Sunday, June 17, 2007

Malaysia sambut 50 tahun merdeka, tapi kekal undang-undang penjajah - Hadi

Anis Nazri Sun Jun 17, 07 05:28:19 PM
KUALA LUMPUR, 17 Jun (Hrkh) - Biarpun Malaysia digambarkan dan diuar-uarkan secara besar-besaran tentang sambutan kemerdekaannya yang mencapai usia 50 tahun Ogos ini, terdapat undang-undang lapuk seperti ISA yang dikekalkan, sekaligus tidak selaras dengan Malaysia yang terkenal dengan Islam Hadhari.
Undang-undang rimba yang diperkenalkan untuk menentang komunis puluhan tahun dahulu, masih dikekalkan dalam usia 50 tahun Malaysia yang sering dikatakan merdeka dan bebas.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, berkata undang-undang itu yang terpakai ketika darurat, sepatutnya terhapus atau termansuh setelah berakhirnya darurat.
"Malangnya, Malaysia di bawah kepimpinan BN masih mengekalkan undang-undang drakonian itu sebagai melindungi kepentingan politik pihak tertentu dan bukannya sebagai elemen pertahanan negara," tegas beliau dalam pertemuan muhibah dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang diketuai Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, tengahari tadi.
Beliau menegaskan PAS menentang undang-undang ini yang dilihat banyak menzalimi tahanan dan keluarga tahanan, tanpa disabitkan dengan hukuman sebenar atas dakwaan yang dikenakan.
Pertemuan yang berlangsung hampir dua jam itu membincangkan pelbagai agenda, termasuk peranan yang boleh dilakukan PAS sebagai sebuah parti politik berpengaruh, di samping meningkatkan kerjasama dari aspek perancangan dan pelaksanaan dalam usaha memansuhkan undang-undang tersebut.
Dalam masa sama, pelbagai pandangan dan pendapat disuarakan kedua-dua pihak bagi memastikan gerak kerja yang dilakukan selepas ini menjadi lebih teratur dan lancar, dengan segala bentuk kerjasama daripada PAS dan anggota GMI lainnya.
Pertemuan itu turut dihadiri AJK PAS Pusat, Dato' Mohd Takiyuddin Hassan, yang juga Exco kerajaan Kelantan; wakil peguam PAS, manakala GMI diwakili Syed Ibrahim sendiri; Setiausaha GMI, Nalini; isteri tahanan ISA, Norlaila Osman; JK Pusat Sokongan Keluarga ISA, Aliza Jaffar dan Nashitah Mohamad, serta Nuridah Salleh, yang juga merupakan Ketua Muslimat PAS. - mks.

No comments: