Ahmad Lutfi OthmanKhamis
26 April 2007 8 Rabiul Akhir 1428 Hijrah
Pendedahan saya tentang Standard Operating Procedure (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memantau pembabitan pelajar IPTA dalam kempen pembangkang di Machap, Melaka seperti tidak membawa apa-apa kesan.
Malah ada Timbalan-timbalan Naib Canselor (TNC) dan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang sedia "dilacurkan" demi kepentingan politik BN itu berbangga apabila gambar mereka disiarkan Harakah 16-30 April lalu.
Yang heboh diperkatakan, siapa yang membocorkan maklumat itu kepada Harakah? Sesama pegawai kanan HEP, mereka saling menyalahkan, dan timbul rasa syak wasangka antara satu sama lain.
Taraf IPTA sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dan tempat berkumpulnya golongan cendekiawan rosak teruk dengan pendedahan itu, tapi bagi sesetengah TNC yang terbabit, mereka berbangga kerana dapat menunjukkan sokongan terbuka kepada BN.
Kini operasi Sekretariat Pemantau IPTA beralih ke Ijok, Selangor, bermula 17 hingga 28 April, dengan bilik gerakan di Unisel, Batang Berjuntai, yang membabitkan 18 IPTA.
Universiti Malaya menjadi tuan rumah dan TNC HEP & Alumni, Prof Dato' Dr Mohd Razali Agus dilantik pengerusi jawatankuasa berkenaan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan IPT, Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Dato' Dr Hassan Said, pada 16 April.
Misi jawatankuasa pemantau ini tetap sama, yakni mempastikan tiada pelajar IPTA berkempen untuk KeADILan di Ijok, di samping berusaha mempengaruhi keluarga pelajar yang menjadi pengundi di sana supaya menyokong BN. Pelajar yang berkempen BN digalakkan pula. Bersama anggota Exco Pendidikan Pemuda Umno, Ahmad Ikmal Ismail, pegawai-pegawai kanan IPTA berkunjung dari rumah ke rumah keluarga terbabit, bermula 24 April lalu.
Pihak sekretariat mengeluarkan senarai pelajar-pelajar IPTA yang menjadi pengundi di Ijok dan pemantau diminta mempastikan kecenderungan politik pelajar berkenaan. Sekiranya mereka dilihat cenderung mengundi KeADILan, maka pegawai-pegawai HEP diminta, jika boleh, untuk menyukarkan pelajar-pelajar tersebut membuang undi.
Sebaliknya jika pelajar yang boleh mengundi di Ijok itu dirasakan menyokong BN, segala kemudahan harus diberikan agar tiada masalah untuk mereka turun mengundi. Pemantau juga diberi ingatan, sekiranya mereka tertangkap pelajar yang berkempen untuk BN, kes itu jangan direkodkan.
Agak sukar membayangkan bagaimana pegawa-pegawai kanan universiti, ada yang bergelar "Prof Dato'", rela diperkudakan sebegitu rupa oleh "budak-budak hingusan politik Umno".
Selama 12 hari mereka meninggalkan tugas sebenar di kampus dan bersedia berkampung di Ijok bagi melaksanakan satu operasi pemantauan yang begitu memalukan. Harus diingat, mereka juga baru saja membazirkan wang rakyat di Machap, selama 10 hari, untuk tujuan sama.
Antara modus operandi pemantauan yang pernah saya dedahkan ialah:
1. Membuat rondaan di kawasan-kawasan yang sensitif seperti bilik-bilik gerakan parti pembangkang dan markas-markas parti pembangkang. Rondaan adalah untuk mencari maklumat dan cara untuk mencegah penglibatan pelajar.
2. Berada di tempat ceramah parti pembangkang dengan tujuan untuk mendapat maklumat kehadiran dan penglibatan pelajar. Ia juga adalah untuk proses pencegahan. Ini kerana kehadiran secara terbuka akan menyekat kehadiran pelajar.
3. Mengadakan perbincangan dan lawatan ke bilik gerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno bagi mendapat maklumat mengenai pelajar.
Difahamkan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hadir dalam satu taklimat khas, ditemani Ikmal, pada petang hari penamaan calon, sambil memberikan arahan kepada lima TNC HEP yang hadir, termasuk dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dato' Mohd Wahid Samsudin. Di Machap, Wahid merupakan penasihat jawatankuasa pemantau. Khairy jelas kecewa apabila banyak maklumat tentang pemantau terdedah dalam Harakah.
Apabila saya mendakwa lebih RM2 juta wang rakyat hangus di Machap untuk membiayai sekretariat pemantau ini, ada pihak mempertikai angka itu. Okey, untuk kes di Ijok, saya bersedia memberikan perincian, khususnya keperluan Universiti Malaya yang bertindak sebagai tuan rumah, apabila lebih RM100,000 diperuntukkan untuknya sahaja.
Namun, KPT hanya memperuntukkan RM10,000 bagi setiap IPTA. Oleh itu, bahagian HEP dan Canseleri UM diarah membelanjakan RM60,000 manakala kos perbelanjaan selebihnya daripada "penajaan luar", iaitu ahli politik dan perniagaan.
Hal ini dinyatakan sendiri oleh Razali Agus. Pelik juga memikirkan bagaimana TNC HEP Universiti Malaya ini terpaksa mencari sponser daripada ahli-ahli politik (tentunya Umno-BN) bagi membiayai kegiatan KPT.
Selain bilik gerakan rasmi di Unisel, UM menyewa dua lagi bilik gerakan, iaitu bilik gerakan khas VIP di Shah Alam dan bilik gerakan pusat di Kuala Selangor, dengan peruntukan RM12,000.
Seramai lima pengawal keselamatan UM ditugaskan sebagai "mata-mata (perisik)", istilah yang dipakai Razali Agus dalam suratnya bertarikh 16 April kepada Dato' Rafiah Salim, Naib Canselor UM bagi memohon peruntukan khas itu. Elaun makan dan penginapan lima "perisik" berkenaan berjumlah RM6,500.
Difahamkan, untuk satu-satu masa lebih 120 orang pegawai IPTA terlibat dalam operasi pemantauan. Selama 12 hari, setiap IPTA termasuk dari Sabah dan Sarawak (tetapi tidak membabitkan Universiti Islam Antarabangsa) menggilirkan tiga rombongan, setiap satu untuk tempoh empat hari. Semua mereka menginap di kolej kediaman UiTM berdekatan disebabkan anggota polis Cawangan Khas (satu lagi perkakas BN) tinggal di Unisel.
Saya kira Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamed harus menjawab isu ini. Di waktu ada mahasiswa terpaksa mengikat perut menahan lapar dan para siswazah diburu tindakan keras PTPTN, manakala di UKM dilaporkan bahawa tiada peruntukan untuk membeli bas untuk kegunaan pelajar sehingga menyebabkan dua siswinya hampir dirogol pada 3 April lalu (hari penamaan calon Machap) tiba-tiba dengan mudah wang universiti RM2 juta disalahgunakan untuk kempen BN.
Tidak masuk akal bagaimana 18 IPTA dipaksa membelanjakan untuk setiap kampus RM20,000 dan peruntukan itu, seperti diakui Razali Agus, diambil dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar.
Sewajarnya wang berkenaan dibelanjakan untuk manfaat dan kebajikan pelajar.
Dalam keadaan terdapat pelajar yang terpaksa bekerja part-time untuk mengongkosi biaya pengajian, tiba-tiba wang HEP dibazirkan begitu saja dengan mudah. Diharapkan aktivis mahasiswa dan gerakan pelajar IPTA memandang serius perkara ini.
Mungkin ada pihak perlu membuat laporan BPR bagi menyiasat "skandal" di menara gading ini.
Jika dibiarkan, martabat IPTA yang sedia rendah akan dipijak-pijak. Apa pun, kes ini menunjukkan tiada bezanya guru-guru Kemas dengan pegawai-pegawai kanan IPTA, yang akan dikerah untuk ditunggangi BN bila tiba waktu pilihan raya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment