Sunday, June 3, 2007

Nik Aziz: Sudah ada pengganti MB Kelantan

KOTA BARU: Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata calon yang bakal menggantikannya sebagai Menteri Besar Kelantan sudah ada dalam fikirannya tetapi tidak boleh disebut bagi menjaga perasaan orang lain.
"Saya memang tak boleh menafikan sudah ada calon pengganti tetapi saya tak boleh sebut kerana kalau sebut A (bakal calon) B pula akan berkecil hati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis makan malam meraikan petugas media sempena Muktamar Tahunan PAS ke-53 yang bermula semalam, di sini malam tadi.
Katanya sebenarnya beliau tidak suka memilih siapa bakal pengganti tetapi jika terpaksa beliau akan menyediakan senarai 10 nama untuk dibuat pilihan.
Tanpa mahu menyebut nama penggantinya, beliau berkata bakal penggantinya itu tidak diasuh secara khusus tetapi segala tindak-tanduk dan arahannya jelas diikuti.
Walaupun nama Timbalannya Datuk Ahmad Yakob disebut wartawan sebagai bakal pengganti dan ada exco kerajaan negeri yang sentiasa menonjolkan dirinya sebagai pengganti beliau, Nik Abdul Aziz berkata semua itu adalah kerja pihak media.
Nik Abdul Aziz juga menafikan ada orang lain mentadbir Kelantan kerana beliau dilihat kerap berceramah walaupun keadaan kesihatannya sering terganggu.
Katanya berucap di majlis yang diaturkan serta bersoal jawab merupakan tanggungjawabnya yang sebenar untuk menjelaskan mengenai ajaran Islam walaupun kesihatannya tidak mengizinkan.
"Saya tidak akan puas hati kalau saya sendiri tidak berucap. Soal jawab tak apa (cuma) nak bangun atau turun tangga agak payah tapi soal nak cakap tak payah kerana untuk sign (tandatangan) fail kerajaan, orang lain boleh buat," katanya.
Bagaimanapun, katanya, ini bukan bermakna beliau menyerahkan tanggungjawab untuk mentadbir negeri ini kepada orang lain seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Beliau juga berkata beliau tidak akan bersara daripada dunia politik atau menetapkan siapa bakal pengganti kerana tidak bersetuju dengan apa yang terjadi kepada beberapa Timbalan Perdana Menteri yang disebut bakal pengganti Perdana Menteri tetapi akhirnya tenggelam.
"Saya akan berhenti apabila mati dan selagi tidak mati kena bayar cukai hidup iaitu bertakwa. Tak payah pilih pengganti kerana bila saya tidak ada, tanggungjawab itu akan pergi kepada orang lain secara automatik," katanya.
Katanya beliau tetap akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang dan yakin dapat mengekalkan kawasan Dewan Undangan Negeri Cempaka selagi sistem demokrasi tidak tempang. BERNAMA

No comments: