Johari Jaafar Tue Jun 05, 07 01:08:27 PM
IPOH, 5 Jun (Hrkh) - Pimpin Peradaban Insan Negeri Perak (PIMPIN)) akan melancarkan kempen `peduli anak' sebagai langkah untuk menyedarkan seluruh ibu bapa tentang pentingnya mereka memantau aktiviti anak-anak mereka dari terjerumus ke dalam gejala murtad yang kian ketara sekarang ini.
Demikian dinyatakan oleh Pengerusi PIMPIN, Khalilul Rahman Abdul Samad, ketika mengulas penolakan Mahkamah Perseketuan terhadap permohonan Lina Joy supaya status Islam dimansuhkan daripada kad pengenalannya.
Sambil mengucapkan syukur ke atas penolakan permohonan Lina Joy itu, beliau selaku Pengerusi PIMPIN menjelaskan bahawa sekarang ini semua pihak wajar melipatgandakan pengawasan dan pemantauan terhadap anak-anak mereka.
"Kita akan melancarkan kempen `peduli anak' dengan mengedarkan risalah kepada orang ramai bertujuan menyedarkan mereka tentang tanggungjawab mengawasi pergerakan anak-anak mereka," katanya.
"Peribahasa jangan jaga tepi kain orang' tidak sesuai diamalkan oleh kita, kerana setiap umat Islam berkewajipan membendung gejala maksiat yang melanda masyarakat kita, sekiranya semua orang `menjaga tepi kain orang' apa juga gejala maksiat dapat kita bendung dari awal lagi," tambahnya.
Gejala murtad yang berlaku sekarang ini amat membimbang dan menakutkan kerana ia melibatkan remaja belasan tahun terutama mereka yang longgar pegangan agamanya dan berada di luar kawalan ibu bapa.
"Kita bimbang apa yang berlaku kepada Lina Joy akan berlaku kepada remaja Islam yang lain, dengan bertindak secara terangan dan berani keluar dari agama Islam," katanya.
Kejadian yang menggemparkan umat Islam apabila dikatakan ramai pelajar Melayu akan diKristian di Gereja Silibin pada akhir tahun lalu cukup `menyentak' perasaan orang-orang Melayu Islam.
Kebimbangan itu wujud kerana para pelajar Melayu yang masih dangkal kefahaman Islam mereka telah `tergoda' dengan ajaran Kristian, kerana itu PIMPIN mengambil daya usaha untuk menyedarkan seluruh ibu bapa agar memantau aktiviti anak mereka terutama mereka yang mula merenggang diri mereka dengan keluarga.
"Kita bimbang jika pemantauan tidak dibuat di peringkat awal, anak-anak umat Islam akan terjebak dengan kancah murtad," ujarnya.
Jesteru, beliau meminta semua parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) melupakan `ego centrix' mereka dan bersatu menangani isu kemurtadan dan gejala keruntuhan moral remaja yang kian ketara di negara ini.
"Kita juga amat berhadap pihak sekolah memainkan peranan yang sama dengan kita demi menjaga maruan umat Islam," katanya.
Beliau turut berharap akan wujud NGO lain di setiap negeri seperti JAMA'Y di Perak agar dapat bersatu dalam satu nada yang sama. - mns
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment