Saturday, June 16, 2007

Krisis di Palestin - PAS sokong penuh kerajaan pimpinan Hamas

Harakahdaily Sat Jun 16, 07 11:23:58 PM
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Hrkh) - PAS menyokong penuh Kerajaan Palestin pimpinan Perdana Menteri, Ismail Hanieya yang dipilih secara demokratik dalam Pilihan Raya Umum negara itu Januari 2006 yang lalu.
Pengerusi Lujnah Hubungan Antarabangsa dan hal Ehwal Luar PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berkata, PAS dengan tegas mengecam eleman jahat dalam Pergerakan Fatah pimpinan Presiden, Mahmoud Abas yang menjadi talibarut regim Zionis Israel yang cuba menggulingkan kerajaan Hamas.
Katanya, walaupun Hamas dan Fatah sudah menerima pelan damai di Makkah beberapa bulan lepas dan mewujudkan kerajaan campuran sebagaimana yang didedak oleh komuniti antarabangsa, namun Fatah terus menggugat kestabilan Palestin dengan banyak percubaan untuk melemahkan kerajaan.
PAS tegasnya, mengecam peranan Amerika Syarikat dan Israel yang dipercayai menyalurkan kelengkapan senjata yang bernilai USD 100 juta kepada Fatah untuk menggulingkan Ismail Hanieya.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa seluruh umat Islam untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Kerajaan Hamas yang dikepung oleh Fatah dengan bantuan Israel dan Amerika.
Keadaan di Palestin waktu ini, diburukkan dengan peperangan kedua-dua pihak yang meletus akibat daripada tindakan segelintir anggota Fatah menyalurkan maklumat kepada regim Yahudi untuk menangkap dan membunuh pemimpin Hamas.
Hasil dari kerjasama mereka, tentera Israel baru-baru ini menangkap beberapa orang pimpinan Hamas, ada di kalangan mereka merupakan menteri dalam kerajaan campuran.
Tidak terhenti setakat itu, Fatah yang dibekalkan dengan senjata canggih oleh Yahudi, membuat beberapa percubaan untuk membunuh Perdana Menteri sejak kebelakangan ini.
Kekacauan yang berlaku mengakibatkan Palestin yang berada dalam dua wilayah yang terpisah di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, ditadbir oleh dua puak yang bertentangan.
"Marilah sama-sama kita menunaikan solat hajat dan bermunajat kepada Allah agar seluruh perancangan jahat regim Yahudi yang memecahbelahkan umat Islam Palestin digagalkan," ujarnya. - mr

No comments: