepas mengunjungi Terengganu sejak kelmarin, bagaimanapun tidak menamakan parti yang dikatakan akan keluar dari BN itu.
"Saya mendapat berita bahawa satu parti akan keluar daripada BN sebelum hujung bulan ini," dakwanya ketika menghadiri majlis Perhimpunan Cawangan-cawangan Umno Pahang di sini.
Turut hadir pada majlis itu ialah bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Sabaruddin Chik.
Sementara itu, dalam program anjuran NGO di Kuala Terengganu, beliau telah menyatakan kesedihannya kerana kesilapan kerajaan telah menyebabkan Pulau Batu Putih diserahkan kepada Singapura baru-baru ini.
Kelemahan persiapan kerajaan menghadapi perbicaraan mahkamah antarabangsa telah menyebabkan Pulau yang sah dari segi sejarah itu berpindah milik kepada Singapura. - mks._

Friday, June 13, 2008

Demo Protes dipercepat 5 Julai

Azamin Amin Sat Jun 14, 08 11:07:49 am MYT
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Hrkh) - Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) mengumumkan tarikh baru perhimpunan besar-besaran secara aman membantah kenaikan itu di KLCC pada 5 Julai depan iaitu seminggu lebih awal dari tarikh asal 12 Julai.
Penyelaras Protes Dr Hatta Ramli berkata Protes turut mengumumkan sasaran baru sejuta peserta perhimpunan dan ianya dinamakan 'Perhimpunan Aman Protes Sejuta Rakyat' di samping menggunakan warna merah sebagai simbol melambangkan kemarahan orang ramai dan bantahan mereka.
"Logo baru demonstrasi besar-besaran itu akan dilancarkan Rabu depan yang menggambarkan 'simbol kesatuan rakyat'.
"Ianya akan digunakan pada setiap peralatan dan bahan sempena perhimpunan," katanya dalam satu kenyataan media.
Katanya, Protes juga akan memaklumkan dalam tempoh terdekat laluan-laluan dan tempat-tempat letak kenderaan khususnya rombongan peserta yang datang dari luar Kuala Lumpur yang ingin menyertai perhimpunan tersebut.
Beliau juga turut menasihati para peserta yang berada di sekitar Lembah Klang untuk menggunakan pengangkutan awam dari tempat masing-masing untuk ke KLCC dan berharap agar pihak polis akan memberi kerjasama menjayakan perhimpunan aman ini.
"Protes ingin menyatakan kesediaan kami untuk berbincang dengan polis bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang dijangka akan berlaku," katanyanya.
Semalam kira-kira 3,000 penyokong pergerakan Pemuda Pakatan Rakyat menyertai demonstrasi membantah kenaikan minyak yang bermula daripada Masjid Jamek Kampung Baru ke Kompleks Pertama setelah dihalang oleh pihak polis berarak ke Suria KLCC.
Dalam tempoh seminggu kenaikan harga itu, beberapa demonstrasi kecil telah diadakan di beberapa lokasi seluruh negara, antaranya di Kuching, Ipoh, Sungai Petani, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. - mks.
Dah hari ini, dijangkakan rakyat dan penduduk sekitar Negeri sembilan hadir dalam himpunan aman sekitar Terminal One, Seremban. - mks. _

Desak turun harga minyak: Hampir 3,000 tandatangan petisyen

Azamin Amin Sat Jun 14, 08 11:06:11 am MYT
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Hrkh) - Sejumlah hampir 3,000 orang ramai telah menandatangani petisyen yang mendesak supaya kerajaan menurunkan harga minyak yang disifatkan keseluruhan rakyat sebagai suatu yang begitu membebankan.
Petisyen tersebut telah dilancarkan oleh Gerakan Rakyat Anti Manipulasi Minyak (Geramm) sebagai platform untuk rakyat khususnya anak-anak muda menyatakan bantahan mereka ke atas penindasan dan manipulasi kenaikan harga minyak yang dilakukan oleh kerajaan tanpa memikirkan apa yang telah dibelanjakan secara boros oleh kerajaan.
Geramm dianggotai oleh beberapa organisasi, antaranya Angkatan Muda KeADILan (AMK), Anwar Ibrahim Club (AIC), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Ikatan Kebajikan Rakyat.
Menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyatakan komited Geramm untuk terus menggembeleng dan menggerakkan mobilisasi rakyat untuk menyatakan protes secara berterusan.
"Geramm akan terus mendepani rakyat dan generasi muda untuk terus menyatakan protes agar kerajaan menarik balik kenaikan minyak di pasaran dan membincangkan kaedah serta formula terbaik demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau juga turut mengumumkan pelancaran laman web Geramm (www.geramm.org), di mana terdapat jadual program, bahan kempen, dan petisyen online bagi mengumpul pendapat rakyat yang tidak puas hati tentang kenaikan minyak.
Malah Geramm juga menyeru rakyat Malaysia supaya mendesak kerajaan menurunkan harga minyak dengan menurunkan tandatangan di Petition Online (petitiononline.com/geramm/petition). - mks. _

Himpunan aman amaran awal rakyat pada PM

Saidah Hairan Sat Jun 14, 08 9:48:43 am MYT
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Hrkh) - Himpunan aman rakyat Malaysia yang membantah kenaikan harga minyak merupakan amaran awal kepada Perdana Menteri dan Timbalannya supaya menurunkan harga petrol dan diesel sebelum mereka melakukan perhimpunan lebih besar
Perhimpunan aman pada awalnya dirancang petang semalam menuju ke Suria KLCC terpaksa dibatalkan disebabkan halangan daripada Pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) di beberapa jalan utama menuju ke bangunan berkembar tersebut.
Perarakan yang bermula di Masjid Jamek Kampung Baru itu turut di halang oleh pihak Polis di Jalan Raja Muda dan mereka terpaksa melalui Jalan Raja Alang dan terus ke Jalan Raja Laut.
Lebih 3000 peserta yang berarak terpaksa berhenti di hadapan kompleks membeli belah Sogo kerana semua jalan disekat. Mereka melaungkan slogan 'Turun...turun...harga minyak, BN turun, Pak Lah turun, Najib turun'. Di tengah pancaran matahari, peserta duduk bersimpuh di jalan tar yang panas mendengar ucapan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan pimpinan PAS serta KeADILan.
Mohamad Sabu mengajukan persoalan kepada peserta perarakan, "Apakah kita mahu membayar makanan pagi RM10, tengahari RM10, petang RM10?"
Serentak kedengaran laungan "Tidak mahu" bergema di sepanjang Jalan Raja Laut.
Sehubungan itu Mohamad mengingatkan himpunan rakyat akan diteruskan sehingga pemerintah menurunkan harga minyak.
"Apakah mereka tidak ingat mereka dipilih oleh rakyat, mereka tidak insaf walaupun rakyat telah menolak mereka dalam pilihan raya umum lalu,"katanya di hadapan Sogo.
Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub memberi amaran kepada Perdana Menteri bahawa perarakan petang ini menunjukkan isyarat supaya Abdullah mesti berhenti.
Ini kerana katanya, rakyat menjadi mangsa di atas kezaliman pemerintahan beliau.
"Kita mesti meneruskan bantahan sampai mereka menurunkan harga minyak," tegasnya.
Ucapan pimpinan PAS Pusat dan KeADILan itu diselang selikan dengan laungan; "Turun-turun...harga minyak; Turun-turun BN; Turun-turun Pak Lah, Turun-turun Najib".
Sementara itu, AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi turut mengingatkan Perdana Menteri dan Timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa himpunan rakyat itu memberi mesej kepada Umno-BN agar jangan mempermainkan rakyat.
Katanya, jika pemerintah Umno-BN terus mempermainkan rakyat, mereka mempunyai kuasa untuk menurunkan Umno-BN.
"Amaran awal kita rejim Umno-BN kalau tidak turunkan minyak dan tol rakyat akan berhimpun lebih satu juta pada 5 Julai nanti," tegasnya.
Beliau melaungkan, pimpinan BN hidup kaya akibat meragut hasil kekayaan negara.
Sementara itu Ketua Angkatan Pemuda KeADILan, Shamsul Iskandar Mohd Akin melaungkan, kerajaan Umno-BN sudah gila kerana telah menaikkan minyak sebanyak 78 sen.
"Ini orang gila punya kerajaan. Tidak tahu masalah rakyat. Kita akan kutip satu juta tandatangan sebelum 5 Julai ini," jelasnya.
Beliau menjelaskan, kutipan tandatangan itu merupakan protes rakyat yang terbesar tercatat dalam sejarah politik tanahair.
Ucapan beliau itu disambut laungan orang ramai; "Minyak naik, rakyat geram'.
Dalam pada itu, Timbalan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasharuddin Thantawi berkata, rakyat menghadapi pimpinan negara yang menipu.
Ini kerana katanya, sebelum pilihan raya Najib mengeluarkan kenyataan minyak tidak akan dinaikkan tetapi selepas pilihan raya minyak telah dinaikkan.
Beliau menjelaskan maksud hadis, 'mana-mana maruah pimpinan yang menipu rakyat mereka diharamkan Allah daripada masuk ke dalam Syurga'.
Tambah beliau, "Mana-mana pimpinan yang menyusahkan kehidupan rakyat mereka akan disusahkan kelak di akhirat."
Ucapan di hadapan Sogo itu diakhiri dengan bacaan doa oleh AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Peserta dan pimpinan PAS dan KeADILan meneruskan perarakan sehingga ke hadapan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.
Ketika peserta demonstrasi berpusing balik ke Pejabat Agung PAS, semua kenderaan bas, kereta, motor yang berhenti di lampu isyarat membunyikan 'hon' tanda memberi sokongan.
Peserta perarakan yang berhimpun di pejabat Agung terpaksa bersurai kerana pihak polis berkawal di hadapan pejabat itu.
Bagaimana tidak ada sebarang tangkapan dan kekasaran yang berlaku di sepanjang perarakan petang ini. - mks. _

Thursday, June 12, 2008

Demo: Polis jumpa Pemuda PAS

Khamis Jun 12, 08 3.20 pm
Kuala Lumpur ( MalaysiaKini.Com ) Gara-gara merancang perarakan membantah kenaikan harga minyak esok, setiausaha Pemuda PAS Sabki Yusoff dipanggil ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.Beliau diiringi ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad petang Selasa lalu untuk menjelaskan acara itu kepada polis.Kedua-duanya berbincang selama kira-kira 30 minit selepas ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub mengumumkan Sabtu lalu acara perarakan dari masjid Kampung Baru ke Suria KLCC.Malaysiakini difahamkan, Sabki memaklumkan bahawa perhimpunan ini berlangsung secara aman sebagai menzahirkan rasa tidak berpuas hati orang ramai terhadap keputusan mendadak kerajaan Rabu minggu lepas.
Pemuda PAS bersama pergerakan Pemuda Pakatan Rakyat akan mengadakan perarakan besar-besaran sejauh lebih dua kilometer Jumaat ini.Perhimpunan ini dipercayai yang terbesar pernah dianjurkan oleh parti-parti pembangkang selepas pengumuman mendadak kenaikan harga minyak sejak seminggu lalu.Beberapa demonstrasi kecil pernah diadakan di beberapa lokasi seluruh negara, antaranya di Kuching, Ipoh, Sungai Petani, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.Dianggarkan beberapa ribu orang akan hadir Jumaat ini bersama ketua-ketua pergerakan Pemuda Pakatan, antaranya Salahuddin Ayub dan Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Penyingkiran Sanusi manifestasi pimpinan Umno

Nyza Ayob Thu Jun 12, 08 3:13:57 pm MYT
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Hrkh) - Kumpulan Prihatin Malaysia United Kingdom (KPM) melahirkan kekesalan diatas pemecatan perkhidmatan Tan Sri Sanusi Junid sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pengarah Perhubungan Awam KPM, Raja Ahmad Al-Hiss dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berpendapat KPM melihat penamatan tersebut adalah bermotifkan politik semata-mata dengan menasihati DYMM Sultan Pahang selaku Ketua Perlembagaan UIAM untuk memecat Tan Sri Sanusi bagi mencapai matlamat mereka yang berkepentingan.
Jelasnya, KPM meragui penamatan khidmat Sanusi itu adalah kehendak DYMM Sultan Ahmad Shah sendiri walhal pada hakikatnya ianya dimanifestasikan oleh pemimpin Umno tertentu.
Sehubungan itu katanya, pelantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai Presiden UIAM yang baru, serentak dengan pemecatan Sanusi jelas menunjukkan perlucutan jawatannya adalah sesuatu yang telah dirancang dan diduga oleh pihak-pihak tertentu.
"Kami tidak mempertikaikan kredibiliti Tan Sri Sidek, namun adalah menjadi kekhuatiran sekiranya Tan Sri Sidek yang juga merupakan Ketua Setiausaha Negara sekarang mampu untuk memberikan perhatian dan komitmen yang serius terhadap pembangunnan UIAM sebagai sebuah gedung ilmu dan masyarakat berbanding dengan Tan Sri Sanusi yang mendermakan sepenuh masanya untuk pembangunan pelajar dan universiti, "katanya.
Beliau melahirkan kekesalan sekiranya terdapat pihak tertentu yang sanggup menggadaikan pembangunan akademik umat Islam dengan mencampur-adukkan permasalahan politik tanahair dan akademik terutamanya di saat kemelut politik Umno sedang membarah sekarang.
Tegasnya, pengisytiharan Sanusi keluar dari Umno tidak sepatutnya dikaitkan dengan jawatannya sebagai Presiden UIAM.
Selain itu katanya Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Khaled Nordin juga dilihat cuba mengelak dari bertanggungjawab di atas pemecatan Sanusi.
"Semua warga UIAM tahu akan kejayaan Tan Sri Sanusi memimpin universiti tersebut sepanjang 8 tahun. Namun langkah terdesak pemimpin Umno yang takut akan bayang-bayang mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bersama Tan Sri Sanusi sehingga sanggup mencantas dan menyekat dimana jua mereka berada demi menjaga survival politik pemimpin Umno.
"Tindakan mereka ini sehingga sanggup menggadaikan pembangunan akademik warga UIAM,"katanya.
Justeru itu katanya, KPM berharap Perdana Menteri dapat memberi penjelasan kepada ribuan mahasiswa dan kakitangan UIAM yang tersinggung dengan pemecatan Sanusi yang jelas memahami selok-belok UIAM.
Beliau juga mengharapkan pejabat Presiden UIAM yang beroperasi sepenuhnya sepanjang Sanusi memegang jawatan Presiden perlukan dipastikan kekal' bertuan� sepanjang waktu dan bukannya sebagai 'part-time'.

Abdullah cuba 'menunjuk, mengada-ngada' - Husam

Intan Abdullah Thu Jun 12, 08 3:10:45 pm MYT
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Hrkh) - Tindakan kerajaan memotong 10 peratus elaun keraian menteri kabinet serta melarang mereka melancong ke luar negara adalah merupakan usaha yang kurang berkesan berbanding beribu-ribu juta wang yang telah dibazirkan.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri Kelantan, Dato' Husam Musa berkata, langkah itu tidak membawa banyak makna bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat ekoran keputusan kerajaan menaikkan harga bahan api itu yang begitu tinggi.
"Kita seolah-olah mahu berjimat 10 sen tetapi sedia biarkan hilang beribu juta, ia tak memberi kesan yang munasabah," katanya.
Tegasnya langkah penjimatan yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sesetengahnya seolah-olah hendak menunjuk-nunjuk.
"sesetengah daripada langkah penjimatan itu seakan mahu menunjuk-nunjuk dan mengada-ngada seperti pemotongan elaun keraian 10 peratus bagi anggota Kabinet," katanya semalam.
Beliau berpendapat, banyak lagi langkah yang lebih berkesan termasuk menghentikan pemberian tender secara runding terus melibatkan kos beribu-ribu juta yang sepatutnya dapat diselamatkan perlu dilaksanakan sebagai strategi kerajaan pusat.
"Contohnya, pembinaan landasan berkembar kereta api yang kosnya dahulu sekitar RM8 bilion sekarang melonjak kepada RM16 bilion," katanya.
Selain itu tambahnya, langkah mengehadkan penggunaan hotel untuk seminar juga suatu langkah ke belakang kerana ia secara tidak langsung akan menguncupkan industri perhotelan dan pelancongan di negeri-negeri.
Husam yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan turut menyatakan kehairanan dengan strategi diambil kerajaan bagi mengawal perbelanjaan kerajaan pusat setelah menaikkan harga minyak.
"Saya tidak faham kenapa kita naikkan harga minyak yang sepatutnya masih boleh dielak sehingga terpaksa bersusah payah melakukan itu dan ini untuk mengambil hati rakyat," ujarnya.
Katanya, langkah lebih berkesan perlu diambil dan tidak harus disempitkan pemikiran atau tindakan dengan menggerakkan tenaga-tenaga alternatif termasuk gas dan solar semata-mata.
Dalam perkembangan lain, Husam berkata Kerajaan Kelantan tidak akan mengurangkan elaun keraian anggota Exco dan wakil-wakil rakyat memandangkan kerajaan negeri itu telah sekian lama melakukan langkah berjimat cermat termasuk pemotongan elaun wakil rakyat sebagai strategi menjaga kebajikan rakyat.

Tuesday, June 10, 2008

'Rakyat membilang butiran beras, pemimpin hadiri jamuan negara' - Mufti Perlis

Azamin Amin Wed Jun 11, 08 1:07:37 pm MYT
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) - 'Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh �orang biasa�.
Demikian antara petikan pendapat Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abdidin berhubung soal pembaziran yang memberi kesan yang sangat besar kepada masyarakat yang turut dikaitkan dengan isu kenaikan harga minyak yang mendadak baru-baru ini.
"Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya.
"Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun," katanya yang dipetik daripada blognya.
Akibat daripada itu kata Asri yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak memperolehi yang selayaknya malah pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka.
"Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas," katanya.
Beliau dilihat tidak bersetuju sekadar untuk �mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi'.
"Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?.
"Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh �orang biasa�.
Dr Asri juga turut membangkit persoalan kewajaran di saat 'genting' ini adakah patut orang-orang besar diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka.
"Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan �berhiburan� dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?
"Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat," katanya yang sedar bahawa beliau mengambil risiko menulis hal ini namun baginya tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya.
Maka kata Dr Asri alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan.
"Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini," katanya.
Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini katanya perkara-perkara yang disebutkan itu mestilah dipandang serius malah kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. _

PM jangan cabar rakyat - Haron Din

Intan Abdullah Wed Jun 11, 08 1:05:47 pm MYT
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) - Tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) menaikkan harga minyak di pasaran pada ketika ini memperlihatkan seolah-olah mereka ingin mencabar kesabaran rakyat untuk berbuat sesuatu.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din berkata sekarang ini kerajaan tidak prihatin dan tidak mempedulikan suara hati rakyat.
"Yang paling penting, kerajaan tidak perlu menunggu sehingga rakyat menunjukkan bantahan barulah mereka hendak faham bahawa ianya tidak patut dibuat," tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Tambahnya, kerajaan sepatutnya mencari jalan yang lain untuk menghadapi situasi ini dengan mengelakkan kenaikan harga minyak yang turut mengundang kesan berantai yakni kenaikan harga-harga barangan keperluan lain.
"Kerajaan seperti membuat provokasi supaya rakyat bertindak dan bangkit, maka tidak hairanlah ada pihak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran.
"Walau bagaimanapun, saya meletakkan sepenuh keyakinan kepada kerajaan agar mereka lebih bersimpati kepada penderitaan rakyat," katanya lagi.
Pada masa yang sama, Haron Din yang juga merupakan bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu menyeru kerajaan agar menginsafi penderitaan yang terpaksa ditanggung rakyat.
"Jangan sesekali mengambil jalan mudah semata-mata untuk mengurangkan subsidi dengan menghukum rakyat dengan begitu berat kerana pada masa yang sama kerajaan turut mengaut keuntungan besar.
"Kita juga tertanya-tanya, ke manakah perginya keuntungan tersebut?" ujarnya.
Jelasnya, tugas utama kerajaan adalah menjaga kestabilan negara dan keselesaan rakyat yang membawa maksud kerajaan seboleh-bolehnya memberi suatu kehidupan yang selesa kepada rakyat tanpa membebankan mereka dengan masalah.
"Sekarang yang berlaku, kerajaan membebankan rakyat dengan bebanan yang ternyata amat berat di mana rakyat yang telah memilih kerajaan yang memerintah telah mendapat pulangan dalam bentuk terpaksa berbelanja yang di luar kemampuan mereka.
"Ertinya, keselesaan rakyat sudah menjadi bebanan, dan rakyat semakin hari semakin berat," ujarnya lagi.
Tegasnya, jika ini terus berlaku kesalahan ini tidak hanya boleh diletakkan kepada kerajaan sebaliknya rakyat yang telah mengundi mereka dalam pilihan raya lalu turut dipertanggungjawabkan.
"Pakatan Rakyat telah menyebutkan dalam pilihan raya umum lalu, bahawa sekiranya diberi peluang memerintah, harga minyak akan diturunkan dan sebaliknya bagi BN yang mahu menaikkan lagi harga minyak," katanya.
Oleh itu ujarnya, silapnya rakyat yang telah membuat pilihan untuk meneruskan perkhidmatan mereka yang akan menyusahkan kehidupan rakyat dan masa depan negara.
"Walau bagaimanapun, kerajaan BN tidak patut membalas rakyat yang tidak memberikan kemenangan yang besar dengan sedemikian gaya," ujarnya.
Hal ini disebabkan katanya, di negara-negara pengeluar minyak seperti Abu Dhabi, Arab Saudi dan Brunei harga minyak boleh didapati dengan murah dan rendah.
"Negara-negara pengeluar minyak ini biasanya membalas budi baik rakyat dengan mengekang harga minyak pada paras yang munasabah tetapi ianya berbeza di Malaysia, apabila kerajaan kita lebih mementingkan keuntungan dirinya dan negara, sehingga sanggup memaksa rakyat menanggung bebanan kos bahan bakar yang tinggi.
"Bebanan itu sebagai harga mereka memberi kepercayaan kepada Umno-BN," demikian ujarnya. - mks. _

Monday, June 9, 2008

Petronas ditubuh Tun Razak untuk kekalkan harga minyak murah

Wan Nordin Wan Yaacob Tue Jun 10, 08 1:11:19 pm MYT
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa mendedahkan bahawa Petronas ditubuhkan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussien pada tahun 1974 bagi memastikan harga minyak di negara ini sentiasa berada pada tahap rendah sekalipun harga minyak dunia meningkat.
Dalam kes ini Petronas ditubuh untuk pastikan keuntungan daripada harga minyak yang Malaysia keluarkan itu untuk melindungi pengguna tempatan dengan harga yang murah, ujarnya dalam satu temubual dengan Harakah di sebuah hotel dekat sini semalam.
"Ini bermakna, harga minyak dunia boleh naik tetapi harga minyak negara perlu lebih rendah daripada harga minyak dunia, ini konsep yang menyebabkan Petronas ditubuhkan.
"Fungsi utama Petronas bukan semata untuk keuntungan, Petronas boleh bergerak mencari keuntungan tetapi keuntungan itu adalah mesti digunakan untuk rendahkan harga minyak Malaysia, bukan hanya untuk rekodkan keuntungan dan berbangga dengan keuntungan besar itu tetapi tak mahu gunakan wang itu untuk rakyat," ujar Husam.
Menurut Husam, Petronas hanyalah pengawal kepada sumber minyak yang sebenarnya ialah milik rakyat, dan Petronas tidak boleh kata sumber minyak dan keuntungan itu milik mereka.
Ini kerana keuntungan itu sebenarnya perlu digunakan gunakan untuk melindungi harga kerana pemilik asalnya adalah negara iaitu rakyat Malaysia, ujarnya.
Menurut Husam, keuntungan Petronas kini mencapai berlipat kali ganda lebih-lebih lagi kini Petronas berkembang di luar negara dan rizab Petronas diluar negara ialah 3.2 kali lebih tinggi jumlah 'replacement ratio dalam negara (1.8),
"Maknanya jika sekarang kita guna 1 liter, kita ada Replacement Ratio 3.2 kali ganda lagi pada kadar rizab kini," ujarnya.
Kemudian jika dilihat kepada rekod Petronas berdasarkan laporan tahunannya, hasilnya sentiasa meningkat dari setahun ke setahun, katanya.
Pada tahun 2006, keuntungan selepas cukai ialah RM43 bilion, sedangkan harga minyak dunia ketika itu ialah USD65 (satu tong), katanya.
"Sekarang harga minyak naik lebih USD130 satu tong, tentunya Petronas akan mendapat keuntungan yang lebih lagi.
"Pada tahun 2007 pula keuntungan bersih Petronas ialah 46.4 bilion.Dalam laporan tahunanya pendapatan besarnya disumbangkan oleh minyak yang telah dijual kepada orang ramai melalui stesen-stesen minyak (domestics) iaitu RM62.7 bilion pada tahun 2007.Ini bermakna minyak yang dijual Petronas kepada orang ramai menjadi sumber pendapatan terbesar Petronas," katanya.
Selain itu harga minyak Malaysia 30 peratus lebih tinggi berbanding minyak yang Petronas import kerana minyak yang dihasilkan di Malaysia ada kualiti yang lebih baik dan harga yang lebih tinggi, katanya.
"Bermakna di atas kualiti minyak ini, kita akan dapat lebihan pendapatan berbanding harga minyak yang kita beli pada pasaran dunia untuk kegunaan domestik tadi, katanya.
Ini semua membuktikan Malaysia mampu memberi subsidi kepada rakyat untuk mengekalkan harga pada kadar yang rendah dan dengan itu mengurangkan beban rakyat jelata dan membolehkan rakyat ada cukup wang untuk dipusingkan dalam ekonomi, katanya.

Potongan elaun bersifat 'kosmetik', pujuk hati rakyat

Azamin Amin Tue Jun 10, 08 12:07:00 pm MYT
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) - Pemotongan elaun keraian menteri kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam dilihat bersifat kosmetik dan sekadar memujuk hati rakyat yang semakin resah serta kecewa dengan tindakan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel baru-baru ini.
Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata pemotongan itu tidak langsung memberi kesan besar dalam menangani masalah rakyat yang semakin dibebani dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.
"Secara kosmetiknya ianya menjadi tauladan dan kita mengalu-alukan. Namun tindakan memotong hanya beberapa kerat elaun keraian menteri ini tidak memberi kesan besar kepada perbelanjaan negara dan membantu nasib rakyat jelata.
"Kita tidak tahu berapa gaji dan elaun keraian mereka, malah 10 peratus hanyalah bahagian kecil sahaja. Ini sekadar nak memujuk hati seolah-olah mereka sangat memahami penderitaan rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily bagi meminta respon segera berhubung isu terbabit.
Ketika ini, elaun keraian bulanan bagi Perdana Menteri ialah RM18,865, Timbalan Perdana Menteri (RM15,015), menteri (RM12,320) dan timbalan menteri (RM6,000).
Hatta memberitahu bahawa kerajaan perlu merangka secara sistematik dan lebih terperinci langkah-langkah drastik yang membolehkan negara dapat menguruskan perbelanjaan yang tidak menekan hidup rakyat.
Antaranya mengelakkan berlakunya gejala rasuah di peringkat tertinggi dan yang melibatkan projek-projek kerajaan yang menyebabkan peningkatan kos pembangunan negara yang akhirnya mengakibatkan rakyat yang menanggungkan kesannya.
"Kerajaan mesti memperkemaskinikan penguatkuasaan agensi Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana banyak wang rakyat hilang akibat rasuah," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.
Kerajaan katanya perlu menganalisa kembali projek mega dan koridor yang tidak banyak membantu rakyat dalam jangka masa terdekat ini malah penggunaan duit rakyat secara boros dan membazir selama ini perlu didedahkan dan dikenakan tindakan
"Akibat ketidakcekapan kerajaan menguruskan wang rakyat dan membazir sekian lama, kini kita mendapat balasannya (kesan naik harga minyak) sekarang," katanya yang juga merupakan Penyelaras Protes yang akan mengadakan perhimpunan besar-besaran rakyat pada 12 Julai ini bagi membantah kenaikan harga minyak.-az/mks.

Kenaikan harga minyak tidak dibincang dengan MT Umno' - Khir Toyo

Azamin Amin Tue Jun 10, 08 12:05:08 pm MYT
KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) - Kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno bagi melihat dari perspektif kepentingan rakyat banyak.
Malah kenaikan harga petrol sebanyak RM 0.78 seliter diakui sememangnya amat tinggi dan sukar untuk rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana menerimanya.
Demikian luahan pendapat Ahli Majlis Tertinggi Umno Dato' Seri Khir Toyo yang juga turut terkejut dengan kenaikan mendadak harga minyak yang diumumkan oleh kerajaan,
"Saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan semula kenaikan drastik ini. Mungkin jika ia dapat dikurangkan separuh daripada kenaikan hari ini pun ia cukup bermakna kepada rakyat dan industri kecil dan sederhana," katanya dalam blognya.
Selain itu beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menurunkan tarif elektrik bagi mengimbang kenaikan kos akibat harga petrol malah memberi subsidi kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Janganlah terlalu dipentingkan keuntungan beratus juta syarikat berkaitan kerajaan (Government Link Company - GLC) sehingga rakyat di bawah menderita. Apa penting diumumkan keuntungan besar syarikat ini tetapi rakyat tidak merasai apa-apa?" katanya.
Selain itu Khir juga menyarankan Petronas dan semua GLC negara mengumumkan keuntungan kepada kabinet sebelum kabinet memutuskan jumlah bonus yang perlu di berikan kepada mereka.
Jika GLC ingin memberikan bonus kepada kakitangan, mereka perlu membuat sumbangan kepada Kerajaan Negeri di samping menyelesaikan pinjaman mengikut jadual, katanya.
"Jika dilaksanakan di peringkat Persekutuan, Petronas yang pasti memperolehi keuntungan hasil dari kenaikan harga minyak mentah dunia dapat menyumbang kepada pendapatan negara secara langsung.
"Wang ini bolehlah digunakan untuk mengurangkaan bebanan rakyat atau pun program basmi kemiskinan tegar sebelum 2010," katanya. _

Rakyat makin fakir akibat tindakan kerajaan

Nurul Nuha Tue Jun 10, 08 8:41:31 am MYT
KUALA LUMPUR,10 Jun (Hrkh) - Kerajaan sebagai pembuat dasar boleh membatukan diri, tetapi rakyatlah yang menderita akibat bebanan kenaikan harga minyak, tegas ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub dalam satu sidang media di parlimen semalam.
"Saya tidak boleh bayangkan betapa 'fakirnya' kakitangan bawahan yang tinggal di Kuala Lumpur ekoran bencana inflasi ini sedangkan kerajaan masih enggan menaikkan gaji kakitangan hingga ke tahap gaji minimum," katanya.
Isu utamanya, sambung beliau lagi,adalah kesan berantai dan tekanan inflasi yang mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung peningkatan kos hidup yang memeritkan.
"Hakikatnya, kerajaan tidak berupaya memberi satu alasan bagi menyekat kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang berlaku secara mendadak," jelas beliau.
Salehuddin turut menegaskan bahawa tiada sebarang pendekatan yang ampuh diambil kerajaan dalam mengatasi masalah ini.
"Rakyat marhaen melihat arahan menteri menegur pengusaha-pengusaha bas menaikkan harga tambang sebagai arahan tidak logi," tambahnya lagi.
Beliau yang ditemui dalam sesi penyerahan memorandum kepada Tan Sri Yang Di-Pertua Dewan Rakyat menggesa agar diadakan perundingan untuk mencari penyelesaian konkrit antara wakil-wakil yang terlibat.
"Rundingan dan persepakatan yang dicapai diharap dapat memberi kepuasan kepada rakyat dan kerajaan dengan situasi menang-menang,"katanya.
Sebagai mewakili ahli-ahli Parlimen PAS, beliau juga memohon Yang Di-Pertua Dewan Rakyat untuk memanggil satu persidangan tergempar Dewan Rakyat.
"Persidangan itu dibuat bagi membolehkan satu isu besar yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara boleh dirunding sewajarnya," tegas Salehuddin mengakhiri sidang media tersebut. - mks._

Saturday, June 7, 2008

Lebih 1,000 sertai kempen 'vigil' GMI di Kamunting

Anis Nazri Sun Jun 08, 08 11:44:32 am MYT
KAMUNTING, 8 Jun (Hrkh) - Siri Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA menemui kemuncak malam tadi dengan kempen 'vigil' yang diadakan dengan suasana aman, tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Lebih seribu orang, dengan lilin di tangan masing-masing, mendengar beberapa ucapan yang disampaikan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh; Pengarah kempen, yang juga isteri tahanan, Norlaila Othman; dan isteri tahanan, Sharmila Sanjeev Kumar.
Sebelum itu, mereka berarak kira-kira satu kilometer dari Masjid Jamek Kamunting ke kem dalam keadaan hujan renyai-renyai, selepas waktu Maghrib.
Namun, suasana itu tidak melunturkan semangat mereka yang menyertai perhimpunan tersebut biarpun bertukar lilin beberapa kali, sambil diawasi Unit Amal Malaysia.
Perhimpunan ini melakarkan sejarah tersendiri apabila pihak keselamatan turut memberikan kerjasama dengan sebaiknya, walaupun kelihatan agak 'tertekan' dengan perhimpunan tersebut.
Perbincangan pihak keselamatan dengan Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak, Dato' Ngeh Ko Ham, menjadikan perhimpunan itu satu perhimpunan aman yang tidak mengganggu keselamatan negara.
Kira-kira jam 9.30 malam, mereka diminta untuk bersurai, walaupun tergambar di wajah masing-masing riak 'tidak puas' dengan perhimpunan tersebut.
Bagaimanapun, sebagai rakyat yang patuh dan mencintai keamanan, seperti yang diucapkan Syed Ibrahim, mereka beransur dan berarak kembali ke masjid.
Namun, mereka masih meluahkan rasa hati mereka dengan menyanyi dan melaungkan slogan-slogan seperti 'Mansuhkan ISA, 'Tutup Kemta' dan sebagainya.
Turut hadir dalam perhimpunan itu ialah Adun Teja, Chang Lih Kang; Drs. Khalil Idham Lim Abdullah (Titi Serong), Mohd Anuar Sidin (Changkat Jong), Yee Seu Kai (Pokok Assam), Abdul Yunus Jamhari (Kuala Kurau), juga ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S. Jeyakumar.
Selain Adun-adun Perak, turut hadir Setiausaha Muslimat PAS, Aiman Athirah, aktivis S. Arutchelvan, blogger 'Zorro', blogger Haris dan aktivis-aktivis hak asasi manusia lain.

Wednesday, June 4, 2008

Pakatan Rakyat komited turunkan harga minyak - Anwar

Azamin Amin Thu Jun 05, 08 11:46:05 am MYT
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) - Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim membantah keras sikap Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terus mengabaikan tanggung jawab dan membebankan rakyat berikutan kenaikan harga bahan bakar yang diumumkan semalam.
"Saya ulangi pendirian saya dan Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak dan meletakkan asas ekonomi manusiawi," katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily sebentar tadi.
Beliau menyatakan kenaikan tersebut menyebabkan kehidupan rakyat semakin rumit yang akan merebak kepada kenaikan taraf elektrik, kos pengangkutan dan harga barang keperluan yang lain.
"Persoalannya keuntungan Petronas yang jenuh melimpah tertiris dan bocor ke mana? Tidak ada pertanggungjawaban waima kepada Parlimen sekalipun.
"Yang arif mengenai kedudukan kewangan Petronas hanya Perdana Menteri dan yang terserlah adalah projek mega dan koridor (ekonomi)!" katanya yaang membidas pembaziran wang rakyat oleh kerajaan.
Beliau menyatakan bahawa rakyat bukan sahaja dinafikan maklumat malah limpahan dan habuan dari khazanah utama negara tidak dirasakan tetapi manfaatnya hanyalah buat keluarga dan kroni yang sekonyong-konyong dianugerah kontrak dan projek.
"Inilah yang kami sering ungkapkan sebagai pengurusan ekonomi yang lembab dan tidak bertanggungjawab. Amalan hidup pimpinan negara terus boros, pembaziran dan rasuah terus berleluasa.
"Setelah gagal mengurus ekonomi dan menjamin keselesaan hidup rakyat, pimpinan Umno-BN seharusnya berundur!" katanya. - tajdid

Naik Minyak:Rakyat mesti protes sedarkan kerajaan!

Azamin Amin Foto Nasir Sudin Thu Jun 05, 08 11:44:18 am MYT
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) - Rakyat mesti melahirkan suara protes dan menunjukkan bantahan yang besar kepada kerajaan supaya menimbang semula kenaikan bahan bakar yang diumumkan semalam kerana ia secara jelas mencetuskan suasana gawat dan menambahkan lagi beban kos sara hidup penduduk negara ini.
Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata bantahan itu perlu dibuat segera memandang keputusan kenaikan harga minyak adalah sesuatu yang mengejutkan ramai pihak malah tidak menyangka kerajaan bersikap 'kering hati' dalam membuat keputuasan tanpa mengambil kira kesulitan yang bakal dihadapi rakyat.
Atas keputusan semalam katanya, beliau selaku penyelaras Gabungan Protes Kenaikan Harga Minyak (Protes), akan berbincang bersama jawatankuasa pagi ini untuk mengambil tindakan dan langkah seterusnya bagi menyedarkan dan meminta kerajaan untuk menurunkan semula harga minyak.
"Jika kerajaan boleh buat keputusan melalui kuasanya tanpa mengambil kira nasib rakyat maka rakyat juga boleh menunjukkan kuasa melalui suara protes mereka. Keputusan naik dan turun ini berada di tangan kerajaan maka rakyat mestilah menunjukkan bantahan yang di buat secara menyeluruh di seluruh negara.
"Jika Perdana Menteri merayu supaya rakyat untuk tidak berdemonstrasi maka rakyat juga boleh berdemonstrasi untuk 'merayu' supaya kerajaan menurunkan harga minyak," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Tambahnya, keputusan kerajaan untuk mengikut harga pasaran minyak dunia telah dilaksanakan oleh kebanyakan negara namun bezanya kadar gaji penduduk negara-negara itu melebihi penduduk di Malaysia yang secara tidak langsung tidak membebankan kos hidup.
"Memang kerajaan ikut sistem negara luar yang tidak memberi subsidi seperti Singapura tetapi penduduknya mendapat gaji berlipat kali ganda dan taraf hidup mereka lebih stabil berbanding rakyat kita yang semakin lama semakin teruk keadaannya," katanya
Selain itu kesan kenaikan minyak ini juga turut dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan tidak memiliki kenderaan kerana ianya akan membabitkan kenaikan kos pengangkutan awam dan harga barangan keperluan harian pula.
"Golongan yang miskin dan tidak ada kena mengena dengan kenaikan ini turut terjejas kerana sudah pasti harga barang dan keperluan lain juga turut naik seiring kenaikan bahan bakar ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.
Beliau turut menganggap bahawa rebet atau pulangan wang melalui cukai jalan yang diberikan kerajaan hanya sebagai 'pemujuk' sementara kepada rakyat dan ianya tidak bersifat keuntungan atau kemudahan jangka panjang.
"Bayar RM150 atau RM625 sekali setahun sahaja tetapi menderita setiap hari, apa gunanya? Ini semua sekadar nak mengaburi mata dan memujuk rakyat semata-mata," katanya.
Semalam Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan harga minyak diesel dinaikkan kepada RM2.58 berbanding M1.58 seliter sebelumnya.
Kenaikan sebanyak 41 peratus bagi petrol dan 63.3 peratus bagi diesel berkuatkuasa tengah malam semalam.
Sejak 2004, harga petrol naik sebanyak 97.1 peratus manakala harga diesel pula naik setinggi 231 peratus. - mks.

Ekoran harga minyak naik, PM buat negara 'huru-hara'

M Khaleel Kas Thu Jun 05, 08 9:01:45 am MYT
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) - Pengumuman kenaikan harga minyak oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya semalam telah menyebabkan keadaan huru-hara di kalangan rakyat terutamanya penguna jalan raya semalam.
Selepas pemgumuman tersebut, wartawan Harakahdaily yang membuaut tinjauan sekitar Kuala Lumpur mendapati semua stesen-stesen minyak di ibu kota menjadi sesak dan hampir tidak terkawal.
Misalnya, stesen minyak Caltex di Jalan Pahang Barat telah menyebabkan kesesakan di Bulatan Pahang dan stesen minyak Petronas di Jalan Tun Razak telah menyebabkan kenderaan hiruk pikuk di sepanjang jalan berkenaan.
Seorang petugas di stesen Caltex di Jalan Pahang yang hanya tidak mahu dikenali berkata, keadaan agak sukar sebab pengguna seolah-olah 'histeria'.
"Seawal jam 5 petang kenderaan mula berpusu. Ramai yang serbu sehingga ada beberapa pelanggaran kecil dan situasi di hadapan Hospital Tawakal sesak teruk,"jelasnya.
Sementara itu, seorang penunggang motosikal yang ditemui malam tadi, Birang Abdullah, 58, berkata ada pengusaha stesen yang menutup pam minyak mereka.
"Ini dah stesen keempat saya masuk. Sebelum ini beberapa stesen mereka tutup dan hanya dibuka satu atau dua pam sahaja.
"Bila kita soal mereka kata minyak dah habis. Mana boleh begitu,takkan baru jam 6 petang dah habis. Mesti mereka berkomplot nak jual dengan harga baru lepas tengah malam tadi,"marahnya setelah gagal untuk mengisi minyak di beberapa stesen minyak sebelum itu.
Selain itu, beliau juga agak kesal kerana ada pengusaha yang menolak untuk mengisi minyak apabila beliau membawa tong minyak tambahan.
"Mana ada undang-undang kata kita tak boleh isi tong tambahan, saya bukan nak seludup hanya nak isi tong tambahan untuk motosikal saya yang satu lagi di rumah,"ulasnya sambil menunjukkan sebuah tong kosong sebesar tong minyak pelincir 4 liter.
Sementara itu,di jalan-jalan lain, apabila warga kota turut mengambil peluang yang ada sehingga tengah malam tadi untuk mengisi petrol untuk kenderaan mereka.
Kesemua stesen minyak yang terletak di sekitar bandar raya "ditawan" dalam masa beberapa minit sahaja selepas kenaikan bahan api itu diumumkan Abdullah.
Tinjauan juga mendapati Jalan Kuching, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Tun Razak, Jalan Bangsar, Jalan Sultan Ismail, Cheras dan Ampang antara jalan yang paling teruk dengan kesesakan lalulintas.
Di Jalan Kuching misalnya kenderaan bergerak terlalu perlahan dalam jarak empat kilometer. Seorang pengurus stesen minyak Shell di Batu 5, Gombak, Abdul Selamat, 45, berkata beliau terkejut dengan ratusan kenderaan yang menyerbu stesen minyak itu.
"Ini adalah kali pertama keadaan seumpama ini berlaku sejak 1998. Sehingga kami terpaksa meminta lori tangki petrol datang isi simpanan petrol.
Ada juga pemilik kenderaan yang tidak sabar dan potong barisan," katanya ketika ditemui di sini.
Kesesakan lalulintas ini menyebabkan polis trafik terpaksa ditugaskan bagi mengawal keadaan di beberapa jalan yang sesak teruk.
Ada juga kenderaan yang kehabisan petrol, akibat terperangkap terlalu lama dalam kesesakan lalulintas dan ada juga yang berlanggar sesama sendiri untuk berebut mengisi petrol.
Sementara itu sebuah stesen minyak di Taman Melawati terpaksa ditutup selepas kehabisan petrol.
Di PULAU PINANG, Bernama melaporkan sejam selepas Perdana Menteri mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel, hampir kesemua stesen minyak di negeri ini diserbu pengguna yang mahu mengisi tangki minyak kenderaan mereka sebelum pukul 12 malam ini.
Tinjauan di beberapa stesen minyak mendapati kenderaan beratur panjang sehingga menimbulkan kesesakan lalulintas yang teruk antaranya di Jalan Perak, Jalan Datuk Keramat, Jalan Argyll dan Jalan Anson.
Petugas di stesen minyak juga dilihat sibuk melayan pelanggan manakala pemandu yang tidak tahu mengenai kenaikan harga petrol dan diesel berkuatkuasa esok kelihatan terpinga-pinga melihat kesesakan di stesen berkenaan.
Seorang pesara polis, Harun Ismail, 56, menyifatkan kenaikan harga petrol secara mengejut itu amat melampau dan membebankan rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah.
Harun, yang mengetahui mengenai kenaikan harga itu melalui berita TV petang ini, bergegas ke stesen berhampiran untuk mengisi tangki keretanya.
"Saya baru tengok berita petang ini. Kalau tanya semua pengguna pun mereka akan kata kenaikan ini sangat melampau.
Pengumuman dibuat tiba-tiba sahaja dan ini membebankan orang ramai terutamanya pesara macam saya," katanya.
Seorang kakitangan penjara, Suhaimi Ismail, 27, yang kebetulan berada di stesen minyak Jalan Perak terkejut melihat deretan kenderaan menunggu giliran.
Kakitangan MAS Kargo, Rahmat Abdul Majid,35, pula kesal dengan pengumuman itu kerana baru sahaja dimaklumkan bahawa kenaikan itu mungkin pada bulan depan atau Ogos ini.
"Ini melampau. Kata nak naik bulan Julai atau Ogos tetapi tiba-tiba sahaja umum esok akan naik harga.
Kerajaan perlu pantau balik keadaan ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim ketika dihubungi mahu kerajaan mencari jalan yang lebih efektif untuk mengurangkan beban rakyat terutamanya sewaktu harga barangan makanan semakin meningkat.
"Saya dukacita dengan berita kenaikan harga petrol dan diesel secara mendadak ini. Sepatutnya, setiap kenaikan harus dibuat secara beransur-ansur dan bukan drastik begini," katanya.
Ketika ditanya bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang kepada penduduk di sini, beliau berkata: "Kalau harga beras naik, kita boleh lagi bagi bantuan beras kepada orang miskin seperti yang telah kita lakukan baru baru ini tetapi sekarang harga minyak pula naik. Tak Kan kita kena bagi minyak pula".
Presiden Persatuan Teksi Orang India Pulau Pinang, P.Raman berkata, kenaikan harga petrol dan diesel akan memberi kesan kepada sektor pengangkutan.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan anggota persatuan itu dalam masa terdekat ini untuk menentukan sama ada tambang teksi akan dinaikkan atau tidak.
Pengerusi Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Wilayah Utara, Dato' O.K.Lee berkata, kenaikan harga petrol dan diesel serta kenaikan tarif elektrik sebanyak 18 peratus untuk pengguna domestik dan 26 peratus untuk industri akan memberikan kesan yang amat besar terutamanya pengusaha industri kecil dan sederhana (SMI) di negara ini.
Katanya, pengusaha berkenaan mungkin akan menaikkan harga produk dan beban kenaikan kos itu akan ditanggung rakyat yang menggunakan produk berkenaan atau terpaksa "menutup kedai" jika harga tidak dinaikkan.
Beliau bimbang Malaysia akan kehilangan kompetitif dari segi tarikan pelaburan berikutan kenaikan itu.
Katanya dengan kenaikan harga minyak, Petronas akan menjadi semakin kaya dan jika mereka menaikkan pula harga gas kepada pengeluar elektrik seperti Tenaga Nasional (TNB) dan pengeluar tenaga persendirian (IPP), mereka dijangka mempunyai keuntungan yang berlipat kali ganda.
"Saya cadangkan Petronas membiayai pengwujudan lebih banyak sistem tenaga pengangkutan seperti pengangkutan transit ringan (LRT) di negara ini bagi mengurangkan kos pengangkutan yang perlu ditanggung rakyat," katanya. - mks.