Sunday, June 24, 2007

PAS Johor sokong kempen kumpul 100,000 tanda tangan

Salman Hussin Sun Jun 24, 07 12:42:16 PM
JOHOR BAHRU, 24 Jun (Hrkh) – PAS Johor menyokong usaha Persekutuan Tionghua Daerah Johor Bahru yang melancarkan kempen mengumpul 100,000 tanda tangan bertujuan mendesak kerajaan dan polis menangani kadar jenayah yang semakin meningkat di daerah ini.
“Sebagai tanda sokongan kita, PAS Johor melalui cawangan-cawangan di kesemua 26 kawasan di negeri ini akan turun padang membantu kempen ini," kata Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfodz Muhammad, di sini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan demonstrasi aman di hadapan Mahkamah Tinggi, dekat sini, baru-baru ini, turut hadir Pengerusi PKR Johor, Abdul Razak Ahmad, pemimpin dan aktivis NGO serta masyarakat tionghua daerah Johor Bahru.
Perhimpunan ini diadakan bagi membantah penahanan dua aktivis SUARAM, Nyam Kee Han dan See Siew Min, yang didakwa mengadakan perhimpunan haram di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, baru-baru ini.
Mereka (Nyam dan See) ditahan ketika mengadakan demonstrasi aman bertujuan mendesak kerajaan dan polis segera bertindak menangani jenayah yang semakin meningkat di daerah Johor Bahru, akhir-akhir ini.
Menurut Dato’ Mahfodz lagi, PAS Johor ingin menegaskan isu peningkatan kadar jenayah serta ancaman keselamatan yang sedang berlaku ini adalah isu nasional yang melibatkan semua kaum di negara ini, bukan hanya kaum-kaum tertentu sahaja.
Justeru, beliau berharap kempen mengumpul 100,000 tanda tangan yang dilancarkan Persekutuan Tionghua daerah Johor Bahru ini bukan disebabkan berlakunya beberapa kes membabitkan kaum tionghua semata-mata tetapi mestilah berlandaskan kepada semangat nasional.
Pada sidang media yang sama beliau turut mendedahkan statistik kes jenayah di peringkat nasional yang menurutnya telah menunjukkan peningkatan 45.1 peratus, dari 156,335 kes (2003) kepada 226,836 (2006), kes rogol pula meningkat 65.8 peratus, dari empat orang sehari (2003) kepada 6.7 orang sehari (2006), manakala jenayah kekerasan meningkat 85.8 peratus, dari 22,790 kes (2003) kepada 42,343 kes (2006).
PAS Johor tegasnya lagi, melahirkan kebimbangan peningkatan kadar jenayah ini akan mengagalkan usaha kerajaan untuk mempromosi Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) sebagai destinasi pelaburan kepada masyarakat dunia, ini kerana Daerah Johor Bahru adalah sebahagian dari WPI.
“Pelabur luar sudah pasti akan melihat faktor keselamatan sebagai kriteria utama yang akan diberi perhatian sebelum melabur di WPI, sekiranya mereka ragu-ragu atau tidak yakin dengan jaminan keselamatan ke atas mereka maka berkemungkinan besar mereka akan membatalkan hasrat untuk melabur di sini.
Sehubungan itu tegas Dato’ Mahfodz lagi, PAS Johor berharap peruntukan segera berjumlah RM4.1 bilion yang diberikan kepada WPI termasuk RM 330 juta yang diperuntukkan untuk tujuan keselamatan akan dibelanjakan seperti yang dirancangkan.
“Bagi memastikan pelaksanaan projek WPI ini berjalan seperti yang dirancang maka kerajaan hendaklah sentiasa melakukan pemantauan secara terperinci dan telus supaya peruntukan keselamatan berjumlah RM330 juta ini tidak disalahgunakan dalam bentuk ‘ketirisan’ dan juga ‘budaya amalan rasuah’," ujarnya lagi. - mns

No comments: