Thursday, August 23, 2007

Kes AKSB: Tindakan BPR dedah maklumat dalam media menghairankan

Intan Abdullah Thu Aug 23, 07 02:27:24 PM
KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Hrkh) - Ahli Perlimen Tumpat, Dato' Kamaruddin Jaafar melahirkan rasa hairan dan terkejut dengan tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang dianggap berbeza dalam menangani kes Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berbanding kes-kes lain terutamanya yang membabitkan kes berprofil tinggi.
Kelmarin, akhbar Berita Harian melaporkan BPR menyiasat AKSB berhubung penyelewengan projek membaik pulih infrastruktur bekalan air pada tujuh daerah Kelantan yang membabitkan kos RM600 juta.
Siasatan dibuat selepas BPR menerima maklumat ada bahan digunakan bagi kerja membaik pulih paip lama dan menaik taraf loji bekalan air di negeri itu, tidak mengikut spesifikasi.
"Saya berasa sangat hairan bagaimana BPR boleh membuat penjelasan secara terperinci dalam media sedangkan sebelum ini di Parlimen, apabila persoalan mengenai kes-kes siasatan BPR dikemukakan maka jawapan yang akan diberikan adalah maklumat itu sulit atau ia masih berada dalam siasatan," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Menurutnya, menteri yang berkaitan berdolak dalih dengan pelbagai alasan seolah-olah ingin menutup aib pihak tertentu.
"Tetapi kenapa kali ini dalam membicarakan kes pengurusan air Kelantan, ia diumumkan kepada khalayak tidak seperti kes-kes sebelum ini? Kamaruddin mempersoalkan tindakan BPR dalam kes ini.
"Saya mendesak supaya tindakan BPR dalam menjalankan siasatan dalam kes-kes yang membabitkan rasuah tidak ditekan atau dipengaruhi oleh mana-mana parti politik," tegasnya lagi.
Beliau mengingatkan BPR supaya keputusan kes ini kelak tidak akan dikaitkan dengan mana-mana parti politik dan juga tidak dengan maksud untuk menjatuhkan mana-mana individu mahupun parti politik.
Kamaruddin yang juga merupakan Setiausahan Agung PAS mengulas siasatan awal BPR terhadap AKSB berhubung penyelewengan dalam projek membaik pulih infrastruktur bekalan air tertumpu kepada pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di Merbau Chondong, Machang yang bernilai RM65 juta.
Sumber badan itu dipetik sebagai berkata, pegawai BPR sudah mula memeriksa dan mengambil dokumen berkaitan projek berkenaan di pejabat AKSB, di Kota Bharu serta syarikat yang diberi kontrak melaksanakannya, Rabu lalu. - mns

Wednesday, August 22, 2007

Gerak beri amaran kepada kerajaan supaya segera basmi rasuah

Mohd Sabri Said Thu Aug 23, 07 12:03:25 PM
GEORGETOWN, 23 Ogos (Hrkh) - Koordinator Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Badrul Hisyam Shahrin memberi amaran kepada Kerajaan Islam Hadhari pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mempercepatkan tindakan membenteras gejala rasuah di kalangan menteri yang semakin menjadi-jadi.
Jelasnya, gejala rasuah yang menjadi musuh nombor satu negara sekarang harus dihalang bagi membersihkan negara sekali gus meningkatkan kewibawaan kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang dianggap paling bertamadhun.
"Gerak memberi amaran kepada kerajaan agar menangani segera musuh nombor satu negara supaya rakyat dapat hidup dalam keadaan selesa bila urus tadbir negara disusun dengan semperna dan adil," terangnya ketika mengiringi ekspedisi solo Gerak, Zainudin Ghazali bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon di aras 28 Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) petang kelmarin.
Beliau hairan sejak kebelakangan ini agenda membenteras rasuah sudah tiada dalam tindakan Perdana Menteri berbanding sejak awal memegang tampuk pemerintahan.
Seolah-olah tindakanya selama ini dihantui oleh seseorang yang bertindak sebagai perancang, sekali pun tahu ada banyak laporan mengenainya diadukan.
"Rasuah bukan sahaja bermaharajalela di kalangan orang politik BN sahaja bahkan pengurusan sukan, pasukan keselamatan dan sebagainya. Habis semua rosak disebabkan rasuah," ujarnya lagi.
Sekarang ini menjelang sambutan kemerdekaan yang 50 tahun merupakan langkah terbaik kerajaan mengisytiharkan 'rasuah musuh nombor satu negara' bukannya dadah sebagaimana yang difahami sekarang.
Rakyat sudah muak dengan pulut kuning berjalur terpanjang, jalur gemilang terbesar atau berbagai usaha megah menyambut kemerdekaan sebaliknya mahu melihat mutu pentadbiran negara bertambah baik.
"Bukan masanya hendak bermegah dengan segala usaha seperti mencipta pulut kuning terpanjang, bendera terbesar dan seumpamanya tanpa memerdekakan negara dari unsur rasuah kerana rasuah pemusnah kepimpinan yang ada," kata beliau lagi.
Hadir sama mengiringi ekspedisi solo Gerak ialah Ketua Bahagian Keadilan Kepala Batas, Amizudin Ahmat, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Aminah Abdullah, Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Jelutong, Fariz Mohd Yusuf dan Timbalan Yang DiPertua PAS Jelutong, Mohd Yusuf Mohd Noor. - mns

Hina Negaraku: BN jangan jadikan alat politik murahan - Mahfuz

Azamin Amin Thu Aug 23, 07 12:28:56 PM
KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Hrkh) - PAS memandang serius isu penghinaan lagu Negaraku yang dilakukan oleh seorang pelajar sehingga ia menjadi topik yang diperbincangkan oleh tokoh-tokoh politik di negara ini.
Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar berkata pada prinsipnya, PAS bukan sahaja mengutuk perbuatan biadap tersebut, bahkan PAS mahu mereka yang bertanggungjawab itu dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
"Namun begitu, PAS amat kesal apabila Kerajaan BN gagal bertindak tegas, sebaliknya menjadikan isu ini satu polimik politik bacul untuk menangguk sokongan rakyat secara murahan," katanya melalui satu kenyataan medianya kepada Harakahdaily.
"Walaupun cerita tentang penghinaan ke atas lagu Negaraku, termasuk terdapatnya unsur-unsur menghina Islam dan Melayu di dalamnya sudah lama berlaku, tetapi Umno masih berpolimik dengan sekutunya, MCA sama ada perlu diambil tindakan atau tidak," katanya.
Perkara ini katanya sudah jelas dan tidak memerlukan sebarang polimik malah jelas perbuatan menghina lagu Negaraku samalah dengan menderhaka kepada negara.
"Tetapi nampaknya Umno sengaja menjadikan ia isu politik untuk menarik sokongan orang Melayu menjelang 31 Ogos ini, dan MCA pula cuba meraih simpati orang Cina," katanya
"Akibat permainan politik murahan ini, nasib lagu Negaraku sudah terumbang-ambing.
Bagi PAS, isu ini mestilah diselesaikan dengan membawa orang yang bertanggungjawab ke muka pengadilan dan biar mahkamah yang memutuskan, bukannya pemimpin politik.
Katanya lagi, jika kerajaan BN boleh bertindak menggunakan ISA ke atas musuh-musuh politiknya yang belum tentu bersalah, mengapa kerajaan BN tidak bertindak mendakwa seorang yang sudah jelas kesalahannya.
Apapun keadaannya kata bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, sama ada MCA bersetuju atau tidak, kita tidak boleh bertolak ansur di atas perbuatan sebiadap ini terhadap negara, tetapi tindakannya mestilah mengikut undang-undang, bukannya sentimen politik.
PAS berpandangan di sebalik kejadian yang memalukan ini, ia didapati berpunca daripada kegagalan dasar Umno dalam memartabatkan Islam, katanya.
Para remaja katanya telah melihat bagaimana para pemimpin Umno sendiri sering kali menghina agama Islam, termasuk tindakan beberapa menteri Umno yang menandatangi bantahan terhadap cadangan 'moral policing', selain sokongan kepada IFC yang mendesak umat Islam dibenarkan murtad.
"Keadaan ini telah menimbulkan keberanian remaja tersebut untuk turut menghina Islam dan lagu Negaraku," kata Mahfuz dalam kenyataannya itu. - mns

Monday, August 20, 2007

PAS akan pastikan kebajikan rakyat terpelihara

Ekmal Yusof Mon Aug 20, 07 12:24:41 PM
TAIPING, 20 Ogos (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa menegaskan bahawa beliau kini sedang mempersiapkan manifesto baru PAS bagi pilihan raya umum ke-12 ini sebagai arah hala tuju pemerintahan PAS apabila menang dalam pilihan raya nanti.
"Pelaksanaan manifesto tersebut yang diamanahkan oleh pimpinan parti PAS adalah termasuk PAS menawarkan negara yang berkebajikan kepada rakyat," katanya semasa berceramah di Bukit Jana, Taiping baru-baru ini.
Tegasnya, PAS akan memastikan hasil sumber petroleum negara yang berbilion itu akan digunakan sebagai biasiswa untuk setiap pelajar yang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi (IPT).
"Tetapi, dalam kerajaan umno dan BN sekarang ini, duit berkenaan mana perginya? Sehingga sanggup melihat para pelajar miskin dan kurang mampu terpaksa menanggung hutang yang tak mungkin boleh diselesaikan dalam sesingkat masa selepas pengajian itu," ujarnya.
Selain itu, katanya di samping menumpukan kepada pembangunan negara, pembangunan kehidupan masyarakat juga tidak akan diabaikan seperti akan menurunkan kadar nilai kadar tol , minyak dan bahan bakar lainnya serta membantu kebajikan kepada yang kurang mampu dan miskin di kampung-kampung.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan BN tidak boleh diyakini untuk membela rakyat.
"Harta dan hak rakyat mereka kikis dan jual kepada orang lain dengan berbilion ringgi dari masa ke semasa.
"Kalau rakyat tidak bertindak mengubah kerajaan umno/BN pada pilihan raya ini maka saya yakin rakyat akan tiada lagi tempat tinggal dan akan menjadi pengemis dinegara sendiri,"ujarnya. - mks.

Sunday, August 19, 2007

Turunkan harga minyak, agih untung Petronas untuk basmi kemiskinan - Anwar

Azamin Amin Mon Aug 20, 07 08:57:15 AM
KUALA LUMPUR,20 Ogos (Hrkh) - Jika menang pilihan raya umum akan datang, Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim berjanji kepada rakyat untuk menurunkan harga minyak yang semakin membebankan serta menekan kos sara hidup, di samping mengagihkan keuntungan Petronas untuk membasmi kemiskinan.
Demi memastikan kemenangan tersebut, beliau menyarankan kepada seluruh rakyat mengembleng tenaga dan bekerjasama bagi merealisasikan matlamat tersebut.
“Apa yang perlu adalah semua bekerja keras untuk memastikan kemenangan pada pilihanraya akan datang," katanya ketika berucap di Pahang baru-baru ini.
“Sudah tentu, semua golongan tidak mengira Melayu, Cina dan India akan mendapat manafaatnya untuk dikongsi bersama,” jelasnya.
Menurut Suara KeADILan online, beliau sebelum itu turut menyentuh isu kepentingan menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang jelas merugikan semua pihak serta menguntungkan kroni tertentu dan perlu digantikan dengan Agenda Ekonomi Nasional yang mempunyai dasar yang lebih adil dalam pengagihan ekonomi negara kepada semua tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.
Beliau yang digandingkan dengan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man memberi ceramah di hadapan 5,000 orang hadirin di Jengka 4, Pahang.
Anwar dalam ucapannya turut menyelar tindakan kerajaan pimpinan Abdullah Badawi membeli jet VVIP baru bernilai RM400 juta menggunakan wang rakyat sedangkan jet yang sedia ada masih boleh dipakai.
Beliau menegaskan berkali-kali dalam ucapannya bahawa rakyat sekarang sudah semakin pandai dan tidak tahan lagi dengan keburukan kerajaan UMNO/BN.
Dalam masa yang sama,Anwar membidas Naib Ketua Pemuda Umno Khairy yang didakwanya menyalahguna kuasa untuk mengaut kekayaan dalam usia yang begitu muda.
Anwar dengan tegas mengumumkan akan memfailkan saman terhadap Khairy di atas beberapa tindakan dan kenyataan yang dibuat Khairy terhadapnya.
Katanya, beliau mempunyai bukti yang mencukupi untuk menyaman Naib Ketua Pemuda Umno itu.
Anwar dalam ucapannya turut menafikan kehadiran beliau dalam arena politik tanah air adalah untuk merampas jawatan menteri dan sebagainya.
Menurut Anwar, beliau telah melalui kehidupan di dunia yang tidak pernah dirasai oleh orang lain, dari layanan sebagai Pemangku Perdana Menteri hinggalah kepada layanan seperti binatang, diaibkan dan di penjarakan selama enam tahun dimana makanan pun dibaling kepadanya seperti memberi makanan kepada binatang.
“Saya telah melalui kehidupan daripada kehidupan mewah sebagai pemangku perdana menteri hinggalah kepada kehidupan hina di penjara,” katanya yang dipetik daripada Suara Keadilan online.-Az

Wednesday, August 15, 2007

Melayu harus bangkit, jangan jadi seperti Nuri - Ketua Pemuda PAS

Ismail Hashim Thu Aug 16, 07 12:54:37 PM
KUALA PILAH, 16 Ogos – Seluruh rakyat Malaysia harus segera bangkit menyatakan pendirian mereka terhadap kepimpinan politik negara kerana perkembangan mutakhir menuju ke arah 'menang sorak kampung tergadai'.
Inilah masa terbaik untuk rakyat membuat perubahan dengan menyelamatkan Malaysia dari terus diperlakukan oleh mereka yang hanya inginkan kemajuan dan pembangunan tetapi merugikan negara.
Tempoh ini adalah bersesuaian dengan detik dan semangat negara menyambut hari kemerdekaan ke 50 pada 31 Ogos depan dan terus menterjemahkan tindakan itu di dalam pilihan raya umum ke 12 nanti.
Ingatan tersebut dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub ketika menyampaikan ucapannya dalam majlis ceramah di Dataran Haji Aziz Dato' Bentara Kanan Haji Maarof, Kampung Dioh Tengah, dekat sini malam tadi.
"Kita amat bimbang orang Melayu khususnya akan menjadi seperti helikopter Nuri yang negara miliki tetapi timbul kebimbangan menggunakannya ekoran selalu sahaja terhempas dan membunuh semua pegawai tentera dan anak kapal"
"Sebut sahaja Nuri, orang terus bertanya boleh pakai atau tidak, kita tidak mahu orang Melayu akan jadi begitu, dipersendakan orang, boleh pakai atau tidak, malah hanya layak dinilai dengan timbang kilo sahaja," tegasnya lagi.
Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan, PAS tidak mahu orang Melayu jadi seperti tahap bolasepak negara yang dulu sangat dihormati tetapi kini langsung tidak dipandang orang.
Katanya, jika dulu bolasepak negara setaraf dengan pasukan Korea dan Jepun, kerana takut melakukan perubahan Malaysia berada di tangga 187 di peringkat dunia sedangkan dua pasukan tadi terus unggul di persada antarabangsa.
Beliau menegaskan, kerana takut melakukan perubahan ke arah terbaik menyebabkan keadaan politik negara terus menjunam sehingga bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir sendiri dengan jelas menyatakan rakyat perlu menolak kerajaan di bawah Barisan Nasional sekarang.
Sementara itu, Salahudin menjelaskan kehadirannya di dalam Majlis Syarahan Perdana Tun Mahathir di Yayasan Perdana pada 15 Ogos, semalam untuk mendengar sendiri hujah-hujah bekas pemimpin utama Umno itu.
Tegasnya, beliau terpegun dengan kenyataan Tun Mahathir yang dengan jelas meminta rakyat menolak kepimpinan PM sekarang yang dipilihnya sendiri kerana tidak bersetuju dengan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang akan menjual negara kepada rakyat negara asing secara terhormat.
Turut menyampaikan ceramah pada malam itu adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Muhammad Omar, YDP PAS Kuala Pilah dan Timbalannya, Abdul Aziz Isa dan Zaharuddin Osman.
Sebelum itu pada sebelah petangnya, beliau telah bersama-sama dengan pimpinan PAS Negeri Sembilan sempat meninjau permasalahan masyarakat Cina yang selama 40 tahun terbengkalai di Kampung Abok, Seremban. - mr

Tuesday, August 14, 2007

Tragedi ngeri didakwa ada kaitan kelemahan JPJ, Polis, Jabatan Perlesenan

Oleh Saidah Hairan
Tue Aug 14, 07 02:58:59 PM
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Hrkh) - Kelemahan dan kecuaian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan bertindak tegas terhadap syarikat dan pemandu bas yang melanggar peraturan jalan menyebabkan ramai penumpang tidak bersalah terbabit dalam nahas.
Dalam satu nahas ngeri 4.28 pagi Isnin lalu, 20 penumpang maut, lapan cedera parah dan seorang cedera ringan apabila sebuah bas ekspres berusia 20 tahun yang mereka naiki terhumban ke gaung sedalam lima meter di Kilometer 229.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit Gantang.
Berhubung tragedi itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar berpendapat, kejadian itu disebabkan kelemahan dan kecuaian JPJ, PDRM dan Jabatan Perlesenan yang tidak mengambil tindakan tegas terhadap pemandu dan syarikat bas Super Ekspres.
Ini kerana katanya, kesalahan pemandu bas, Rohizan Abu Bakar, 38, yang terbunuh mempunyai 15 saman termasuk dua waran tangkap. Beliau bertanya kenapa pemandu bas tidak diambil tindakan sedangkan beliau mempunyai banyak saman manakala bas itu sudah melebihi had tempoh hayat sesebuah bas ekspres iaitu 10 tahun.
Menurut beliau, bukankah tragedi ngeri seperti itu boleh dielakkan walaupun itu takdir Allah tetapi itu boleh dielakkan kalau JPJ, PDRM dan Jabatan Perlesenan melaksanakan tugas dengan baik bagi mengatasi masalah-masalah khususnya menyelamatkan mangsa.
Beliau menegaskan, sepatutnya jabatan-jabatan berkenaan telah mengenakan tindakan terhadap syarikat bas seperti Super Ekspres yang telah mengubah laluan sebanyak 70 kali serta kesilapan pemandunya.
"Lembaga Perlesenan boleh tarik lesen pemandu bas dan permit syarikat bas tersebut melalui maklumat daripada pihak JPJ bahawa syarikat bas tersebut tidak mengikut syarat dan sebagainya," tegas beliau.
Mahfuz yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah menegaskan, selagi kelemahan dan kecuaian JPJ, PDRM dan Jabatan Perlesenan tidak diatasi maka selama itulah nasib pengguna bas seolah-olah `telur di hujung tanduk'.
Katanya, alasan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengatakan jalan di Bukit Gantang selamat dilalui kerana jalannya lurus.
Oleh itu tambah beliau, jabatan-jabatan berkenaan perlu memberi sebab mengapa tindakan tegas tidak diambil terhadap syarikat Super Ekspres dan pemandu bas tersebut.
Katanya, Menteri Pengangkutan yang menjaga JPJ dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang menjaga polis mesti dipersalahkan kerana pihak berkenaan gagal mengambil tindakan.
Selain itu kata beliau, syarikat bas tidak boleh lepas tangan hanya mahu mengambil keuntungan besar tetapi tidak prihatin dengan keselamatan pengguna bas.
Mahfuz yang sering menggunakan perkhidmatan bas `Mara Liner' memuji pemandu bas dan syarikat tersebut kerana sebelum memulakan perjalanan pemandu membaca doa perjalanan yang didengari semua penumpang.
Ini katanya, menggambarkan pemandu dan syarikat bas itu sangat mengambil berat soal keselamatan penumpang.
Beliau mencadangkan supaya JPJ, Polis dan Lembaga Perlesenan mengadakan pemeriksaan mengejut terhadap bas yang melakukan perjalanan jauh kerana kebanyakan bas tidak mempunyai pemandu gantian.
Katanya, pemandu gantian amat diperlukan kerana faktor keletihan menyumbangkan pada kemalangan.
Bas yang terbabit dalam nahas itu membawa 29 penumpang, dalam perjalanan dari Melaka menuju Butterworth.
Bas Super Ekspres itu digunakan sejak 1987 telah gagal empat kali pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd baru-baru ini kerana masalah brek, pernah disaman 19 kali oleh polis sejak 1991 selain merekodkan 79 saman dengan JPJ sejak lima tahun lalu.

Monday, August 13, 2007

Pembahagian kerusi di kalangan BA hampir selesai

Oleh Wajdi Mayusoh
Tue Aug 14, 07 02:13:17 PM
KOTA BHARU, 14 Ogos (Hrkh) – Petanda pilihan raya umum ke-12 semakin hampir dapat dilihat apabila Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mulai menjelajah ke seluruh negara bagi meraih sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

Tidak kurang juga di kalangan pakatan Barisan Alternatif (BA). Perbincangan pembahagian kerusi di kalangan parti BA telah hampir selesai di kebanyakan negeri.

Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa berkata, sebahagian besar perundingan di kalangan parti BA setakat ini berjalan lancar dan berjaya menyelesaikan pembahagian kerusi.

“Di Pahang misalnya hampir 100 peratus selesai, di Kelantan tidak ada masalah begitu juga di Terengganu, Wilayah Persekutuan, Kedah, Perak dan lain-lain negeri berjalan lancar,” katanya pada satu program di sini.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan Kelantan berkata, pada pilihan raya umum kali ini PAS mensasarkan 40 kerusi parlimen untuk dimenangi di seluruh negara.

Menurut beliau sekiranya matlamat 40 kerusi menjadi kenyataan, PAS dapat memberi lebih banyak sumbangan kepada usaha pembaikan negara.

Bagaimanapun katanya, matlamat mencapai 40 kerusi parlimen bukan sesuatu yang mudah, dan PAS akan mengemukakan calon yang berwibawa dan boleh diterima masyarakat bagi mencapai matlamat tersebut.

Diminta mengulas mengenai keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan kaedah celup jari dalam dakwat pada pada pilihan raya ke 12 katanya, perkara itu sudah lama ditunggu parti pembangkang.

“Ini memandangkan Majlis Fatwa Kebangsaan telah membenarkan penggunaan kaedah mencelup jari dengan dakwat terhadap semua pengundi. Kaedah ini diharap dapat mengelakkan berlakunya penipuan dalam proses pengundian.

“Pengundian berkali-kali oleh seseorang pemilih boleh merosakkan undi orang lain serta menghilangkan suara orang ramai. Malah bagi saya tidak menggunakan dakwat itu menjadi satu dosa sebab memberi ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab menipu,” ujarnya.

Kata beliau sebarang penipuan melalui pengundian berulang kali boleh menyebabkan keruntuhan kepada sistem demokrasi di negara ini.

Semalam Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dilaporkan berkata, SPR memutuskan untuk menggunakan tanda dakwat pada jari pemilih pada pilihan raya umum akan datang. - mj

Lima hari lagi, Ezam dedah nama Menteri rasuah!

Oleh Mohd Sabri Said
Tue Aug 14, 07 10:12:43 AM
KEPALA BATAS, 14 Ogos (Hrkh) -Lokasi: Kampung Paya Keladi, Kepala Batas. Tarikh: 19 Ogos 2007 (Ahad). Masa: 5.00 petang.
Demikian kata Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Kurapsi (Gerak), Ezam Mohd Noor apabila memaklumkan bahawa beliau akan mendedahkan seorang menteri kanan Kerajaan Islam Hadhari tajaan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang terlibat dengan rasuah.
Menurutnya, beliau akan mengadakan sidang akhbar pada pukul 5.00 petang selepas menghadiri jamuan rakyat anjuran PAS Cawangan Paya Keladi pada pukul 3.00 petang.
Ezam sewaktu berceramah bersama Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu baru-baru ini berkata, beliau telah lama memberi tempoh kepada Abdullah berkaitan nama menteri berkenaan namun Abdullah tetap menyepi tanpa tindakan berlainan dengan hasratnya ketika mula-mula menerajui kerajaan.
Penghujung bulan Jun lalu Ezam telah menyerahkan memorandum setebal 600 muka surat kepada Perdana Menteri untuk diteliti di mana di dalamnya mengandungi dua laporan polis, invois, resit dan segala bukti salah laku menteri kanan itu.
Beliau memberi tempoh sebulan lebih kepada Perdana Menteri supaya tindakan diambil tetapi akibat kelemahan pentadbiran kerajaan ia diabaikan begitu sahaja.
"Mustahil Dato' Seri Abdullah tidak tahu kerana ia bukan melibatkan orang yang telah bersara, " katanya dalam ceramah berkenaan.
Manakala pada sebelah pagi dan malam, Ezam akan berada di Parlimen Nibung Tebal untuk melancarkan program anjuran Gerak dan ceramah perdana pada malamnya. - mks.

Thursday, August 9, 2007

Dakwat khas: Bersih mengalukan keputusan Majlis Fatwa

Nyza Ayob Thu Aug 09, 07 02:28:40 PM
KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Hrkh) - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil, (Bersih) mengalu-alukan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membenarkan penggunaan dakwat khas yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menanda jari pengundi dalam pilihan raya umum akan datang kerana ia tidak melanggar hukum syarak.
Perkara tersebut dinyatakan Wakil Sekretariat Bersih, Faisal Mustaffa dalam sidang akhbar mingguan KeADILan yang bertempat di Ibu Pejabat KeADILAN di Brickfields, pagi tadi.
Jelas Faisal, Bersih telah mengadakan pertemuan dengan pihak SPR pada 3 Julai dan perkara yang dibincangkan pada tarikh tersebut dibangkitkan pada pertemuan kedua pada 7 Ogos lalu.
Katanya, penggunaan dakwat kekal adalah antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut dan diharapkan tidak menimbulkan masalah dalam mempertikaikan masalah pengundian berganda.
Selain itu katanya dalam pembersihan dan pemutihan daftar pemilih, SPR mengakui terdapat banyak nama yang tidak berdaftar datang mengundi pada pilihan raya 2004. Selepas SPR bersama Jabatan Pendaftaran Negara(JPN), menyatukan senarai pemilih mereka dengan senarai yang ada pada JPN. Ini termasuklah penggunaan Mykad daripada KP8 (kad pengenalan lama) kepada KP12 (kad pengenalan baru), apabila digabungkan antara keduanya terdapat puluhan ribu nama yang tidak ada dalam JPN terdapat dalam senarai pemilih SPR.
Dalam pada itu katanya, Bersih juga mendesak senarai pemilih yang perlu digunakan untuk pilihan raya akan datang.
Jelasnya, menurut Setiausaha SPR, Dato' Kamaruzzaman kemungkinan SPR akan menggunakan senarai pemilih yang berdaftar dalam sukuan ketiga,tetapi terdapat beberapa syarat yang dikenakan iaitu nama-nama mereka mungkin tidak akan dipamerkan.
Bagaimanapun kata Faisal, Bersih tidak akan bertoleransi dengan tindakan ini kerana banyak kemungkinan yang akan berlaku sekiranya nama pemilih ini tidak dipamerkan.
Jelasnya sekiranya terdapat pelbagai kekangan supaya nama mereka ini tidak dipamerkan, Bersih mendesak supaya menggunakan senarai pemilih sukuan kedua.
Bagi memastikan pilihan raya bersih dan adil, Bersih juga mendesak undi pos dapat dihapuskan. Bersih juga mengharapkan agar pengundian pos berjalan dengan adil ialah sekurang-kurangnya wakil calon dibenarkan melihat proses pengundian dalam kem-kem tentera dan polis.
Jelasnya, menurut Setiausaha SPR, perkara ini telah dibawa kepada pengetahuan Ketua Polis Negara (KPN) dan telah menghantar surat kepada Timbalan Perdana Menteri(TPM) memohon kebenaran supaya wakil-wakil parti masuk ke kem-kem tentera semasa pengedaran sampul undi pos. Bagaimanapun permohonan ini belum mendapat jawapan daripada pihak TPM dan KPN.
"Sebagai suruhanjaya yang bebas, SPR boleh terus merujuk kepada Yang Dipertuan Agong untuk menjalankan perkara ini iaitu membenarkan wakil-wakil calon melihat proses pengundian pos," katanya.
Dalam pada itu, Bersih juga memohon agar tempoh berkempen dilanjutkan sekurang-kurangnya selama 14 hari. Permohonan ini juga tidak diterima pihak SPR dengan alasan tempoh berkempen yang singkat dapat mengelakkan keadaan yang tegang serta masalah keselamatan demi ketenteraman awam.
Selain itu, cadangan Bersih supaya diadakan debat terbuka antara kedua-dua parti yang bertanding sekiranya berlaku satu lawan satu dalam satu kawasan Parlimen, SPR menganggap perkawa tersebut bukan tanggung jawab pihaknya dan tidak akan menganjurkan debat tersebut.
"Jika melihat pada hak seorang calon itu, mereka mempunyai hak untuk menyuarakan manifesto mereka sendiri dan sepatutnya tidak mendapat sekatan daripada media. Sekiranya mereka mampu mengiklankan manifesto mereka dengan bayaran, tidak ada alasan untuk media menolak permohonan tersebut," jelasnya yang menegaskan Bersih terkilan dengan kenyataan SPR itu.
Dalam perkembangan lain, jelas Faisal, selepas kejayaan menganjurkan Konvensyen Rakyat pada 20 Julai lalu, Bersih akan menganjurkan beberapa siri konvensyen di beberapa tempat yang lain seperti Pulau Pinang, Ipoh, Negeri Sembilan dan Kuala Terengganu.
Manakala selepas Hari Raya Aidilfitri, mini konvensyen akan diadakan pada setiap negeri bagi memberi peringatakan kepada pengundi tentang kepentingan sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.
Sementara itu keputusan Majlis Fatwa itu turut dialu-alukan oleh parti KeADILan. Setiausaha Agungnya, Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim melalui kenyataan media yang dibacakan oleh Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua mengharapkan SPR memegang dengan janjinya untuk melaksanakan penggunaan dakwat kekal dan tidak terpengaruh dengan sebarang ugutan untuk menarik balik keputusan mereka dalam menjamin perjalanan pilihan raya ini tidak dipertikaikan dan dijalankan dengan bersih.
Bagaimanapun katanya, keADILan masih merasa musykil bahawa dakwat yang digunakan itu nanti benar-benar kekal dan tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.
Khalid turut menyentuh tentang arahan SPR pada pilihana raya umum 2004 lalu, yang mana tidak membenarkan pondok panas dibuka pada hari pengundian.
Tetapi, pada saat-saat akhir, SPR menarik balik arahan tersebut yang dipercayai dipengaruhi oleh tekanan-tekanan daripada Barisan Nasional (BN). - mk

Wednesday, August 8, 2007

Pimpinan PAS digesa jadi `duta penyelamat

Johari Jaffar Thu Aug 09, 07 01:34:16 PM
TAIPING, 9 Ogos (Hrkh) – Setiap pimpinan di setiap kawasan mestilah menjadi `duta penyelamat’ dan `duta kasih sayang’ kepada masyarakat setempat agar kehadiran mereka mendatangkan manfaat dan ketiadaan mereka suatu kehilangan yang amat dirasai oleh setiap anggota masyarakat.
Oleh kerana itu apabila berlakunya satu bencana dan trajedi yang melibatkan kehilangan nyawa dan harta benda, pimpinan PAS mesti terkehadapan daripada mana-mana pertubuhan sebagai `duta penyelamat’ dan `duta kasih sayang’.
Demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Anuar Tahir, ketika berucap kepada seluruh perwakilan PAS Negeri Perak di majlis Munaqasah Ucapan Dasar Presiden di Markas Tarbiyah PAS Negeri, di Air Kuning, Taiping, Ahad lalu.
“Sewaktu seseorang itu atau keluarganya ditimpa dengan musibah sama ada kebakaran, banjir, dilanda angin puting beliung, mereka dalam keadaan sedih dan pilu, ketika itu kita yang mendahului lain-lain pertubuhan, datang sebagai `duta penyelamat’ dan `duta kasih sayang’ menghulurklan bantuan sama ada wang ringgit atau tenaga tulang `empat kerat’ , pastinya bantuan itu mereka ingat sampai bila-bila,” ujar beliau.
“Kita bukan hendakkan pujian atau sanjungan dari sesiapa, kita berikan pertolongan kerana Allah kerana kita wajib membantu mana-mana orang yang ditimpa kesusahan dan penderitraan, kerana itu pimpinan PAS mesti berada barisan depan untuk menghulurkan pertolongan dan bantuan,”tambah beliau.
Walaupun bantuan yang diberikan tidak seberapa, tetapi apa yang penting di saat mereka yang ditimpa musibah dan mengharapkan bantuan, ketika itu pimpinan PAS tampil memberikan bantuan dengan mengenepikan fahaman politik kepartian, tanpa mengira bangsa dan agutan agama, katanya.
“Kata orang 'teman ketawa senang dicari, teman menangis sukar ditemui', ketika orang menangis itulah pimpinan PAS datang sebagai `duta penyelamat’, memberikan semangat kepada mereka yang ditimpa musibah dan mengingatkan mereka tentang kesabaran kerana setiap yang hidup pastimya mati dan setiap manusia akan diuji dan dicuba oleh Allah,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan pimpinan PAS di setiap kawasan khususnya yang akan menjadi calon supaya bertemu dengan masyarakat dengan semangat `kasih sayang’, bertemu dengan setiap anggota masyarakat dengan `senyuman’ dan memberikan bantuan yang sewajarnya bila diperlukan.
“Jangan bila `gendang perang dipalu’ dan Parlimen pun dibubarkan, baru kita sibuk untuk bertemu dengan masyarakat, ketika itu kita akan diejek dan diperli bila pilihan raya baru hendak tunjuk muka, baru hendak buat baik,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau turut mengingatkan pimpinan PAS supaya memperbanyakkan kawan dan mengurangkan lawan kerana dalam pilihan raya kerana undi dari orang ramai adalah amat berharga, disebabkan itu sebarang perselisihan faham mesti dihindari dan dielakkan terutama dengan rakan-rakan dari KeADILan. - mks.

Jangan pura-pura rujuk Majlis Fatwa - Dato' Kamarudin

Intan Abdullah Thu Aug 09, 07 12:46:18 PM
KUALA LUMPUR, 9 Ogos(Hrkh) - PAS mendesak kerajaan untuk merujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu para mufti secara konsisten dalam pelbagai hal yang lain.
Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaafar berkata, PAS menyambut baik respon yang diberikan oleh pihak kerajaan selepas Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan untuk membenarkan penggunaan dakwat khas yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Semalam, Majlis Fatwa Kebangsaan telah meluluskan cadangan tersebut bagi menanda jari pengundi dalam pilihan raya umum akan datang kerana ia tidak bertentangan dengan hukum syarak.
Namun begitu, Kamarudin ketika bercakap kepada Harakahdaily mengingatkan kerajaan supaya mereka menjadikan Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai rujukan dalam memutuskan pelbagai tindakan dan peraturan terutamanya hal yang melibatkan hukum.
"Kerajaan seolah-olah tidak konsisten bahkan seperti bersikap berpura-pura merujuk kepada badan yang berautoriti tersebut dalam memutuskan sebarang isu, bahkan kemudian tidak mematuhi fatwa yang dikeluarkan oleh mereka," ujarnya sambil merujuk kepada fatwa mufti dalam kes 'jom heboh' anjuran Media Prima atau TV3.
Ujarnya, kerajaan yang kononnya mendaulatkan agenda Islam Hadhari ini sepatutnya menjadikan mufti sebagai rujukan utama dalam memutuskan sebarang tindakan terutamanya dalam menetapkan hukum penganjuran program hiburan, isu murtad, kedudukan agama Islam, isu mahkamah syariah dan sivil serta pelbagai isu yang berkaitan.
Beliau kesal kerana sejak kebelakangan ini, kerajaan semakin giat menganjurkan pelbagai program hiburan yang berselindung di sebalik perayaan sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-50, yang sedikitpun tidak prihatin dan sensitif akan hukum penganjuran aktiviti seumpama itu.
"Jangan ingkari atau permainkan keputusan dan fatwa yang telah ditetapkan setelah meminta mereka keluarkan sesuatu hukum," tegas beliau.
PAS ujarnya, akan memberikan bantuan kepakaran kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dalam usaha mengangkat syariat Islam sebagai landasan kehidupan bernegara.
Semalam, Pengerusinya Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata keputusan membenarkan penggunaan dakwat bagi celup jari dalam pilihan raya dibuat berdasarkan penjelasan dan hasil kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kimia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), demikian menurut laporan Bernama.
Katanya, kajian mendapati bahan dakwat yang tidak dapat dipadamkan itu tidak mengandungi unsur najis, tidak menyekat air atau telap air sampai ke kulit dan tidak mengandungi kemudaratan yang jelas untuk dipakai di jari atau kuku. - mks.

Friday, August 3, 2007

PAS Wilayah tanding lima kerusi Parlimen

Harakahdaily Fri Aug 03, 07 05:38:56 PM
KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Hrkh) - Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan telah memutuskan untuk bertanding lima kawasan di Wilayah Persekutuan dalam pilihan raya umum ke-12 akan datang.
Lima kawasan tersebut ialah Titiwangsa, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai, Putrajaya dan Labuan.
Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN) PAS Wilayah Persekutuan, Haji Ishak Surin kepada semua media.
Katanya, pengumuman lima kawasan untuk ditandingi itu telah diumumkan oleh beliau dalam ucapannya mewakili Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan pada Muktamar PAS Ke-52, di Kota Bharu, Kelantan.
Menurutnya, seluruh jentera pilihan raya ke lima-lima kawasan telah diaktifkan dan JPN amat berpuashati dengan persiapan PAS Kawasan dan jentera pilihan rayanya disamping moral ahli-ahli yang begitu tinggi dan komited.
“Rombongan JPN telahpun melawat dan meninjau semua kawasan yang akan ditandingi itu bagi memastikan jentera pilihan raya dan moral ahli-ahli PAS di kawasan-kawasan tersebut sentiasa berada dalam keadaan siap siaga,” tegas beliau.
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan juga, katanya, telah menyerahkan senarai calon-calon yang bertaraf nasional kepada PAS Pusat untuk pertimbangan bagi mengisi ke lima-lima kawasan tersebut.
JPN telah turun padang dan melawat kawasan-kawasan berkenaan dan amat berpuashati dengan persiapan serta gerakerja pilihan raya yang cukup mantap ditampilkan kali ini oleh seluruh ahli.
“Kawasan yang tidak bertanding, telah bersepakat untuk membantu lima kawasan yang akan bertanding dalam pilihan raya umum kali ini. Ia merupakan komitmen mantap yang pernah ditunjukkan bagi merealisasikan hasrat PAS Wilayah untuk memenangi beberapa kerusi dalam pilihan kali ini,” tegas Haji Ishak. - mks

Arahan letak jawatan, PM perlu tumpu kerja, jangan hanya melancong sahaja!

Wan Nordin Wan Yaacob Fri Aug 03, 07 09:34:12 AM
KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Hrkh) - Arahan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya semua Menteri, Timbalan dan Setiausaha Parlimen melepaskan jawatan dalam persatuan sukan tidak mendatangkan kesan kepada pembangunan persatuan memandangkan beliau tidak mengarahkan golongan politik lain seperti Ketua Menteri dan Menteri Besar berbuat demikian.
Sementara PM pula dilihat hanya mengeluarkan kenyataan sahaja sedangkan peningkatan mutu kerjanya tidak boleh dijadikan contoh kepada mana menteri kerana sikap orang nombor satu negara itu yang kerap melancong, kata Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Badrul Hisham Shaharin kepada Harakahdaily hari ini.
Keadaan negara yang tidak menentu juga (seperti keadaan ekonomi yang makin menekan) menuntut Menteri menumpukan lebih masa dalam 'amanah' utama mereka, katanya.
Tiada siapa boleh hormat Abdullah!
"Cuma dari segi ini (menumpukan kerja) Abdullah seharusnya mampu memberikan contoh yang lebih baik dan kurangkan melancong ke luar negara,"tegasnya.
"Satu lagi persoalan yang timbul hampir semua pertubuhan sukan diterjui oleh orang politik dan kini siapa yang 'boleh' menghormati Abdullah dengan mengosongkan kerusi mereka dalam badan sukan tersebut?,"katanya.
Mengulas lanjut katanya perkembangan ini membawa amat mengecewakan dan anti klimaks.
"Ia tidak membawa erti apa-apa. Badan sukan akan terus menjadi bahan politik,"tegasnya.
Keputusan tidak konsisten
Badrul Hisham melihat, perkembangan ini membuktikan betapa tidak konsistenya Perdana Menteri dalam membuat keputusan dan gagal mempertahankan keputusannya.
"Baru semalam saya mengulas dan menyatakan sokongan terhadap arahan Perdana Menteri melarang Menteri dari memegang jawatan dalam badan sukan (berdasarkan Bernama).
"Ia mungkin satu revolusi kecil dalam dunia sukan tanahair, tetapi hari ini saya amat kecewa apabila selepas mesyuarat kabinet PM gagal mempertahan keputusanya,"katanya.
Terdahulu dalam satu ulasannya terhadap keputusan PM itu Badrul Hisham berkata, di Malaysia hampir semua ruang dipolitikkan termasuk badan sukan.
"Kehadiran ahli politik khususnya Menteri di dalam badan sukan dihujahkan kononya mampu memudahkan badan sukan itu bergerak khususnya mendapat bantuan kewangan,"tegasnya.
Ini satu bukti bahawa secara tidak langsung badan sukan tersebut juga menjadi bahan politik, katanya.
Pembahagian peruntukan dari kerajaan dan korporat seharusnya berdasarkan pencapaian badan sukan bukan kehadiran ahli politik dalam badan sukan tertentu, katanya.
Badan sukan jadi bahan politik
Kehadiran ahli politik dalam badan sukan juga kadang kala mengheret badan sukan tersebut dalam kancah politik, ujarnya.
"Bayangkan jika ahli politik tersebut kalah atau disingkirkan dari jawatan politiknya sudah tentu badan sukan yang diterajuinya dipinggirkan atau mengundang kemelut perebutan jawatan dalaman kerana beliau sudah tidak laku lagi,"tegasnya.
Sudah tiba masanya semua badan sukan negara dibebaskan dari pengaruh 'politik', serahkan pengurusan badan sukan kepada mereka yang benar layak, iaitu dari kelompok orang sukan sendiri, katanya.
Kementerian yang bertanggungjawab pula seharusnya memperkasakan mereka ini dengan kemahiran pengurusan dan seumpamanya. Lulusan Sains Sukan dari institusi dalam dan luar negara yang makin bertambah bilanganya harus diberikan perhatian juga, katanya.
Lepas jawatan!
Perdana Menteri dalam satu laporan akhbar 1 Ogos lalu telah mengeluarkan arahan melarang menteri, timbalan menteri dan setiausaha Parlimen memegang sebarang jawatan dalam persatuan sukan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Azalina Othman Said berkata, larangan itu yang tidak melibatkan Menteri Besar serta Ketua Menteri dibuat oleh Perdana Menteri pada mesyuarat Kabinet hari ini dan ia berkuat kuasa serta-merta.
Menurutnya, arahan itu dibuat Abdullah kerana mahu barisan Kabinet memberikan sepenuh perhatian kepada tugas di kementerian masing-masing.
‘‘Keputusan ini dibuat Perdana Menteri selepas berbincang dengan menteri Kabinet. Bagaimanapun menteri, timbalan menteri dan setiausaha Parlimen masih dibenarkan memegang jawatan bukan eksekutif seperti penasihat atau penaung kepada persatuan sukan yang mereka sertai,” katanya.
Antara menteri yang menjawat jawatan dalam persatuan sukan ialah Menteri Pengangkutan, Dato' Seri Chan Kong Choy sebagai Presiden Persatuan Pingpong Malaysia dan Menteri Sumber Manusia, Dato' Seri Dr. Fong Chan Onn (Presiden Persekutuan Amatur Bina Badan Malaysia) manakala Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Anifah Aman ialah Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia.
Menurut Azalina lagi, ketiadaan menteri, timbalan menteri atau setiausaha Parlimen dalam persatuan sukan tidak semestinya akan menjejaskan kemantapan persatuan sukan seperti yang telah dibuktikan dalam skuasy, badminton dan tenpin boling

Thursday, August 2, 2007

Belasah, bogel, rakam aksi lucah - BN hidangkan generasi rosak akhlak untuk pimpin negara ?

Azamin Amin Thu Aug 02, 07 11:21:07 AM
KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Hrkh) - Kronik dan parah! Jijik lagi mengaibkan! Begitulah proses pendidikan di sekolah yang semakin gagal menuju ke arah kerosakan dan kehancuran moral dan akhlak para remaja sekolah
Terkini, dilaporkan kes Sembilan pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Muadzam Shah dekat Rompin, didakwa bertindak ala Mafia dengan membelasah dan merakam gambar bogel seorang rakan mereka menggunakan telefon bimbit.
Malah sebelum itu kes-kes pukul, cekik, cabul yang melibatkan guru dan pelajar sekolah mewarnai isu-isu utama yang menyebabkan semakin hari rakyat khususnya ibu bapa merasa semakin gusar dan hilang kepercayaan terhadap proses dan sistem pendidikan yang dilihat menemui kepincangan.
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh berkata, sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan dan keputusan sijil menyebabkan perkara utama dari sudut pengisian jiwa dan rohani diabaikan, perlu dititik beratkan oleh semua pihak khususnya Kementerian Pendidikan.
"Falsafah negara dilihat begitu cantik namun pelaksanaannya menuju ke arah kegagalan hingga menghasilkan kes-kes yang kronik seumpama ini," katanya ketika dihubungi oleh Harakahdaily.net.
"Perlu ada reformasi segera dalam sistem pendidikan negara dan kementerian mesti beramanah dan adil untuk melakukan perubahan bukannya atas nama politik semata-mata," katanya.
Katanya, lagi dari segi Islam, pihak yang mempunyai kuasa seperti Menteri Pendidikan, pihak Polis dan ibu bapa perlu mengembeng tenaga dan bersungguh-sungguh untuk membanteras dan mencegah kemungkaran yang semakin mewabak di kalangan remaja sekolah ini.
Katanya, hadis Nabi menyarankan bahawa individu atau sesiapa yang mampu mencegah sesuatu perbuatan mungkar seperti jenayah itu mestilah bertindak segera dan lazimnya kemampuan itu katanya ada pada pihak yang mempunyai kuasa.
"Jangan sekadar penuh dengan gagasan, dasar dan slogan untuk menydapkan hati rakyat atau ibu bapa, tetapi perlaksanan dan tindakan susulan adalah pada tahap yang sangat lemah," katanya, sambil membidas kerajaan Barisan Nasional.
Katanya, kes-kes seumpama itu merupakan kes terpencil yang dilaporkan yang perlu diberi perhatian serius kerana ianya mencerminkan sistem pendidikan secara keseluruhan yang dilihat semakin gagal.
"Itu kes yang dilaporkan dan saya percaya masih banyak lagi yang disembunyikan dan secara purata semua sekolah di negara ini mempunyai masalah-masalah kronik yang hampir serupa," katanya
Beliau yang juga merupakan seorang pendidik di salah sebuah sekolah dekat sini, turut menyenaraikan beberapa kajian rambang yang menzahirkan sikap remaja sekolah sekrang yang ada antaranya sudah meningkat dewasa tidak mengenal al-Quran dan tidak pernah mengerjakan solat.
"Asas benteng dan pelindung kepada perbuatan mungkar ialah solat dan ini perkara yang diabaikan rama remaja sekolah yang perlu ditekankan oleh guru kepada anak muridnya," katanya
Beliau menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia dan Polis menyiasat segera dan mengambil tindakan tegas, kerana perbuatan ganas, biadap dan melampau ini, mencemarkan imej institusi pendidikan negara ini.
"Utamakan pendidikan agama dan pembangunan rohani pelajar adalah jalan terbaik kepada punca masalah ini dan jangan dikesampingkan begitu sahaja kerana hasilnya akan lebih parah lagi," katanya.
"Kita tidak mahu negara ini diwarisi generasi yang rosak yang kelak dipimpin oleh mereka. Kita mahu yang berakal, berdisiplin dan sensitif terhadap masa depan mereka dan negara," katanya.
Beliau juga membidas kerajaan BN yang kelihatan sengaja membiarkan generasi rosak akhlak berleluasa dalam negara bagi kepentingan politik mereka semata-mata. - mr

Wednesday, August 1, 2007

Negara Islam hanya propaganda politik Umno

Anis Nazri Wed Aug 01, 07 12:57:55 PM
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Hrkh) - Sekali lagi, isu Malaysia sebagai sebuah negara Islam dimainkan semula oleh Umno dalam keadaan mereka hilang punca, kesan dari tekanan dan kehendak rakyat yang ingin melihat kembali praktikaliti Islam sebagai cara hidup yang sebenar.
Ini nyata sekali terutamanya apabila Islam Hadhari yang ditaja oleh Umno tidak dapat mengisi kekosongan dan kelompangan yang diperlukan oleh umat Islam di Malaysia.
Pengerusi Lajnah Penerangan, Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Hassan Mohamood, berkata tindakan mengimejkan Malaysia dengan imej-imej tertentu adalah hanya propaganda politik semata-mata. Ia seumpama cuba untuk menutup sesuatu kepincangan yang wujud.
"Ini kerana topik perbahasan sebenar isu negara Islam semenjak zaman Negara Islam Madinah adalah berkenaan pelaksanaan hukum-hakam syariat Islam, walhal yang cuba ditonjolkan di sini hanya dari sudut penamaan dan penjenamaan negara Islam dan dalam masa yang sama cuba memperlihatkan bahawa pelaksanaan Syariah Islam bukan agenda utama sesebuah Negara Islam," tegas beliau.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh akhbar Berita Harian (18 Julai 2007) hasil Seminar Peranan Negara Islam dalam Dunia Global anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), yang menyamatarafkan Malaysia dengan Madinah.
Katanya, dalam masa yang sama pelaksanaan perundangan dan prinsip Islam digambarkan sebagai tidak sesuai untuk orang bukan Islam, sedangkan di sebalik sejarah Negara Islam Madinah, orang Islam dan bukan Islam disatukan di bawah piagam Madinah yang sumbernya adalah nas Al-Quran dan As-Sunnah.
"Sedangkan Islam adalah rujukan utama di Madinah dan Madinah pada masa itu lebih majmuk daripada Malaysia yang mana penduduk Madinah pada peringkat awal terdiri sekitar 4000 penduduk pelbagai kaum dan pelbagai kabilah manakala umat Islam pada ketika itu hanya sekitar 1000 orang sahaja," jelas beliau.
Bagaimanapun, tegas Hassan, di sebalik kepelbagaian kaum di Malaysia, ia cuba untuk disatukan di bawah perlembagaan dan perundangan yang diambil daripada British, iaitu dasar pecah dan perintah yang telah menggarapkan kuasa berpaksikan persepakatan kaum yang akhirnya membentuk suara majoriti di dalam negara.
Katanya, dari sudut undang-undang contohnya, menggugurkan sebahagian hak-hak Islam seperti hanya tidak membenarkan pendaftaran murtad sebagaimana kes Azalina Jailani, walhal murtad itu sendiri tidak dianggap sebagai satu kesalahan serius.
Beliau turut menjelaskan bahawa sistem ekonomi, iaitu sistem percukaian Barat yang zalim seperti cukai tanah kediaman, rumah kediaman dan lain-lain jelas bercanggah dengan sistem kutipan di dalam negara Islam.
Justeru, katanya Islam datang menghapuskan cukai yang zalim dan digantikan dengan zakat, kharaj dan seumpamanya, tetapi negara kita meneruskan dasar penjajahan yang telah menggantikan sistem Islam ini dengan sistem percukaian yang cukup zalim melalui angkatan bersenjata.
"Apabila kerajaan sekarang meneruskan dasar penjajah ini, akibatnya ramai golongan miskin Islam dan bukan Islam terabai. Justeru sistem cukai moden ini tidak mewajibkan kerajaan memperuntukkan jumlah yang mencukupi untuk diagihkan secara lansung kepada orang miskin.
Ia berbeza dengan sistem Islam, di mana zakat diambil daripada orang kaya Islam untuk diagihkan kepada orang miskin Islam manakala jizyah diambil daripada orang kaya bukan Islam untuk diagihkan kepada orang miskin bukan Islam, bukan untuk dibuat istana Perdana Menteri, Menteri-Menteri atau projek-projek yang hakikatnya menguntungkan segelintir sahaja," tegas beliau.
Hassan turut mengatakan bahawa dalam melindungi hak-hak asasi rakyat seperti hak asasi wanita, hak keadilan bersuara dan sebagainya, pelaksanaan di Malaysia adalah jauh bercanggah dengan negara.
Jelas beliau, sebagai contoh wanita yang bertugas sebagai guru di dalam kursus dipaksa untuk menandatangani perjanjian untuk tidak mengandung. Jika didapati mengandung selepas menandatangani perjanjian tersebut, mereka akan dipecat.
"Sebenarnya, jika hendak disenaraikan perbezaan antara Malaysia dan Madinah terlalu banyak. Persoalan sekarang ialah, untuk apakah kerajaan Barisan Nasional yang diketuai Umno cuba untuk mengimejkan Malaysia dengan imej-imej Islam, sedangkan perbahasan sebenar negara Islam Madinah di zaman Nabi s.a.w. ialah sebagai paksi atau syarat penting perlaksanaan hukum-hakam Islam," tegas beliau.
Jelasnya, ia dilihat lebih mementingkan perbahasan dari sudut apakah imej negara Islam dan dalam masa yang sama seolah-olah cuba memperlihatkan perlaksanaan syariat Islam bukan agenda utama dan penting di dalam negara Islam.
Justeru, Dewan Ulama PAS Pusat sedia untuk berdialog dan bermuzakarah secara baik dan ilmiah dengan badan-badan agama berautoriti daripada BN dan kerajaan dalam isu “Kepentingan Dan Hubungkait Antara Penegakan Negara dan Perlaksanaan Hukum Syariat” yang menjuruskan sesebuah negara itu layak bergelar negara Islam sebagaimana negara Madinah.
Dilihat dari mata kasar, tegas beliau , Umno memang tidak akan mampu untuk melaksanakan apa yang dituntut oleh sebuah negara Islam yang sebenar. Ini kerana, jika UMNO melaksanakan tuntutan negara Islam, maka ia akan berhadapan dengan tentangan dan kecaman di peringkat parti-parti komponen BN, amnya dan dalaman Umno itu sendiri khususnya. Inilah kesan daripada caturan licik penjajah apabila menyerahkan kuasa kepada Umno melalui perjanjian kemerdekaan.
Kesimpulannya, pihak Dewan Ulamak PAS Pusat merasa kesal justeru Umno menggunakan Islam untuk kepentingan politik murahan guna bagi meraih undi di dalam pilihan raya tidak lama lagi.
"Ini bukan tuduhan, tetapi dibuktikan oleh banyak fakta, antara terkini ialah sikap 'double standard' Perdana Menteri sendiri yang cuba mengelirukan rakyat dengan mengimejkan bahawa beliau adalah tokoh Islam, walhal beliau sendiri mengeluarkan kenyataan yang amat bercanggah dengan Islam dan undang-undang Syariah di Malaysia tatkala berkata: “Keluar Islam bukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan. Ia pernah berlaku sebelum ini. Untuk sesiapa yang tidak mahu beragama Islam lagi, apa yang boleh kita buat?”
Justeru, beliau menyeru ahli agama yang berada di dalam Umno supaya berdialog dan bermuzakarah dengan Dewan Ulama PAS Pusat bagi merungkaikan persoalan negara Islam. - mks.