Sunday, June 24, 2007

Pertandingan boling Nisa dapat sambutan hangat

Johari Jaffar Mon Jun 25, 07 11:38:23 AM
IPOH, 25 Jun (Hrkh) - Buat julung kalinya Nisa Kawasan Tambun telah mengadakan pertandingan boling di Green Town Mall, baru-baru ini dan mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan, malah pihak penganjur tidak menduga penyertaannya di luar jangkaan.
Pihak penganjur amat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh para peserta yang melebihi 100 peserta, malah apa yang membanggakan 90 pesertanya terdiri daripada para remaja.
Demikian dinyatakan Ketua Nisa Tambun, Mazliana Mohamad, ketika ditemui pada pertandingan tersebut yang diadakan bangunan salah sebuah pusat membeli belah baru-baru ini.
"Kehadiran 90 remaja menyertai pertandingan boling kali ini lebih menceriakan lagi suasana, di samping itu kita dapat mendedahkan kegiatan Nisa Tambun kepada mereka agar sat hari nanti mereka akan menjadi tenaga penggerak Nisa," tambahnya.
Menurut beliau, antara lain tujuan program tersebut diadakan adalah hendak memupuk semangat kerja berpasukan di samping merapatkan lagi pertalian `ukhuwah Islamiyah' di kalangan ahli.
"Memandangkan sambutan hangat yang diberikan oleh para peserta besar kemungkinan kita akan mengadakan pertandingan seperti ini pada masa akan datang," ujarnya.
Pertandingan boling buat pertama kalinya itu telah dirasmikan oleh Nurul Hasanah, Pemenang Pingat Gangsa pada kejohanan Nisa Games 2007 yang diadakan di Kelantan baru-baru ini.
Penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang disampaikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Tambun, Zurairah Dato' Ghazali, adik kepada Dr Lo' Lo Dato' Ghazali.
Pemenang kejohanan boling Nisa' Tambun dimenangi oleh kumpulan PAS Cawangan Taman Meru.- mks.

Piket gaji minimum hari ini!

M Khaleel Kas Mon Jun 25, 07 09:19:50 AM
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Hrkh) - Jom piket gaji minimum! Anda prihatin dengan tangga gaji anda yang tidak seberapa? Prihatin dengan saudara mara yang masih hidup merempat? Dan prihatinkah anda dengan jiran tetangga serta rakyat yang berhutang keliling pinggang akibat kos hidup yang tinggi dengan gaji yang tidak seimbang?
Maka sewajarnya anda turun berpiket bersama-sama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di beberapa lokasi yang akan diadakan seluruh negara pada hari ini (25 Jun 2007).
Antara lokasi piket yang akan diadakan serentak hari ini pada jam 5 petang adalah, di hadapan Bangunan KWSP, Jalan Raja Laut (Kuala Lumpur); berhampiran kilang Lam Soon di Lebuh raya Persekutuan (Petaling Jaya);Bulatan seksyen 15, berhampiran kilang Good Year dan seksyen 16 berhampiran kilang Proton (Shah Alam) dan berhampiran Pasaraya Jaya Jusco (Klang). Selain itu, piket yang serupa juga akan diadakan di Johor, Kuching, dan Pulau Pinang.
Sebelum ini, dalam pertemuan dua mata antara Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud dengan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di Wisma MTUC, Shahir berkata, sejak penyerahan memorandum 'Gaji Minimum RM900 dan Elaun Kos Sara Hidup RM300' kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya beliau masih tidak menerima respons daripada pejabat Perdana Menteri.
Beliau juga mengharap satu pertemuan rasmi akan diadakan di antara MTUC dengan kerajaan untuk membincangkan tuntutan ini.
Sementara itu, Nasharuddin ketika ditemui selepas mengadakan perbincangan dengan MTUC kira-kira satu jam, berkata, PAS akan menyokong usaha MTUC untuk mengadakan piket pada Isnin ini.
Malahan tegasnya, kerajaan jangan berdiam diri soal tuntutan itu dan mendesak Perdana Menteri memberi tindak balas demi menjaga kebajikan pekerja-pekerja swasta supaya meningkatkan kualiti hidup mereka.
Nasharuddin juga meminta kerjasama semua ahli PAS yang juga anggota MTUC untuk turun bersama-sama berpiket mendesak kerajaan meluluskan syarat gaji minimum itu.
Pada 18 Jun, MTUC yang diketuai oleh Presidennya menyerahkan memorandum Gaji Minimum RM900 dan Elaun Kos Sara Hidup RM300 kepada Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya.
Permintaan MTUC berhubung gaji minimum itu sudah berlarutan sejak lapan tahun lagi, sehingga hari ini mereka masih belum menerima respons daripada kerajaan.
MTUC memberi tempoh kepada kerajaan sehingga 25 Jun ini untuk memberi maklum balas terhadap tuntutan dalam memorandum yang diserahkannya. -

PAS Johor sokong kempen kumpul 100,000 tanda tangan

Salman Hussin Sun Jun 24, 07 12:42:16 PM
JOHOR BAHRU, 24 Jun (Hrkh) – PAS Johor menyokong usaha Persekutuan Tionghua Daerah Johor Bahru yang melancarkan kempen mengumpul 100,000 tanda tangan bertujuan mendesak kerajaan dan polis menangani kadar jenayah yang semakin meningkat di daerah ini.
“Sebagai tanda sokongan kita, PAS Johor melalui cawangan-cawangan di kesemua 26 kawasan di negeri ini akan turun padang membantu kempen ini," kata Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfodz Muhammad, di sini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan demonstrasi aman di hadapan Mahkamah Tinggi, dekat sini, baru-baru ini, turut hadir Pengerusi PKR Johor, Abdul Razak Ahmad, pemimpin dan aktivis NGO serta masyarakat tionghua daerah Johor Bahru.
Perhimpunan ini diadakan bagi membantah penahanan dua aktivis SUARAM, Nyam Kee Han dan See Siew Min, yang didakwa mengadakan perhimpunan haram di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, baru-baru ini.
Mereka (Nyam dan See) ditahan ketika mengadakan demonstrasi aman bertujuan mendesak kerajaan dan polis segera bertindak menangani jenayah yang semakin meningkat di daerah Johor Bahru, akhir-akhir ini.
Menurut Dato’ Mahfodz lagi, PAS Johor ingin menegaskan isu peningkatan kadar jenayah serta ancaman keselamatan yang sedang berlaku ini adalah isu nasional yang melibatkan semua kaum di negara ini, bukan hanya kaum-kaum tertentu sahaja.
Justeru, beliau berharap kempen mengumpul 100,000 tanda tangan yang dilancarkan Persekutuan Tionghua daerah Johor Bahru ini bukan disebabkan berlakunya beberapa kes membabitkan kaum tionghua semata-mata tetapi mestilah berlandaskan kepada semangat nasional.
Pada sidang media yang sama beliau turut mendedahkan statistik kes jenayah di peringkat nasional yang menurutnya telah menunjukkan peningkatan 45.1 peratus, dari 156,335 kes (2003) kepada 226,836 (2006), kes rogol pula meningkat 65.8 peratus, dari empat orang sehari (2003) kepada 6.7 orang sehari (2006), manakala jenayah kekerasan meningkat 85.8 peratus, dari 22,790 kes (2003) kepada 42,343 kes (2006).
PAS Johor tegasnya lagi, melahirkan kebimbangan peningkatan kadar jenayah ini akan mengagalkan usaha kerajaan untuk mempromosi Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) sebagai destinasi pelaburan kepada masyarakat dunia, ini kerana Daerah Johor Bahru adalah sebahagian dari WPI.
“Pelabur luar sudah pasti akan melihat faktor keselamatan sebagai kriteria utama yang akan diberi perhatian sebelum melabur di WPI, sekiranya mereka ragu-ragu atau tidak yakin dengan jaminan keselamatan ke atas mereka maka berkemungkinan besar mereka akan membatalkan hasrat untuk melabur di sini.
Sehubungan itu tegas Dato’ Mahfodz lagi, PAS Johor berharap peruntukan segera berjumlah RM4.1 bilion yang diberikan kepada WPI termasuk RM 330 juta yang diperuntukkan untuk tujuan keselamatan akan dibelanjakan seperti yang dirancangkan.
“Bagi memastikan pelaksanaan projek WPI ini berjalan seperti yang dirancang maka kerajaan hendaklah sentiasa melakukan pemantauan secara terperinci dan telus supaya peruntukan keselamatan berjumlah RM330 juta ini tidak disalahgunakan dalam bentuk ‘ketirisan’ dan juga ‘budaya amalan rasuah’," ujarnya lagi. - mns

Penceramah agama Umno Kelantan sertai PAS

Maslan Yusoh Sun Jun 24, 07 11:58:06 AM
JELI, 24 Jun (Hrkh) – Cerita burung ketitir yang hanya diberi makan padi kering dan air sejuk, sebaliknya tuannya membolot pelbagai hadiah pertandingan yang dimenangi mendedahkan nilai sebenar penceramah agama Umno di sisi pemimpin mereka.
Dan lebih memilukan lagi burung ketitir tersebut hanya diberi ubat tahi lembu dan bukannya panadol ketika sakit.
Inilah permulaan cerita bekas penceramah agama utama Umno Kelantan, Ustaz Abdul Hamid Derani, 39 yang kini bertukar pentas secara tiba-tiba selepas mempunyai kesedaran mendalam mengenai ‘hidup sesudah mati’.
Beliau yang merupakan di antara empat penceramah utama agama Umno Kelantan sejak 1999, malam tadi memohon kemaafan kepada pemimpin PAS dan seluruh ahlinya kerana pernah bersubahat dengan Umno.
“Bermula dari Mursyidul Am PAS, pemimpin-pemimpin lain dan seluruh ahli serta penyokong saya memohon kemaafan kerana pernah bersubahat bagi menentang perjuangan PAS selama hampir 10 tahun.
“Saya kini seperti burung ketitir yang dilepaskan terbang selepas mempunyai kesedaran kerana diperalatkan bagi kepentingan peribadi pemimpin Umno,” katanya pada majlis penyerahan borang menyertai PAS di Padang Kemahkotaan Jeli, malam tadi.
Beliau menyerah borang menyertai PAS kepada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan disaksikan ribuan penduduk Jeli yang hadir.
Permulaan cerita itu benar-benar menarik perhatian orang ramai yang hadir. Malah kata mereka, itulah kisah sebenar perangai pemimpin Umno.
Abdul Hamid menjadi penceramah agama bagi Umno Jeli dan Kelantan bermula menjelang pilihan raya umum 1999. Beliau membantu Dato’ Mustapa Mohamed bagi mempengaruhi rakyat Jeli supaya menyokong Umno.
Penceramah Umno sepertinya ada seramai 20 orang di Kelantan dan beliau berada dalam senarai empat yang paling utama.
Kehadirannya bersama PAS sudah tentu menggugat kedudukan Mustapa kerana pengaruh ustaz berkenaan yang begitu petah berceramah mampu menarik lebih ramai lagi ahli-ahli Umno.
Malah, Setiausaha Agung Umno, Dato’ Radzi Sheikh Ahmad difahamkan datang ke Kelantan membincangkan perkara itu.
Ini kerana Umno Kelantan dikatakan gagal menjaga kebajikan jentera mereka, sebaliknya pemimpin Umno hidup bergaya.
Bagi menyedapkan hati Umno Kelantan, maka dijaja cerita, Abdul Hamid dibayar RM30,000 supaya meninggalkan Umno.
Sebaliknya, ustaz tersebut menafikan dakwaan tanpa asas itu. “Kita semua tahu, PAS hendak ambil di mana duit sebanyak itu, sebaliknya duit dalam poket pula kita bagi,” ujarnya.
Sejak lebih setahun lalu, Umno Kelantan telah kehilangan ramai tokoh utama kerana menyertai PAS, dimulai bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Ahmad Rusli Ibrahim.
Manakala di bahagian Ketereh, tiga bekas anggota jawatankuasa Umno bahagian itu iaitu Hussin Mat, Abdul Manaf dan Pak Ku Mat juga meninggalkan perjuangan bersama Umno.
Ribuan penduduk tempatan tetap menghadiri ceramah berkenaan, biar pun padang agak basah ekoran hujan pada sebelah petangnya.
Hadir sama Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa, Ahmad Rusli, Ketua Penerangan PAS Negeri, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah, Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali, Saifuddin Nasution Ismail dan Yang Dipertua PAS Jeli, Haji Apandi Mohamad.

Saturday, June 23, 2007

Ustaz Fadzil Noor dalam kenangan

Saidah Hairan Sat Jun 23, 07 01:22:58 PM
KUALA LUMPUR, 23 Jun (Hrkh) - Peristiwa 23 Jun 2002 tetap bersemadi dalam memori seluruh umat Islam luar dan dalam negara kerana pada tarikh tersebut perginya idola tersayang, Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor.
Almarhum meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia akibat sakit jantung pada jam 10.30 pagi.
Almarhum menerima rawatan selepas melakukan pembedahan pintasan jantung pada 10 Jun 2002. Sebelum itu Alhamrhum dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu kerana mengadu sakit dada.
Pemergiannya ditangisi, jasa dan ketokohan Almarhum tiada tolok bandingnya.
Kini lima tahun sudah berlalu, namun memori bersama Almarhum tetap dalam berada dalam lipatan kenangan.
Setiausaha Agong PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar sentiasa mengenang jasa dan ketokohan Almarhum dan yakin seluruh ahli dan kepimpinan PAS turut merasainya.
Beliau yang dihubungi kagum dengan kehebatan dan kepintaran Almarhum memimpin parti dalam menghadapi pelbagai cabaran dari tahun 1990 hingga pertengahan 2002.
Katanya, kejayaan Almarhum memimpin PAS dalam suasana mencabar itu dan telah membawa kemenangan terbesar kepada PAS adalah satu fakta sejarah yang tidak dapat dinafikan.
Almarhum juga tambah beliau, dapat memberikan gambaran yang tepat berkenaan konsep kepimpinan Ulama dan ia tidak dapat ditandingi oleh tokoh lain.
Kamaruddin berharap ahli dan pimpinan PAS sentiasa memperingati dan mengkaji cara Almarhum memimpin parti selama berpuluh-puluh tahun dengan berbagai-bagai jawatan.
Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyifatkan Almarhum cukup `friendly' walaupun beliau seorang pimpinan tertinggi parti.
"Bagi ahli PAS banyak kenangan manis yang patut dicontohi. Almarhum mempunyai sifat `kebapaan' jika berjumpa muslimat tidak lupa bertanya hal suami," katanya.
Menurut beliau kepetahan Almarhum ketika berdebat dan berceramah memang tidak dinafikan, mudah-mudahan pimpinan PAS seterusnya dianugerahkan oleh Allah mempunyai sifat yang dimiliki oleh Almarhum.
Kepada kaum keluarganya kata beliau, seharusnya berusaha untuk menjejaki langkah meneruskan perjuangan Almarhum.
"Sama-samalah kita kirim al-Fatehah kepada roh Almarhum semoga kita yang akan mengikutinya dipilih oleh Allah termasuk dalam golongan orang yang soleh dengan kerana melaksanakan perjuangan ini kerana Allah," katanya.
Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berikrar untuk cuba bersungguh-sungguh melangsungkan hasarat dan cita-cita Almarhum mengaplikasikan pendeakatan perjuangan dan menjadikan PAS sebagai sebuah wadah perjuangan yang boleh diterima oleh masyarakat Malaysia.
Menurut beliau, Almarhum telah berjaya meletakkan diirnya bukan sekadar pimpinan PAS tetapi rakyat di luar sana.
Katanya, Almarhum merupakan seorang reformis yang memiliki keberanian untuk melakukan beberapa anjakan paradigma dalam menentukan pemikiran dan hala tuju perjuangan parti.
"Almarhum merupakan contoh ulama kontemporari yang sentiasa menjadikan pengetahuan sebagai asas dalam mendepani cabaran perjuangan," jelasnya. - mns

Lebih 500 sertai bantahan pengurniaan 'Sir' pada Salman Rushdie di Kuantan

Basiron Abdul Wahab Sat Jun 23, 07 12:31:58 PM
KUANTAN, 23 Jun (Hrkh) – Lebih 500 umat Islam berhimpun secara aman di perkarangan Masjid Al Fatah, selepas solat Jumaat, dekat sini membantah pengurniaan pingat ‘Knigh Bachelor’ (membawa gelaran Sir) kepada penulis novel ‘Surah Syaitan’ kelahiran India, Salman Rushdie.
Mereka meneriak slogan ‘jahanam...jahanam...jahanam Salman, Hidup Islam...Hidup Islam’ dan bertakbir sambil mengutuk kerajaan British yang mengurnikan darjah kebesaran kepada penghina Islam itu.
Berucap pada perhimpunan itu, Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Nasruddin Hasan mencabar kerajaan Malaysia mengutuk tindakan British yang menghancurkan hati umat Islam itu serta memanggil Duta British ke Kementerian Luar untuk memberi penjelasan di atas pengurniaan pingat kebesaran kepada penulis novel surah syaitan itu.
Salman Rusdie, 60, anak seorang Muslim dilahirkan di Bomby pada 19 June 1947 dan bersekolah di Gereja Jhon Conon kemudian di King Kolej, Cambridge. Pada tahun 1988 dia menulis novel ‘The Satanic Versus (surah Syaitan) yang menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Pada 14 Febuari 1989 pemimpin Rupblik Islam Iran, Ayotullah Khomieni mengeluarkan fatwa supaya Salman Rusdie dihukum bunuh, Sejak itu Salman tidak muncul di khalayak ramai dan bersembunyi di Britain.
Nasruddin berkata, beberapa pemimpin negara Islam lain seperti Indonesia dan Mesir telah pun menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan British itu tetapi kerajaan Malaysia sebagai pemimpin OIC hanya mendiamkan diri.
“Saya cabar kerajaan Malaysia menyatakan pendiriannya, panggil segera Duta Bistish untuk memberi penjelasan di atas tindakan biadab itu,” ujarnya.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut berucap pada perhimpunan itu meminta kerajaan Malaysia mengambil tindakan diplomatik dengan memanggil pulang dutanya di London serta mengarahkan Duta British di negara ini pulang ke negaranya.
Beliau juga mahu, seluruh umat Islam mengambil tindakan memboikot barangan keluaran British sebagai bantahan keras terhadap tindakan ‘biadap’ kerajaan British itu, yang disambut dengan laungan takbir daripada orang ramai.
Menurut beliau, keberanian musuh menghina Islam adalah berpunca daripada kelemahan Islam yang tidak berkuasa.
Katanya apabila Islam tidak berkuasa (tidak memerintah) inilah yang terjadi, musuh-musuh Islam bukan memperlekehkan Islam malah menghina Islam, penganutnya dan menghina Allah SWT.
Justeru katanya, Islam mesti didaulatkan, golongan Islam mesti diberi kuasa memerintah supaya agama ini dapat dipelihara kesuciannya daripada penghinaan musuh.
Perhimpunan berakhir dengan pembakaran semua poster dan gambar Salman Rushdie diiringi dengan lauangan takbir. - mns

Thursday, June 21, 2007

Sikap Pengerusi OIC tidak sensitif isu Hamas-Fatah dikesali

Azamin Amin Thu Jun 21, 07 02:53:56 PM
KUALA LUMPUR, 21 Jun (Hrkh) - Pengerusi Persidangan Negara-negara Islam (OIC), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dibidas kerana sikapnya yang menyokong usaha Presiden Palestin, Mahmoud Abbas daripada Fatah menubuhkan kerajaan darurat dan memecat Hamas dari kerajaan perpaduan Palestin.
AJK PAS Pusat, Ustaz Mujahid Rawa berkata sikap ini tidak menunjukkan betapa sensitif dan lemahnya Abdullah dalam memahami masalah yang di hadapi oleh Palestin sedangkan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Jimmy Carter yang berbeza pendapat turut mahu usaha mendamaikan kedua-dua pihak ini diteruskan.
Carter dipetik sebagai berkata bahawa Washington melakukan kesilapan dasar apabila menyokong kumpulan Fatah di Tebing Barat dan mengenakan sekatan bantuan ke atas Gaza dan tindakan tersebut lebih kepada usaha memecahbelahkan penduduk Palestin dan bukannya membawa kedamaian di rantau Asia Barat.
Carter menjadi Presiden AS pada 1977-1981 dan dipilih sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan pada 2002 kerana kerja-kerja kebajikannya dan pernah menjadi perantara perjanjian Kem David antara Israel dan Mesir pada 1978.Beliau merupakan pengkritik lantang terhadap dasar Presiden AS, George W. Bush di Asia Barat dan rantau Teluk.
"Abdullah secara tidak langsung memperkecilkan perjanjian Mekah - Taif yang mahu kedua-dua puak yang bertelagah mencari jalan perdamaian, malah kenyataannya memalukan," kata Mujahid ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Sewajarnya selaku Pengerusi OIC yang sepatutnya prihatin dengan masalah negara-negara Islam lebih berhati-hati memberi kenyataan menyokong sebelum memahami dan membuat kajian terhadap negara yang bermasalah itu seolah-olah mahu persengketaan dan perpecahan terus berlaku dibumi Palestin," katanya lagi.
Sokongan Abdullah ini katanya akan membuat umat Islam dunia seluruhnya merasa kesal dan bertambah curiga dengan kewibawaan seorang Pengerusi OIC yang tidak menampakkan usaha mencari jalan dan langkah penyelesaian kepada konflik yang berlaku di Palestin.
PAS katanya sentiasa menyokong usaha perdamaian yang dilakukan termasuk terhadap tuntutan Hamas yang mahukan Israel sudah menjajah Palestin semejak tahun 1967 berundur segera sebelum apa jua rundingan antara puak bertelagah diadakan.
Beliau turut kesal sehingga kini masih ada sebilangan besar anggota Fatah yang menjadi dalang kepada Amerika dan agen perpecahan serta pencetus sengketa di Palestin selama ini.
Minggu lepas Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dari Fatah telah memecat Hamas dari kerajaan perpaduan dan menubuh Kabinet baru di Tebing Barat selepas para pejuang Hamas menguasai Gaza.
Dalam usaha menyokong Mahmoud, AS dan Kesatuan Eropah pada Isnin lalu berjanji menarik balik sekatan 15 bulan yang dikenakan terhadap Palestin selepas Hamas memenangi pilihan raya dan sekatan itu dikenakan selepas Hamas menolak untuk mengiktiraf Israel serta enggan meletak senjata.
Walaupun demikian, Perdana Menteri yang disingkirkan, Ismail masih menganggap kerajaan perpaduan yang dipimpinnya sebelum ini merupakan kerajaan sah Palestin dan menuduh Mahmoud bersekongkol dengan komplot AS untuk menyingkirkan Hamas.
Fatah juga menolak permintaan Hamas untuk berdialog dan melarang semua bentuk perhubungan. - mks.

Sambutan kemerdekaan: PAS akan mengerakkan 'Kempen Selamatkan Malaysia'

Basiron Abdul Wahab Thu Jun 21, 07 03:07:18 PM
TEMERLOH, 21 (Hrkh) - PAS akan mempertingkatkan kesedaran rakyat terhadap isu Kemerdekaan melalui 'Kempen Selamatkan Malaysia' sepanjang bulan Ogos ini.
Setiausaha Penerangan PAS Pusat, Misbahul Munir Masduki berkata kempen selama sebulan sempena sambutan bulan kemerdekaan akan diadakah di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti termasuklah ceramah umum.
Katanya, jentera penerangan PAS di seluruh negara akan diarah mengadakan pelbagai bentuk kegiatan sesuai dengan program tersebut.
"Kita akan gerakkan jentera penerangan di semua peringkat untuk menjayakan kempen tersebut," katanya ketika ditemui di Pejabat Perhubungan PAS Pahang , dekat sini.
Misbah berkata, antara perkara yang akan disentuh di dalam kempen itu termasuklah isu membabitkan peranan para ulama dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara serta memperingati perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan yang nama mereka cuba dipadamkan oleh Umno daripada buku sejarah.
Katanya, mutakhir ini terdapat usaha bersungguh-sungguh daripada Umno untuk memadamkan nama tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan negara daripada buku-buku sejarah yang bukan dari kalangan Umno supaya generasi akan datang hanya mengenali tokoh-tokoh pejuang di kalangan ahli Umno sahaja.
Apa yang dilakukan Umno itu, dipercayai atas dorongan politik semata-mata tetapi kesannya akan menjadikan generasi muda 'buta' sejarah dan mereka hanya akan mengenali tokoh-tokoh Umno sahaja.
"Ia adalah suatu usaha jahat 'ala penjajah' yang mengubah sejarah untuk kepentingan politik mereka," ujarnya.
PAS, tegas Misbah akan memberi penjelasan kepada rakyat di seluruh negara berhubung isu tersebut melalui 'Kempen Selamatkan Malaysia'.
Selain itu jelas Misbah, pihaknya akan menganjurkan munaqasah ucapan dasar kepada anggota Dewan harian PAS kawasan-kawasan dalam masa tersekat.
Menurutnya lagi, jentera penerangan PAS di bawah Ketua Penerangan PAS yang baru,Mahfuz Omar akan dikemaskini sesuai dengan keperluan semasa.
Katanya antaranya termasuklah memperkemaskan unit-unit penerangan sedia ada seperti unit pengurusan isu, unit media, unit ceramah, latihan dan penerbitan. - mks

Wednesday, June 20, 2007

Syabas! Demonstrasi berjaya 'kejutkan' kabinet untuk perangi jenayah

Azamin Amin Thu Jun 21, 07 12:24:32 PM
KUALA LUMPUR, 21 Jun (Hrkh) - Tindakan 200 rakyat Johor mengadakan demostrasi di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman sebagai tanda tidak puas hati berikutan kegagalan polis menyelesaikan tiga kes samun dan rogol di negeri itu dipuji dan disambut baik.
Dengan tindakan demostrasi orang ramai tersebut, mampu 'mengejutkan' Kabinet Malaysia supaya bertindak lebih proaktif dalam memerangi jenayah yang semakin meningkat dalam negara.
AJK PAS Pusat, Ustaz Mujahid Rawa berkata kejadian yang berlaku merupakan tindak balas ataupun 'reflect' kepada jenayah yang berlaku di seluruh negara.
Beliau diminta mengulas kenyataan Kabinet memutuskan untuk mengerahkan tambahan 400 anggota polis ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor secepat mungkin bagi menangani masalah jenayah di negeri itu yang disifatkan serius sejak kebelakangan ini.
"Kabinet mesti melakukan tindakan komprehensif dan pelan drastik untuk semua negeri bukannya hanya 'isolated' ataupun kes terpilih sahaja," kata Mujahid ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Ini menunjukkan kelemahan kabinet yang sering bertindak bila berlaku kejadian yang kronik dan ada tekanan daripada rakyat bukannya atas inisiatif sendiri nak membanteras jenayah," katanya lagi.
Tindakan lambat kerajaan bukan sekadar berlegar kepada masalah jenayah dalam negara tetapi dilihat dalam semua aspek dalam kehidupana masyarakat dan pentadbiran negara seperti bertindak agresif apabila berlaku kejadian bangunan kerajaan bocor dan jalan raya rosak.
"Sepatutnya dari masa ke semasa, sentiasa ada perancangan tersusun daripada Kerajaan untuk memerangi jenayah termasuk soal ekonomi serta sosial," katanya lagi.
Bukan sahaja Johor, malah negeri lain seperti Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Sarawak turut mengalami peningkatan kadar jenayah yang mendadak, katanya.
Sarawak mencatatkan kadar jenayah kekerasan dan gangsterisme meningkat dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dan perkara ini telah dinyatakan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner II Tun Hisan Tun Hamzah April lalu.
Manakala pada bulan yang sama Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Mohd. Johari Baharom menyatakan kadar indeks jenayah membabitkan kes samun, penagihan dadah, perjudian dan gejala sosial di Wilayah Persekutuan mencatatkan peningkatan 40 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Katanya, tindakan demostrasi itu kerana penduduk Johor semakin gusar dengan keselamatan yang semakin mengancam berikutan kes jenayah yang banyak tidak dapat diselesaikan malah kejadian jenayah menjadi hingga dilaporkan satu kejadian rogol berlaku selang beberapa jam antara satu kes rogol yang lain.
Beliau juga turut kesal ada dakwaan yang mengatakan isu demonstrasi tersebut melibatkan perkauman memandangkan majoriti yang hadir membantah di hadapan rumah Menteri Besar Johor itu kebanyakannya penduduk dari keturunan Cina.
"Isu jenayah bukan perkauman, dan kejadian jenayah malah mangsa jenayah sendiri tidak mengenal bangsa atau latar belakang agama.
"Pihak-pihak yang berkenaan mesti terbuka dan melihat perkara ini sebagai isu nasional memandangkan keselamatan nyawa, harta dan maruah rakyat merupakan perkara sejagat bukan hanya tertumpu kepada kaum tertentu sahaja," katanya lagi.
Di samping itu, kabinet dan Polis Diraja Malaysia harus memandang serius masalah anggotanya yang tidak cukup sehingga dakwanya nisbah antara seorang anggota polis dengan penduduk di negara ini ialah sekitar 1: 2000 rakyat dan PDRM mestilah menggiatkan lagi usaha-usaha untuk merekrut anggota baru bagi menangani masalah yang meruncing ini.
Selain itu, PDRM juga disaran agar sentiasa memulihkan segera imejnya yang semakin tercalar dari masa ke masa sehinggakan menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan terhadap kewibawaan polis menjaga keselamatan negara dan orang awam dan ini terbukti apabila penduduk Johor terpakasa mengadakan demostrasi kerana kemungkinan kes-kes atau aduan mereka tidak dilayan 'sebaiknya' oleh PDRM.
Beliau yang tidak menyalahkan sepenuhnya kepada PDRM berikutan kadar jenayah yang meningkat tetapi memandang berat serta mengajak semua pihak sama ada daripada pihak parti pembangkang seperti PAS, Badan-badan bukan kerajaan dan rakyat mengembleng tenaga dan berkerjasama dalam menangani masalah jenayah yang kronik ini tanpa mengambil mengira latar belakang agama, bangsa dan ideologi politik masing-masing. - mks.

Isu Rushdie: Himpunan bantahan selepas solat Jumaat

Saidah Hairan Thu Jun 21, 07 12:41:52 PM
KUALA LUMPUR, 21 Jun (Hrkh) - Himpunan sejuta umat Islam bagi membantah keras anugerah 'Sir' kepada penulis buku `The Satanic Versus', Salman Rushdie terus diadakan untuk membuktikan bahawa umat Islam tidak boleh diperkotakkatikkan.
Himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat itu akan diadakan di hadapan Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak di sini selepas solat Jumaat esok (22 Jun). Peserta kemudiannya akan berarak ke kedutaan AS.
Selain membantah keras anugerah Sir kepada Rushdie, himpunan itu turut mengutuk campurtangan Barat terhadap konflik di Palestin.
Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembela Islam, Ustaz Ridwan Mohd Nor merayu umat Islam seluruh negara turun menyertai bantahan esok.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, pimpinan tertinggi PAS, pimpinan NGO Islam serta mahasiswa akan turut bersama dalam himpunan itu. - lanh

Tuesday, June 19, 2007

Kerajaan Malaysia iktiraf Salman Rushdie?

Anis Nazri Wed Jun 20, 07 11:22:32 AM
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - Ketika umat Islam di negara ini masih terluka dengan tindakan kerajaan Britain memberikan pengiktirafan dan Darjah Kesatria yang membawa gelaran 'Sir' kepada Salman Rushdie, yang pernah menghina Islam, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein yang pernah menjulang keris Sangsaka bangsa sebagai amaran kepada orang bukan Melayu agar tidak mencabar UMNO dalam isu hak keistimewaan Melayu, mampu bergelak ketawa dengan pihak yang mengiktiraf Salman.
Kini, Hishamudin hanya mampu menjulangkan pisau dan garfu sahaja di hadapan Pesuruhjaya Tinggi British yang mengiktiraf Salman yang menghina umat Islam, melalui bukunya 'The Satanic Verse'.
Jelas semangat Tok Janggut, Datuk Bahaman, Tok Gajah, dan Datuk Maharaja Lela yang bangkit menentang British kerana mempertahankan tanahair dan akidah Islam, tidak diwarisi oleh pemimpin UMNO kini. Mereka terlalu lemah dan mudah dijentik telinga bila berhadapan dengan Kuasa-kuasa besar dari Barat.
Tindakan beliau mewakili kerajaan pada majlis sambutan ulangtahun Ratu Elizabeth II, di kediaman Pesuruhjaya Tinggi British, semalam amat dikesali, apatah lagi tanpa sedikit pun membangkitkan isu 'Salman The Devil' sebagai menzahirkan rasa tidak puas hati umat Islam di Malaysia yang terhina dengan pengiktirafan itu.
"Seharusnya kerajaan memboikot majlis ini dan menghantar surat bantahan serta membawa isu ini ke parlimen, namun apa yang kita harapkan adalah sebaliknya.
Mereka turut sama meraikan ulang tahun hari jadi Ratu Elizabeth II, yang mengiktiraf peranan Salman dalam memperlekehkan Islam.
Dengan kehadiran Hishamuddin ke majlis ini juga secara tidak langsung BN juga mengiktiraf tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan British," tegas Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah, Herman Samsudeen, dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.
Atas nama diplomasi dan ahli KOMANWEL, kononnya, Hishamuddin tidak menggunakan peluang dan ruang ini untuk berbicara dengan kerajaan British berkenaan perkara ini.
Seharusnya, pada usia 50 tahun kemerdekaan, Herman berkata negara ini sudah mampu berdiri sendiri dan tidak lagi tunduk pada tekanan kuasa-kuasa besar barat seperti Britain.
Negara kita katanya, perlu ada pendirian yang kukuh dan martabat negara harus terus dijaga tanpa mengkesampingkan akidah dan maruah umat Islam.
Oleh itu, Pemuda PAS Wilayah mengesa agar Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, selaku Pengerusi OIC mengambil tindakan yang serius dalam hal ini dan menegur tindakan Kerajaan Britain.
"Inilah masanya pemimpin Umno membuktikan bahawa mereka berani ke depan untuk memberikan tekanan agar Kerajaan British menarik semula pengiktirafan yang diberikan pada Salman. Inilah masanya untuk mereka membuktikan perjuangan mereka terhadap masa depan Islam," tegas beliau lagi.
Dalam masa sama, Pemuda PAS Wilayah mengajak kepada pemimpin politik yang cintakan kedamaian dan NGO-NGO lain seperti Prowaris, Abim, Jim, Teras, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan sebagainya tampil ke hadapan untuk membuat bantahan dan kecaman terhadap tindakan biadap kerajaan Britain ini. - mr

Gaji minimum, Najib perlu jawab secara rasmi - MTUC

Intan Abdullah Wed Jun 20, 07 01:16:29 PM
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC), Syed Syahir Syed Mohamud, meminta kepada kerajaan agar memberikan maklum balas secara rasmi kepada MTUC berhubung isu permohonan gaji minimum pekerja sektor swasta.
Hari ini dalam akhbar arus perdana, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak meminta MTUC sebagai badan induk yang menaungi lapan juta pekerja sektor swasta di negara ini, supaya tidak mengadakan piket berhubung permohonan gaji minimum.
"Tidak cukup sekadar respon dalam akhbar, sebab itu secara tidak rasmi. Apa salahnya, hantar surat secara rasmi kerana dia (Najib) mempunyai ramai kakitangan yang boleh melakukannya," katanya selepas dihubungi oleh Harakahdaily pagi ini.
Ketika ditanya mengenai respon jika kerajaan memberikan maklum balas seperti yang diharapkan, Syed Husin berkata beliau akan membawa hal ini kepada Jawatankuasa Tertinggi MTUC.
Menurutnya, pihak MTUC telah mengemukakan permohonan secara rasmi dan mereka mengharapkan respon dari pihak kerajaan dalam bentuk yang sama iaitu bukan sekadar respon pada akhbar semata-mata.
"Setakat ini, kami tidak akan mengubah sebarang keputusan serta apa yang telah dirancangkan dan ditetapkan sebelum ini," tambahnya dengan panjang lebar lagi.
Najib ketika mengulas isu tersebut sebagai berkata, "terdapat banyak akibat timbul dengan gaji minimum tetapi terdapat amalan yang dilakukan oleh industri misalnya industri memutuskan tahap gaji yang boleh diterima tetapi kita masih belum menerima pakai dasar gaji minimum di negara ini," katanya.
Semalam, MTUC menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta kerajaan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi gaji minimum ditetapkan sebanyak RM900 dan tambahan RM300 sebagai Elaun Saraan Hidup (Cola) kepada pekerja sektor swasta.
Memorandum tersebut disampaikan kepada Setiausaha Sulit kanan Perdana Menteri, Ahmad Yacob.
Permintaan MTUC berhubung gaji minimum itu sudah berlarutan sejak lapan tahun lagi, ekoran itu jika tidak ada maklum balas daripada kerajaan mereka akan mengadakan piket peringkat kebangsaan yang melibatkan sembilan lokasi di seluruh negara.
MTUC memberikan tempoh seminggu kepada kerajaan dan akan mengadakan piket di beberapa tempat di negara ini jika kerajaan tidak memberikan maklum balas yang positif terhadap permohonannya.
Mereka bercadang mengadakan piket serentak di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Bangi, Shah Alam, Klang, Johor, Kuching, dan Pulau Pinang pada Isnin mulai pukul 5 hingga 6 petang. - mks.

Gelaran'Sir' kepada Salman Rushide: Sepatutnya Malaysia negara pertama mengutuk

Johari Jaafar Tue Jun 19, 07 10:56:33 AM
IPOH, 19 Jun (Hrkh) - "Sepatutnya Malaysia negara pertama yang mengutuk keputusan Britain untuk menganugerahkan gelaran 'Sir' kepada Salman Rushidie, bukannya Iran kerana Perdana Menteri Malaysia adalah Pengerusi Pertubuhan Negara- Negara Islam".
Demikian ditegaskan oleh Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Misbahul Munir Haji Masduki, yang diminta mengulas tindakan Iran yang membantah pemberian anugerah 'Sir' oleh Britain kepada penulis buku 'Surah-Surah Syaitan'.
Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri yang sentiasa 'mendendangkan lagu Islam hadhari' sewajarnya menjadi pelopor mengutuk keputusan Britain untuk memberikan pengiktirafan kepada penulis novel `Surah-Surah Syaitan' itu.
"Walau bagaimanapun kita mengucapkan syabas kepada Iran yang mengutuk keputusan Britain itu, malah kita mahu seluruh negara Islam turut sama mengutuk tindakan tersebut," katanya.
Ekoran tindakan Salman menulis buku tersebut beliau terpaksa hidup dalam persembunyian selama sepuluh tahun selepas Ayatullah Khomeini mengerluarkan kenyataan kepada mana-mana orang yang dapat membunuh Sallman diberikan ganjaran yang mahal.
Menurut Misbahul, Britain sengaja mahu mencetuskan kembali kemarahan umat Islam apabila berhasrat menganugerahkan gelaran `Sir' kepada Salman Rushdie..
"Apa jasa yang dibuat oleh Salman hinggakan Britian mahu memberikan penghormatan setinggi itu, tidak ada jasa yang dibuatnya melainkan menghina Islam dan Al-Quran.
"Sekiranya Britain masih mahu juga memberikan pengiktirafan itu bermakna negara itu turut bersekongkol dengan Salman menghina Islam, ini satu tindakan yang tidak boleh dimaafkan oleh umat Islam," tegasnya.
Britain tidak sepatutnya memberikan penghormatan kepada Salman yang ternyata telah menghina al-Quran dan Islam kerana tindakan memberikan anugerah itu samalah dengan menghina al-Quran dan Agama Islam , jelasnya.
"Apakah Britain mahu memjadi pembela kepada orang yang telah menghina Islam?," tanya beliau. Beliau menyeru seluruh umat Islam mengutuk tindakan Britain untuk memberikan anugerah kepada Salman Rushdie itu. - mns

Kesal TV3 belanja RM7 juta untuk galakkan hedoisme

Azamin Amin Tue Jun 19, 07 12:35:37 PM
KUALA LUMPUR, 19 Jun (Hrkh) - Tindakan TV3 yang sanggup membelanjakan RM7 juta untuk sebuah program pertandingan nyanyian berkumpulan baru-baru ini amat dikesali dan didakwa mencambahkan budaya hedoisme yang semakin parah di kalangan remaja di negara ini.
AJK PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad berkata hiburan melampau atau hedoisme yang lahir daripada program-program realiti TV semakin tidak terkawal dan mengakibatkan kesan yang huruk kepada akhlak dan fikrah remaja yang secara langsung mendatang kesan sosial yang kronik kepada negara.
"Adalah lebih mulia dan baik bagi media seperti TV3 menyumbangkan jutaan ringgit itu kepada mereka yang memerlukan daripada menggalakkan masyarakat lalai dan khayal dengan hiburan supaya lari daripada menghayati realti kehidupan yang sebenar," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Seiring dengan rancangan Bersamamu yang mengalakkan rakyat dan penonton menderma kepada yang susah, Tv3 sepatutnya menjadi contoh terlebih dahulu dan melakukan perkara yang sama,bukannya mementingkan nilai komersial semata-mata yang ada antaranya merosakkan fikrah remaja" katanya lagi.
Tambahnya lagi, jika sebuah rumah kos rendah boleh dibina dengan jumlah RM30,000, dengan jumlah RM7 juta tersebut sudah pasti dapat menyelamatkan ribuan rakyat yang hidup susah, merempat dan tiada tempat berteduh akibat daripada bencana alam, kemalangan ataupun disebabkan oleh kemiskinan.
Kos tersebut juga dapat menampung yuran persekolahan dan pendidikan bakal pemimpin masa hadapan seperti anak-anak yatim dan anak-anak keluarga miskin yang semakin membebankan sehingga menyebabkan mereka kandas dalam pelajaran dan tidak dapat meneruskan pengajian mereka.
Beliau diminta mengulas laporan bahawa rancangan Gang Starz terbitan TV3 yang menelan kos penganjuran dan penerbitan terbesar berjumlah RM7 juta dan turut menyediakan hadiah wang tunai paling lumayan dalam sejarah penganjuran pertandingan nyanyian di negara ini iaitu AS$100,000 (RM343,985) untuk juaranya.
Malah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Dato' Farid Ridzuan dilaporkan memberi jaminan akan mengadakan rancangan dengan 'lebih hebat' pada masa akan datang.
“Insya-Allah kami akan menganjurkan Gang Starz yang lebih besar pada tahun depan,” katanya dalam satu sidang akhbar.
Kata Idris,program dan rancangan hiburan seperti ini secara sedikit demi sedikit telah menerapkan nilai-nilai yang rosak kepada pemikiran remaja yang mengakibatkan mereka lalai kepada pelajaran dan malas untuk meneruskan pendidikan.
"Remaja akan berpendapat bahawa bakat lebih penting daripada ilmu pendidikan kerana program dan rancangan hiburan telah 'mengajar' mereka menjadi sebegitu rupa,yang ahirnya mengabaikan pelajaran dan menggalakkan ponteng sekolah" katanya lagi.
Selain itu dakwanya, budaya hedoisme ini dianggap sebagai salah satu agenda kerajaan dengan kerjasama media untuk mematikan kesedaran politik di kalangan masyarakat khususnya para remaja supaya lupa dan tidak sensitf kepada masalah yang berlaku dalam negara seperti gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa, kadar jenayah yang meningkat dan masalah beban kos sara hidup yang semakin tinggi dari masa ke semasa.
"Macam di Indonesia sewaktu era Suharto, rakyatnya digula-gulakan dengan hiburan melampau supaya lupa realiti bahawa mereka terpaksa tidur di dalam kotak-kotak dan kaki lima," katanya
Jika tidak dibendung dengan segera kata Idris akan memberi implikasi yang besar dan kesan buruk akan dilihat dalam jangka masa 50 tahun akan datang.
"Akan lahirlah generasi muda yang kosong pengisian ilmu dari sudut mental dan spiritual mereka, bila terlalu lalai dan seronok dengan hiburan yang disogokkan," katanya lagi.
Isu hiburan melampau ini juga pernah diulas oleh Mufti Negeri Perak, Dato' Seri Dr Hj Harussani di dalam laman web Jabatan Agama Islam Perak dua tahun lalu yang menyatakan bahawa umat Islam kini menghadapi krisis akidah yang sangat membimbangkan dan pengaruh hedoisme, merupakan masalah utama yang melanda remaja masa kini seperti leka asyik memuja artis @ idola mereka.
Harussani sebelum ini juga pernah mengeluarkan fatwa bahawa konsert 'Jom Heboh' anjuran Media Prima Berhad sebagai haram di sisi agama. - mks.

Islam Hadhari - Najib hidang kugiran 'ala pop yeh-yeh' untuk imam-imam seluruh negara

Intan Abdullah Tue Jun 19, 07 12:30:17 PM
Eksklusif! [Video] BANGI, 19 Jun (Hrkh) - Pada 11 hingga 15 Jun yang lalu, berlangsung satu program Muzakarah imam-imam 2007 yang telah berjaya menghimpunkan kira-kira empat ribu orang imam daripada seluruh negara bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM).
Menariknya, program lima hari empat malam ini adalah anjuran Sekretariat Islam Hadhari, Jabatan Perdana Menteri(JPM) dengan kerjasama pelbagai kementerian serta agensi kerajaan dan swasta yang mana Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Pusat adalah daripada Sekretariat Islam Hadhari JPM, dan AJK Universiti adalah terdiri dari kakitangan Jabatan Hal Ehwal Pelajar(HEP) Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dan lebih 100 orang sukarelawan daripada kalangan pelajar yang berusia 14 hingga 17 tahun, sebahagian besarnya datang daripada Umno Bahagian Klang yang memakai baju BN-Ijok dan juga baju Umno.
Pada keseluruhannya, program tersebut dilihat bertujuan menyuntik ideologi Islam Hadhari ciptaan Pak Lah dalam usaha membentuk pemikiran para peserta berkenaan kepentingan dan keistimewaan Islam Hadhari di samping memberikan "kemewahan" kepada semua imam seluruh Malaysia yang selama ini hidup dengan gaji yang kecil serta elaun yang tidak mencukupi.
Selain itu, terdapat pembentangan kertas kerja biasa dan terdapat juga program-program yang dilihat seperti menyebarkan propaganda Islam Hadhari, manakala di sekitar Dectar, adanya pameran Hadhari, iaitu daripada Jabatan Agama Negeri Masing-masing dan gerai-gerai jualan biasa.
Berdasarkan komen peserta, ramai yang kecewa dengan pengurusan program yang kelihatan sangat tidak teratur. Ini kerana terdapat ramai peserta yang tertinggal bas untuk hadir ke tempat program, kuantiti makanan yang tidak mencukupi dan tidak kurang juga ada yang sesat di dalam kawasan UKM, yang menyebabkan timbulnya perasaan tidak puas hati dan rungutan di kalangan peserta.
Namun begitu, masalah yang sepatutnya tidak berlaku dalam satu program besar anjuran kerajaan yang dinaungi sendiri oleh Perdana Menteri(PM) ialah makanan.
Justeru, apa yang berlaku pada pagi hari Rabu, 13 Jun para peserta mula memberontak kerana makanan yang tidak mencukupi dan dilaporkan, ada di kalangan peserta yang terpaksa keluar sendiri daripada UKM untuk membeli makanan kerana telah empat kali mereka tidak mendapat makanan yang disediakan bahkan kelakuan para Imam juga gagal menunjukkan contoh yang baik dan amat memalukan apabila mereka berebut-rebut ketika mengambil makanan.
Lebih memburukkan lagi keadaan, mereka juga telah dihidangkan dengan nasi yang telah basi sehingga menyebabkan ada peserta yang mengadu mengalami sakit perut.
Masalah pengurusan makanan yang sangat teruk ini menatijahkan tindakan peserta kerana sudah sangat tidak tahan dengan keadaan program sehinggakan mereka bertanya pada ketika yang tidak sesuai persoalan tersebut dibangkitkan pada sesi pembentangan kertas kerja bertajuk 'Masjid sebagai Sumber Kekuatan Umat Memperkenalkan konsep Amalan Masjid Terbaik' yang dibentangkan oleh Ketua Jabatan Pendidikan Matematik dan Sains Universiti Malaya, Prof Dr Nik Azis Nik Pa.
Peserta dihidangkan kugiran di kediaman Najib
Dalam pada itu, melalui soal-jawab dengan peserta, ramai yang sedar bahawa program ini dibuat adalah semata-mata untuk memenangi hati para imam, dan ia menunjukkan bahawa pilihan raya umum telah semakin hampir.
Sewaktu malamnya, para imam ini dipisahkan mengikut negeri masing-masing bagi sesi pertemuan dan majlis makan malam bersama pimpinan negeri masing-masing seperti negeri Pahang dengan Dato' Jamaluddin Jarjis di sebuah hotel, Johor di Masjid Wilayah bersama Dato' Abd Ghani Othman, Negeri Sembilan dengan Dato' Rais Yatim di hotel, Sabah dengan Dato' Shafie Apdal di Kementeriannya dan lain-lain lagi.
Urusetia pusat juga berlagak seperti goloangan orang terhormat, bahkan ada urusetia yang memanggil peserta (imam) dengan panggilan "bengap".
Sementara itu, apabila ditanya tentang status urusetia daripada kalangan remaja pihak urusetia pusat mengatakan bahawa mereka adalah rombongan pelajar sekolah walhal mereka memakai tag nama urusetia.
Pada majlis penutup program muzakarah yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak di kediaman rasmi beliau di Putrajaya, para peserta disajikan dengan persembahan kugiran dan artis-artis nasyid tempatan yang terdiri daripada kumpulan Rabbani, Hijjaz, A Rahman Hasan.
Namun, apa yang menyedihkan ialah aktiviti santai tersebut telah dicemari apabila ia tetap diteruskan apabila azan sedang jelas berkumandang.
Para imam yang kelihatan seronok dan sebahagian daripada mereka bertepuk tangan semasa permulaan kugiran tanpa menyedari akan insiden yang sepatutnya disedari oleh para imam yang menjalankan tugas mereka secara asasi di masjid.
Walau bagaimanapun, apa yang penting, Najib telah berjaya menyuntik pemikiran para Imam ini dengan ideologi dan fahaman Islam Hadhari ciptaan Pak Lah dan beliau juga menyatakan harapan agar mereka dapat menjadi jentera kerajaan bagi menerangkan kepada masyarakat tentang hasrat kerajaan yang sebenarnya. - mks.
Video Kugiran1, Kugiran2Video ini mengunakan format RealPlayer. Untuk melihat sila muatturun di sin

Monday, June 18, 2007

Kes Altantuya dapat sambutan hangat wartawan, pemerhati dan orang awam

Wan Nordin dan Intan Abdullah Mon Jun 18, 07 05:10:07 PM
SHAH ALAM, 18 Jun (Hrkh) - Perbicaraan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang disambung hari ini setelah tertangguh pada 4 Jun lalu mendapat sambutan hangat dari pelbagai pihak.
Seawal jam 6.30 pagi lagi, para wartawan telah bersiap sedia menanti di perkarangan mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mengikuti perbicaraan kes berprofil tinggi yang dikaitkan dengan seorang Penganalisis Politik terkemuka, Abdul Razak Baginda.
Kereta-kereta memenuhi kawasan 'parking' kereta di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam, termasuk di tepi-tepi jalan raya yang turut dipenuhi kenderaan media dari dalam dan luar negara serta pemerhati luar yang membuat liputan kes besar yang telah mencuri tumpuan mereka.
Masing-masing bersiap sedia dengan kamera dan buku catatan bagi mendapatkan maklumat perbicaraan dan gambar Abdul Razak Baginda serta mereka yang terlibat dengan kes tersebut.
Mereka terpaksa bersesak-sesak menanti di tangga dan koridor mahkamah yang telahpun dipenuhi dengan pihak polis dan pegawai-pegawai mahkamah yang bertugas selain ahli keluarga Abdul Razak dan Altantuya.
Setiap kali pintu kamar bilik perbicaraan mahkamah tersebut dibuka, maka serentak dengan itu, para jurugambar menghalakan lensa kamera mereka dan begemerlapankan 'flash' kamera di hadapan pintu kamar. Tidak kiralah yang keluar itu ada kaitan atau tidak dalam kes Altantuya, semuanya menjadi tumpuan rakaman kamera jurugambar maka serentak itulah para wartawan juga menyerbu siapa sahaja yang keluar.
Para wartawan dan jurugambar yang menanti kelibat Abdul Razak di hadapan pintu bilik perbicaraan kecewa kerana tidak dapat menjejakinya setelah Abdul Razak berjaya dibawa keluar oleh pihak berkuasa penjara melalui pintu laluan hakim.
Beberapa lensa kamera yang cekap sempat merakam kelibat Abdul Razak yang dibawa masuk dan keluar melalui pintu belakang Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan kawalan ketat oleh pihak polis dan penjara.
Dalam keadaan kelam kabut itu, beberapa anggota polis yang kelihatan berang dengan keadaan, mengarahkan jurugambar berundur ke belakang jauh dari kawasan kamar perbicaraan.
Kedengaran beberapa orang jurugambar menjawab sinis arahan yang dibuat oleh anggota polis, kerana bagi mereka yang penting lensa kamera mereka mampu mendapatkan gambar tertuduh, peguam-peguam dan keluarga yang terbabit dengan kes pembunuhan tersebut.
Penulis dan rakan sendiri cuba sedaya upaya bagi mendapatkan seberapa banyak maklumat dari setiap peguam mahupun mereka yang keluar dari kamar perbicaraan.
Di dalam kamar, tempat duduk telah penuh sejak awal pagi lagi sementara suasana agak terkawal dengan perbicaraan dijalankan dalam nada suara yang agak perlahan.
Seketika selepas itu Abdul Razak yang kelihatan bergari memakai baju kemeja panjang bewarna biru berseluar hitam digari bersekali dengan dua lagi tertuduh dan dibawa oleh lebih 10 pegawai penjara dan polis yang mengawal pergerakan tertuduh dengan baik.
Kesempatan beberapa minit ketika Abdul Razak melangkah masuk ke kawasan belakang pintu pesalah mahkamah itu dapat diintai oleh lensa kamera jurugambar yang datang dari dalam dan luar negara bagi membuat liputan kes tersebut.
Pada jam 12.15 tengah hari, keluarga dan penyokong Razak Baginda beserta beberapa orang ahli keluarganya kelihatan keluar dengan menaiki lif dengan memakai t-shirt putih Razak Baginda's Brothers.
Sejurus selepas itu, keluarga Altantuya, serta Peguam Pemerhati bagi keluarga Altantuya, Karpal Singh yang keluar dari pintu bilik perbicaraan diserbu oleh pihak media bagi mendapatkan perkembangan terbaru perbicaraan kes Altantuya.
Abdul Razak yang dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dituduh terbabit dalam mengarahkan pembunuhan Altantuya bersama dua lagi tertuduh Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Korporal Sirul Azhar Umar, 35.
Spekulasi demi spekulasi dikeluarkan oleh pihak tertentu yang menyatakan bahawa kes ini ada kaitan dengan nama besar dalam politik tanah air hingga bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pernah mencabar Najib menafikan kaitan beliau dengan kes ini.
Ada sumber yang menyatakan bahawa Abdul Razak atau salah seorang tertuduh akan digugurkan pertuduhan ke atasnya, bagaimanapun sehingga kini belum ada lagi tertuduh yang digugurkan kesnya.
Dalam kes ini, Abdul Razak, dituduh bersubahat dengan dua anggota polis Unit Tindakan Khas Bukit Aman, Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Kpl Sirul Azhar Umar, 35, di tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini antara jam 9.54 pagi dan 11.O5 pagi pada 18 Oktober tahun lalu untuk membunuh Altantuya.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun yang sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Korporal Sirul Azhar Umar, 35, dituduh membunuh Altantuya di satu kawasan di Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt.

Akibat 'keras kepala', KL banjir teruk!

Nyza Ayob Mon Jun 18, 07 05:48:32 PM
KUALA LUMPUR, 18 Jun (Hrkh) - Nampaknya, bukan sahaja terowong Smart yang dipersalahkan, tetapi sikap keras kepala pihak berkuasa yang dikatakan sebagai menyebabkan banjir tempohari.
Sebelum ini, pelbagai pihak menuding jari pada terowong Smart apabila Kuala Lumpur dilanda banjir yang teruk pada 10 Jun lalu.
Tetapi, lain pula dengan pandangan seorang pakar dalam pengurusan sungai dan air, iaitu James Dawos bahawa banjir tempohari boleh dielakkan jika pihak berkuasa mengunapakai Manual Saliran Mesra Alam (Masma).
Menurutnya, Masma jika dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan, dikatakan dapat mencegah banjir kilat seperti yang melanda ibu negara pada 10 Jun lepas.
Beliau sebagaimana dilaporkan Bernama menyifatkan banjir tersebut sebagai kesan daripada keengganan pihak berkuasa tempatan melaksanakan manual tersebut.
Bagaimanapun katanya, tidak ada majlis tempatan yang mahu menerima manual perparitan bandar "Prosedur Perancangan dan Reka Bentuk No.1: Piawaian Reka bentuk Perparitan Bandar untuk Semenanjung Malaysia" yang diluluskan kabinet pada 2001 itu.
Manual tersebut menyediakan garis panduan dan keperluan untuk semua pengawal, perancang dan jurutera mengenai sistem rekaan perparitan dalam sebarang pembangunan di kawasan bandar.
Jelas James Dawos lagi, konsep tersebut berjaya dilaksanakan di banyak negara membangun seperti Jepun dan ia sangat mesra alam sekitar. Di samping itu objektif manual ini ialah memastikan keselamatan awam, melindungi hartanah, mengawal banjir dan mengstabilkan bentuk tanah.
Dalam laporan sebelum ini, AJK PAS Pusat yang juga Adun Anak Bukit, Kedah, Amirudin Hamzah berpendapat, infrastruktur seperti Terowong SMART adalah perkara yang terpaksa dibuat apabila pengurusan perancangan di peringkat 'upstream' tidak dirancang dengan baik.
Jelasnya bagi memastikan banjir tidak berlaku, tanah tinggi, kawasan bukit serta tanah hutan di sekitar Lembah Klang mesti dikekalkan kerana ia berfungsi untuk menyerap air hujan yang turun, terutamanya ketika hujan lebat.
Amirudin yang juga seorang jururtera menyatakan, sesetengah tempat yang dibangunkan tidak mengikut syarat yang ditetapkan seperti tidak ada kolam takungan, yang akan menyebabkan semua air hujan serta air daripada parit akan penuh.
Sehubungan itu beliau mendesak Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, menimbang semula kepesatan pembangunan di pusat bandar yang sekaligus boleh menyebabkan keselamatan rakyat terancam. Justeru katanya, rancangan tebatan banjir diperlukan, bagi mengatasi masalah banjir kilat di ibu kota.
Dalam pada itu Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Dato' Ir. Keizrul Abdullah, Amirudin berpendapat terowong banjir SMART sepanjang 9.7 kilometer tidak akan menyelesaikan masalah banjir kerana hanya sebahagian sahaja kawasan yang terlibat serta terowong dwifungsi bernilai RM1.9 bilion itu memerlukan komponen-komponen lain bagi menyokong fungsinya mengelakkan banjir di ibu kota.
Pada 10 Jun lalu, Kuala Lumpur dilanda banjir kilat.Antara kawasan paling teruk dilanda banjir termasuklah Jalan Masjid India, Jalan Ipoh dan Kampung Baru, Kampung Chubadak dan Sentul. Dataran Merdeka, yang meliputi kompleks bangunan Sultan Abdul Samad ditenggelami sehingga ke paras pinggang. Banjir kilat ini dipercayai kerana kegagalan sistem peparitan dan sistem alihan yang gagal berfungsi.
Sehari selepas banjir tersebut, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan semua projek tebatan banjir di ibu kota diberi keutamaan dan dipercepatkan bagi mencegah berlakunya banjir kilat lagi.
Abdullah juga mahukan projek lencongan aliran sungai ke kolam takungan termasuk melalui Smart dan pelebaran membabitkan Sungai Klang, Sungai Gombak dan Sungai Kerayong oleh JPS serta DBKL, disiapkan lebih cepat daripada yang dijadualkan. - mks.

Hormati prinsip dan undang-undang Islam - Teras

Anis Nazri Mon Jun 18, 07 06:11:26 PM
KUALA LUMPUR, 18 Jun (Hrkh) - Semua pihak, khususnya golongan bukan Islam perlu menjadikan kes Lina Joy sebagai rujukan, yang jelas menyatakan bahawa setiap perkara berkaitan agama Islam perlu dirujuk di bawah undang-undang Islam.
Sepertimana yang diputuskan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy, akhir Jun lalu, yang menjelaskan mana-mana perkara berkaitan agama Islam dengan tidak melalui undang-undang Islam, ia nyata bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Malaysia.
Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid, berkata mereka juga perlu menghormati prinsip dan undang-undang agama lain, khususnya Islam yang mempunyai tafsiran berbeza berkenaan kebebasan beragama apabila seseorang itu memeluk agama Islam.
"Prinsip dan undang-undang itu perlu difahami dan dihormati oleh semua pihak dan tidak menjadikannya isu hak asasi kerana Islam mempunyai prinsip berbeza mengenainya," jelas beliau kepada Harakahdaily, hari ini bagi mengulas hasrat sekumpulan NGO yang ingin mengadakan perhimpunan secara aman sebagai tanda prihatin mereka terhadap kes yang melanda Revathi dan wanita-wanita lain yang tidak diberikan hak dalam memilih agama kepercayaan mereka.
Kumpulan yang terdiri daripada Lembaga Konsultatif Buddha, Hindu, Kristian, Sikh dan Tao serta badan-badan yang memperjuangkan hak wanita seperti Persatuan Tindakan Wanita (AWAM), Sisters in Islam (SIS), Organisasi Bantuan Wanita (WAO), Pusat Perubahan Wanita Pulau Pinang (WCC) dan Kolektif Pembangunan Wanita (WDC) berhasrat ingin berhimpun di Dataran Merdeka dengan cara menyalakan lilin.
Mengulas lanjut isu Revathi itu, Azmi menegaskan bahawa apa saja yang berkaitan dengan agama Islam, sama ada pihak yang mahu keluar daripada Islam atau sebaliknya, perlu menggunakan undang-undang syariah dan tidak boleh dipersoalkan.
Sementara itu, akhbar alternatif online, Malaysia-today melaporkan Revathi kini ditempatkan di sebuah pusat pemulihan akhlak yang dikendalikan pihak penguatkuasa Agama Islam sejak Januari lalu kerana memohon untuk menukar status keagamaannya sebagai penganut agama Hindu bukannya Islam.
Ibu kandung Revathi merupakan seorang mualaf yang memasuki agama Islam sebelum beliau dilahirkan.
Revathi mendakwa beliau dibesarkan oleh neneknya sebagai seorang Hindu. Beliau juga berkahwin dengan Suresh pada Mac 2004 dalam upacara berdasarkan kepercayaan Hindu.
Dalam permohonannya kepada Jabatan Agama Melaka, Revathi telah dinasihati supaya merujuk kepada mahkamah bagi menukar status agamanya.
Mahkamah Syariah berkeputusan bahawa Revathi dibawa ke pusat pemulihan di Ulu Yam, Selangor selama 100 hari. Keputusan tersebut dibuat berdasarkan kepada undang-undang jenayah syariah.
Azmi juga menegaskan biarpun perhimpunan itu merupakan salah satu saluran mereka dalam kebebasan berhimpun dan bersuara, ia tetap dibimbangi kerana ia dilihat seolah-olah bertujuan memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya tunduk dengan kehendak mereka. - mks.

Harga minyak turun jika BA diberi mandat

Zaili Muhammad Mon Jun 18, 07 03:30:55 PM
BUKIT KATIL, 18 Jun (Hrkh) - Seandainya diberi mandat dalam pilihan raya umum akan datang oleh rakyat, Barisan Alternatif (BA) akan memastikan antara perkara utama yang dilakukan dalam memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara adalah dengan menurunkan harga minyak.
Kebajikan dan keselesaan rakyat di dalam sesebuah negara adalah menjadi tanggungjawab utama pemerintah yang peka dan dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi.
Menurut Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad semasa ditemui Harakahdaily, bahawa sepatutnya yang berlaku ialah kerajaan menjadi kuli kepada rakyat sebab rakyat yang memilih mereka.
"Akan tetapi sebaliknya yang berlaku pula sebagaimana kita lihat, selepas memenangi pilihan raya Umno dan Barisan Nasional menindas dan menzalimi rakyat dengan pelbagai tekanan serta menjadikan rakyat seperti kuli.
"Ini adalah kerana mereka beranggapan rakyat Malaysia mudah diperdayakan pada setiap kali pilihan raya dan mereka juga yakin boleh memenanginya melalui pelbagai helah dengan dibantu Suruhanjaya Pilihan Raya," kata beliau.
Ustaz Idris selanjutnya menerangkan perbezaan Kerajaan Kelantan yang diperintah oleh PAS dalam usaha membantu rakyat dan memberi kebajikan serta keselesaan kepada mereka.
"Di Kelantan kita memperkenalkan 'Takaful Kifalah' yang diberi kepada semua rakyat negeri tanpa mengambil kira perbezaan agama atau bangsa mahupun fahaman politik.
"Kerajaan negeri juga bersetuju dengan cadangan Kerajaan Pusat untuk membina lebuh raya di Kelantan dari Kuala Krai ke Kuala Lumpur tapi dengan syarat tiada tol kerana tidak mahu membebankan rakyat yang sudah merasai kesan dari pelbagai kenaikan harga barang.
"Inilah dia kerajaan yang berjiwa rakyat, kerajaan yang menjaga kebajikan rakyat, kerajaan yang boleh memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan inilah kerajaan yang boleh dipanggil 'kuli rakyat', patutnya rakyat menjadi tuan bukannya menjadi kuli," tegas beliau.
Beliau juga mengulangi seperti apa yang dikatakan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa kalau BA memerintah Malaysia, BA akan turunkan harga minyak sebanyak 50 sen bagi memberi keselesaan kepada rakyat.
"Arab Saudi apabila harga minyak dunia naik, harga minyak dalam negaranya diturunkan dan gaji kakitangan dinaikkan, inilah pemimpin yang berjiwa menolong rakyat, kita negara pengeluar minyak sepatutnya dalam negeri murahlah.
"Tapi tidak berlaku dalam negara kita malahan Pak Lah memberi alasan kenaikan harga minyak dunia menyebabkan kerajaan tidak mampu menanggungnya lagi ketika menaikan harga minyak di negara kita," tambahnya. - mks.

Sunday, June 17, 2007

Kes Altantuya: Hakim tolak permohonan Karpal18-06-2007 12:39:39 PM

SHAH ALAM: Perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu diteruskan hari ini setelah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yassin yang mendengar kes itu menolak permohonan peguam pemerhati bagi keluarga mangsa, Karpal Singh, supaya perbicaraan kes berprofil tinggi itu didengar oleh hakim lain.
Karpal Singh, dalam permohonannya sejurus prosiding bermula mendakwa Mohd Zaki mempunyai pertalian kekeluargaan dengan isteri Hazman Ahmad, yang merupakan peguam bela tertuduh pertama iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri hingga boleh menyebabkan perbicaraan kes itu menjadi berat sebelah.
Mohd Zaki dalam keputusan lisannya berkata isteri Hazman telah meninggal dunia dan perkara itu tidak akan menjejaskan kredibiliti mahkamah untuk mendengar dan memberikan keputusan yang adil dalam perbicaraan berkenaan.
Hakim itu berkata beliau layak mendengar perbicaraan itu kerana pertaliannya dengan arwah isteri Hazman hanyalah tiga pupu.
Beliau kemudian turut menolak satu lagi permohonan Karpal Singh untuk menyoal saksisaksi kerana menurutnya perbicaraan itu hanya memerlukan penglibatan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Azilah, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, yang sebelum ini bertugas di Unit Tindakan Khas (UTK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman didakwa membunuh Altantuya, 28, seorang model di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini antara pukul 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt tahun lepas.
Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, didakwa bersubahat membunuh Altantuya, dengan Azilah dan Sirul Azhar di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini antara pukul 9.54 pagi dan 10.05 pagi pada 18 Okt tahun lepas.
Jika sabit kesalahan, ketigatiga tertuduh boleh dihukum mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Konsep modal insan Umno tidak berteraskan Islam

Hashim Abdullah Mon Jun 18, 07 11:39:24 AM
TEMERLOH, 18 Jun (Hrkh) - Konsep Modal Insan yang diperkenalkan pemimpin Umno tidak mampu menyumbang kearah pembentukan akhlak berteraskan Islam kerana ia disaluti pemikiran kapitalisme yang bercirikan metarialistik semata-mata kata Ketua Dewan Pemuda PAS Temerloh, Ustaz Jauhari Ishak.
Justeru, tambah Jauhari rakyat jangan sesekali terpedaya dengan slogan yang seolah-olah bercirikan Islam sedangkan hakikatnya apa yang berlaku kepada masyarakat dari hari ke hari terus dirundung kecelakaan sosial yang kian memusnahkan.
“Konsep modal insan yang diperkenalkan Umno tidak lebih dalam soal menjadikan individu kapitalis di mana manusia merupakan kaum modal yang mesti menyumbang kepada unsur produktif dalam ekonomi semata-mata.
“Konsep modal insan tidak sama sekali menjamin nilai dan akhlak rakyat terpelihara. Apa yang jelas hanya berkisar kepada pembangunan sebab itu pendekatan yang dilaksanakan bercanggah sama sekali dengan tuntutan Islam, ia cuma benda yang disalut,” katanya.
Ustaz Jauhari menjelaskan demikian pada program PAS di Markaz PAS Kampung Paya Kecik, dekat sini, baru-baru ini.
Menurut Jauhari jika rakyat terutama orang Melayu sayangkan bangsanya mereka mesti mengubah sikap dan pemikiran agar kembali kepada Islam sebenar sebagaimana yang diperjuangkan PAS.
“Semakin mereka (Umno) melaungkan slogan Islam Hadhari anehkannya bangsa Melayu yang Islam itu semakin rosak. Sebut saja perkara buruk yang berlaku dalam masyarakt siapa yang rosak. Sebut mat rempit orang Melayu jadi juaranya. Sebut penagih dadah orang Melayu yang juaranya sebut apa saja, orang kita yang rosak, jadi apa makna kepada slogan mereka.
“Sebab itu rakyat jangan tertipu. Kalau nak betulkan kedudukan kena ubah sikap dan pemikiran agar kembali kepada Islam sebenar. Inilah perjuangan PAS. Kalau tidak tunggulah kemusnahan yang lebih besar,” katanya. - mns

Bukan ahli PAS, bangsa Cina turut hantar anak ke Pasti - Salahuddin

Rizal Tahir Sun Jun 17, 07 03:58:58 PM
KOTA BHARU, 17 Jun (Hrkh) - Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), semakin mendapat keyakinan ibu bapa dengan tidak mengira fahaman politik, bangsa dan agama.
Ini terbukti apabila ada ibu bapa dari bangsa cina dan juga bukan ahli PAS turut menghantar anak-anak mereka di PASTI.
Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, memberitahu demikian sewaktu berucap merasmikan Kejohanan Bolasepak dan Bola Jaring PASTI Peringkat Negeri Kelantan 2007, di Padang Perdana pagi tadi.
“PASTI telah mendapat keyakinan dari ibu bapa bagi menghantar anak-anak mereka untuk mengikuti pengajian pra-sekolah.
“Tidak mengira fahaman politik, agama dan bangsa, mereka yakin PASTI mampu untuk mendidik anak-anak mereka dengan sempurna”, katanya.
“Mereka tahu PASTI mengajar anak-anak mereka mengenai moral seorang manusia yang baik dan berjaya dengan berlandaskan ajaran Islam”, katanya lagi.
Salahuddin juga memberitahu, PASTI telah menjadi pusat pengajian pra-sekolah yang terbaik di negara ini yang berkonsepkan pengajian Islam.
Sementara itu, Pengarah PASTI Negeri Kelantan, yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan, Zaki Ibrahim pula berkata, PASTI tidak sahaja memberi tumpuan pengajian di dalam kelas tetapi juga memberi tumpuan aktiviti luar kelas.
“PASTI tidak hanya menumpukan pengajian di dalam kelas sahaja tetapi turut memberi tumpuan kepada kegiatan ko-korikulum”, katanya.
Menurut Zaki lagi, Islam juga mengalakkan umatnya untuk beriadah bagi menyihatkan tubuh badan selain dari beramal ibadat kepada Allah.
Pemenang peringkat negeri akan mewakili Kelantan ke kejohanan sukan PASTI Pusat yang akan diadakan di 29 dan 30 Jun di Padang Perdana, Kota Bharu, Kelantan.
Sebanyak 14 PASTI dari seluruh kawasan telah menyertai sukan tahunan itu. - mks.

Bukan ahli PAS, bangsa Cina turut hantar anak ke Pasti - Salahuddin

Rizal Tahir Sun Jun 17, 07 03:58:58 PM
KOTA BHARU, 17 Jun (Hrkh) - Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), semakin mendapat keyakinan ibu bapa dengan tidak mengira fahaman politik, bangsa dan agama.
Ini terbukti apabila ada ibu bapa dari bangsa cina dan juga bukan ahli PAS turut menghantar anak-anak mereka di PASTI.
Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, memberitahu demikian sewaktu berucap merasmikan Kejohanan Bolasepak dan Bola Jaring PASTI Peringkat Negeri Kelantan 2007, di Padang Perdana pagi tadi.
“PASTI telah mendapat keyakinan dari ibu bapa bagi menghantar anak-anak mereka untuk mengikuti pengajian pra-sekolah.
“Tidak mengira fahaman politik, agama dan bangsa, mereka yakin PASTI mampu untuk mendidik anak-anak mereka dengan sempurna”, katanya.
“Mereka tahu PASTI mengajar anak-anak mereka mengenai moral seorang manusia yang baik dan berjaya dengan berlandaskan ajaran Islam”, katanya lagi.
Salahuddin juga memberitahu, PASTI telah menjadi pusat pengajian pra-sekolah yang terbaik di negara ini yang berkonsepkan pengajian Islam.
Sementara itu, Pengarah PASTI Negeri Kelantan, yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan, Zaki Ibrahim pula berkata, PASTI tidak sahaja memberi tumpuan pengajian di dalam kelas tetapi juga memberi tumpuan aktiviti luar kelas.
“PASTI tidak hanya menumpukan pengajian di dalam kelas sahaja tetapi turut memberi tumpuan kepada kegiatan ko-korikulum”, katanya.
Menurut Zaki lagi, Islam juga mengalakkan umatnya untuk beriadah bagi menyihatkan tubuh badan selain dari beramal ibadat kepada Allah.
Pemenang peringkat negeri akan mewakili Kelantan ke kejohanan sukan PASTI Pusat yang akan diadakan di 29 dan 30 Jun di Padang Perdana, Kota Bharu, Kelantan.
Sebanyak 14 PASTI dari seluruh kawasan telah menyertai sukan tahunan itu. - mks.

Malaysia sambut 50 tahun merdeka, tapi kekal undang-undang penjajah - Hadi

Anis Nazri Sun Jun 17, 07 05:28:19 PM
KUALA LUMPUR, 17 Jun (Hrkh) - Biarpun Malaysia digambarkan dan diuar-uarkan secara besar-besaran tentang sambutan kemerdekaannya yang mencapai usia 50 tahun Ogos ini, terdapat undang-undang lapuk seperti ISA yang dikekalkan, sekaligus tidak selaras dengan Malaysia yang terkenal dengan Islam Hadhari.
Undang-undang rimba yang diperkenalkan untuk menentang komunis puluhan tahun dahulu, masih dikekalkan dalam usia 50 tahun Malaysia yang sering dikatakan merdeka dan bebas.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, berkata undang-undang itu yang terpakai ketika darurat, sepatutnya terhapus atau termansuh setelah berakhirnya darurat.
"Malangnya, Malaysia di bawah kepimpinan BN masih mengekalkan undang-undang drakonian itu sebagai melindungi kepentingan politik pihak tertentu dan bukannya sebagai elemen pertahanan negara," tegas beliau dalam pertemuan muhibah dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang diketuai Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, tengahari tadi.
Beliau menegaskan PAS menentang undang-undang ini yang dilihat banyak menzalimi tahanan dan keluarga tahanan, tanpa disabitkan dengan hukuman sebenar atas dakwaan yang dikenakan.
Pertemuan yang berlangsung hampir dua jam itu membincangkan pelbagai agenda, termasuk peranan yang boleh dilakukan PAS sebagai sebuah parti politik berpengaruh, di samping meningkatkan kerjasama dari aspek perancangan dan pelaksanaan dalam usaha memansuhkan undang-undang tersebut.
Dalam masa sama, pelbagai pandangan dan pendapat disuarakan kedua-dua pihak bagi memastikan gerak kerja yang dilakukan selepas ini menjadi lebih teratur dan lancar, dengan segala bentuk kerjasama daripada PAS dan anggota GMI lainnya.
Pertemuan itu turut dihadiri AJK PAS Pusat, Dato' Mohd Takiyuddin Hassan, yang juga Exco kerajaan Kelantan; wakil peguam PAS, manakala GMI diwakili Syed Ibrahim sendiri; Setiausaha GMI, Nalini; isteri tahanan ISA, Norlaila Osman; JK Pusat Sokongan Keluarga ISA, Aliza Jaffar dan Nashitah Mohamad, serta Nuridah Salleh, yang juga merupakan Ketua Muslimat PAS. - mks.

Saturday, June 16, 2007

PAS Terengganu kekal kepimpinan sesi lalu

Khairul Azlam Mohmad Sun Jun 17, 07 12:43:38 PM
KUALA TERENGGANU, 17 Jun (Hrkh) – Kepemimpinan PAS Terengganu sesi lalu dikekalkan bagi sesi 2007/2009 dalam mesyuarat kali pertama badan itu di Markas Tarbiyah PAS Kawasan Kuala Terengganu di sini, malam tadi.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Dato' Mustafa Ali itu telah sebulat suara memilih ketiga-tiga timbalan pesuruhjaya sesi lalu, Dato' Harun Taib, Dato' Wan Abdul Muttalib Embong dan Dato' Abu Bakar Chik.
Turut dikekalkan ialah Haji Yahaya Ali sebagai setiausaha, Haji Mohd Abdul Wahid Endut (bendahari) dan Haji Muhyidin Abdul Rashid (ketua penerangan).
Sementara tujuh ahli jawatankuasa yang dilantik ialah Haji Mohd Harun Jusoh, Haji Kasim Ahmad, Haji Hussin Ismail, Ariffin Deraman, Haji Abdul Haris Abd Malik, Haji Hanafiah Ramli dan Safinah Jusoh.
Anggota Badan Perhubungan lain ialah Ketua Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat Negeri serta Yang Dipertua dan Setiausaha PAS kawasan-kawasan.
Mereka terdiri daripada Dato' Husain Awang (Ketua Ulama), Haji Azman Shapawi Abdul Rani (Ketua Pemuda), To' Puan Hajah Fatimah Ibrahim (Ketua Muslimat).
Haji Ismail Osman (Setiausaha Ulama), Wan Sukairi Wan Abdullah (Setiausaha Pemuda) dan Hajah Zarani Othman (Setiausaha Muslimat).
Yang Dipertua Kawasan atau wakil pula terdiri daripada Haji Nik Zawawi Salleh (wakil Besut), Mohd Pauzi Muda (Setiu), Haji Abu Bakar Abdullah (Kuala Nerus), Dr Sulaiman Abdullah (wakil Kuala Terengganu), Haji Hassan Mohd Salleh (Marang), Haji Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun) dan Haji Ismail Harun (Kemaman). Wakil Yang Dipertua Hulu Terengganu belum dilantik.
Setiausaha Kawasan terdiri daripada Muhamad Zahid Yusof (Besut), Mohamad Nazari Alias (Setiu), Zakaria Dagang (Kuala Nerus), Haji Mohd Ali Abdullah (Kuala Terengganu), Hassan Jusoh (Marang), Haji Roslan Ismail (Dungun) dan Haji Ahmad Salehuddin Othman (Kemaman). Wakil Setiausaha Hulu Terengganu akan dilantik kemudian.
Sementara itu dalam pembentukan lajnah, mesyuarat turut mengekalkan penjawat-penjawat lama kecuali Lajnah Hubungan Antara Kaum diamanahkan kepada Haji Hanafiah Ramli bagi menggantikan Haji Hussin Ismail.
Ketua-ketua lajnah lain ialah Dato' Mustafa Ali (Politik & Pilihan Raya), Dato' Harun Taib (Tarbiyah & Perkaderan), Dato' Abu Bakar Chik (Institut Kajian Polisi), Haji Yahaya Ali (Jabatan Pilihan Raya dan JKS & NGO), Haji Mohd Abdul Wahid Endut (Ekonomi & Hal Ehwal Pengguna), Haji Muhyidin Abd Rashid (Penerangan & Dakwah), Haji Mohd Harun Jusoh (Keselamatan), Haji Abu Bakar Abdullah (Kebajikan & Kemasyarakatan), Haji Wan Hassan Mohd Ramli (Hal Ehwal Petani, Nelayan & Peneroka) dan Haji Abdul Haris Abd Malik (Undang-Undang). - mks.

Banjir dan terowong Smart: Polis digesa siasat segera Samy Vellu

Nyza Ayob Sat Jun 16, 07 06:00:17 PM
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Hrkh) - Pihak polis diminta supaya menyiasat segera akan kemungkinan berlakunya penyelewengan serta salah guna kuasa oleh Menteri Kerja Raya, Dato' S. Samy Vellu dalam beberapa isu yang membabitkan pengurusan tol dan laluan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (Smart).
Gesaan tersebut dibuat dalam laporan polis hari ini, yang diketuai oleh Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Fariz Musa serta Naib Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainudin kira-kira jam 3.40 petang di Balai Polis Dang Wangi, dekat sini.
Sementara itu, sebelum laporan polis dibuat, di hadapan balai polis tersebut, mereka melaungkan , kata-kata seperti 'Pecat Samy' bersama wakil-wakil peniaga yang terlibat dalam banjir baru-baru ini serta penyokong KeADILan yang lain.
Dalam laporan polis itu, AMK mendesak satu siasatan dibuat apakah kebarangkalian akan adanya kepentingan peribadi Samy di dalam urusan dengan syarikat yang mengendalikan laluan terowong Smart iaitu Syarikat Gamuda.
Ini berdasarkan beberapa faktor antaranya, Syarikat Gamuda, diberi hak kutipan tol selama tiga tahun memandangkan syarikat tersebut hanya melabur kira-kira RM600 juta dan bakinya yang berjumlah lebih RM 1.2 billion merupakan tanggungan kerajaan.
Selain itu, AMK juga berpendapat Samy juga harus disiasat memandangkan bencana banjir yang berlaku pada 10 Jun lalu berpunca daripada kegagalan perencanaan Smart.
Di samping itu, AMK juga mempersoalkan apakah perbelanjaan RM2 bilion untuk projek Smart itu sia-sia memandangkan kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta pada 13 Jun lalu dengan tujuan memperbaiki sistem saluran bandaraya.
Dalam pada itu, AMK juga bertanggapan mutu pembinaan Smart tidak sepadan dengan kos pembinaannya serta kutipan tol sebanyak RM2 yang bermula 15 Jun lalu tanpa memenuhi fungsi yang sepatutnya.
Laporan polis itu juga dibuat memandangkan terdapat beberapa kelemahan didapati di terowong Smart yang membawa risiko tinggi kepada pengguna seperti selekoh yang merbahaya dan kebocoran di beberapa tempat mengakibatkan air bertakung di bahu jalan di dalam terowong.
Sebelum ini, AMK membuat pendedahan perjanjian konsesi tol serta pada 28 Februari lalu pihak AMK juga membuat laporan polis dan BPR selepas pendedahan tersebut. Bagaimanapun tidak terdapat maklum balas atau sebarang tindakan daripada pihak berkuasa ini.
Berdasarkan pendedahan yang pernah didedahkan oleh AMK, pemegang konsesi akan diberikan hak untuk mengutip tol sehingga tahun 2042 dan dijanjikan hak untuk menaikkan kadar tol beberapa kali sepanjang tempoh itu sehingga RM7.00 satu perjalanan, katanya.
Pada 10 Jun lalu, Kuala Lumpur dilanda banjir kilat.Antara kawasan paling teruk dilanda banjir termasuklah Jalan Masjid India, Jalan Ipoh dan Kampung Baru, Kampung Chubadak dan Sentul. Dataran Merdeka, yang meliputi kompleks bangunan Sultan Abdul Samad ditenggelami sehingga ke paras pinggang. Banjir kilat ini dipercayai kerana kegagalan sistem peparitan dan sistem alihan yang gagal berfungsi.
Sehari selepas banjir tersebut, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan semua projek tebatan banjir di ibu kota diberi keutamaan dan dipercepatkan bagi mencegah berlakunya banjir kilat lagi.
Abdullah juga mahukan projek lencongan aliran sungai ke kolam takungan termasuk melalui Smart dan pelebaran membabitkan Sungai Klang, Sungai Gombak dan Sungai Kerayong oleh JPS serta DBKL, disiapkan lebih cepat daripada yang dijadualkan. - mks.

Krisis di Palestin - PAS sokong penuh kerajaan pimpinan Hamas

Harakahdaily Sat Jun 16, 07 11:23:58 PM
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Hrkh) - PAS menyokong penuh Kerajaan Palestin pimpinan Perdana Menteri, Ismail Hanieya yang dipilih secara demokratik dalam Pilihan Raya Umum negara itu Januari 2006 yang lalu.
Pengerusi Lujnah Hubungan Antarabangsa dan hal Ehwal Luar PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berkata, PAS dengan tegas mengecam eleman jahat dalam Pergerakan Fatah pimpinan Presiden, Mahmoud Abas yang menjadi talibarut regim Zionis Israel yang cuba menggulingkan kerajaan Hamas.
Katanya, walaupun Hamas dan Fatah sudah menerima pelan damai di Makkah beberapa bulan lepas dan mewujudkan kerajaan campuran sebagaimana yang didedak oleh komuniti antarabangsa, namun Fatah terus menggugat kestabilan Palestin dengan banyak percubaan untuk melemahkan kerajaan.
PAS tegasnya, mengecam peranan Amerika Syarikat dan Israel yang dipercayai menyalurkan kelengkapan senjata yang bernilai USD 100 juta kepada Fatah untuk menggulingkan Ismail Hanieya.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa seluruh umat Islam untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Kerajaan Hamas yang dikepung oleh Fatah dengan bantuan Israel dan Amerika.
Keadaan di Palestin waktu ini, diburukkan dengan peperangan kedua-dua pihak yang meletus akibat daripada tindakan segelintir anggota Fatah menyalurkan maklumat kepada regim Yahudi untuk menangkap dan membunuh pemimpin Hamas.
Hasil dari kerjasama mereka, tentera Israel baru-baru ini menangkap beberapa orang pimpinan Hamas, ada di kalangan mereka merupakan menteri dalam kerajaan campuran.
Tidak terhenti setakat itu, Fatah yang dibekalkan dengan senjata canggih oleh Yahudi, membuat beberapa percubaan untuk membunuh Perdana Menteri sejak kebelakangan ini.
Kekacauan yang berlaku mengakibatkan Palestin yang berada dalam dua wilayah yang terpisah di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, ditadbir oleh dua puak yang bertentangan.
"Marilah sama-sama kita menunaikan solat hajat dan bermunajat kepada Allah agar seluruh perancangan jahat regim Yahudi yang memecahbelahkan umat Islam Palestin digagalkan," ujarnya. - mr

Wednesday, June 13, 2007

Kompleks penapisan minyak di Yan, orang kampung ditipu lagi?

Roy Rasul Thu Jun 14, 07 01:03:25 PM
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Hrkh) -
Cadangan pembinaan kompleks penapisan minyak dekat Pulau Bunting, Yan, Kedah bukan saja menyebabkan hampir 3,000 ekar tanah rizab Melayu tergadai begitu saja tetapi ia turut memberi kesan negatif kepada penduduk sekitar, khususnya mereka yang tidak terbabit dengan perpindahan nanti.
Malah penduduk kampung di kawasan Dun Sungai Limau itu, antaranya Kampung Sedaka, Kampung Sungai Kering, Sungai Daun, Sungai Dedap, Sungai Limau, Ayer Hitam dan Kampung Kubang Busuk, tidak pernah dirundingi secara sistematik, terutama mengenai bentuk pampasan dan nilai tanah.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak, yang juga Adun Sungai Limau berkata projek atas inisiatif pihak swasta itu, yang menelan kos RM50 bilion, akan memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan juga kesihatan manusia.
Beliau turut menunjukkan hasil kajian pakar mengenai bahaya industri petrokima yang membuat tinjauan terhadap sekurang-kurangnya enam tragedi kilang kimia di seluruh dunia.
Beliau yang ditemui di ibu pejabat Harakah 11 Jun lalu berkata, projek berisiko tinggi itu turut membabitkan pembinaan saluran paip minyak sepanjang 320 kilometer merentasi ke Bachok, Kelantan bagi memendekkan masa penghantaran bahan api itu dari Asia Barat ke negara-negara Asia Timur seperti Jepun, China, Korea dan Taiwan.
"PAS Kedah bukan menolak projek ini tanpa usul periksa. Kita tidak mahu rakyat Kedah, khususnya orang Melayu tertipu lagi dengan apa yang didakwa projek pembangunan, tetapi sebenarnya ia hanya usaha licik pihak tertentu untuk mengekspolitasi tanah-tanah rizab Melayu," ujar Azizan yang juga Ketua Pembangkang di Dun Kedah.
"Banyak proses dibuat tanpa mengikut prosedur, dan ini cukup membimbangkan. Orang kampung tidak diberi penerangan secukupnya. Apatah lagi kerajaan Kedah pimpinan Umno mempunyai rekod memperalatkan tanah rizab Melayu demi kepentingan sendiri," tambahnya sambil menyebut beberapa projek yang merugikan Melayu misalnya di Kerpan dan Tandop.
Lebih menghairankan, katanya, projek penapisan minyak ini, yang akan melupuskan 3,000 ekar tanah pertanian paling subur di Kedah, diluluskan tanpa perancangan teliti ketika sidang belanjawan pada November tahun lepas memaklumkan kerajaan negeri akan mencari 5,000 ekar tanah di luar Mada untuk dijadikan kawasan sawah padi yang baru.
"Bukankah projek ini bercanggah dengan hasrat kerajaan mahu menambahkan lagi kawasan bendang. 5,000 ekar yang dicari belum dapat, tiba-tiba 3,000 ekar sawah sedia ada akan hilang?" kata Ustaz Azizan.
Menurutnya, apabila tanah rizab Melayu dibangunkan, orang Melayu tidak berpeluang menikmati pembangunan di atasnya.
"Lihat saja pembangunan di sekitar bandar Alor Star," katanya, "di atas tanah bendang orang Melayu, mereka hanya boleh berniaga gerai kecil-kecilan di depan kedai yang dibangunkan atas tanah mereka dahulu."
Ditanya peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada penduduk setempat, Ustaz Azizan berkata, menurut taklimat kepada Jawatankuasa Perancang Negeri Kedah, diperincikan bahawa semasa pembinaan, sebanyak 5,000 peluang diwujudkan, tetapi apabila operasi bermula, ia hanya tinggal 800.
"Dan yang 800 peluang pekerjaan itu sekadar membabitkan tenaga kerja yang pakar dalam sektor petroleum. Orang kampung mungkin boleh jual nasi lemak atau karipap," katanya.
Beliau kesal dengan sikap pemimpin Umno setempat yang turut mengelirukan orang kampung. "Selalunya dalam majlis penerangan, pihak Umno akan pasang orangnya, dengan mendakwa sesiapa yang menentang projek ini dianggap penderhaka kepada kerajaan. Mereka juga tidak beri ruang untuk sesi soal jawab,” tegasnya.
Kompleks penapisan minyak ini akan dibangunkan oleh SKS Development Sdn Bhd. Selain penapisan minyak, komponen pembangunannya turut melibatkan jeti dan single buoy mooring, stesen janakuasa, saluran paip ke Bachok, industri petrokimia dan sokongan, serta taman industri dan perdagangan maritim.
Kompleks penapisan minyak itu dikatakan mempunyai kapasiti 500,000 tong sehari manakala depo simpanan minyak sebanyak 6 juta tong.
Dalam pada itu, Presiden Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican, 11 Jun lalu memberitahu pemberita, pihaknya tidak terbabit dalam projek saluran paip minyak berkenaan, malah Petronas juga tidak akan menyalurkan sebarang bentuk pembiayaan bagi projek itu kerana ia projek inisiatif swasta.
"Projek itu adalah inisiatif sektor swasta dan kami bukan sebahagian daripada inisiatif itu," tegasnya sambil berkata, Petronas juga tidak tahu menahu mengenai projek berkenaan dan beliau hanya mengetahuinya menerusi akhbar.
Difahamkan orang kuat di belakang syarikat terbabit dalam saluran paip itu, Transpen, adalah bekas Menteri Besar Kedah sendiri.
Kenyataan terbaru Petronas itu semakin mendedahkan bahawa "banyak yang tidak kena di sebalik projek berisiko tinggi" ini. Sepatutnya sebagai pihak yang berpengalaman luas dalam bidang , Petronas wajar dilibatkan.
Jika apa-apa berlaku kepada syarikat swasta terbabit, terutama dari segi kewangan, yang ruginya adalah orang kampung yang sudah menyerahkan tanah milik turun-menurun.
"Daripada memusnahkan kawasan bendang dan penempatan di tanah besar bertentangan Pulau Bunting itu, lebih elok jika kompleks penapisan minyak itu dibangunkan di kawasan yang tidak terbabit dengan aktiviti pertanian atau kawasan perkampungan Melayu. Boleh saja disalurkan paip minyak ke Bukit Kayu Hitam misalnya," seorang aktivis NGO memberi cadangan.
Menurut kajian, pendedahan bahan kimia dari kilang penapisan minyak seperti dirancang itu akan memberi kesan buruk kepada pengembangan janin, termasuk peringkat tumbesaran bayi dan kanak-kanak. Ia juga boleh menyebabkan leukimia kanan-kanak dan barah otak.
Dalam kes di Kerala India, keracunan berlaku kepada tanah, air dan udara, yang mengancam kesihatan dan seluruh ekologi kawasan itu. Sungai tercemar mengangkut bahan toksin beratus-ratus batu ke tempat lain yang menjejaskan kawasan berkenaan.

Banjir : Dua tahun lagi Kuala Lumpur masih dalam keadaan tidak selamat!

Wan Nordin Wan Yaacob Thu Jun 14, 07 12:01:42 PM
KUALA LUMPUR, 14 Jun (Hrkh) - Banjir kilat dan lumpur yang melanda Kuala Lumpur 10 Jun lalu mengakibatkan huru-hara seluruh negara malah hingga ke hari ini isu banjir itu tidak henti diperkata oleh banyak pihak.
Malangnya, perkara yang sama (banjir) atau lebih parah lagi mungkin akan berlaku beberapa kali lagi kerana tiada jaminan dari mana-mana pihak termasuk kerajaan dan Bewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai penyelesaian masalah banjir ini, kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar.
"Kami bimbang, pihak kerajaan hanya menyatakan bahawa masalah ini termasuk fungsi Terowong Smart hanya boleh diaplikasi pada tahun 2009.Justeru tiada jaminan kepada warga kota akan keselamatan mereka dalamjangkamasa dua tahun ini iaitu dari 2007 hingga tahun 2009," tegasnya.
Sebelum ini katanya banjir pernah berlaku berulang kali dan banyak pihak menyatakan pandangan mengenai punca banjir, antaranya pembangunan pesat yang tidak terancang dan projek tebatan banjir yang nyata gagal.
Kaji cukai pintu, caj parking
Bagaimanapun tiada satu usaha yang komprehensif dilakukan oleh pihak kerajaan mahupun DBKL untuk mengatasi masalah yang sekian lama membelenggu warga kota ini, katanya.
"Hinggakan depan Direktorat DBKL di Jalan Tun Razak pun dinaiki air.Masalah depan mata DBKL Itu pun tak dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa itu, tetapi apa yang dibuat hanyalah mengutip cukai pintu, caj parking dan cukai-cukai lain yang tinggi hingga membebankan warga kota,"katanya.
Sebaliknya apabila berlakunya banjir kilat seperti 10 Jun lalu, akibat kegagalan DBKL dan pihak kerajaan menangani masalah banjir, warga kota terpaksa menanggung kerugian termasuk kerosakan kenderaan dan harta benda, katanya.
Baginya, tiada guna DBKL mengutip segala jenis cukai namun akhirnya soal keselamatan dan keselesaan warga kota tidak terjamin, justeru DBKL perlu menkaji semula kadar cukai yang dikenakan.
Selain itu beliau juga menggesa DBKL turut mengeluarkan pampasan kepada warga kota dan peniaga yang rugi akibat banjir kilat yang berlaku baru-baru ini kerana banjir tersebut bukan hanya kerana bencana alam tetapi turut disebabkan atas kegagalan DBKL menyediakan sistem saliran yang baik bagi mengatasi masalah tersebut.
Melihat kepada projek Terowong Smart yang dikatakan akan mengatasi masalah banjir hanya akan berfungsi selepas tahun 2009, sedangkan masalah banjir kian kronik dan warga kota berada dalam keadaan tidak selamat lebih-lebih lagi apabila hujan lebat membasahi bumi Kuala Lumpur, kata Mahfuz yang juga bekas ahli Parlimen Pokok Sena.
Sehubungan itu Mahfuz menggesa kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya dab DBKL segera memberi penjelasan dab jaminan kepada warga kota berhubung soal keselamatan mereka dalam jangkamasa dua tahun ini sebelum Smart boleh berfungsi.
"Jika tidak, kerajaan perlu menghentikan segala macam projek pembangunan yang sedang dirancang atau belum diluluskan supaya masalah banjir yang antaranya berpunca dari pembangunan pesat ini dapat dikurangkan,"katanya.
Megah dengan projek mega, paksa rakyat melalui propaganda
Sementara itu, aktivis rakyat Badrul Hisham Shaharin berkata, kerajaan sentiasa bermegah dengan projek mega yang membazirkan wang rakyat dan rakyat yang terbazir wangnya dipaksa dengan segala macam propaganda untuk turut bangga dengan segala macam projek raksaksa .
"Masih tengiang di telinga saya apabila mula mengumumkan dan melancarkan projek Terowong Smart, kerajaan memaksa rakyat untuk bangga dengan projek yang pertama seumpamanya di dunia. Maka selepas pengumuman projek tiap kali berlaku banjir kilat penduduk Kuala Lumpur yang termusnah harta benda mereka ditenangkan dengan ungkapan, sabar apabila projek Smart siap banjir ini dapat diatasi,"katanya.
"Maka harapan rakyat yang menggunung untuk menikmati hidup bebas banjir kilat telah meredhakan hampir RM2 billion duit poket mereka untuk menebuk terowong Smart," katanya.
Ketika pembinaan Smart, pelbagai ungkapan meyakinkan rakyat dimainkan oleh media hingga ramai yang percaya bahawa masa depan tentu lebih baik lepas Smart siap, katanya.
Bagaimanapun kepercayaan inilah yang menghalalkan pembaziran RM2 billion wang rakyat yang akan disambung dengan berbiliion yang lain melalui rompakan tol Smart, katanya.
"Malangnya terowong yang dilancarkan baru baru ini menghampakan rakyat dari semua segi,"ujarnya.
Malah penganugerahan konsesi tol sehingga tahun 2045 pula selain perjanjian yang membenarkan beberapa siri kenaikan amat tidak munasabah dan dilihat hanya menguntungkan pemilik konsesi,katanya.
Rompakan yang diizin kerajaan
Setelah dibuka ternyata terowong ini gagal setelah dua kali diuji dengan 'kuasa alam' dengan banjir teruk malah keadaan lebih parah dari kebiasaan, katanya.
Kekecewaan orang ramai ini bertambah apabila Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S.Samy Vellu seperti tidak sabar mengumumkan kadar tol Smart sejumlah RM2 hanya untuk jarak sembilan kilometer.
"Belumpun sempat peniaga kecil seperti di Jalan Masjid India selesai mencuci lumpur dan mengira kerugian mereka, Samy Vellu sudah mengumumkan keizinan untuk satu lagi projek kapitalis mencuri wang rakyat dari Terowong yang dibina menggunakan wang rakyat sendiri,"katanya.
Terowong dibuka banjir berlaku lebih teruk, maka seribu satu alasan dikeluarkan dan disiarkan oleh media tempatan untuk cubaan terus menipu rakyat,ujarnya.
Justeru beliau menggesa agar rakyat tidak lagi tertipu dengan dakyah BN yang dijalankan oleh media-medianya hingga menghalalkan segala penipuan yang dijalankan.
Pagi selepas banjir Perdana Menteri terus berkejar bersama isterinya yang pernah menjadi adik iparnya satu ketika dahulu untuk melawat bilik gerakan.
Maka satu taklimat diberikan kepada Perdana Menteri dan isteri barunya mengenai banjir di Kuala Lumpur.
Kenyataan PM sama taraf dengan kenyataan Ketua Kampung
Selepas taklimat itu Perdana Menteri seperti tidak faham dikatakan cuba menyalurkan aura prihatinya kepada rakyat selaku pengasas Islam Hadhari dengan menggesa supaya digunakan semua sumber yang ada untuk dipercepatkan apa yang patut.
Kenyataan bertaraf Ketua Kampung ini akhirnya ditempelak oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Dato' Paduka Ir Keizrul Abdullah yang menyatakan bahawa semua projek hanya boleh disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan jika boleh disegerakan sekali pun mungkin seminggu awal dari dijadualkan.
Kenyataan ini membuktikan betapa tidak hormatnya rakyat Malaysia dalam melihat kenyataan Abdullah. Bayangkan jika bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri jika beliau memberikan sesuatu kenyataan sudah tentu tiada menteri yang berani mengulas untuk menafikannya secara terbuka, katanya.
Tetapi Abdullah tidak pun perlu menunggu tempelak dari seorang menteri, sebaliknya dari seorang Ketua Pengarah yang mampu 'menyikat' kenyataan Abdullah dalam tenang mungkin kerana bosan dengan ketidak fahaman Abdullah terhadap isu tersebut.
Dalam kenyataan Ir Keizrul yang disiarkan akhbar harian dua hari lalu lebih mengejutkan apabila beliau mengakui dan meminta rakyat membetulkan presepsi mereka terhadap projek Smart.
Kata Keizrul, Smart tidak mampu mengatasi masalah banjir dan projek tebatan banjir Kuala Lumpur hanya akan siap Ogos 2009.

Pilihan Raya Umum ke-12 : Menanti ilham PM yang tiba-tiba?

Wan Nordin Wan Yaacob Wed Jun 13, 07 11:48:41 AM
Menanti Ilham, perkataan ini sekali lagi digunakan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menentukan apa sahaja keputusan terutamanya tarikh-tarikh tertentu, pilihan raya, rombakan kabinet dan sebagainya.
Bagaikan pujangga, beliau berkata 'ilham itu boleh datang tiba-tiba'.Bagi penulis, perkataan ilham ini mungkin secara sengaja digunakan untuk sekali lagi mengusik minda rakyat agar terus terpikat dengan imej dan gayanya sebagai seorang yang kononnya berkarisma.
Sedangkan sebagai seorang Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), sudah tentu beliau telah merancang sesuatu untuk partinya menghadapi pilihan raya dan tidak perlu beliau menunggu ilham.
Mustahil bagi seorang ketua negara, tidak ada perancangan teliti untuk mengadakan satu program terpenting yang bakal menentukan masa depan kepimpinan negara.
Jika benar Abdullah hanya meletakkan asas bahawa beliau menunggu ilham, bermakna kepimpinan Malaysia yang bakal dipilih rakyat bagi Pilihan Raya Umum ke-12 ini adalah berdasarkan kerajaan ilham semata-mata.
Seperkata yang perlu dipandang serius oleh rakyat dan pemimpin politik tanah air hari ini, bahawa Abdullah memiliki rekod seorang pemimpin yang sering 'tidur' ketika menghadiri persidangan termasuk Perhimpunan Agung Umno.
Cukup banyak gambar-gambar PM 'tertidur' yang dirakam lensa jurugambar ketika beliau menghadiri persidangan, malah isu 'tidur' ini telahpun menjadi bualan banyak pihak terutamanya orang politik.
Sehinggakan ada pimpinan parti pembangkang menjadikan isu PM tidur ini sebagai bahan ceramah dan ucapan-ucapan mereka termasuk Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub yang memasukkan isu tidur PM ini dalam Ucapan Dasarnya sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-48 yang baru berlalu di Kota Bharu.
"Dulu Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi melahirkan hasrat untuk membendung budaya rasuah, mewujudkan integriti, membebaskan sistem keadilan dan membenarkan kritikan kepada kerajaan, rupa-rupanya itu semua hanyalah omong kosong bagi membina keyakinan rakyat terhadap kepimpinan baru. Ternyata “Mr. Clean” tidaklah sebersih yang disangka kini menjadi “Mr Bean” yang penidur," kata Salahuddin ketika menyampaikan Ucapan Dasarnya.
Ini bermakna isu ini cukup besar kepada rakyat kerana malangnya rakyat memiliki pemimpin yang 'tidur' tidak seperti bekas PM, yang cukup dikenali susah melelapkan mata lebih-lebih lagi ketika menghadiri persidangan.
Setidak-tidaknya cakap-cakap politik itu ada asasnya dan ia ditambah lagi dengan kritikan pedas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang cukup berang dengan corak kepimpinan Abdullah.
Dari isu jambatan hinggalah kepada isu penggadaian kepentingan negara, pembinaan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan beberapa keputusan membabitkan dasar negara semuanya mendapat cemuhan dari bekas PM.
Adakah kerana PM membuat semua keputusan dan perancangan membangunkan negara dengan 'ilham' nya?Adakah beliau mendapat Ilham itu tatkala mimpi dalam lenanya atau tidurnya sewaktu menghadiri persidangan atau dimana-mana sahaja?
PM sendiri semalam telah menyatakan bahawa ilham untuk mengadakan pilihan raya boleh datang bila-bila masa, justeru adakah ihlam beliau itu kali ini sekali lagi akan datang tatkala terlena?Sama-sama kita nantikan ilham PM yang akan datang bila-bila masa itu.
Laporan akhbar arus perdana hari ini menyebut, PM mengulangi kata-katanya sebelum ini bahawa beliau masih belum mendapat ilham bila tarikh pilihan raya umum akan diadakan.
Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, ilham itu boleh datang dengan tiba-tiba.
‘‘Ilham datang mana boleh ditentukan masanya. Ia datang tiba-tiba,’’ katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Muzakarah Imam-Imam Peringkat Kebangsaan 2007 di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi semalam.
Desas-desus mengenai pilihan raya umum akan diadakan pada masa terdekat timbul kembali berikutan laporan mengenai ekonomi negara yang memberangsangkan selain berita gembira pernikahan PM dengan Datin Seri Jeanne Abdullah minggu lalu.
Kenaikan gaji kakitangan awam antara 7.5 hingga 42 peratus yang berkuat kuasa 1 Julai ini menguatkan lagi desas-desus berkenaan
Bagaimanapun, Abdullah sebelum ini menafikan kenaikan gaji itu mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum.
Sebaliknya, tegas Perdana Menteri, kerajaan telah lama menimbangkan permintaan untuk menaikkan gaji kakitangan awam tetapi tidak dapat membuat keputusan pada masa lalu kerana ketika itu kerajaan tidak mempunyai kemampuan kewangan.
Sementara itu, ketika ditanya lebih lanjut mengenai tarikh pilihan raya, Perdana Menteri secara berseloroh berkata: "Sekarang ekonomi baik dan saya pun sudah kahwin... mereka (akhbar) akan tanya bila akan ada pilihan raya". - mks.

Sejak bila Umno iktiraf ulama?

Saidah Hairan Wed Jun 13, 07 01:23:08 PM
KUALA LUMPUR, 13 Jun (Hrkh) - Harapan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak mahu wujud keadaan ulama dan pemerintah membawa haluan masing-masing membuktikan sikap hipokrit beliau yang memperalatkan agama untuk kepentingan politik semata-mata.
Abdullah mahu gandingan ulama dan pemerintah yang terjalin sejak negara mencapai kemerdekaan dalam memakmurkan negara serta mewujudkan keharmonian antara rakyat terus dipertingkatkan dalam memacu kemajuan.
Mengulas kenyataan itu, AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sejarah pemimpin-pemimpin Umno sering bercakap tentang Islam hanya untuk mendapat sokongan daripada orang Melayu Islam.
Beliau berkata, kenyataan Abdullah itu juga menandakan pilihan raya umum ke-12 sudah hampir dan harapan gandingan ulama dengan pemerintah itu hanya mahu mengambil hati tok-tok imam.
"Saya hendak bertanya bila pemimpin Umno tahu menghormati Ulama. Seorang senator Umno mencadangkan supaya tindakan perlu diambil terhadap Mufti Perak, Dato' Seri Dr Harussani disebabkan fatwa beliau yang boleh mengelirukan orang ramai berhubung konsert sure heboh," katanya.
Begitu juga tambah beliau, isu kondom bagi mengatasi masalah Aids, pimpinan Umno tidak peduli dengan golongan anti hadis, Umno tidak bertindak walaupun keluar fatwa sesat tentang panduan hiburan dan sebagainya.
"Inilah wajah pimpinan Umno yang memperlekehkan golongan Ulama," tegas beliau.
Idris yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Pusat berkata, pimpinan Umno mahu para Ulama mengikut prinsip dalam Islam Hadhari.
Inilah padahnya para ustaz atau Ulama Umno membisu siang malam ibarat `Ulama terompah kayu' asalkan mereka boleh mencari makan, tegasnya.
Beliau menegaskan, pimpinan Umno sememangnya sudah kehilangan pengaruh di kalangan orang Melayu kerana mereka gagal menangani isu murtad, buang anak, jenayah meningkat dan sebagainya.
Dalam masalah ini, katanya, PAS berharap para imam atau ulama Umno jangan mudah percaya dengan pimpinan Umno yang ternyata berlidah cabang.
PAS kata Idris akan terus berusaha menyedarkan ahli dan pimpinan Umno berhubung soal agama kerana umat Islam itu adalah amanah para Rasul dan Nabi untuk menyampaikan ajaran Islam yang benar.
Katanya, jangan terpengaruh dengan habuan yang terlalu sedikit berbanding dengan azab neraka yang besar apabila bersekongkol dengan kezaliman. - mks