Mohd Azamin Amin Fri Apr 06, 07 11:49:43 AM
BANGI, 6 April (Hrkh) - Tindakan usul memecat mufti, membayangkan seolah-olah wujudnya kumpulan, pakatan atau pihak tertentu yang sedang bekerja di sebalik tabir bagi menjatuhkan imej ahli-ahli atau tokoh agama kerana pendirian tegas terhadap sesuatu perkara terutama yang membabitkan agama Islam.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din berkata perkara ini mesti diberi perhatian serius kerana ia bukan membabitkan peribadi Mufti Perak semata-mata malah beliau ialah jurucakap bagi pihak para mufti di Malaysia.
Menurut Dr Haron, usaha masih diteruskan pihak tertentu untuk mencacat dan mencalarkan personaliti tokoh-tokoh agama bertujuan merosakkan kredibiliti mereka dan menghilangkan kepercayaan rakyat.
"Segala yang disampaikan oleh Mufti Perak adalah pandangan yang dibincangkan para mufti dan tugasnya adalah menyampaikan kepada umum termasuk kepada kerajaan Malaysia," katanya ketika ditemui di kediamannya, dekat sini, semalam.
"Isu konsert 'Sure Heboh', kongsi raya dan murtad yang disuarakan oleh beliau (Mufti Perak) sebelum ini mengundang rasa tidak senang banyak pihak dan termasuk juga dengan pemimpin kerajaan BN khususnya Perdana menteri dan kabinetnya yang beragama Islam," katanya lagi.
Sikap Perdana Menteri dan beberapa pemimpin yang pernah memperlekehkan pandangan para Mufti mengakibatkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tidak menghormati beliau selaku tokoh agama yang berwibawa, malah secara lebih biadap cuba mencampuri urusan agama Islam.
"Pandangan saya, itu merupakan ijtihad beliau dalam situasi tersebut dan beliau telah melakukan sedaya yang termampu bagi memastikan kejadian itu tidak berlaku," katanya ketika ditanya berhubung isu sms mengaitkan Dato' Azhar Mansur yang didakwa murtad.
Katanya, jika kejadian itu benar-benar berlaku, masyarakat Islam akan menuding jari kepada institusi mufti kerana tidak bertindak membendung gejala murtad setelah mengetahui dan menerima laporan daripada pihak pengadu.
Beliau menambah, usaha parti Gerakan dan pihak-pihak lain untuk mencampuri urusan hal-ehwal agama yang tertakluk dalam bidang kuasa Raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong akan mengundang padah pada masa hadapan.
"Senario ini adalah permulaan yang tidak baik bagi menjaga keharmonian antara kaum; terutama dari segi menjaga sensitiviti berkaitan agama masing-masing," katanya.
Beliau juga beranggapan, kelemahan kerajaan yang ada sekarang mengakibatkan insiden-insiden provokasi dan mencabar umat Islam di negara ini semakin menjadi-jadi dan memberi peluang yang sangat luas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab mempersoalkan hal ehwal agama, amalan dan institusi agama seperti mufti.
"Sepatutnya kerajaan segera bertindak dan tegas, bukannya melayan dan memberi ruang terbuka kepada bukan Islam untuk mempersoalkan amalan agama orang lain," katanya lagi
Dalam pada itu ada beberapa penganalisi yang berpendapat, sikap kerajaan yang membisu berhubung isu ini adalah disebabkan pilihan raya Machap yang dikhuatiri akan mengundang rasa tidak senang pengundi Cina.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment