Thursday, April 12, 2007

Dun Ijok : PAS Selangor mahu Tan Sri Khalid bertanding

Wan Nordin Wan Yaacob Thu Apr 12, 07 02:00:27 PM
KUALA LUMPUR, 12 April (Hrkh) - Badan Perhubungan PAS Selangor hari ini melaungkan sokongan dan harapan agar Pengerusi KeADILan Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang pernah menerajui Permodalan Nasional Berhad (PNB) diletakkan sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil Dun Ijok.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Dato' Mohd Shahir dalam satu ulasan terhadap gembar-gembur akhbar tempatan berhubung nama-nama calon-calon yang dikaitkan bertanding bagi KeADILan di Ijok berkata, beliau menyokong Tan Sri Khalid yang juga anak tempatan bertanding di kawasan itu.
Beliau melahirkan kebimbangan terhadap sebarang kemungkinan calon lain yang akan dikemukakan KeADILan bagi mewakili parti bertanding di sana kerana baginya Khalid memiliki kelebihan untuk menang di Ijok.
Khalid miliki rekod baik
Pertamanya kata beliau, sebagai anak tempatan, Khalid lebih dikenali dan rekod peribadinya sebagai tokoh korporat Melayu yang berjaya membangunkan sektor utama iaitu perladangan di negara ini melalui Guthrie.
Kejayaan Khalid itu menjadi pendorong kepada pengundi Melayu untuk memberi sokongan kepadanya termasuk dari kalangan ahli Umno kerana tinjauan yang dibuat PAS mendapati ramai pengundi dan ahli Umno mahukan Khalid, kata Roslan lagi.
Pengalaman Khalid sebagai tokoh Melayu yang berjaya membuatkan Bendahari KeADILan itu mudah diterima semua pihak dan pengalaman besarnya juga adalah aset kepada sokongan dari kalangan bukan Melayu yang kecewa dengan rekod khidmat Adun-adun MIC sebelum ini, ujarnya.
Sambil menyatakan bahawa PAS Selangor dan Kuala Selangor telah mempersiapkan jentera bagi menyokong KeADILan dalam pilihan raya kecil Dun Ijok ini, beliau memberi bayangan kemungkinan calon bebas akan bertanding jika Khalid tidak dicalonkan.
PAS Selangor optimis dengan kepimpinan KeADILan akan membuat keputusan yang terbaik bagi Dun Ijok, dan sekali lagi melaungkan sokongan bagi mengulangi kejayaan KeADILan dalam pilihan raya kecil Dun Lunas, sebelum Pilihan Raya Umum 2004.
Hasan Ali laung keyakinan jika Khalid bertanding
Terdahulu sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Mohd Ali dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya yakin Barisan Alternatif (BA) boleh menang jika Khalid Ibrahim bertanding di Dun berkenaan.
Beliau yang dihubungi Harakahdaily baru-baru ini berkata, PAS Selangor memberi laluan kepada KeADILan setelah satu keputusan diambil dalam mesyuaratnya.
Ini katanya, ia berdasar keputusan yang dibuat mengikut sistem Pilihan Raya 2004 dulu.
“Kawasan itu diperuntukkan kepada KeADILan dan memang wajar KeADILan bertanding dan kerana itu PAS Selangor merestuinya dan akan terus berkempen seolah-olah PAS yang bertanding,” katanya lagi.
Pada 9 April lalu, Biro Penerangan KeADILan, dalam kenyataan medianya berkata, KeADILan akan bertanding di Dun Ijok dan perkara itu dinyatakan oleh Khalid.
Dedah isu Khir Toyo dan SPR
Dalam pada itu Dr Hasan berkata PAS menyokong keazaman KeADILan yang mahu mendedah ketidaktelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan penyelewengan kepimpinan Menteri Besar Selangor.
“Saya setuju kerana sememangnya kedua-dua perkara tersebut yang PAS perjuangkan sejak saya menjadi ketua pembangkang di sidang Dun Selangor pada pilihan raya 1999 dulu.
“Itu fokus kita dan kita juga membuat laporan kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap 21 tuduhan rasuah Dato' Seri Khir Toyo,” katanya.
Namun katanya sehingga hari ini laporan tersebut tidak dijawab dan rakyat tidak tahu apa tindakan yang diambil terhadap Khir Toyo.
Malah katanya, penyelewengan, pembaziran,ketidaktelusan serta salah guna kuasa bukan saja di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi di negeri pun Selangor turut ‘menjuarainya’.
“Dadah, pembunuhan bayi, gejala sosial, pelacuran, perjudian, Selangor merupakan juaranya,” katanya lagi.
Rakyat hidup dalam kesusahan
Kesan tersebut katanya, bukan saja mengakibatkan anak Melayu tetapi anak orang Cina dan India mahu hidup dalam suasana aman damai tetapi tidak dapat diberikan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Saya nampak di bawah Khir Toyo Selangor makin goyah dan memang tepat KeADILan naikkan isu tersebut bahkan katanya, jika PAS bertanding pun isu yang sama akan dibawa,” katanya.
Tambahan pula katanya semasa pilihan raya 2004 lalu calon KeADILan iaitu Abdul Rahman Moharam yang tewas kepada Dato' S Sivalingam dengan majoriti 1,649 undi.
Katanya, pengundi kawasan itu terdiri dari 52 peratus Melayu, India (27 peratus), Cina (22 peratus) dan sekaligus beliau yakin calon PKR mampu menewaskan musuhnya.
Kerusi Dun Ijok kosong selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), S Sivalingam, 59, pada 4 April lalu akibat sakit jantung. Beliau yang juga Exco kerajaan Selangor meninggal di Chennai, India. - mks.

No comments: