Wednesday, April 4, 2007

Gesaan pecat mufti: Jama’iy mohon Sultan Perak panggil Presiden Gerakan mengadap

Johari Jaafar Wed Apr 04, 07 03:03:59 PM
IPOH, 4 April (Hrkh) - Sekretariat Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak (Jama'iy) yang dianggotai 23 pertubuhan Islam memohon Sultan Perak memanggil segera Presiden Gerakan mengadap untuk memohon maaf serta menarik balik resolusi yang telah diluluskan dalam Konvensyen Gerakan Wilayah Persekutuan yang meminta Mufti Perak dipecat.
Demikian ditegaskan oleh Setiausaha Jama'iy, Zulkifly Ibrahim, dalam satu kenyataan akhbarnya di sini pagi tadi.
“Jama'iy membantah sekeras-kerasnya resolusi tersebut, ini merupakan siri provokasi Gerakan yang terus mencabar kewibawaan institusi mufti dan merendahkan kuasa Raja–Raja Melayu khususnya Sultan Perak yang menjadi Ketua Agama Islam Negeri Perak," katanya.
Beliau melahirkan rasa kesal dengan tindak tanduk Gerakan itu dan mendesak pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya kepada Gerakan yang jelas menghina martabat dan maruah Islam.
Beliau turut mendesak Perdana Menteri, Dato' Abdullah Ahmad Badawi, memberi amaran keras kepada Parti Gerakan, iaitu rakan komponen Barisan Nasional (BN) dan meminta Presiden Gerakan menarik balik usul yang dibuat oleh Gerakan Wilayah Persekutuan yang bersifat provokasi terancang.
“Kita juga mendesak Menteri Besar Perak, selaku Ketua Kerajaan Negeri untuk turut sama memberi amaran kepada Gerakan kerana resolusi tersebut bermotifkan penghinaan terhadap bidang kuasa Sultan Perak,” jelasnya.
“Kita minta Gerakan menarik balik resolusi tersebut dan meminta maaf secara terbuka kepada semua pihak yang berkaitan dengan institusi Islam dan umat Islam," tegasnya.
Beliau meminta, parti-parti politik dan individu bukan Islam supaya jangan mencampuri hak ehwal Islam kerana tindakan tersebut menyebabkan umat Islam hilang kesabaran.
“Jama'iy melihat isu-isu sensitif terhadap Islam mutathir ini adalah siri-siri provokasi terancang dan ia mempunyai motif tertentu untuk mencabar martabat Islam di negara ini,” tegasnya lagi.
Sehubungan itu Jama'iy mendesak kepimpinan negara agar menunjukkan prinsip dan sikap yang tegas terhadap mana-mana pihak yang mencabar Islam di masa akan datang. - mns

No comments: