M Khaleel Kas Mon Jun 25, 07 09:19:50 AM
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Hrkh) - Jom piket gaji minimum! Anda prihatin dengan tangga gaji anda yang tidak seberapa? Prihatin dengan saudara mara yang masih hidup merempat? Dan prihatinkah anda dengan jiran tetangga serta rakyat yang berhutang keliling pinggang akibat kos hidup yang tinggi dengan gaji yang tidak seimbang?
Maka sewajarnya anda turun berpiket bersama-sama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di beberapa lokasi yang akan diadakan seluruh negara pada hari ini (25 Jun 2007).
Antara lokasi piket yang akan diadakan serentak hari ini pada jam 5 petang adalah, di hadapan Bangunan KWSP, Jalan Raja Laut (Kuala Lumpur); berhampiran kilang Lam Soon di Lebuh raya Persekutuan (Petaling Jaya);Bulatan seksyen 15, berhampiran kilang Good Year dan seksyen 16 berhampiran kilang Proton (Shah Alam) dan berhampiran Pasaraya Jaya Jusco (Klang). Selain itu, piket yang serupa juga akan diadakan di Johor, Kuching, dan Pulau Pinang.
Sebelum ini, dalam pertemuan dua mata antara Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud dengan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di Wisma MTUC, Shahir berkata, sejak penyerahan memorandum 'Gaji Minimum RM900 dan Elaun Kos Sara Hidup RM300' kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya beliau masih tidak menerima respons daripada pejabat Perdana Menteri.
Beliau juga mengharap satu pertemuan rasmi akan diadakan di antara MTUC dengan kerajaan untuk membincangkan tuntutan ini.
Sementara itu, Nasharuddin ketika ditemui selepas mengadakan perbincangan dengan MTUC kira-kira satu jam, berkata, PAS akan menyokong usaha MTUC untuk mengadakan piket pada Isnin ini.
Malahan tegasnya, kerajaan jangan berdiam diri soal tuntutan itu dan mendesak Perdana Menteri memberi tindak balas demi menjaga kebajikan pekerja-pekerja swasta supaya meningkatkan kualiti hidup mereka.
Nasharuddin juga meminta kerjasama semua ahli PAS yang juga anggota MTUC untuk turun bersama-sama berpiket mendesak kerajaan meluluskan syarat gaji minimum itu.
Pada 18 Jun, MTUC yang diketuai oleh Presidennya menyerahkan memorandum Gaji Minimum RM900 dan Elaun Kos Sara Hidup RM300 kepada Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya.
Permintaan MTUC berhubung gaji minimum itu sudah berlarutan sejak lapan tahun lagi, sehingga hari ini mereka masih belum menerima respons daripada kerajaan.
MTUC memberi tempoh kepada kerajaan sehingga 25 Jun ini untuk memberi maklum balas terhadap tuntutan dalam memorandum yang diserahkannya. -
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment