Sunday, June 3, 2007

PAS akan tentukan kedudukan Hasan Ali dan Harun Taib kemudian

Intan Abdullah Sun Jun 03, 07 05:00:25 PM
KOTA BHARU, 3 Jun (Hrkh) - Kedudukan mantan Naib Presiden PAS, Dato' Dr Hasan Ali dan Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat, Dato' Harun Taib yang sebelum ini telah melepaskan jawatan mereka akan ditetapkan kemudian sebelum pelantikan yang akan dibuat kepimpinan parti berhubung jawatan tertentu, ujar Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
[Sila layari www.harakahdaily.net/muktamar/ untuk laporan semasa muktamar]-->
Dalam sidang medianya selepas berakhir Muktamar PAS ke-53 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik) hari ini Presiden PAS berkata, masih ada lagi beberapa jawatan dan AJK lantikan yang akan diputuskan kemudian.
Beliau turut ditemani Timbalannya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar dan AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.
Dalam keputusan pemilihan kali ini, turut menyaksikan hanya seorang muslimat yang dilantik sebagai AJK PAS Pusat iaitu Dr Lo' Lo' Hj Mohd Ghazali, bagaimanapun kata Presiden PAS, ia tidak bermakna PAS meminggirkan muslimat.
Bahkan Ketua Dewan Muslimat sendiri, Ustazah Nuridah Mohd Salleh juga secara terus menjadi AJK PAS Pusat.
Tuan Guru Abdul Hadi juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi pelantikan baru yang lain di kalangan muslimat.
Menyentuh cadangan pemilihan secara Syura seperti yang ditimbulkan Dr Hasan, beliau berkata,PAS telah lama mengamalkan pemilihan secara Syura dengan apa yang berjalan sebelum ini.
"Ini secara tidak langsung menolak dakwaan bahawa PAS baru sahaja mahu mengimplementasikannya terutamanya dalam proses pelantikan kepimpinan yang baru," katanya.
Abdul Hadi turut menegaskan bahawa keputusan pemilihan saf kepimpinan baru parti ini akan memantapkan lagi jamaah ini dalam rangka menuju kepada perlaksanaan strategi menghadapi pilihan raya umum ke-12 tidak lama lagi.
Sementara itu, beliau turut menyatakan bahawa muktamar yang diadakan telah dapat menjalinkan hubungan yang erat antara semua ahli dan kepimpinan khususnya jentera di peringkat negeri kelantan.
"Di samping itu, ia secara tidak langsung menjadi medan latihan mempersiapkan diri setiap anggota jentera parti lebih-lebih lagi parti akan menyertai gelanggang pilihan raya bersama-sama dengan Parti Keadilan Rakyat(KeADILan)," tegasnya. - wann/mks

No comments: