Wednesday, June 13, 2007

Pilihan Raya Umum ke-12 : Menanti ilham PM yang tiba-tiba?

Wan Nordin Wan Yaacob Wed Jun 13, 07 11:48:41 AM
Menanti Ilham, perkataan ini sekali lagi digunakan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menentukan apa sahaja keputusan terutamanya tarikh-tarikh tertentu, pilihan raya, rombakan kabinet dan sebagainya.
Bagaikan pujangga, beliau berkata 'ilham itu boleh datang tiba-tiba'.Bagi penulis, perkataan ilham ini mungkin secara sengaja digunakan untuk sekali lagi mengusik minda rakyat agar terus terpikat dengan imej dan gayanya sebagai seorang yang kononnya berkarisma.
Sedangkan sebagai seorang Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), sudah tentu beliau telah merancang sesuatu untuk partinya menghadapi pilihan raya dan tidak perlu beliau menunggu ilham.
Mustahil bagi seorang ketua negara, tidak ada perancangan teliti untuk mengadakan satu program terpenting yang bakal menentukan masa depan kepimpinan negara.
Jika benar Abdullah hanya meletakkan asas bahawa beliau menunggu ilham, bermakna kepimpinan Malaysia yang bakal dipilih rakyat bagi Pilihan Raya Umum ke-12 ini adalah berdasarkan kerajaan ilham semata-mata.
Seperkata yang perlu dipandang serius oleh rakyat dan pemimpin politik tanah air hari ini, bahawa Abdullah memiliki rekod seorang pemimpin yang sering 'tidur' ketika menghadiri persidangan termasuk Perhimpunan Agung Umno.
Cukup banyak gambar-gambar PM 'tertidur' yang dirakam lensa jurugambar ketika beliau menghadiri persidangan, malah isu 'tidur' ini telahpun menjadi bualan banyak pihak terutamanya orang politik.
Sehinggakan ada pimpinan parti pembangkang menjadikan isu PM tidur ini sebagai bahan ceramah dan ucapan-ucapan mereka termasuk Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub yang memasukkan isu tidur PM ini dalam Ucapan Dasarnya sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-48 yang baru berlalu di Kota Bharu.
"Dulu Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi melahirkan hasrat untuk membendung budaya rasuah, mewujudkan integriti, membebaskan sistem keadilan dan membenarkan kritikan kepada kerajaan, rupa-rupanya itu semua hanyalah omong kosong bagi membina keyakinan rakyat terhadap kepimpinan baru. Ternyata “Mr. Clean” tidaklah sebersih yang disangka kini menjadi “Mr Bean” yang penidur," kata Salahuddin ketika menyampaikan Ucapan Dasarnya.
Ini bermakna isu ini cukup besar kepada rakyat kerana malangnya rakyat memiliki pemimpin yang 'tidur' tidak seperti bekas PM, yang cukup dikenali susah melelapkan mata lebih-lebih lagi ketika menghadiri persidangan.
Setidak-tidaknya cakap-cakap politik itu ada asasnya dan ia ditambah lagi dengan kritikan pedas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang cukup berang dengan corak kepimpinan Abdullah.
Dari isu jambatan hinggalah kepada isu penggadaian kepentingan negara, pembinaan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan beberapa keputusan membabitkan dasar negara semuanya mendapat cemuhan dari bekas PM.
Adakah kerana PM membuat semua keputusan dan perancangan membangunkan negara dengan 'ilham' nya?Adakah beliau mendapat Ilham itu tatkala mimpi dalam lenanya atau tidurnya sewaktu menghadiri persidangan atau dimana-mana sahaja?
PM sendiri semalam telah menyatakan bahawa ilham untuk mengadakan pilihan raya boleh datang bila-bila masa, justeru adakah ihlam beliau itu kali ini sekali lagi akan datang tatkala terlena?Sama-sama kita nantikan ilham PM yang akan datang bila-bila masa itu.
Laporan akhbar arus perdana hari ini menyebut, PM mengulangi kata-katanya sebelum ini bahawa beliau masih belum mendapat ilham bila tarikh pilihan raya umum akan diadakan.
Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, ilham itu boleh datang dengan tiba-tiba.
‘‘Ilham datang mana boleh ditentukan masanya. Ia datang tiba-tiba,’’ katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Muzakarah Imam-Imam Peringkat Kebangsaan 2007 di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi semalam.
Desas-desus mengenai pilihan raya umum akan diadakan pada masa terdekat timbul kembali berikutan laporan mengenai ekonomi negara yang memberangsangkan selain berita gembira pernikahan PM dengan Datin Seri Jeanne Abdullah minggu lalu.
Kenaikan gaji kakitangan awam antara 7.5 hingga 42 peratus yang berkuat kuasa 1 Julai ini menguatkan lagi desas-desus berkenaan
Bagaimanapun, Abdullah sebelum ini menafikan kenaikan gaji itu mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum.
Sebaliknya, tegas Perdana Menteri, kerajaan telah lama menimbangkan permintaan untuk menaikkan gaji kakitangan awam tetapi tidak dapat membuat keputusan pada masa lalu kerana ketika itu kerajaan tidak mempunyai kemampuan kewangan.
Sementara itu, ketika ditanya lebih lanjut mengenai tarikh pilihan raya, Perdana Menteri secara berseloroh berkata: "Sekarang ekonomi baik dan saya pun sudah kahwin... mereka (akhbar) akan tanya bila akan ada pilihan raya". - mks.

1 comment:

Long Man said...

ada sesetengah pendapat perkataan 'ilham' ni hanya untuk para kekasih tuhan. 'ilham' diberi oleh tuhan kepada mereka. ikut rasa hati boleh digunakan untuk org kebanyakan macam kita dan pak bodola. tapi kalau setakat pak bodola tu.. bukannya tunggu ilham. tapi tunggu hasutan...