Friday, April 27, 2007

Undang-undang benarkan tangkapan rakyat terhadap 'pengundi hantu'

Mohd Rashidi Hassan dan Anis Nazri Fri Apr 27, 07 02:55:04 PM
KUALA LUMPUR, 27 April (Hrkh) - Ketua Unit Guaman PAS, Mohamed Hanipa Maidin menegur Ketua Polis Selangor kerana membuat tuduhan yang berbaur ugutan terhadap Ketua Penerangan Keadilan Tian Chua.

Hanipa berkata, sebagai pengamal undang-undang beliau berpendapat tindakan Tian Chua untuk menangkap dan menghalang pengundi hantu sebagai sesuatu yang dibenarkan menurut undang-undang.
Katanya, pengundi hantu dikategorikan sebagai mereka yang tidak pernah berdaftar tetapi menggunakan kad pengenalan palsu atau mereka yang menyamar undi sebagai pengundi.
Hanipa menegaskan, polis tidak mengenali pengundi hantu kerana mereka tidak terbabit dalam politik.
"Hanya orang politik yang tahu siapa dia pengundi hantu, jadi kalau Ketua Polis Selangor hendak kenal siapa pengundi hantu, dia kena tanggalkan pakaian seragam dia, pakai macam rakyat awam dan memasuki politik," tegasnya.
Dari sudut undang-undang katanya, mana-mana rakyat berhak untuk membuat tangkapan ke atas orang yang membuat kesalahan dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa.
"Peruntukan yang dibenarkan ini dinamakan tangkapan rakyat (citizen arrest), polis kena faham yang ini," ujarnya.
Menurut Hanipa, beliau berpendapat dalam suasana di Ijok, Ketua Polis Selangor boleh dihadapkan dengan dakwaan salahguna kuasa kerana menempatkan ramai anggota polis sehingga menimbulkan keresahan kepada rakyat awam.
Tambahan pula katanya, secara jelas polis digunakan untuk menghalang ceramah yang dianjurkan oleh parti pembangkang.
"Saya harap selepas pilihan raya kecil ini, Ketua Polis Selangor boleh dirujuk kepada Suhakam untuk disoal siasat dan diambil tindakan disiplin kerana telah menyalahgunakan kuasa," tegas Hanipa.
Sementara itu, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua, berkata kenyataannya itu tidak menampakkan bahawa pihaknya akan menimbulkan kekecohan dan mengasari pengundi yang disyaki sebagai pengundi hantu.
Beliau menjelaskan, tindakan menghalang dan menangkap kumpulan pengundi yang disyaki pengundi hantu itu sebagai salah satu usaha membantu pihak polis menjalankan tugas.
"Kita bukan mahu bertindak kasar dengan memukul atau mengasari mereka (pengundi hantu). Apa yang ingin kita lakukan ialah menghalang mereka membuang undi pada hari itu kerana mereka bukan pengundi yang sah, di samping menyerahkan mereka kepada polis," tegas beliau.
Apabila ditanya tentang keyakinan beliau bahawa pihak polis boleh berbuat demikian (menahan pengundi hantu), Tian berkata beliau tidak nampak bagaimana pihak polis boleh melakukan perkara berkenaan.
"Pada hari itu, polis hanya menjaga lalu lintas dan keselamatan. Saya tak faham bagaimana mereka mahu menjaga atau memantau 'pengundi hantu' berkenaan. Atas sebab itu, pendirian KeADILan jelas mengenainya (menahan pengundi hantu), dan kita tidak akan bertolak-ansur mengenainya," tegas Tian lagi. - mks

No comments: